CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
Author: Vellfire

[Borneo] Rumah Borak Borneo~Auk ajaklah

[Copy link]
 Author| Post time 26-1-2026 01:14 PM | Show all posts
PERANTIS sokong cadangan supaya PDA74 dibahas pada Persidangan DUN Sarawak
Januari 22, 2026, Khamis - 6:50pm



Paul (kiri) dan Wellie.

KUCHING: Persatuan Intelektual Pribumi Sarawak (PERANTIS) menyokong penuh cadangan supaya Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA74) dibahaskan secara rasmi pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang akan datang.

Cadangan untuk membahaskan PDA74 dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Christopher Gira Sambang bagi memperjelaskan autoriti kawal selia industri minyak dan gas di negeri ini.

Pengasas PERANTIS Wellie Henry Majang dan Penasihat Undang-Undang PERANTIS Paul Raja dalam satu kenyataan bersama berkata, PERANTIS melihat gesaan PDA74 dibahaskan secara rasmi sewajarnya sebagai usul yang menjadi keutamaan.

Industri minyak dan gas katanya, adalah tulang belakang ekonomi Sarawak yang menjadi pengerak kepada industri lain yang bertapak di negeri ini dan dari segi kewangan, ia adalah sumber utama bagi Sarawak.

“Isu pertikaian PDA74 ini sudah lebih 50 tahun dan selari dengan perkembangan ekonomi baharu di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, sudah tiba masanya kerajaan persekutuan dan Kerajaan Sarawak mencari penyelesaian holistik bagi menyelesaikan isu ini.

“Oleh itu, cadangan Christopher Gira selaku Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) untuk membahas isu tersebut adalah tepat pada masanya,” katanya.

Tambah Wellie dan Paul, oleh kerana sumber minyak dan gas adalah milik semua rakyat Sarawak, maka adalah sangat bertepatan bagi isu itu dibahas sepenuhnya oleh wakil rakyat di DUN Sarawak.

Selari dengan pemulangan hak milik Sarawak di bawah pemulihan status menjadi wilayah ketiga dalam rakan kongsi Malaysia, maka adalah sangat wajar hak milik Sarawak terhadap pelantar benuanya juga dipulangkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perkara 1(2)(b) Perlembagaan Persekutuan.

“Perlu diingatkan bahawa Pindaan Perkara 1(2)(b) Perlembagaan Persekutuan tidak membawa makna yang signifikan tanpa adanya pemulangan hak milik Sarawak ke atas pelantar benuanya sepanjang waktu MA63 telah diabaikan.

“Oleh itu, PDA74 juga perlu disemak semula supaya selaras dengan kehendak MA63,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 26-1-2026 01:15 PM | Show all posts
Pengenalan diri anak penting untuk elak keciciran pendidikan dan masa depan lebih baik
Januari 23, 2026, Jumaat - 7:02am



LIDAM

SONG: Ibu bapa diingatkan agar memberi keutamaan kepada pengurusan dokumen pengenalan diri dan kerakyatan anak-anak seawal kelahiran, bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada sistem pendidikan dan peluang masa depan yang lebih baik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas Lidam Assan berkata, isu ketiadaan dokumen pengenalan diri masih wujud dan memberi kesan langsung terhadap kanak-kanak yang tidak dapat diterima bersekolah kerana status dokumentasi yang tidak lengkap.

Menurut beliau, perkara tersebut telah dibincangkan dalam pertemuan bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pengetua sekolah dan Pegawai Daerah Song, khususnya melibatkan kes murid yang berdepan kekangan untuk mengakses pendidikan formal.

“Dokumen pengenalan diri bukan sekadar keperluan pentadbiran, sebaliknya menjadi asas kepada hak pendidikan, perlindungan dan masa depan anak-anak,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya.

Beliau menasihatkan ibu bapa supaya bertindak lebih awal dengan memastikan pendaftaran kelahiran serta urusan berkaitan dokumen kerakyatan diselesaikan tanpa berlengah, bagi mengelakkan sebarang masalah apabila anak memasuki alam persekolahan.

Dalam masa sama, Lidam turut menggalakkan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) memainkan peranan membantu menyemak status penduduk di kawasan masing-masing serta membimbing keluarga terlibat berurusan dengan Pejabat Pendaftaran Daerah Song atau Pejabat Daerah.

“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan tiada anak, khususnya di kawasan luar bandar, terpinggir daripada pendidikan hanya disebabkan kekangan dokumentasi.

“Pendidikan adalah hak asas yang perlu dipelihara bersama,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 01:16 PM | Show all posts
47 pelatih ILKKM Sibu hadir Ceramah Antidadah
Januari 23, 2026, Jumaat - 7:11am



Para pengajar, jurulatih serta pelatih ILKKM Sibu (Kejururawatan) merakamkan kenangan semasa menghadiri Ceramah Antidadah pada Khamis.- Gambar AADK Daerah Sibu

SIBU: Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (Kejururawatan) Sibu (ILKKM Sibu) telah mengadakan Ceramah Antidadah sebagai usaha berterusan melahirkan modal insan kesihatan yang bukan sahaja kompeten, malah memiliki jati diri dan integriti yang kukuh.

Program yang berlangsung pada Khamis melibatkan seramai 47 orang pelatih Diploma Kejururawatan (Pra Perkhidmatan) Ambilan Januari 2026, dengan fokus kepada pemerkasaan nilai integriti serta pendedahan awal terhadap bahaya penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang.

Penganjuran program tersebut merupakan hasil kerjasama strategik antara ILKKM Sibu dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sibu, selaras dengan usaha kerajaan membendung gejala dadah dalam kalangan generasi muda, khususnya bakal petugas kesihatan.

