CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: mirza5

Berita di pahang hari ni..

[Copy link]
Post time 23-5-2008 11:39 AM | Show all posts
Pakej insentif khas tarik pelabur ECER

KUANTAN 22 Mei - Kerajaan negeri akan memastikan kemudahan infrastruktur dan pakej khas insentif yang menjadi dua faktor utama kemasukan pelabur asing bagi projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) akan dilaksanakan segera bagi menarik pelabur asing ke negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, buat masa ini kerajaan negeri akan menumpukan kepada pembangunan dua faktor itu bagi memastikan infrastruktur ECER mencukupi sebelum menerima kemasukan para pelabur.

''Selain itu, kita juga telah menyediakan pakej-pakej insentif menarik yang direka khusus untuk ECER dalam usaha mengubah wilayah ini kepada sebuah hab perniagaan," katanya pada hari ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-12 bagi penggal pertama, di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan Pang Tsu Ming (BN-Semambu) berhubung kemajuan projek ECER dari segi bilangan projek, pertambahan aktiviti pelaburan, dan sektor yang menyaksikan pertumbuhan mendadak sehingga suku pertama 2008.

Adnan berkata, beberapa pelabur asing juga telah menunjukkan minat untuk melabur dalam beberapa projek ECER khususnya dalam bidang pembuatan, pertanian, pelancongan dan industri berasaskan petrokimia.

''Bagi tujuan itu, kita sedang jalankan kajian kemungkinan sebagai penyediaan pelan pelaksanaan secara terperinci sebelum promosi dan pasaran dilaksanakan," katanya.

Menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Tsu Ming mengenai persediaan kerajaan negeri untuk menyediakan pelan tindakan spesifik bagi projek-projek ECER, Adnan menjelaskan, semua tindakan itu akan dibuat selepas kemudahan infrastruktur berkaitan ECER siap dibina bagi memudahkan urusan.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 23-5-2008 11:39 AM | Show all posts
Aktif sukan untuk ke universiti

JERANTUT 22 Mei - Pelajar diingatkan terlibat secara aktif dalam kegiatan sukan sebagai 'pasport' untuk melanjutkan pengajian ke universiti selain cemerlang dalam akademik.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, tanpa pembabitan aktif dalam aktiviti itu, pelajar akan terus ketinggalan berbanding mereka yang mampu menguasai bidang kurikulum dan kokurikulum.

''Saya yakin ada bakat pelajar yang boleh digilap dan diketengahkan menerusi sukan dan kegiatan kokurikulum lain dengan bimbingan guru dan jurulatih yang berkemahiran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas mengakhiri lawatan kerja di lima buah sekolah rendah di Hulu Tembeling, dekat sini hari ini.

Sempena lawatan kerja dua hari itu, Alimuddin turut menyampaikan set peralatan dan pakaian sukan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pagi, SK Kuala Sat dan SK Hulu Tembeling yang masing-masing bernilai RM2,000.

Hadir sama Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pelajaran Pahang, Hamid Abu Bakar dan Pegawai Pelajaran Jerantut, Mohd. Nadzri Abu Bakar dan Guru Besar, SK Kampung Pagi, Ideris Zainol.

Menurut Alimuddin, Kementerian Pelajaran telah menghantar ramai guru yang mempunyai latar belakang akademik dan kokurikulum yang mampu menggilap pelajar dalam bidang sukan.

''Pelajar perlu mengubah sikap dan mendalami kemahiran sukan dan melibatkan diri dalam pertandingan di peringkat daerah dan negeri serta berusaha melakarkan kejayaan di peringkat kebangsaan," katanya.

Pada masa sama, beliau berharap ada murid di Hulu Tembeling memperoleh keputusan 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun depan.

Dalam pada itu, katanya, Kementerian Pelajaran telah menempatkan beberapa guru berijazah di beberapa sekolah di Hulu Tembeling sejak tahun lalu.

''Langkah itu bagi memastikan lebih ramai pelajar Hulu Tembeling mengisi tempat di sekolah berasrama penuh atau sekolah sukan seterusnya ke institusi pengajian tinggi," katanya.

Beliau menambah, pihak sekolah tidak seharusnya berpuas hati dengan pencapaian sedia ada sebaliknya perlu melakukan penambahbaikan untuk meningkatkan lagi kecemerlangan.
Reply

Use magic Report

Post time 23-5-2008 11:40 AM | Show all posts
Yayasan Pahang salur bantuan RM439 juta

KUANTAN 22 Mei - Yayasan Pahang (YP) membelanjakan sebanyak RM439 juta kepada 362,477 penerima bantuan termasuk pemberian biasiswa dan pinjaman sejak tahun 1982.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak berkata berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM130.4 juta diperuntukkan untuk bantuan biasiswa kepada 129,126 penerima, RM219.6 juta untuk pinjaman kepada 24,951 orang dan RM88.9 juta untuk program pendidikan, sukan, kebudayaan dan kemasyarakatan yang melibatkan 208,400 penerima.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu sahaja, sebanyak RM52.6 juta diperuntukkan YP kepada 28,430 orang bagi tiga tujuan yang sama.

''Bagi bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 9,508 orang menerima pelbagai bantuan bernilai RM1.46 juta tahun lalu," katanya pada hari ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-12 bagi penggal pertama, di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Chang Hong Seong (BN-Teruntum) berhubung jumlah bayaran dan penerima bantuan YP dan JKM di negeri ini.

Tan Mohd. Aminuddin berkata, bagi penerima bantuan JKM, seramai 1,463 daripada penerima bantuan terdiri daripada golongan kanak-kanak, diikuti orang tua (2,624), pekerja cacat (1,077) dan bantuan am (4,344).

''Dari segi peruntukan, sebanyak RM460,000 diberikan kepada kanak-kanak, orang tua (RM509,000), elaun pekerja cacat (RM194,000) dan bantuan am (RM302,000)," katanya
Reply

Use magic Report

Post time 24-5-2008 11:32 AM | Show all posts
Apa sudah jadi?

Oleh ALI MAHMOOD

http://www.utusan.com.my/pix/2008/0524/Utusan_Malaysia/Timur/wt_01.1.jpg
Bangunan letak kereta empat tingkat di Bentong yang tidak dapat digunakan kerana pembinaannya dipercayai tidak memenuhi spesifikasi dan tidak selamat.

