|
|
Majlis tilawah dan hafazan al-Quran di Serian
Januari 21, 2026, Rabu - 4:21pm
Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Sarawak Ke-65 akan diadakan di Pusat Konvensyen Serian, 4-7 Februari

Dr Abdul Rahman bersama Yang Dipertua MIS Datuk Misnu Taha dan yang lain menunjukkan poster Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Sarawak Ke-65 pada sidang media di Serian hari ini.
“Seramai 43 peserta dari seluruh negeri akan mengambil bahagian pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Sarawak kali ini.”
Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam)
Oleh Marlinda Mardzuki
KUCHING: Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Sarawak Ke-65 akan diadakan di Pusat Konvensyen Serian selama empat hari, bermula 4 hingga 7 Februari depan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, acara bertemakan ‘Ummah Maju Makmur’ itu akan dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 4 Februari.
Sementara majlis penutupan pula katanya, akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi pada 7 Februari.
“Seramai 43 peserta dari seluruh negeri akan mengambil bahagian pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Sarawak kali ini.
“Daripada jumlah tersebut, 22 peserta bertanding di bawah kategori Tilawah Al-Quran manakala 21 peserta dalam kategori Hafazan Al-Quran,” katanya pada sidang media mengenai Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Sarawak itu di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak (PPKS) Serian hari ini.
Dr Abdul Rahman menjelaskan, acara itu dianjurkan oleh Majlis Islam Sarawak (MIS) dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan persekutuan dan negeri.
“MIS telah diamanahkan oleh kerajaan negeri untuk mengetuai pengelolaan majlis sambutan ini bersama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Pejabat Residen Bahagian Serian serta kerjasama agensi-agensi kerajaan negeri, persekutuan dan pihak-pihak lain yang berkaitan,” ujarnya.
Menurut beliau, objektif penganjuran acara adalah untuk menyemarakkan semangat cinta umat Islam kepada al-Quran, kitab suci yang syumul sifatnya dan merangkumi semua aspek kehidupan manusia.
“Ia juga bertujuan melahirkan lebih ramai qari, qariah, hafiz dan hafizah berkaliber di Sarawak serta meningkatkan usaha dakwah bagi memperkukuhkan keimanan, ketakwaan, amalan ibadah dan akhlak mulia,” katanya.
Beliau menambah, antara pengisian program sempena majlis itu ialah Forum Perdana Hal Ehwal Islam, Seminar Saudara Kita, Kuiz Al-Quran, pameran serta program Bicara Ramadan dan Al-Quran.
Dalam pada itu, Dr Abdul Rahman turut memberitahu, johan qari dan qariah akan menerima masing-masing RM10,000, piala pusingan, iringan, sijil dan tajaan menunaikan ibadah umrah.
Sementara itu, johan hafazan bagi juzuk 1 hingga 30, juzuk 1 hingga 20 dan juzuk 1 hingga 10 masing-masing membawa wang tunai RM5,000, RM4,000 dan RM3,000.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Chiew mahu MBM mengambil langkah segera tangani isu di Taman Awam Miri
Januari 21, 2026, Rabu - 4:23pm

MIRI: Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man (gambar) hari ini menyeru Majlis Bandaraya Miri (MBM) mengambil beberapa langkah segera untuk menangani pelbagai isu di Taman Awam Miri, termasuk melaksanakan pembaikan serta-merta di kawasan struktur yang rosak.
Beliau juga mahu pihak terbabit menjalankan pemeriksaan keselamatan menyeluruh terhadap semua struktur kayu dan kemudahan di taman awam itu dan taman-taman awam lain, selain menyediakan pelan pemantauan dan penyelenggaraan berjadual, khususnya di lokasi yang menerima kunjungan pelawat yang tinggi.