Menurut AADK Daerah Sibu, selain para pelatih sesi ceramah itu turut disertai barisan pengajar dan jurulatih klinikal institut berkenaan.

Kehadiran warga kerja ILKKM Sibu, katanya, mencerminkan komitmen institusi dalam mewujudkan persekitaran pendidikan yang bebas dadah serta menyokong aspirasi nasional “Dadah Terkawal 2030”.

"Dalam ceramah yang disampaikan, AADK Daerah Sibu menekankan peranan penting jururawat sebagai barisan hadapan sistem kesihatan yang sering berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat.

"Justeru, pendedahan awal berkaitan isu dadah dianggap kritikal bagi memastikan bakal jururawat tidak terjebak dengan pengaruh negatif, di samping mampu berperanan sebagai ejen penyampai maklumat yang tepat kepada komuniti," katanya dalam satu hantaran di lama sosialnya.

Program berkenaan mencapai kemuncaknya apabila seramai 44 orang pelatih mendaftar sebagai ahli SKUAD Antidadah, sekali gus membuktikan komitmen tinggi mereka dalam menyokong usaha pencegahan dadah di peringkat institusi dan masyarakat.

Penganjuran program seumpama itu diharap dapat menjadi benteng pertahanan yang kukuh kepada para pelatih, seterusnya melahirkan graduan ILKKM yang berdisiplin, berwawasan serta bebas daripada anasir negatif demi kesejahteraan negara.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 01:17 PM | Show all posts
Terabai Menua Suai hulur bantuan kepada keluarga mendiang Embon Badaru
Januari 23, 2026, Jumaat - 7:13am



Louis (tujuh kiri) ketika menyerahkan bantuan tersebut kepada Gindi (lima kanan) di Suai, Miri.

SIBU: Persatuan Kebajikan Tunjang Masyarakat Sarawak (Terabai Menua) Cawangan Suai tampil menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada keluarga mendiang Embon Badaru dengan menyampaikan sumbangan keperluan asas serta sebuah keranda di Rumah Juan, Sungai Selukun, Gelasah Suai di Miri, baru-baru ini.

Penyerahan sumbangan tersebut diketuai oleh Pengerusi Terabai Menua Cawangan Suai, Louis Depa, bersama Timbalan Pengerusi, Brianlendy Franklin, serta barisan Ahli Jawatankuasa persatuan sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib keluarga yang ditimpa musibah.

Inisiatif murni itu turut mendapat sokongan daripada Batu Niah Chen Yan Kor Moral Uplifting Society yang menyumbangkan keranda bagi membantu melancarkan urusan pengebumian mendiang, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan dan solidariti merentas komuniti.

Kesemua sumbangan telah diserahkan kepada Gindi Embon, anak kepada mendiang, dengan harapan agar bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban kewangan serta kesedihan yang ditanggung oleh keluarga dalam menghadapi saat sukar ini.

Menurut persatuan, usaha kebajikan seumpama ini membuktikan komitmen berterusan pertubuhan masyarakat dalam membantu golongan yang memerlukan, di samping memperkukuh nilai kemanusiaan dan semangat saling membantu dalam kalangan masyarakat setempat.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 01:18 PM | Show all posts
Penduduk Kampung Bahagia Jaya Teku bimbang kehadiran kenderaan berat melalui jalan kampung
Januari 23, 2026, Jumaat - 9:30am



Kenderaan berat, termasuk lori tanah, dikesan menggunakan Jalan Kampung Bahagia Jaya Teku yang memberi kebimbangan kepada penduduk kampung.

SIBU: Penduduk Kampung Bahagia Jaya Teku meluahkan kebimbangan terhadap penggunaan jalan kampung oleh lori-lori tanah yang menjalankan kerja di kawasan Rantau Panjang Jaya, meskipun Jalan Trusan telah disediakan sebagai laluan rasmi kenderaan berat.

Penghulu Kampung Bahagia Jaya Teku, Mirza bin Mohamad, berkata lori-lori berkenaan didapati kerap menggunakan Jalan Kampung Bahagia Jaya Teku, sekali gus menimbulkan risiko kerosakan infrastruktur jalan dan ancaman keselamatan kepada penduduk setempat.

“Penggunaan jalan kampung oleh lori berat amat membimbangkan, khususnya kepada kanak-kanak dan warga emas yang menggunakan laluan ini setiap hari.

“Jalan ini bukan direka untuk menampung beban kenderaan berat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada penggunaan Jalan Kampung Bahagia Jaya Teku oleh lori-lori berkenaan telah mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Sibu.

“Jika tiada kelulusan, mengapa tiada tindakan penguatkuasaan sedangkan laluan alternatif iaitu Jalan Trusan telah disediakan?

“Pihak berkuasa tidak seharusnya berdiam diri apabila kemudahan awam dan keselamatan penduduk terjejas,” tegasnya.

Penduduk kampung, katanya, menuntut tindakan segera termasuk arahan tegas supaya semua lori berat menggunakan Jalan Trusan sebagai laluan rasmi, selain penguatkuasaan tanpa kompromi bagi memastikan keselamatan orang awam terpelihara.

Beliau berharap pihak berkuasa berkaitan dapat mengambil perhatian serius terhadap aduan ini dan bertindak segera sebelum berlaku sebarang kejadian tidak diingini.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 01:19 PM | Show all posts
PKMS anjur Program Derma Darah 4.0 di Star Mega Mall Sibu esok
Januari 23, 2026, Jumaat - 10:49am



Program derma darah Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak pada Sabtu ini.

SIBU: Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) akan menganjurkan Program Derma Darah 4.0 pada Sabtu ini bagi membantu memastikan bekalan darah di Hospital Sibu sentiasa mencukupi dan berterusan.