BENTONG 23 Mei - Pertambahan jumlah penduduk dan bilangan kenderaan menyebabkan berlaku kesesakan teruk di bandar Bentong terutama ketika waktu puncak.

Berikutan itu, Majlis Perbandaran Bentong (MPB) mengambil langkah membina sebuah bangunan meletak kereta bertingkat bagi menyelesaikan masalah kesesakan di bandar ini, empat tahun lalu.

Namun, setelah empat tahun bangunan bernilai RM3.5 juta itu disiapkan, ia masih gagal digunakan penduduk tempatan sebagai tempat meletak kereta.

Justeru, sehingga kini masalah kesesakan terus membelenggu penduduk di bandar tersebut.

Kesal dengan usaha yang dijalankan pihak berkuasa tempatan itu, penduduk meminta Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat kemungkinan berlaku penyelewengan sehingga menyebabkan bangunan tersebut tidak dapat digunakan.

Beberapa penduduk yang ditemui memberitahu, bangunan empat tingkat itu yang terletak berhampiran perhentian bas Bentong mula dibina sejak 2004 adalah projek 'gajah putih' yang langsung tidak memberikan manfaat kepada penduduk.

Menurut mereka, bangunan itu dipercayai tidak mendapat kelulusan Sijil Menduduki (CF) kerana pembinaannya dikatakan tidak memenuhi spesifikasi dan tidak selamat.

Difahamkan, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk merobohkan bangunan tersebut tetapi masih belum menentukan tarikh kerja-kerja merobohkan akan dijalankan.

Seorang penduduk, Aw Seng Choy, 40, berkata, bangunan itu pada asalnya dibina sebagai tempat untuk meletak kenderaan bagi memudahkan penduduk Bentong yang hendak ke Kuala Lumpur menggunakan bas.

Malangnya, menurut Seng Choy, pembinaan bangunan tersebut menjadi satu pembaziran kerana hanya beberapa penduduk yang berulang alik menaiki bas ke Kuala Lumpur.

Dia kesal kerana sebelum bangunan itu dibina ia adalah taman permainan kanak-kanak dan tapak gerai makanan yang menjadi tumpuan penduduk untuk aktiviti riadah.

Seorang lagi penduduk, Mohamed Hamid, 56, berkata, pembinaan bangunan empat tingkat itu membazir dan menyakitkan mata memandang kerana kewujudannya tidak memberikan faedah sama sekali kepada penduduk.

''Saya difahamkan bangunan ini tidak lulus kerana lori kecil hendak masuk pun tak lepas sebab tersangkut pada bahagian bumbung,'' katanya.

Menurutnya, bangunan ini kini menjadi sarang penagih dadah melepaskan gian pada waktu malam dan menjadi tempat orang ramai membuang najis mereka.

''Sepatutnya BPR sudah lama siasat pihak yang membina bangunan ini tetapi saya tidak tahu kenapa sehingga hari ini bangunan itu terus terbiar begitu sahaja tanpa sebarang tindakan yang sewajarnya.

''Kita bimbang jika kerajaan dan BPR tidak mengheret pihak berkenaan di muka pengadilan, rakyat akan menuding jari kepada kerajaan kerana dikatakan cuba melindungi mereka yang terbabit," katanya.

Sementara itu, bekas Ahli Majlis MPB yang enggan gambar dan namanya disiarkan memberitahu, bangunan yang bernilai RM3.5 juta ini dibina dengan peruntukan yang disalurkan terus daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Pada tahun lalu, jelasnya, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Datuk Hoh Khai Mun memaklumkan bahawa kerajaan negeri mengambil keputusan untuk merobohkan bangunan tersebut.

Namun, katanya, kerajaan negeri membuat keputusan menangguhkannya kerana mahu bangunan itu diubah sesuai semula untuk dijadikan pusat perniagaan tetapi sehingga hari ini tidak ada sebarang tindakan yang diambil.

''Pada pandangan saya bangunan ini yang dibina pada tahun 2004 dan siap pada tahun 2006 itu dirobohkan sahaja kerana ia tidak selamat untuk digunakan sebagai tempat letak kereta.

''Sepatutnya pihak terbabit perlu membuat kajian yang teliti dan mendapat pandangan penduduk terlebih dahulu kerana pembinaannya tidak memenuhi matlamat dan tidak memberikan faedah kepada masyarakat," katanya.

Lebih dikesalkan lagi, tambahnya, lapan peniaga gerai makanan yang telah dipindahkan ke tempat lain kini terpaksa gulung tikar kerana perniagaan di tempat baru di Dataran Bentong tidak mendapat sambutan.

Katanya, tindakan MPB memindahkan mereka ke tempat lain yang tidak strategik dan jauh daripada tumpuan orang ramai adalah tidak wajar kerana bertentangan dengan dasar kerajaan untuk membantu rakyat berniaga.

Sehubungan itu, beliau turut menyokong supaya BPR mengambil tindakan mengheret pihak terbabit ke mahkamah jika terbukti ada unsur-unsur penyelewengan dalam projek berkenaan.
Reply

Use magic Report

Post time 24-5-2008 11:34 AM | Show all posts
Bangunan 'gajah putih' akan dirobohkan - MB

BENTONG 23 Mei - Kerajaan Pahang mengambil keputusan untuk merobohkan bangunan letak kereta bertingkat di sini yang didapati tidak selamat digunakan.

Keputusan itu dibuat selepas mendapati bangunan bernilai RM3.5 juta itu tidak boleh diubah suai untuk dijadikan pusat perniagaan dan penjaja kecil.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, pembinaan bangunan itu yang tidak mengikuti spesifikasi perlu dirobohkan daripada dibiarkan menjadi 'gajah putih'.

Katanya, Majlis Perbandaran Bentong (MPB) akan membaik pulih semula tapak tersebut sebagai kawasan rekreasi Taman Abu Bakar bagi memudahkan penduduk Bentong menjalankan aktiviti riadah setiap hari.

''Saya difahamkan pembinaan bangunan letak kereta bertingkat itu dilakukan oleh arkitek yang tidak mempunyai kelayakan.

''Saya telah meminta bangunan itu dirobohkan sejak dua tahun lalu kerana ia hanya sesuai dijadikan tempat sarang burung sahaja," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.

TerbiarBeliau mengulas bangunan letak kereta bertingkat yang kini terbiar walaupun ia telah siap sepenuhnya sejak empat tahun lalu.