Chiew yang juga Ahli Parlimen Miri memberitahu perkara itu selepas insiden yang melibatkan seorang pelancong yang dilaporkan cedera selepas struktur lantai kayu di kawasan jambatan gantung di Taman Awam Miri pecah ketika dipijak, sekali gus mencetuskan kebimbangan awam terhadap tahap keselamatan kemudahan rekreasi di bandar raya ini.
Beliau menegaskan insiden yang tular sejak beberapa hari lalu itu tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan kegagalan penyelenggaraan kemudahan awam serta berpotensi menjejaskan imej Miri sebagai destinasi pelancongan dan rekreasi.
Menurutnya, keselamatan warga Miri dan para pelancong yang berkunjung ke bandar raya ini sentiasa menjadi keutamaan, apatah lagi Miri merupakan antara pintu masuk utama pelancongan di Sarawak.
“Apabila berlaku kecuaian penyelenggaraan sehingga mengakibatkan kecederaan, tindakan segera dan tegas perlu diambil.
"Insiden ini bukan sahaja mendatangkan risiko kepada pengguna, malah boleh memberi kesan negatif terhadap reputasi Miri,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Chiew turut menekankan, aspek keselamatan dan penyelenggaraan kemudahan awam mesti berada pada tahap tinggi serta dilaksanakan secara berkala bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Dalam pada itu, beliau menghargai keprihatinan rakyat yang menyalurkan teguran dan maklum balas melalui pelbagai saluran, sama ada rasmi atau tidak rasmi, yang disifatkan membantu mempercepatkan tindakan serta mengurangkan risiko kepada pengguna lain.
“Saya sekali lagi menegaskan bahawa semua kemudahan awam mesti berada dalam keadaan selamat, terjaga dan kondusif, seiring dengan aspirasi menjadikan Miri sebuah bandar raya yang bersih, selamat dan mesra pelawat,” katanya.
Beliau turut menggesa semua pihak bekerjasama memastikan Miri kekal sebagai destinasi yang menarik dan selamat, lebih-lebih lagi ketika negara sedang bersiap sedia menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Buaya dilaporkan dalam longkang di Tudan Desaras
Januari 21, 2026, Rabu - 4:26pm

Pasukan BBP Lutong melakukan pemantauan keselamatan susulan laporan kehadiran buaya di dalam longkang di Lorong Perdana 2B, Tudan Desaras di Miri, tengah hari Rabu. - Gambar BBP Lutong
MIRI: Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong dikerahkan ke kawasan sebuah rumah di Lorong Perdana 2B, Tudan Desaras di sini susulan laporan kehadiran seekor buaya di dalam longkang, tengah hari Rabu.
Menurut Ketua BBP Lutong, Henry Jugah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.53 pagi, sebelum sebuah jentera bersama beberapa anggota segera digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 11 kilometer dari balai.
"Sebaik tiba di lokasi pada jam 12.05 tengah hari, pasukan keluaran operasi terus menjalankan menjalankan pemeriksaan di kawasan terbabit.
"Namun hasil pemeriksaan mendapati tiada kelibat buaya ditemui di dalam longkang seperti yang dilaporkan oleh orang awam," katanya dalam satu kenyataan.
Berikutan itu katanya, PKO seterusnya mengambil langkah pemantauan keselamatan di sekitar kawasan kejadian bagi memastikan tiada ancaman kepada penduduk setempat.
"Kami turut menghubungi Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk tindakan lanjut sekiranya," katanya.
Setelah memastikan keadaan selamat dan terkawal, operasi ditamatkan pada jam 12.25 tengah hari sebelum PKO bertolak pulang ke balai.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kanak-kanak perlu sedia dari segi emosi, kognitif, sosial untuk masuk darjah satu
Januari 21, 2026, Rabu - 4:49pm
KUCHING: Amalan memulakan pendidikan rendah pada usia lebih awal telah lama dilaksanakan di banyak negara maju dengan pengalaman menunjukkan pendekatan berkesan apabila disokong oleh pendidikan awal kanak-kanak yang kukuh, kaedah pengajaran berpusatkan kanak-kanak serta penilaian tahap kesediaan.