Kempen dengan kerjasama Tabung Darah Hospital Sibu dan Star Mega Mall itu akan diadakan pada esok dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari di Orange Zone, Star Mega Mall Sibu.

Menerusi kenyataan, program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PKMS dalam memupuk kesedaran masyarakat tentang kepentingan menderma darah sebagai amalan mulia yang mampu menyelamatkan nyawa.

“Orang ramai dijemput hadir untuk sama-sama menjayakan kempen ini. Setiap titisan darah yang didermakan amat bermakna kepada pesakit yang memerlukan,” ujarnya.

Tambahnya, kempen ini juga bertujuan memastikan bekalan darah di Tabung Darah Hospital Sibu sentiasa berada pada tahap mencukupi bagi kegunaan kes kecemasan, pembedahan dan rawatan pesakit.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai kempen derma darah sepanjang tahun 2026 boleh mengikuti Facebook, Instagram dan TikTok Bank Darah Hospital Sibu.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 26-1-2026 01:20 PM | Show all posts
Siasatan kematian suami isteri di Sri Aman hampir selesai: Polis
Januari 23, 2026, Jumaat - 11:00am



Mohamad Zainal semasa berucap pada perhimpunan bulanan di IPK Sarawak.

KUCHING: Polis mengesahkan siasatan berhubung kes kematian melibatkan sepasang suami isteri di Sri Aman telah hampir selesai setakat ini berdasarkan hasil siasatan menyeluruh yang dijalankan dari pelbagai sudut.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata seramai 30 individu terdiri daripada ahli keluarga, sahabat serta jiran-jiran telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Katanya, laporan daripada bahagian kimia turut diperoleh, termasuk keterangan pakar patologi iaitu doktor yang menjalankan proses bedah siasat ke atas kedua-dua mangsa.

“Hasil siasatan juga mendapati senjata yang digunakan dalam kejadian ini hanya mengandungi DNA milik kedua-dua mangsa dan tidak melibatkan sebarang DNA asing,” katanya kepada media selepas Perhimpunan Bulanan di IPK Sarawak, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian juga mendapati tiada sebarang kesan kerosakan pada rumah, kehilangan barangan berharga mahupun peralatan lain, sekali gus menolak unsur pencerobohan atau penglibatan pihak lain.

“Berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan, kejadian ini dipercayai hanya melibatkan kedua-dua mangsa tanpa penglibatan individu lain,” jelasnya.

Tambahnya, setakat ini tiada lagi elemen baharu yang memerlukan siasatan lanjut kecuali menunggu laporan forensik bagi tujuan pengesahan dan penilaian terhadap bahan berkaitan, termasuk telefon bimbit kedua-dua mangsa.

Dalam pada itu, siasatan turut mendapati mangsa lelaki dipercayai mengalami kemurungan sejak mula menjawat jawatan sebagai guru besar di sebuah sekolah di Lubok Antu.

“Berdasarkan kenyataan daripada saksi-saksi, mangsa lelaki mengalami kemurungan.

“Bagaimanapun, kita masih menunggu laporan forensik berkaitan telefon bimbit mangsa agar siasatan dapat dijalankan dengan lebih lanjut yang boleh membantu menentukan motif sebenar kematian kedua-dua mangsa,” katanya.

Pada 14 Januari lalu, pasangan suami isteri yang berusia 44 dan 45 tahun ini ditemui mati dengan kesan kecederaan serius dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun keseksaan.

Hasil bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat luka tikaman.

Difahamkan, mangsa lelaki merupakan seorang guru besar manakala isterinya bertugas sebagai jururawat di Hospital Sri Aman.

Pasangan tersebut meninggalkan tiga orang anak masing-masing berusia sembilan, 16 dan 17 tahun.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 01:21 PM | Show all posts
Tentera Darat patahkan cubaan seludup beras ke negara jiran
Januari 23, 2026, Jumaat - 11:17am



Operasi yang dijalankan Tentera Darat di Serikin, Bau.- Gambar Tentera Darat

KUCHING: Tentera Darat berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan beras ke negara jiran selepas menahan sebuah lori yang dipandu seorang lelaki tempatan dalam satu operasi di laluan haram di kawasan Serikin, Bau pada malam Rabu.

Jurucakap Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat berkata, anggota bertugas mengesan sebuah lori yang bergerak dalam keadaan mencurigakan dari arah Kampung Serikin menuju ke sempadan antarabangsa sekitar jam 9.40 malam.

“Hasil tindakan pantas anggota di lapangan berjaya menahan lori berkenaan bersama seorang pemandu tempatan berusia 38 tahun, hanya beberapa kilometer sebelum kenderaan itu mencecah sempadan negara,” menurut kenyataan itu.

Pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan menemui muatan beras yang dipercayai cuba diseludup keluar dari negara ini.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM142,000.

“Rampasan tersebut melibatkan 320 guni beras padi seberat 50 kilogram setiap satu dengan nilai kira-kira RM64,000, manakala lori yang digunakan turut disita dengan anggaran nilai RM78,000,” katanya.

Kesemua barang rampasan bersama individu yang ditahan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk tindakan lanjut.

Tentera Darat menegaskan komitmen akan terus dipertingkatkan bagi memperketat kawalan di sepanjang sempadan Malaysia-Indonesia.

“Khususnya di Sarawak, bagi membanteras aktiviti penyeludupan, kemasukan pendatang tanpa izin serta jenayah rentas sempadan.

“Orang ramai turut diminta supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di laluan tidak sah di kawasan sempadan,” ujarnya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 26-1-2026 01:21 PM | Show all posts
The Sarawak Initiatives anjur program tangani jurang kepimpinan, 7 Februari
Januari 23, 2026, Jumaat - 1:31pm

KUCHING: The Sarawak Initiatives akan menganjurkan sesi bertajuk 'Leading Within the Donut: Young Leaders for a Regenerative Future' bagi menangani jurang kepimpinan yang wujud dalam menghadapi cabaran dunia masa kini.