Bangunan itu dibina bertujuan mengatasi masalah kesesakan di bandar ini dan kemudahan penduduk yang berulang alik ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas.

Adnan memberitahu, jika bangunan itu dijadikan pusat penjaja dan peniaga kecil, ia boleh menambahkan lagi kesesakan di bandar ini.

Sebelum pembinaan bangunan itu dimulakan, kata beliau, kawasan tersebut adalah taman rekreasi yang begitu popular kepada penduduk Bentong menjalankan aktiviti riadah waktu pagi, menjamu selera dan beristirahat di waktu petang dan malam.

''Saya sendiri sewaktu muda selalu melepak bersama kawan-kawan di tapak bangunan berkenaan," katanya.

Beliau menyifatkan pembinaan bangunan itu yang menyakitkan mata itu sebagai 'nasi sudah menjadi bubur'.

Beliau menjelaskan, bangunan itu dibina bukan di bawah pentadbiran Yang Dipertua MPB ketika ini, Syed Mohd. Nor Syed Jaafar.
Reply

Use magic Report

Post time 24-5-2008 11:35 AM | Show all posts
Beri perhatian serius kenaikan harga barang

KUANTAN 23 Mei - Pahang mahu Kerajaan Pusat tidak terlalu memberi perhatian kepada isu-isu berprofil tinggi sebaliknya memberi tumpuan yang lebih serius kepada usaha mengurangkan kesan kenaikan harga barang kepada rakyat.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob menegaskan, walaupun isu-isu seperti klip video V. K. Lingam dianggap berprofil tinggi tetapi ia tidak banyak memberi impak kepada rakyat berbanding kenaikan harga barang.

''Isu kenaikan harga barang adalah serius dan ini sepatutnya menjadi fokus utama kerajaan pada masa ini.

''Kita dapati harga beras, tepung, telur dan gula naik. Perkara ini perlu diatasi daripada kita menyelesaikan perkara lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Chang Hong Seong (BN-Teruntum) pada hari keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-12 bagi penggal pertama di Wisma Seri Pahang di sini hari ini.

Adnan menegaskan, isu-isu seperti klip video V. K. Lingam, reformasi dalam badan kehakiman dan kajian semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebenarnya bukan masalah yang terlalu serius kepada rakyat.

''Perkara yang mendesak sekarang ialah soal kehidupan rakyat apabila harga barang naik melambung," tegasnya.

Sementara itu, dalam sidang akhbarnya selepas persidangan tersebut, Adnan berkata, pihaknya menghadapi kesukaran untuk memberi penjelasan kepada rakyat berhubung usaha kerajaan menangani kenaikan harga barang.

''Memang benar kerajaan telah menyalurkan subsidi minyak dan pertanian tetapi bagaimana dengan soal kenaikan harga barang ini," katanya.

Beliau juga difahamkan bekalan keperluan harian adalah mencukupi tetapi kewujudan kegiatan menyorok barangan oleh pihak tertentu yang menyebabkan berlaku kenaikan harga di pasaran.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa memberi perhatian serius terhadap gejala tersebut kerana dipercayai ada pihak tidak bertanggungjawab yang mengawal bekalan barangan di pasaran.

''Dikatakan ada rangkaian atau rantaian di kalangan pihak tertentu dalam mengawal bekalan barangan," jelasnya.

Adnan menambah, beliau telah mengemukakan pandangan tersebut pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO supaya kerajaan memberi perhatian serius kepada isu harga barang tersebut.
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 24-5-2008 11:35 AM | Show all posts
Terima RM13.5b pelaburan

KUANTAN 23 Mei - Pahang menerima sebanyak RM13.5 bilion pelaburan asing sejak 1987 hingga Februari lalu, kata Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Dalam tempoh tersebut, menurut beliau, Jerman merupakan pelabur terbesar di Pahang dengan nilai pelaburan sebanyak RM3.3 bilion diikuti Amerika Syarikat berjumlah RM2.4 bilion.

Katanya, United Kingdom dan Jepun menduduki tempat ketiga dan keempat dengan nilai pelaburan masing-masing sebanyak RM2.3 bilion dan RM2 bilion, manakala RM3.3 bilion adalah dari negara-negara lain.

''Menerusi pelaburan asing itu, sebanyak 403 projek perkilangan diluluskan di Pahang yang menawarkan 63,002 peluang pekerjaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Chuah Boon Seong (BN-Mentakab) pada hari keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-12 bagi penggal pertama di Wisma Seri Pahang di sini hari ini.

Adnan memberitahu, dalam tempoh yang sama juga, Pahang menerima pelaburan tempatan sebanyak RM10.78 bilion.

Menjawab soalan tambahan Mohd. Fadil Osman (BN-Kemayan), beliau menjelaskan, setakat ini, Pahang tidak menerima sebarang pelaburan daripada negara-negara Asia Barat.

Bagaimanapun, jelas beliau, hasil misi pelaburan yang dilakukan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini mendapati potensi yang mengeksport makanan halal ke negara berkenaan adalah cukup besar.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan memajukan lagi pengeluaran makanan halal termasuk kicap untuk dieksport ke negara berkenaan.

Menjawab satu lagi soalan Choong Siew Onn (DAP-Tras), Adnan menjelaskan, penggunaan sejenis bahan kimia sianida dalam perlombongan emas oleh syarikat asing di Bukit Koman, Raub tidak menjejaskan alam sekitar dan kesihatan penduduk.

Tegasnya, kajian mengenai penggunaan bahan kimia tersebut telah dijalankan Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Geosains.

''Beberapa negara termasuk Australia dan Jerman turut menggunakan bahan kimia sama dalam kegiatan perlombongan emas mereka," jelasnya.
Reply

Use magic Report

Post time 24-5-2008 11:36 AM | Show all posts
8,418 belia Pahang menganggur

KUANTAN 23 Mei - Kerajaan negeri mengenal pasti tiga faktor utama yang menyebabkan seramai 8,418 belia di Pahang masih menganggur.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Wan Adnan Wan Mamat menjelaskan, tiga faktor tersebut ialah sikap memilih pekerjaan, tidak bersedia bekerja di luar daerah masing-masing dan pasaran buruh yang semakin kompetitif.

Menurut beliau, daripada jumlah pengangguran tersebut, daerah Kuantan dan Maran mencatatkan bilangan paling tinggi iaitu seramai 4,368 orang.