Justeru ibu bapa yang ditemui berpendapat paling penting bukan umur kemasukan tetapi memastikan setiap kanak-kanak benar-benar bersedia dari segi emosi, kognitif dan sosial dengan sokongan mencukupi daripada sekolah, guru dan ibu bapa.
Bagi Dr Petrus Basik (gambar), 40-an, seorang penjawat awam melihat rasional kanak-kanak berumur 6 tahun memasuki Tahun Satu sebagai satu inisiatif jangka panjang yang komprehensif, berteras dan bertunjangkan usaha memartabat pendidikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
"Saya berpandangan bahawa Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 dirangka bagi membawa sistem pendidikan negara ke tahap yang lebih tinggi dan berdaya saing serta telah lama diamalkam negara maju lain.
"Saya sentiasa meyakini bahawa pendidikan merupakan pemangkin utama kepada perubahan ke arah yang lebih baik justeru menyokong sebarang usaha penambahbaikan dan reformasi dalam sistem pendidikan agar ia menjadi lebih berkualiti, relevan dengan perkembangan teknologi semasa serta sejajar dengan keperluan pasaran guna tenaga," katanya.
Ujar Dr Petrus, sistem pendidikan negara seharusnya kekal efektif dalam melahirkan modal insan yang kompeten, bukan sahaja cemerlang dari segi akademik malah unggul dari sudut sahsiah dan akhlak.
"Saya melihat isu kemasukan umur terlalu muda bukanlah isu teras kerana hakikatnya sebahagian besar kanak-kanak telah pun mengikuti pendidikan awal seawal usia tiga atau empat tahun.
Beliau berharap fokus utama seharusnya diberikan kepada aspek kandungan silibus serta kaedah penyampaian pengajaran dan pembelajaran.
"Persoalan yang lebih penting ialah sama ada silibus dan pendekatan pendidikan yang diguna pakai kini benar-benar telah ditambah baik dan disesuaikan dengan tahap perkembangan kognitif, emosi dan sosial kanak-kanak," katanya.
Seorang jurutera, Daniel Iing Shii Ngie (gambar), 45, pula berharap cadangan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu bermula 2027 dilaksanakan selepas melalui pertimbangan dan kajian menyeluruh.
Walaupun dasar ini selari dengan sistem pendidikan beberapa negara lain, tahap kesediaan kanak-kanak dari segi emosi, sosial dan kognitif adalah berbeza mengikut latar belakang keluarga dan persekitaran. Tidak semua kanak-kanak enam tahun bersedia untuk pembelajaran formal yang berstruktur.
“Sekiranya dasar ini diteruskan, kurikulum Tahun Satu perlu lebih fleksibel, berasaskan permainan dan kurang tekanan akademik, selaras dengan perkembangan awal kanak-kanak," kata bapa kepada dua anak berumur 8 dan 12 tahun itu.
"Tanpa pendekatan yang sesuai, kanak-kanak berisiko mengalami tekanan emosi, hilang minat belajar dan jurang pencapaian yang lebih ketara," katanya sambil menambah, dasar baharu itu akan meningkatkan cabaran pengajaran dan memerlukan latihan khusus pendidikan awal kanak-kanak.
Ia juga katanya menuntut sokongan sumber, kemudahan dan pengurangan beban tugas agar kualiti pengajaran dapat dikekalkan.
Seorang guru yang juga bapa, Douglas Patan (gambar), 40-an, pula melihat arahan baharu murid berumur enam tahun memasuki Tahun Satu adalah peluang terbaik anak-anak menyesuaikan diri dengan struktur pembelajaran formal lebih awal.
"Selain itu, isu pembelajaran murid autisme dapat dikesan awal dan dapat diintervensi lebih awal sebelum mereka naik ke darjah seterusnya.