Program dengan kerjasama Sarawak CSO-SDG Alliance itu akan diadakan di Muzium Budaya Borneo di sini pada 7 Februari 2026, dari jam 1 petang hingga 5 petang.

Sesi yang diketuai oleh Gabriel Hii itu memberi penekanan kepada konsep kepimpinan berdisiplin, iaitu keupayaan membuat pertimbangan yang tepat, menetapkan hala tuju, mengimbangi keutamaan serta melindungi perkara asas yang tidak boleh dikompromi, selaras dengan prinsip Doughnut Economics dan pemikiran sistem.

Menurut Hii, cabaran utama kepimpinan hari ini bukan lagi bagaimana untuk berkembang tanpa had, sebaliknya bagaimana membuat keputusan yang bijak dalam kekangan sosial dan ekologi yang sebenar.

“Saya tidak mempelajari kepimpinan daripada buku teks. Saya mempelajarinya dengan melihat projek-projek gagal bukan kerana kurangnya keprihatinan, tetapi kerana kegagalan memahami sistem yang membentuk sesuatu hasil,” katanya.

Beliau berkata, banyak inisiatif gagal bukan kerana ketiadaan semangat atau usaha, tetapi kerana pemimpin tidak dilatih untuk mengenal pasti sempadan sistem, gelung maklum balas serta kesan tidak dijangka daripada sesuatu keputusan.

Sesi ini bukan berbentuk ceramah atau seminar motivasi, sebaliknya merupakan sesi kerja praktikal yang direka khusus untuk pemimpin yang beroperasi dalam persekitaran yang kompleks.

Para peserta akan didedahkan kepada rangka kerja praktikal bagi membantu mereka menganalisis sistem sebelum campur tangan, membuat pilihan strategik dalam batasan sedia ada.

Selain itu, mengamalkan kepimpinan yang mewujudkan kestabilan, keterangkuman dan daya tahan jangka panjang.

Peserta dijangka memperoleh kemahiran untuk merangka inisiatif yang bersifat regeneratif dan bertanggungjawab, sejajar dengan keperluan kepimpinan dalam masyarakat sivil, perusahaan sosial dan sektor kepentingan awam.

Yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM60 seorang, dan sijil elektronik akan diberikan kepada peserta.

Penyertaan adalah terhad dan ditawarkan berdasarkan prinsip siapa cepat dia dapat. Pendaftaran boleh dibuat dengan mengimbas kod QR yang disediakan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi 019-876 7928 atau e-mel [email protected].


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 01:22 PM | Show all posts
Percepat projek tebatan banjir Sungai Lutong Zon B, kata Ting
Januari 23, 2026, Jumaat - 2:01pm



Henry (tiga kiri) menyerahkan laporan projek kepada Ting pada pertemuan Isnin lepas.

MIRI: Projek tebatan banjir Sungai Lutong Zon B yang dianggarkan bernilai sehingga RM50 juta perlu dipercepatkan bagi menangani masalah banjir berulang di kawasan rendah sekitar Lutong dan kawasan berhampiran.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, projek tersebut kini berada pada peringkat perancangan dan permohonan pembiayaan, dengan agensi berkaitan sedang menyediakan dokumentasi teknikal untuk dikemukakan di bawah kerangka pembangunan Kerajaan Sarawak.

Menurutnya, projek itu wajar dilaksanakan seawal mungkin sebaik semua kelulusan dan pembiayaan dimuktamadkan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Jurutera Bahagian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Miri yang baharu dilantik Henry Tuah bagi membincangkan insiden banjir terkini serta kemajuan beberapa projek tebatan banjir dan infrastruktur berkaitan di Miri.

Menurut taklimat, projek Sungai Lutong Zon B merangkumi pembinaan kolam takungan dan naik taraf sistem saliran di kawasan tadahan Sungai Lutong B, melibatkan sub-tadahan SK Lutong, Kampung Sealine, Kampung Senadin Jaya, Terminal Minyak Mentah Miri (MCOT) dan Desa Senadin.

"Projek ini bertujuan meningkatkan kapasiti saliran serta mengurangkan masalah banjir yang berlarutan sejak sekian lama.

"JPS memaklumkan projek berkenaan dijangka dibuka untuk tender awam dalam tahun ini, tertakluk kepada kelulusan, dengan tempoh pelaksanaan dianggarkan selama 60 bulan selepas dimulakan," katanya.

Ting berkata, perubahan iklim menyebabkan kejadian hujan lebat melampau dan banjir kilat semakin kerap, khususnya di kawasan rendah sekitar Lutong dan Riam, sekali gus menjejaskan penduduk serta harta benda.

"Masalah ini tidak boleh dibiarkan berterusan dan memerlukan penyelesaian yang menyeluruh serta jangka panjang,” katanya sambil menambah, skop dan kos projek mungkin disesuaikan sekiranya kerja tebatan banjir digabungkan dengan pembangunan infrastruktur lain bagi meningkatkan kecekapan sistem secara keseluruhan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut dimaklumkan tentang beberapa projek perlindungan pantai di Miri yang dirancang di bawah peruntukan Persekutuan, melibatkan lima projek dengan anggaran kos keseluruhan RM50 juta.

Antara projek berkenaan ialah perlindungan pantai, Pantai Lutong yang melibatkan kerja penambakan pasir sepanjang 1.45 kilometer serta pembinaan benteng tanah sepanjang dua kilometer.

Turut dicadangkan projek benteng batu di Pantai Kampung Bungai, Pantai Peliau Bungai dan Kampung Kuala Sibuti, masing-masing kira-kira satu kilometer, selain Fasa Dua projek perlindungan pantai Pantai Bakam sepanjang 0.40 kilometer.