''Ia diikuti daerah Temerloh, Bera dan Jerantut yang seramai 1,603 orang serta Raub dan Lipis seramai 1,099 orang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abdul Rahman Mohamad (BN-Padang Tengku) pada hari keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-12 bagi penggal pertama di Wisma Seri Pahang di sini hari ini.

Wan Adnan memberitahu, seramai 500 penganggur dikesan di daerah Bentong manakala Pekan, Muadzam dan Rompin mempunyai seramai 848 penganggur.

Menyedari masalah itu, beliau berkata, kerajaan negeri sedang melaksanakan pelbagai usaha untuk menangani gejala tersebut.

Antaranya, jelas beliau, mengadakan karnival pekerjaan di peringkat negeri dan mini karnival pekerjaan di setiap daerah selain mewujudkan Sistem Penjodohan Pekerjaan (JCS) secara dalam talian.

''Kerajaan negeri juga mengadakan seminar dan bimbingan kaunseling kerjaya serta memberi pendedahan kepada belia mengenai bidang-bidang keusahawanan," jelasnya.

Bagaimanapun, tambah beliau, kadar pengangguran di Pahang dianggap masih rendah.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 24-5-2008 11:37 AM | Show all posts
Felda bina 1,897 rumah peneroka menjelang 2010

KUANTAN 23 Mei - Felda dijangka dapat menyiapkan sebanyak 1,897 unit rumah peneroka menerusi Projek Perumahan Warga Felda (PWF) menjelang 2010.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 935 unit telah siap dibina iaitu di Felda Bukit Goh dan Felda Lepar di sini serta Felda Mempaga, Bentong.

Menurut beliau, sebanyak 422 unit rumah di Felda Keratong, Rompin hampir siap dan dijangka dapat diduduki pada tahun ini.

''Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah mengumumkan tiga lagi projek perumahan yang akan dilaksanakan di Felda Jengka 11, Felda Jengka 19 di Maran serta Felda Triang 3 di Bera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wan Salman Wan Ismail (BN-Jengka) pada hari keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-12 bagi penggal pertama di Wisma Seri Pahang di sini hari ini.

Tan Mohd. Aminuddin berkata, bagi PWF di Felda Jengka 11, sebanyak 240 unit rumah akan dibina manakala di Felda Jengka 19 dan Felda Triang masing-masing berjumlah 300 unit.

''Walaupun ketiga-tiga projek ini dijangka dapat disiapkan sepenuhnya pada 2010 tetapi Felda bercadang untuk menyiapkannya lebih awal daripada jadual yang ditetapkan," katanya.

Sehubungan itu, tegas beliau, Felda meminta kerajaan negeri menyegerakan kelulusan projek terbabit supaya tempoh penyiapan rumah dapat dipendekkan.

''Felda sedia memberi taklimat kepada kerajaan negeri supaya projek tersebut dapat dilaksanakan seberapa segera," katanya.

Menjawab soalan tambahan Shahaniza Shamsuddin (BN-Kuala Sentul), Tan Mohd. Aminuddin berkata, Felda tidak bercadang untuk menyerahkan semua projek perumahan peneroka kepada pemaju lain kerana agensi tersebut mempunyai sumber kewangan kukuh untuk melaksanakannya.

Felda juga, jelasnya, belum bercadang untuk melaksanakan projek perumahan kepada bukan peneroka di luar tanah rancangan agensi tersebut.
Reply

Use magic Report

Post time 24-5-2008 11:38 AM | Show all posts
Sultan Pahang rasmi IPD Raub hari ini

RAUB 23 Mei - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub yang akan dirasmikan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, pagi esok membuka satu lagi lembaran baru sejarah kepolisan di daerah tersebut.

Ini kerana Balai Polis Daerah Raub sudah mula didirikan sejak 1900 semasa pemerintahan British dan terus berkembangan mengikut peredaran masa.

Menurut Ketua Polis Daerah Raub, Supritendan Wan Mohd. Samsudin Wan Osman, kini daerah Raub mendapat sebuah IPD baru yang berharga RM37 juta.

Katanya, walaupun pembinaannya lewat dua tahun dan hanya mula diduduki pada 15 Mei 2006 tetapi kemudahan itu ternyata memberi keselesaan kepada kakitangan polis dan orang ramai yang berurusan di bangunan tersebut pada setiap hari.

''Bangunan empat tingkat di IPD ini merangkumi Balai Polis Raub, cawangan trafik, persenjataan, stor, mes pegawai dan kafeteria.

''Lokap yang disediakan juga mampu menampung 80 orang pada sesuatu masa,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau menambah, bagi memastikan keselesaan kakitangan beberapa unit banglo dan apartmen turut didirikan mengikut kesesuaian pangkat dan jawatan dalam polis.

Kemudahan tersebut jelasnya, jauh lebih baik daripada dahulu kerana anggota biasa akan diberi apartmen yang mengandungi tiga bilik tidur dan dua bilik air.

''Kemudahan lain ialah surau, dewan serba guna, padang bola jaring, gelanggang bola tampar dan takraw, serta kawasan permainan kanak-kanak," katanya.

''Saya yakin segala kemudahan dan keselesaan ini dapat menaikan lagi semangat anggota polis untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat pada sepanjang masa,'' ujarnya.

Wan Mohd. Samsudin berkata bangunan Balai Polis Raub yang lama akan dibangunkan sebagai Galeri dan Muzium Polis dengan kos pengubahsuaian kira-kira RM1.84 juta.

Menurutnya, muzium itu nanti akan dipamerkan barang-barang sejarah berkaitan perkhidmatan polis di Raub sejak zaman penjajahan British hingga gerakan menentang komunis.

Katanya, turut akan dipamerkan ialah barang-barang kes pembunuhan Adun Dewan Undangan Negara (ADUN) Bata Talam, Datuk Mazlan Idris, pada 1993 kerana kesnya memang menggemparkan seluruh negara.

Beliau berkata, mengikut cacatan sejarah balai polis Raub yang pertama dibina pada 1900.

Ketika itu ujarnya, Ketua Polis Daerahnya (KPD) pegawai berbangsa Inggeris dibantu seorang Sarjan, seorang Koperal, seorang Lans Koperal dan 10 mata-mata berbangsa Punjabi.
Reply

Use magic Report

Post time 25-5-2008 09:52 AM | Show all posts
Program j-Qaf berjaya

PEKAN 24 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan program kelas jawi, al-Quran dan fardu ain (j-Qaf) berjaya mencapai matlamatnya apabila semakin ramai generasi muda yang celik al-Quran.