"Malah ibu bapa berupaya melihat kesiapsiagaan emosi anak-anak mereka sambil pihak sekolah perlu bersedia dari segi kemudahan fizikal dan mental berhadapan pelajar yang masih dalam peringkat tumbesaran serta mengenali mata pelajaran," ujar guru dari Lubuk Antu itu.
Bagi Abigol Sullang, 40-an, seorang penyunting berita di sebuah stesen televisyen tempatan pula, dasar yang baharu diperkenalkan oleh KPM itu sangat baik dan tepat pada waktunya.
"Ia mengambil kira perubahan sosial dan pentingnya asas pendidikan awal yang telah pun diamalkan di banyak negara maju lain,” katanya.
Bagaimapun, beliau berharap arahan itu bukan bersifat paksaan sebaliknya sebagai pilihan dengan sokongan penilaian kesiapsiagaan yang jelas.
"Ia jika dibuat teratur dengan sekolah dan guru diberi persediaan mencukupi memberi peluang kepada murid dapat berintegrasi lebih awal," katanya dan berharap pihak sekolah dan guru cukup persediaan berhadapan situasi baharu ini.
Kelmarin, KPM melalui Menterinya Fadhlina Sidek menjelaskan bahawa kanak-kanak boleh mula darjah satu pada usia enam tahun tetapi keputusan itu tidak diwajibkan ke atas semua murid.
Keutamaan diberikan kepada ibu bapa dan anak yang benar-benar bersedia dari segi psikologi dan emosi sebelum mereka didaftarkan ke sekolah.
Ini diumumkan selepas pelancaran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 di Putrajaya, di mana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar menyatakan pendidikan prasekolah bermula pada usia lima tahun manakala darjah satu pada usia enam tahun mulai 2027 namun ibu bapa masih diberi pilihan dan ruang membuat keputusan sendiri.
Fadhlina berkata, KPM akan menjalankan ujian diagnostik untuk menilai kesediaan murid dan pelaksanaan perubahan itu akan dibuat secara berperingkat dengan keutamaan diberikan kepada murid yang sudah bersedia.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Operasi JIM Sarawak di sekitar Kuching tahan 52 warga asing
Januari 21, 2026, Rabu - 4:52pm

Gambar semasa operasi dijalankan di sekitar Kuching. - Gambar FB JIM Sarawak
KUCHING: Seramai 52 warga asing ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen yang dijalankan di sekitar Kuching bagi memperkukuh pematuhan undang-undang imigresen negara.
Menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak, operasi bersepadu itu dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kuching pada 20 dan 21 Januari lalu, melibatkan seramai 31 pegawai.
“Operasi ini menyasarkan sebanyak 16 premis di sekitar Kuching dan hasil pemeriksaan serta serbuan yang dijalankan, seramai 52 orang warga asing telah ditahan untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63,” menurut kenyataan itu.
Tambahnya, antara lokasi yang menjadi tumpuan operasi termasuk kawasan perniagaan di Demak, tapak pembinaan di Jalan Hup Kee serta beberapa premis makanan dan minuman di TT3 Commercial Centre.
Menurut kenyataan sama, JIM akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara.

Gambar semasa operasi dijalankan di sekitar Kuching. - Gambar FB JIM Sarawak
“Usaha ini juga bertujuan mengekang sebarang pelanggaran undang-undang yang boleh menjejaskan keselamatan serta ketenteraman awam,” katanya.
JIM Sarawak turut mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan bagi membantu memperkukuh penguatkuasaan imigresen di negeri ini.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pentaksiran berpiawai pastikan pelajar lemah dikesan awal
Januari 21, 2026, Rabu - 5:15pm
Pentaksiran Tahun 4 bolehkan langkah intervensi diambil sebelum murid melangkah lebih jauh tanpa kuasai kemahiran asas

KUCHING: Pelaksanaan pentaksiran berpiawai bagi murid Tahun 4 dan pelajar Tingkatan 3 akan menjadi alternatif praktikal untuk memastikan pelajar yang lemah dikenal pasti lebih awal.