JPS memaklumkan iklan pra-kelayakan bagi projek perlindungan pantai tersebut telah ditutup pada 8 Januari, dan kini berada pada pelbagai peringkat penilaian teknikal serta pentadbiran.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 01:23 PM | Show all posts
Program Derma Darah Prihatin Komuniti 2026 pada 8 Februari
Januari 23, 2026, Jumaat - 2:22pm



Lee (kiri) dan Jong (duduk kanan) serta ahli jawatan kuasa penganjur mengalu-alukan penyertaan orang awam untuk tampil menyokong program derma darah ini.

MIRI: Persatuan Prihatin Masyarakat Miri (PPMM) bersama Miri Sayap Belia Persatuan Klan Lee Miri akan menganjurkan Program Derma Darah Prihatin Komuniti 2026 pada 8 Februari ini bagi membantu menambah bekalan darah Tabung Darah Hospital Miri yang kini berdepan kekurangan.

Program itu yang terbuka kepada orang ramai akan berlangsung jam 9 pagi hingga 1 tengah hari di ruang pameran Aras 3, Pusat Beli-Belah Boulevard, Jalan Pujut di sini.

Antara lain, objektif utama program itu dianjurkan adalah bertujuan menyokong keperluan bekalan darah hospital, khususnya menjelang musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, selain memupuk semangat keprihatinan serta perpaduan komuniti setempat.

Justeru, bagi memastikan kelancaran program, jawatankuasa penganjur telah dibentuk dengan Ketua Belia Persatuan Klan Lee Miri Lee Jun Tak dan Timbalan Presiden PPMM Andy Jong Wan Joon sebagai Pengerusi Bersama.

Menurut mereka, setiap sumbangan darah amat bernilai dalam menyelamatkan nyawa dan diharap masyarakat Miri tampil memberi sokongan.

"Sebagai galakan, 100 penderma terawal akan menerima beras wangi Butterfly 335 gram, roti, minyak masak Merris Lite Pure Vegetable Oil 500ml serta beg cenderamata, tertakluk kepada terma siapa cepat, dia dapat, selagi stok masih ada," ujar mereka dalam satu kenyataan.

Program ini dianjurkan dengan kerjasama Tabung Darah Hospital Miri dan Bulan Sabit Merah Malaysia Cabang Miri, dengan sokongan penaja termasuk The Twin Brothers Patisserie, Sarawak Oil Palm Berhad, Tong Seng Huat Rice Trading Sdn Bhd dan Liansin Trading Sdn Bhd, manakala Pusat Beli-Belah Boulevard menyediakan lokasi penganjuran.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 01:24 PM | Show all posts
Dua suspek curi bot dan enjin sangkut ditangkap
Januari 23, 2026, Jumaat - 2:25pm



Dua suspek kes curi bot gentian kaca dan enjin sangkut ditangkap polis pada Rabu.

BINTANGOR: Dua lelaki tempatan berusia 28 dan 32 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dengan kes curi sebuah bot gentian kaca dan enjin sangkut jenis Tohatsu 9.8HP.

Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong DSP Tansli Mering berkata, tangkapan tersebut susulan laporan polis yang dibuat oleh pemilik bot terbabit yang melaporkan kehilangan sebuah bot berserta enjin sangkut di Bintangor beberapa hari lalu.

“Pada Rabu, jam 5.30 petang, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Meradong telah berjaya menangkap kedua-dua suspek tersebut.

“Siasatan lanjut yang telah dijalankan ke atas kedua suspek telah membawa kepada penemuan bot gentian kaca dan enjin sangkut seperti yang telah dilaporkan hilang oleh pemiliknya.

“Berikutan itu, bot gentian kaca dan enjin sangkut tersebut telah dibawa balik ke IPD Meradong untuk tindakan selanjutnya dan dijadikan barang kes,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Pada masa sama kata Tansli, kedua-dua suspek turut menjalani saringan ujian air kencing.

“Hasil saringan urin ke atas kedua suspek telah mendapati mereka positif dadah Methamphetamine dan Amphetamine.

“Berikutan itu, kedua suspek kini direman dan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan kedua-dua suspek boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” kata Tansli lagi.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 01:25 PM | Show all posts
BSPTD IPD Saratok jayakan 115 operasi sepanjang 2025
Januari 23, 2026, Jumaat - 2:28pm



BSPTD IPD Saratok melakukan pemeriksaan lalu lintas di Saratok.

SARATOK: Sepanjang tahun 2025, Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok telah berjaya melaksanakan sebanyak 115 operasi.

Ketua Polis Daerah (KPD) Saratok DSP Mathew Manggie (gambar) berkata, operasi tersebut merangkumi empat jenis operasi.



“Operasi tersebut adalah Ops Motosikal, Ops Pelbagai, Ops Perdagangan dan Ops Bersepadu Luaran.

“Pada tahun lepas, BSPTD Saratok telah berjaya mengeluarkan sebanyak 2746 keping saman meningkat sebanyak 1526 keping berbanding tahun 2024.

“Dalam Ops Motosikal BSPTD IPD Saratok telah berjaya menyita 31 motosikal yang merangkumi pelbagai jenis kesalahan,” kata Mathew kepada media, semalam.

Menurut Mathew, Ops Motosikal yang dijalankan tersebut adalah bertujuan untuk membasmi kegiatan mat rempit di kawasan ini.

“Operasi penguatkuasaan kesalahan jalan raya ini akan diteruskan bagi memastikan pengguna jalan raya sentiasa berasa selamat semasa berada di atas jalan dan mematuhi peraturan.