Timbalan Perdana Menteri berkata, hasil kajian mendapati ramai kanak-kanak berjaya khatam al-Quran pada usia sembilan tahun iaitu lebih awal berbanding sasaran j-Qaf pada umur 12 tahun.

"Menerusi j-Qaf, murid disasarkan menghabiskan sebanyak 30 juzuk al-Quran dalam tempoh enam tahun bermula pada usia tujuh tahun.

"Namun apa yang membanggakan kita, ramai murid yang berjaya menghabiskan 30 juzuk al-Quran ketika berada pada tahun tiga persekolahan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis khatam al-Quran, berkhatan dan bertindik Sekolah Kebangsaan Sri Maulana di sini hari ini.

Menurut Najib, kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada generasi muda supaya terus mempelajari ilmu al-Quran menerusi j-Qaf.

Jelas beliau, program itu menggariskan tiga langkah untuk melahirkan generasi celik al-Quran di negara ini.

Katanya, langkah utama yang perlu dilaksanakan ialah dengan menggalakkan generasi muda mengenali dan membaca kitab suci itu.

Beliau menambah, usaha menggalakkan generasi mengenali dan membaca al-Quran dianggap tidak mencukupi jika tidak disusuli dengan memberi pemahaman serta mentafsir isi kandungan al-Quran.

"Selepas memberi pemahaman dan mentafsir, isi kandungan al-Quran itu perlu diamalkan dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian," katanya.

Dalam pada itu, Najib menyeru umat Islam supaya terus menjadikan al-Quran sebagai panduan untuk mencapai kesejahteraan dalam kehidupan.

Menurut beliau, al-Quran terkandung pelbagai ilmu pengetahuan meliputi peraturan berkeluarga dan bermasyarakat, pendidikan, pertahanan dan ekonomi.
Reply

Use magic Report

Post time 25-5-2008 09:52 AM | Show all posts
213 bekas tentera jadi jurulatih polis

RAUB 24 Mei - Sejumlah 213 bekas tentera telah diambil sebagai jurulatih polis setakat ini, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Menurut beliau, pengambilan mereka yang berusia 40 hingga 50 tahun itu sebagai usaha untuk mengisi kekosongan jawatan dalam organisasi itu secara kontrak.

Beliau berkata, jumlah pengambilan itu akan ditambah mengikut keperluan semasa.

"Pengambilan lebih ramai bekas tentera diharap dapat membantu pasukan untuk melatih lebih ramai anggota baru termasuk 60,000 kekosongan jawatan dalam polis," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah merasmikan bangunan baru Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub di sini hari ini.

Turut hadir ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdulah Sultan Ahmad; Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Ketua Polis Pahang, Datuk Ayub Mohamad.

Dalam perkembangan lain, Musa berharap perasmian IPD Raub bernilai RM37 juta itu dapat meningkatkan imej polis di samping memberikan kehidupan yang lebih selesa kepada para anggotanya.

Menurut beliau, kompleks serba moden di kawasan 13 hektar itu siap dibina setahun lalu dapat meningkatkan motivasi para anggota IPD Raub.

Kata beliau, masih terdapat banyak lagi anggota polis di seluruh negara bertugas dalam serba kekurangan.

"Saya berharap motivasi anggota polis Raub dapat ditingkatkan bagi mengekalkan keamanan dan ketenteraman awam," katanya.

Musa berkata, komitmen bekerja itu digambarkan menerusi indeks jenayah di daerah ini yang mencatatkan penurunan kepada 211 kes pada 2007 berbanding 228 kes pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata, IPD Raub juga berjaya mengurangkan indeks jenayah 7.45 peratus dan sehingga 31 Mac lalu hanya 48 kes telah dilaporkan berbanding 75 kes dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.
Reply

Use magic Report

Post time 25-5-2008 09:53 AM | Show all posts
Cadangan kerajaan negeri disambut baik

BANDAR JENGKA 24 Mei - Penduduk di sini menyambut baik usaha kerajaan negeri yang menggesa Kerajaan Pusat mewujudkan semula Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) dan Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (Dara) yang dibubarkan sekitar 1990-an.

Mereka menyifatkan pembubaran LKWJ dan DARA merupakan satu kesilapan apabila kerajaan negeri kerugian jutaan ringgit setahun melalui peruntukan pembangunan terhadap kedua-dua agensi berkenaan.

Berikutan pembubaran itu, pembangunan di sini terutama Bandar Muadzam Shah dan Bandar Tun Abdul Razak Jengka yang sebelum ini dalam pentadbiran Dara menjadi lembap malah gagal mencapai matlamat untuk membangunkan golongan usahawan bumiputera.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati kawasan pertumbuhan bandar baru seperti Pekan Tajau, Pekan Awah dan Ibol Tunggal yang sebelum ini di bawah pengurusan LKWJ, tidak menjadi kenyataan .

Malah, kawasan perindustrian di Jengka yang juga di bawah pentadbiran LKWJ terbiar dan kini menjadi belukar.

Seorang penduduk, Mohd. Bahkary Yaakob, 48, berkata, dia yakin dengan kesungguhan kerajaan negeri yang mahukan Kerajaan Pusat mewujudkan semula LKWJ dan Dara.

Menurutnya, Kerajaan Pusat perlu sedar bahawa rakyat Pahang masih memerlukan LKWJ dan Dara untuk menjana pembangunan di kawasan ini.

''Walaupun desakan serupa pernah disuarakan pada tahun lalu tetapi kali ini diharapkan ia mendapat perhatian sewajarnya daripada Kerajaan Pusat,'' katanya.

Mohd. Bahkary mengulas gesaan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob supaya Kerajaan Pusat mewujudkan semula LKWJ dan Dara untuk membangunkan semula kawasan Pahang Barat pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Bagi seorang lagi penduduk, Zainal Abidin Alias, 53, pembubaran LKWJ menyebabkan kawasan industri seluas 300 hektar di Bandar Jengka terbiar sehingga pelabur bimbang untuk menanam modal di kawasan itu.

Keadaan itu, jelasnya, menyebabkan sektor perindustrian di sini terbantut sehingga menyebabkan anak-anak peneroka yang terpaksa berhijrah ke bandar lain.