“Selain itu kempen-kempen keselamatan jalan raya akan dipertingkatkan bagi memberikan kesedaran bagi masyarakat tentang pentingnya mematuhi undang undang jalan raya semasa memandu atau berada di atas jalan raya,” ujar Mathew lagi.



BSPTD IPD Saratok melakukan pemeriksaan lalu lintas di Saratok.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 01:26 PM | Show all posts
Penunggang dan pembonceng cedera dalam kemalangan motosikal, kereta
Januari 23, 2026, Jumaat - 2:32pm

SARIKEI: Seorang penunggang dan pembonceng motosikal cedera setelah terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah kereta di sini, semalam.

Pegawai Pertahanan Awam (APM) Daerah Sarikei Leftenan (PA) Shahrol Azizi Zaidi berkata, kemalangan tersebut dipercayai berlaku sekitar jam 5.40 petang.

“Kemalangan ini berlaku di Jalan Repok iaitu dalam jarak tujuh kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Sarikei.

“Ketika sampai di lokasi tersebut, anggota APM mendapati seorang penunggang lelaki yang berusia 28 tahun mengalami luka pada bahagian betis kiri, manakala pemboncengnya pula, seorang wanita berusia 25 tahun, mengalami luka pada bahagian lengan kiri.

“Berdasarkan situasi tersebut, anggota APM telah bertindak memberikan rawatan awal kepada kedua-dua mangsa dan seterusnya menyerahkan mangsa kepada pihak perubatan dari Hospital Sarikei untuk rawatan selanjutnya,” kata Shahrol kepada media semalam.

Sementara itu katanya, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Setelah memastikan keadaan dan situasi di lokasi kemalangan selamat dan tiada mangsa lagi yang terlibat, pasukan APM tersebut terus bertolak balik semula ke PKOD,” kata Shahrol lagi.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 01:27 PM | Show all posts
Empat kenderaan mewah antara ditahan dalam operasi JPJ Sarawak
Januari 23, 2026, Jumaat - 2:44pm

KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menahan 18 kenderaan termasuk empat kenderaan mewah dalam Ops Kenderaan Mewah dan Ops Motosikal di Jalan Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yakub, Kuching.

Menurut kenyataan Facebook JPJ Negeri Sarawak, operasi tersebut memeriksa 1,229 kenderaan dan mengeluarkan 322 notis ketidakakuran.

“Antara kesalahan yang dikesan termasuk lesen memandu tamat tempoh, tiada lesen sah, serta penggunaan lampu HID/LED tidak dibenarkan.

“Selain itu, terdapat empat kenderaan mewah yang disita adalah sebuah BMW, dua Mercedes-Benz, dan sebuah Nissan GTR kerana kesalahan cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPJ Sarawak Norizan Jili berkata, pihaknya akan meneruskan operasi seumpama itu pada masa akan datang.

“Penguatkuasaan seumpama ini akan terus dilaksanakan secara berterusan untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 01:28 PM | Show all posts
Teresang Dayak Sarawak santuni keluarga mendiang Mirati
Januari 23, 2026, Jumaat - 2:51pm



Robinson (empat kanan) menyerahkan sumbangan air mineral kepada Budum (lima kiri) di Sibu, pada Khamis.

SIBU: Persatuan Kebajikan Masyarakat Iban Sibu (Teresang Dayak Sarawak) menghulurkan sumbangan kepada keluarga mendiang Mirati Budum, 35, yang meninggal dunia akibat kanser, sebagai tanda keprihatinan terhadap kesusahan yang dialami keluarga berkenaan.

Penyerahan sumbangan tersebut disempurnakan Presidennya Robinson Corey, dengan diiringi empat ahli jawatankuasa persatuan dalam satu kunjungan kebajikan di Rumah Ligong, Sungai Lengan di sini, pada Khamis.

Sumbangan berkenaan diterima oleh bapa mendiang Budum Mangum dan disampaikan dalam bentuk bekalan air mineral memandangkan rumah panjang tersebut masih belum menikmati kemudahan bekalan air terawat.

Menurut Robinson, inisiatif itu bertujuan meringankan beban keluarga mendiang yang sedang berdepan dengan dugaan besar, selain mencerminkan semangat solidariti dalam kalangan ahli persatuan.

"Sumbangan ini adalah hasil kutipan daripada ahli-ahli persatuan sebagai usaha bersama untuk membantu keluarga yang memerlukan," katanya ketika ditemui semasa penyerahan bantuan tersebut.

Beliau turut menzahirkan harapan agar keluarga mendiang terus tabah dan cekal menghadapi ujian yang menimpa mereka.

Tambahnya, sumbangan itu selaras dengan visi dan objektif persatuan yang sentiasa komited dalam membantu masyarakat yang memerlukan di seluruh Sarawak tanpa mengira latar belakang.

"Persatuan kami akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan dari semasa ke semasa sebagai usaha menyemai nilai keprihatinan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat," tegasnya lagi.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 26-1-2026 01:29 PM | Show all posts
BAP bantu ringankan beban kewangan ibu bapa
Januari 23, 2026, Jumaat - 3:07pm



Steven (tiga kanan) menyampaikan replika cek BAP untuk SMK Bandar Bintulu yang akan disalurkan kepada pelajar pada majlis tersebut.

BINTULU: Bantuan Awal Persekolahan (BAP) akan membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dalam penyediaan keperluan persekolahan anak-anak, sekali gus pemangkin semangat anak-anak memulakan sesi persekolahan baharu dengan lebih yakin, selesa dan fokus terhadap pembelajaran.

Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing iaitu Steven Kong Kai Seng berkata, inisiatif penting kerajaan ini untuk membantu ibu bapa dan penjaga dalam penyediaan keperluan asas persekolahan seperti pakaian seragam, alat tulis dan kelengkapan pembelajaran lain.