''Kerajaan negeri perlu membuat kajian lanjut terhadap kesan pembubaran LKWJ dan DARA sekali gus mendesak kedua-dua agensi itu diwujudkan kembali,'' katanya.
Reply

Use magic Report

Post time 26-5-2008 10:36 AM | Show all posts
26 rumah penduduk miskin RM1.3j dibina di Hulu Jelai

Oleh HARIS FADILAH AHMAD

KUALA LIPIS 25 Mei - Sebanyak 26 rumah di bawah Projek Perumahan Mesra Rakyat (PPMR) yang melibatkan kos bernilai RM1.3 juta akan dibina untuk golongan berpendapatan rendah di kawasan Hulu Jelai pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek perumahan itu bakal dilaksanakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menerusi kontraktor yang akan dilantik tidak lama lagi.

Beliau berkata, projek itu disasarkan kepada penduduk luar bandar yang berpendapatan rendah selepas satu pertemuan diadakan dengan SPNB di Sungai Koyan.

''Kerajaan akan mempercepatkan perubahan hidup penduduk berpendapatan rendah menerusi pembinaan rumah mesra rakyat yang tidak membebankan mereka membayar balik hutang.

''Projek itu dapat menjamin keselesaan hidup ke arah pembentukan keluarga bahagia dan sahsiah anak-anak sekali gus pencapaian akademik yang cemerlang," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menutup program motivasi ibu bapa dan penjaga pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kawasan Felda di Sungai Koyan dekat sini baru-baru ini.

Ceramah program motivasi itu disampaikan oleh Pegawai Khas Menteri Besar Pahang, Mustapha Long dan Ketua Unit Pendidikan Felda Wilayah Mempaga, Shamsiah Majid.

Hadir sama Pengurus Felda Sungai Koyan Satu, Mohd. Arshad Daud, Pengurus Felda Sungai Koyan Dua, Fadhil Bien dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Koyan Satu, Kholid Hussain.

Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Jelai berkata, peserta yang memperoleh rumah tersebut hanya perlu membayar balik pinjaman sebanyak RM100 sebulan dan kadar itu dianggap tidak membebankan.

''Inilah mekanisme kerajaan menerusi PPMR untuk membantu penduduk yang mempunyai tanah tetapi tidak mampu membiayai pembinaan rumah kerana pendapatan yang rendah dan tanggungan ramai," katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, projek itu memberi keutamaan kepada mereka yang mempunyai tanah bagi mempercepatkan pembinaan rumah.

Menurutnya, pembinaan PPMR itu dijangka dapat mengubah kehidupan keluarga berkenaan sekali gus mewujudkan perkampungan baru di Hulu Jelai yang lebih moden.

Dalam pada itu, tambahnya, kerajaan merancang untuk mendirikan 10 unit rumah mesra rakyat di kawasan Felda Sungai Koyan tidak lama lagi.

''Tapaknya sudah ada dan kita masih berunding dengan JKKK dan Felda untuk perancangan dan sebelum permohonan dikemukakan kepada SPNB bagi membolehkan anak-anak peneroka berpendapatan rendah menikmati rumah ini," katanya.

Dalam pada itu, Wan Rosdy meminta ibu bapa meluangkan masa memantau kegiatan harian anak-anak mereka sama ada di dalam atau di luar rumah.

Tambahnya, kerajaan sentiasa memberi peluang kepada anak-anak peneroka untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat tertinggi dan telah terbukti ramai yang berjaya dan memegang jawatan penting sama ada dalam sektor awam atau swasta.
Reply

Use magic Report

Post time 26-5-2008 10:37 AM | Show all posts
Sultan Pahang gesa penganggur sertai PDRM

RAUB 25 Mei - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menyeru golongan muda yang masih menganggur supaya menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu kerajaan mengawal keselamatan negara.

Titah baginda, PDRM memerlukan lebih ramai anggota bagi mengisi kekosongan jawatan dalam pasukan itu di seluruh negara.

''Daripada melepak dan membuang masa tidak tentu hala lebih baik mereka menyertai PDRM kerana gaji yang ditawarkan lebih baik di samping dapat membantu memelihara keamanan dan ketenteraman awam," titah baginda.

Baginda bertitah demikian kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru Ibu Pejabat Polis Daerah Raub di sini semalam.

Turut hadir ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Ketua Polis Pahang, Datuk Ayub Mohamad.

Baginda turut menasihati rakyat supaya membantu polis menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

Menurut Sultan Ahmad Shah, rakyat tidak boleh menyerahkan tanggungjawab menjaga keselamatan negara kepada polis semata-mata.

Jelasnya, kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diperlukan dalam memastikan keselamatan dan keharmonian negara.

Dalam perkembangan lain, baginda memberitahu, Kerajaan Pahang telah meluluskan tanah seluas 520 hektar di Pelangai, Bentong bagi membina kompleks latihan polis dan ketenteraman awam bersepadu .

''Setakat ini Kerajaan Pusat belum memberikan maklumat mengenai kos pembinaan projek tersebut dan bila ia akan dimulakan.

''Selain kompleks latihan itu, saya juga berharap Kerajaan Pusat dapat membina bangunan Ibu Pejabat Polis Kontijen Pahang dan mes pegawai PDRM di Kuantan kerana polis Pahang belum mempunyai bangunan sendiri,'' titah baginda.

Baginda turut meminta PDRM membina lebih banyak IPD, balai dan pondok polis bagi menggantikan bangunan-bangunan lama yang sudah uzur.
Reply

Use magic Report

Post time 30-5-2008 08:36 AM | Show all posts
Pahang cadang jadi jelapang padi

KUANTAN 29 Mei - Kertas cadangan untuk mendapatkan status jelapang padi bagi negeri Pahang akan dikemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada pertengahan Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak berkata, beliau berharap usaha tersebut akan diterima baik oleh pihak berkenaan.

''Kita pernah kemukakan permohonan sama sebelum ini tetapi tidak dilayan. Kita harap kali ini pihak kementerian akan memberi maklum balas positif," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Tan Mohd. Aminuddin, dua kawasan penanaman padi yang berpotensi besar mengubah landskap pertanian di negeri Pahang untuk menjadi jelapang padi ialah di daerah Pekan dan Rompin.

Katanya, tanah yang telah diusahakan dengan penanaman padi di Pahang setakat ini ialah 9,480 hektar berbanding keluasan yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) seluas 11,880 hektar.

Beliau berkata, sebahagian daripada aktiviti penanaman padi di negeri Pahang dilakukan oleh individu manakala sebahagian lain di bawah skim pengairan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri.