"Pendidikan merupakan asas utama dalam pembinaan modal insan dan masa depan negara, maka segala bentuk sokongan yang disalurkan oleh kerajaan, termasuk BAP adalah pelaburan jangka panjang demi melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan berakhlak mulia," ujarnya.

Beliau berkata demikian mewakili Tiong dalam ucapan pada Majlis Penyerahan Cek BAP Kementerian Pendidikan Malaysia 2026 di Dewan Teratai Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bintulu hari ini.

"Saya berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat mewujud titik permulaan pembelajaran lebih adil, agar para pelajar tanpa mengira latar belakang keluarga dapat memulakan sesi persekolahan baharu dalam keadaan lebih seimbang," katanya.

Ujarnya, bantuan ini amat signifikan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Perpaduan dalam memastikan kebajikan serta keperluan pendidikan anak-anak sentiasa terpelihara khususnya menjelang sesi persekolahan baharu.

Beliau berharap bantuan diterima ini dimanfaatkan sebaiknya oleh ibu bapa demi kepentingan pendidikan anak-anak, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat dan keadilan sosial.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak serta Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu atas usaha berterusan dalam memastikan pelaksanaan bantuan tersebut berjalan lancar dan teratur.

Katanya, semua pelajar yang menerima BAP ini diharap terus berjaya dalam bidang akademik dan sahsiah, menjadi aset berharga kepada agama, bangsa dan negara.

Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu Samri Suhaili, Pengetua SMK Bandar Bintulu Dayang Faridah Awang Sam, ibu bapa, para guru dan pelajar.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 01:30 PM | Show all posts
Pelantikan ahli jawatankausa baharu PERKEP IDP Lawas
Januari 23, 2026, Jumaat - 3:11pm



Liong menandatangani buku kehadiran Mesyuarat Agung Tahunan PERKEP IPD Lawas sambil disaksikan Jurawati (dua kiri) serta yang lain.

LAWAS: Ahli Jawatankuasa Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas  yang baharu dilantik disaran untuk memberi sokongan dan komitmen dalam menjayakan aktiviti yang diadakan.

Pengerusi PERKEP IPD Lawas Jurawati Bunsu berkata, pemilihan jawatankuasa baharu dalam Mesyuarat Agung Tahunan 2026 berjalan lancar di Dewan Serbaguna IPD Lawas baru-baru ini.

“Mesyuarat Agung Tahunan PERKEP IPD Lawas bagi tahun 2026 berjalan lancar mengikut aturcara yang ditetapkan serta mencerminkan keprihatinan PERKEP terhadap kebajikan ahli di samping mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dalam kalangan warga IPD Lawas dan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Mesyuarat tersebut telah dirasmikan Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan serta dihadiri 63 pegawai kanan dan pegawai rendah polis, pegawai awam polis dan ahli-ahli PERKEP.

Majlis dimulakan dengan sesi menandatangani buku pelawat diikuti nyanyian Lagu Negaraku, Ibu Pertiwiku dan lagu PERKEP serta bacaan doa.

Antara pengisian majlis adalah penyampaian cenderahati, penyampaian sijil penghargaan kepada Ahli Jawatankuasa PERKEP sesi 2025/2025, penyampaian cenderahati kepada audit PERKEP dan ustaz, serta penyampaian sumbangan kebajikan kepada ahli PERKEP.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 01:32 PM | Show all posts
MHIT Asas langkah besar ke arah insurans perubatan lebih mampu milik, mampan: Chiew
Januari 23, 2026, Jumaat - 3:13pm



MIRI: Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man (gambar) menyifatkan pemuktamadan konsep Pelan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan Asas (MHIT Asas) sebagai satu pencapaian penting dalam usaha membendung isu kenaikan premium serta memperkukuh ekosistem penjagaan kesihatan negara.

"Saya melihat perkara ini sebagai pencetus kerana buat pertama kalinya, pendekatan yang diumumkan bukan sekadar menyentuh premium, tetapi cuba membaiki ekosistem, ketelusan harga, literasi pengguna, perlindungan asas yang lebih meluas, dan insentif untuk akses kepada golongan kurang bernasib baik,' jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian susulan pengumuman Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) kelmarin yang memperkenalkan empat inisiatif utama di bawah agenda RESET.

Antaranya adalah penerbitan kertas putih MHIT Asas sebagai pelan standard dan mampu milik, pembangunan alat bantu pengguna, penerbitan kos penanda aras bagi prosedur lazim, serta insentif cukai melalui dana kebajikan hospital swasta.

Menurut Chiew, pendekatan yang diumumkan kali ini tidak hanya tertumpu kepada isu premium semata-mata, sebaliknya menyentuh pembaikan menyeluruh ekosistem termasuk ketelusan harga, peningkatan literasi pengguna, peluasan perlindungan asas dan insentif akses kepada golongan kurang bernasib baik.

Timbalan Menteri Pelancongan, Budaya dan Seni itu merakamkan penghargaan kepada Kerajaan khususnya pimpinan Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan Bank Negara Malaysia atas keputusan memuktamadkan hala tuju itu  serta menerbitkan kertas putih MHIT Asas.

Penghargaan juga kepada rakan-rakan di KKM termasuk Ahli Parlimen Sibuti dan Timbalan Menteri Luar Negeri Dato Lukanisman Awang Sauni, yang pernah memegang tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Kesihatan dan bersama-sama memacu perbincangan ekosistem ini pada fasa awal.

Berdasarkan pengumuman rasmi, pelaksanaan MHIT Asas akan dibuat secara berfasa, dengan projek rintis disasarkan pada separuh kedua 2026, manakala pelaksanaan penuh dijangka pada awal 2027.

Chiew menjelaskan, MHIT Asas bertujuan menyediakan perlindungan yang bermakna pada premium mampu milik bagi menampung kos penjagaan kesihatan yang tinggi, di samping meluaskan pilihan perlindungan khususnya kepada rakyat yang belum diinsuranskan atau mereka yang ingin menukar pelan sedia ada berikutan pelarasan premium atau perubahan keadaan kewangan.

“Sistem penjagaan kesihatan awam akan terus menyediakan akses sejagat kepada semua rakyat Malaysia. MHIT Asas pula meningkatkan akses kepada pilihan penjagaan kesihatan tambahan bagi mereka yang mampu mendapatkan perlindungan penjagaan kesihatan swasta secara berterusan,” katanya.

Tambah beliau, premium MHIT Asas akan ditetapkan pihak berkuasa berasaskan prinsip aktuari yang mantap serta pendekatan pemeringkatan bagi memastikan kadar yang saksama dan mampu milik, khususnya untuk kumpulan rentan.

Pelan MHIT Asas turut direka sebagai pelan ringkas yang meliputi kebanyakan prosedur lazim. Individu yang memerlukan perlindungan lebih tinggi boleh memilih pelan tambahan yang ditawarkan oleh Institusi Takaful dan Insurans (ITO), dengan manfaat sekurang-kurangnya setara pelan asas serta faedah tambahan mengikut keperluan dan kemampuan masing-masing.

Dalam pada itu, pemegang polisi sedia ada dibenarkan beralih kepada MHIT Asas dengan ITO yang sama tanpa pengunderaitan semula dan tempoh menunggu, dengan maklumat lanjut akan dimaklumkan oleh ITO masing-masing menjelang pelancaran pelan ini pada 2027.

Mengulas kemungkinan pelbagai pandangan masyarakat terhadap MHIT Asas, Chiew menegaskan bahawa Malaysia kini berada pada peringkat konseptual dan penambahbaikan reka bentuk.

Namun yang paling penting katanya, kerajaan telah secara rasmi mengiktiraf isu kenaikan premium sebagai isu dasar dan bersetuju membangunkan pelan insurans atau takaful perubatan asas yang diselia, dipantau dan dikawal selia oleh pihak berkuasa.

“Daripada asas yang lebih tersusun dan terkawal inilah kita boleh meneruskan libat urus, mengumpul maklum balas dan melakukan penambahbaikan berterusan agar matlamat dasar ini benar-benar tercapai, premium lebih mampu milik, perlindungan lebih luas dan ekosistem penjagaan kesihatan yang mampan untuk rakyat,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 01:33 PM | Show all posts
ICQS Merapok Lawas laksanakan penyerahan kad ID
Januari 23, 2026, Jumaat - 3:20pm



Safariy (dua kiri) menyerahkan kad ID kepada anggota RELA, disaksikan pegawai dan anggota ICQS Merapok Lawas semalam.

LAWAS: Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Merapok Lawas terus memperkukuh pengurusan keselamatan, pengenalan diri serta kawalan akses di kawasan sempadan melalui penyerahan kad pengenalan perkhidmatan (ID) di sini, semalam.

ICQS Merapok Lawas dalam kenyataan berkata, penyerahan ID dilaksanakan kepada anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Malaysia dari Sabah dan Sarawak serta wakil agensi kontraktor perkhidmatan yang bertugas di ICQS Merapok.

Katanya, program ini merupakan inisiatif berterusan bagi memperkukuh pengurusan keselamatan, pengenalan diri serta kawalan akses di kawasan sempadan.

“Penyerahan ID ini bertujuan memastikan setiap anggota dan petugas kontraktor dapat dikenal pasti dengan jelas semasa menjalankan tugasan harian.

“Ia juga membantu melancarkan koordinasi antara agensi, khususnya dalam persekitaran operasi yang memerlukan tahap pematuhan keselamatan yang tinggi seperti di ICQS Merapok,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, majlis penyerahan berjalan dengan lancar dan teratur dan berharap ia dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap keselamatan, kecekapan operasi serta kerjasama antara semua pihak yang bertugas di ICQS Merapok sentiasa berada pada tahap terbaik.

Majlis penyerahan kad ID disempurnakan Ketua ICQS Merapok Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (TPPK) Safariy Suhaimi.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic
Guru tuisyen wanita maut jatuh tingkat 17 kondominium
ultra78Guru tuisyen wanita maut jatuh tingkat 1
Views : 19199 Replies : 2
JUST-IN: Epstein Files pt. 2
Tumpang-SibokJUST-IN: Epstein Files pt. 2
Views : 49823 Replies : 1
Welcome to The Holy Land...
Tumpang-SibokWelcome to The Holy Land...
Views : 23468 Replies : 7
berita malam seram:pocong parit buntar tumpas.jadi bahan jenaka Public Health Malaysia
YgBenarberita malam seram:pocong parit buntar t
Views : 10831 Replies : 2
madu2 gula Tok Matahari
aaanf14madu2 gula Tok Matahari
Views : 363932 Replies : 3551
DISCLOSURE DAY
SY_MumiDISCLOSURE DAY
Views : 371 Replies : 5
K-VARIETY SHOW
RahahK-VARIETY SHOW
Views : 278422 Replies : 1525
PROJECT HAIL MARY
SY_MumiPROJECT HAIL MARY
Views : 266 Replies : 2
Lelaki OKU hadapi 3 tuduhan amang seksual terhadap anak perempuan
ultra78Lelaki OKU hadapi 3 tuduhan amang seksua
Views : 31876 Replies : 22
Keluarga Altantuya pulangkan semula ganti rugi lebih RM4.8 juta termasuk faedah kepada kerajaan
ultra78Keluarga Altantuya pulangkan semula gant
Views : 19929 Replies : 7

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

10-2-2026 08:03 AM GMT+8 , Processed in 0.533005 second(s), 28 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list