Tan Mohd. Aminuddin juga berkata, pihaknya mengalu-alukan penglibatan pihak swasta untuk menyahut saranan kerajaan terlibat dalam industri pertanian terutama penanaman padi.

''Ini juga sebagai usaha membantu kerajaan dalam menangani masalah kekurangan bahan makanan terutama beras seperti yang kita hadapi kebelakangan ini," katanya.

Seramai 4,515 petani terlibat dalam aktiviti pertanian padi di negeri Pahang.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 30-5-2008 08:37 AM | Show all posts
RM50 juta bantuan pinjaman belia niaga

JERANTUT 29 Mei - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan sebanyak RM50 juta pada tahun ini menerusi Tabung Pinjaman Ekonomi Belia untuk meningkatkan penyertaan belia dalam bidang perniagaan di seluruh negara.

Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan, Mohd. Azizan Che Omar berkata, bagi menjayakan matlamat tersebut, kerajaan telah memudahkan prosedur dengan mengurangkan kerenah birokrasi yang selama ini dilihat menjadi halangan kepada belia.

Melalui pinjaman tersebut, katanya, belia tidak perlu menyediakan penjamin bagi pinjaman RM15,000 ke bawah sebaliknya mereka hanya perlu mengemukakan permohonan dengan surat sokongan dan pendaftaran perniagaan.

''Bagi pinjaman RM15,000 hingga RM50,000 pula, mereka hanya perlu mengemukakan seorang penjamin yang berpendapatan RM800 sebulan," katanya ketika menutup Program Ekspedisi Kuala Tahan anjuran Gerakan Belia 4B Indera Mahkota di Kuala Tahan dekat sini kelmarin.

Mohd. Azizan memberitahu, peminjam tidak perlu lagi menjalani ujian minda atau prosedur lain tetapi hanya perlu menjalani kursus singkat perniagaan anjuran kementerian terbabit.

Katanya, pinjaman mudah yang disediakan kementerian itu bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan selain melahirkan belia berkemahiran serta berkualiti bagi memenuhi pasaran pekerjaan di seluruh negara.

Sehingga kini, menurut Mohd. Azizan, sebanyak RM10.5 juta pinjaman diluluskan kepada belia yang menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa belia lepasan sekolah yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran dan menganggur supaya memohon pinjaman itu bagi memajukan diri dalam perniagaan.

''Peluang keemasan yang disediakan kerajaan itu tidak seharusnya dipersia-siakan kerana kementerian mempunyai perancangan untuk membantu mereka menjadi usahawan yang berjaya dan mendapatkan pendapatan lumayan," katanya.

Mohd. Azizan yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bera berkata, pinjaman itu terbuka kepada semua golongan tanpa mengira kaum.
Reply

Use magic Report

Post time 30-5-2008 08:41 AM | Show all posts
'Kami tak akan pindah dari Bukit Tinggi'

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
[email protected]

ZAHARI menunjukkan kesan jalan yang mendap selepas gegaran yang melanda Bukit Tinggi, Janda Baik, Pahang.

BENTONG - "Kami sekali-kali tak akan keluar dari sini (Bukit Tinggi) selagi tiada petunjuk besar yang boleh mendesak kami berganjak dan berpindah dari sini."

Demikian ikrar Ketua Kampung Janda Baik, Zahari Arop, 60, yang menggambarkan bahawa hampir 3,600 penduduk di situ kini seakan-akan sudah lali dan tidak kisah dengan kejadian gempa bumi bermagnitud rendah yang kerap berlaku di kawasan Bukit Tinggi sejak November tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, beliau dan seluruh penduduk kampung itu tidak menolak kemungkinan untuk 'meninggalkan' kampung berkenaan sekiranya gegaran semakin menunjukkan tanda-tanda kritikal.

"Saya tak nafikan perasaan bimbang, takut dan cemas sentiasa menghantui kami setiap hari.

"Hanya jika arahan dikeluarkan, kami terpaksa akur tapi hanya sekadar gegaran biasa, itu bukannya alasan kuat untuk kita tinggalkan kampung ini," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Zahari yang pernah merasai beberapa gegaran yang diibaratkannya seperti 'ombak sedang bergelora' juga memberitahu, kesan daripada gegaran yang berukuran 3.1 pada skala Richter pada pukul 9.36 pagi Ahad lalu, jalan raya dan tanah di kampung berkenaan telah mendap dan berlubang.

Semasa tinjauan Kosmo! ke kawasan berkenaan semalam, kerja-kerja pembaikan dan turapan jalan sedang rancak dijalankan oleh 15 pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR), Kuari Pusat Pekan Awam Temerloh.

Menurut Zahari, gegaran yang mula-mula berlaku juga telah mendorong beberapa pembeli memutuskan untuk menjual tanah yang dibeli di kawasan itu.

"Namun, kini, keadaan itu semakin baik dan harga tanah di sini masih kekal tinggi walau fenomena itu menjadi bualan hangat," ujarnya sambil menambah pada November tahun lalu, sebanyak 15 gegaran telah berlaku.

Tambahnya, jaminan daripada pihak Jabatan Meteorologi yang memberitahu gegaran di sini hanya kecil dan tidak membimbangkan, langkah-langkah waspada tetap diambil pihaknya.

Namun di sebalik itu, gempa bumi kecil hingga melibatkan lebih 20 gegaran itu sebenarnya telah menimbulkan tanda-tanda resah di kalangan segelintir anak muda di kawasan ini.

Ini ekoran, terdapat segelintir penduduk telah mengambil keputusan untuk berhijrah ke tempat lain gara-gara khuatir keselamatan mereka terancam.

"Dua orang antara kami sudah pun ke tempat lain, manakala yang lain masih berkira-kira dan bertahan di sini kerana jika keluar, kat mana arah tuju kami?," soal seorang pembantu kedai, Azizul Hakim Ibrahim, 18.
Reply

Use magic Report

Post time 2-6-2008 09:30 AM | Show all posts
Reda hilang tiga anak serentak

JERANTUT 1 Jun - Sepasang suami isteri reda kehilangan tiga orang anak sekelip mata selepas mereka terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kampung Awah dekat Bandar Jengka malam tadi.

Yusoff Yaakob, 60, dan Zabedah Osman, 41, menganggap kejadian itu sebagai takdir yang perlu dihadapi dengan tabah.

Lebih terkilan lagi, hasrat mereka untuk melihat anak keduanya, Hamdan, 27, menjadi 'raja sehari' pada Ogos ini tidak kesampaian.

Menurut Yusoff, Hamdan yang bekerja sebagai mekanik di Kuala Lumpur sepatutnya melangsungkan perkahwinan dengan Nazatul Norwahidah Abdullah, 26, dari Felda Padang Piol di sini setelah bertunang empat bulan lalu.

Katanya, Hamdan dan adiknya, Mohd. Sabri, 22, yang membuka bengkel kereta di Klang pernah pulang menziarahi mereka di Kampung Jong Belabuh, Tembeling Tengah minggu lalu.

''Saya tidak menyangka pertemuan dengan mereka minggu lalu adalah yang terakhir sehingga mendengar berita kemalangan itu malam tadi," katanya.

Dalam kejadian pukul 10.50 malam itu, tiga beradik dan dua beranak maut manakala enam lagi parah apabila sebuah kereta terbabas dan bertembung dengan van di satu selekoh di Kilometer 20 Jalan Kampung Awah-Bandar Jengka di Felda Jengka 20, dekat sini malam tadi.

Mangsa yang terkorban ialah pemandu kereta Proton Wira, Hamdan dan dua adiknya Mohd. Sabri, serta Nur Aznira, 16, manakala tunangnya, Nazatul Norwahidah cedera parah dan masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Jengka.

Dua lagi yang maut dalam kemalangan tersebut ialah pemandu van, Syamsul Arifin Mohd.Yasin, 35, dan anaknya, Norizzati, 10.

Selain Nazatul Norwahidah, lima penumpang van yang parah ialah isteri Syamsul Ariffin, Junaidah Mohd. Said, 31, dan anak mereka, Noraina, 13, serta saudara mereka yang berasal dari Kampung Sungai Baru, Melaka, Mazran Basiron, 22, Mazuan Basiron, 13, dan Mazra Basiron, 7.

Yaakob memberitahu, Hamdan dan Mohd. Sabri tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika menziarahinya di kampung minggu lalu dan sempat meracun rumput di kebunnya.

Ketika hendak pulang semula ke Kuala Lumpur, katanya, seorang lagi anaknya, Nur Aznira juga beria-ria hendak mengikuti kedua-dua abangnya itu.

''Saya tidak menghalang Nur Aznira kerana sekarang cuti sekolah tetapi kami sempat menasihati Hamdan supaya berhati-hati ketika memandu," katanya.

Yusoff difahamkan, Nazatul Norwahidah juga ke Kuala Lumpur untuk membeli-belah bagi persiapan perkahwinannya pada Ogos ini.

Sementara itu, Zabedah berkata, ketiga-tiga anaknya itu bersifat periang dan kerap membantu antara satu sama lain terutama berhubung soal persekolahan Nur Aznira yang masih menuntut di tingkatan empat.

Katanya, tujuan mereka pulang ke kampung adalah untuk menghantar peralatan perkahwinan setelah selesai membeli-belah di Kuala Lumpur.

''Mereka memilih melalui Jalan Sungai Nerek ke Bandar Jengka kerana bercadang singgah di Felda Kota Gelanggi untuk menziarahi saudara.

''Kira-kira setengah jam sebelum kemalangan, kami menerima panggilan Nur Aznira yang memberitahu mereka telah sampai di Jengka," katanya.

Bagaimanapun, suami isteri itu terkejut apabila menerima panggilan daripada salah seorang saudara mereka mengenai kemalangan itu pada pukul 11.50 malam.

''Ini semua ketentuan Allah. Saya reda dengan pemergian mereka walaupun masih terasa gurauan dan gelak ketawa mereka pada minggu lalu," katanya.

Jenazah ketiga-tiga beradik itu disemadikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan Islam Kampung Labu, kira-kira pukul 2 petang ini.
Reply

Use magic Report

Post time 2-6-2008 09:31 AM | Show all posts
300 kakitangan awam, Pemuda UMNO sertai senamrobik

KUALA LIPIS 1 Jun - Seramai 300 kakitangan kerajaan dan ahli Pemuda UMNO Bahagian Lipis menyertai senamrobik di padang Majlis Daerah Lipis (MDL) di sini hari ini.

Program bermula pukul 7.45 pagi itu diadakan sempena kejohanan Liga Bola Sepak Sembilan Sebelah anjuran Biro Sukan Pemuda UMNO bahagian itu yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Abdul Rahman Mohamed.

Hadir sama, Ketua Pemuda UMNO Lipis, Abu Jimi Samat, Penolong Pegawai Belia dan Sukan daerah, Mohd. Badri Dainial dan Pengerusi Biro Sukan Pemuda UMNO Lipis, Halim Othman.

Abdul Rahman berkata, program itu dapat meningkatkan tahap kecergasan fizikal dan mental peserta.

"Acara senamrobik dapat menghindarkan dari sebarang masalah kesihatan dan menyumbang kepada peningkatan produktiviti semasa menjalankan tugas.

"Ia juga memberikan kesempatan belia dan Pemuda UMNO merapatkan jaringan kerjasama dan hubungan dengan agensi kerajaan," katanya ketika merasmikan pertandingan itu di sini.

Sebanyak 40 pasukan bola sepak Pemuda UMNO dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Tengku, Cheka dan Benta menyertai kejohanan selama sehari itu.

Abdul Rahman memberitahu, aktiviti senamrobik itu dianggap sebagai 'pemanas badan' sebelum peserta terlibat dalam pertandingan bola sepak berkenaan.

"Semua persatuan belia, jabatan kerajaan dan jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) boleh melaksanakan aktiviti senamrobik di tempat masing-masing setiap kali menganjurkan acara sukan dan keramaian tertentu," katanya.

Selain itu, Abdul Rahman berkata, kejohanan bola sepak tersebut dapat meningkatkan perpaduan serta memupuk semangat kesukanan di kalangan ahli UMNO.

"Menerusi liga ini, kita dapat mencungkil bakat baru untuk diketengahkan mewakili daerah, negeri dan kebangsaan,'' kata beliau.

Katanya, hadiah wang tunai bukan fokus utama dalam kejohanan ini tetapi yang lebih penting ialah semangat kesukanan dan hubungan sesama ahli di semua cawangan dan bahagian di Lipis.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-2-2025 07:56 AM GMT+8 , Processed in 0.059438 second(s), 27 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list