Perkara itu dinyatakan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee (gambar) sambil menambah, pentaksiran Tahun 4 khususnya akan membolehkan pihak sekolah mengambil langkah intervensi sebelum murid melangkah lebih jauh tanpa menguasai kemahiran asas.
“Intervensi awal sangat penting. Kita akan dapat mengenal pasti siapa yang lemah dan siapa yang memerlukan kelas tambahan.
“Saya menantikan perincian pelan intervensi daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya mengulas keputusan Putrajaya untuk melaksanakan pendekatan Pentaksiran Berasaskan Matriks Pembelajaran bagi murid Tahun 4 bermula Oktober ini dan Tingkatan 3 tahun depan (2027).
Dr Annuar yang sebelum ini menyokong agar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dikembalikan, berkata kerangka pentaksiran baharu itu masih boleh mencapai objektif yang sama sekiranya disertakan dengan mekanisme intervensi yang jelas daripada KPM.
“Mesti ada sistem yang memastikan pelajar lemah menerima kelas pemulihan atau jika perlu, dikekalkan untuk setahun lagi.
“Tiada gunanya membenarkan pelajar yang lemah naik ke Tahun 5 jika mereka tidak mempunyai asas yang kukuh kerana mereka tidak akan mampu mengikuti pembelajaran,” katanya.
Mengenai pentaksiran Tingkatan 3 yang sedang dirangka dan dirancang, beliau berkata ia sepatutnya memainkan peranan lebih besar dalam menentukan hala tuju akademik pelajar, bukan membenarkan pelajar memilih aliran sendiri tanpa bimbingan secukupnya.
“Pada peringkat itu, pelajar sepatutnya disalurkan mengikut kesesuaian supaya mereka dapat memaksimumkan kekuatan masing-masing,” katanya, merujuk kepada struktur menengah atas semasa yang merangkumi pakej elektif seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Kemanusiaan dan Seni, Bahasa serta Pengajian Islam.
Mengenai Ujian Penilaian Program Dwi Bahasa Sarawak (UP-DLP) bagi murid Tahun 6, Dr Annuar berkata Kerajaan Sarawak akan meneliti lanjut keselarasan ujian tersebut dengan pentaksiran persekutuan yang baharu.
“UP-DLP ditanda aras dan disemak oleh Cambridge University Press and Assessment, jadi standardnya berbeza.
“Namun, kami mengalu-alukan pentaksiran Tahun 4 kerana ia membolehkan kami mengesan pelajar lemah lebih awal,” katanya.
Beliau juga mengalu-alukan kemasukan subjek Sejarah dalam pentaksiran Tingkatan 3, sambil menegaskan kepentingannya dalam pembinaan negara.
“Semua rakyat Malaysia mesti mengetahui sejarah negara. Generasi kita kebanyakannya terdiri daripada mereka yang lahir selepas merdeka.
“Ada keperluan untuk memberi penekanan lebih besar tentang bagaimana Malaysia dibentuk, termasuk Perjanjian Malaysia 1963. Ia ibarat sijil kelahiran dan perlu diperincikan dengan jelas dalam buku teks Sejarah,” katanya.
Pada Selasa Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, pendekatan Matriks Pembelajaran bagi murid Tahun 4 dan pelajar Tingkatan 3 berfungsi sebagai kaedah pentaksiran yang memberi tumpuan kepada penyediaan sokongan pembelajaran awal dan berperingkat kepada pelajar.
“Pelaksanaan Matriks Pembelajaran di Tahun 4 bertujuan memastikan masih ada tempoh dua tahun untuk melaksanakan intervensi sekiranya kelemahan atau jurang pembelajaran dikenal pasti pada peringkat awal (sebelum memasuki Tingkatan 1).
“Secara keseluruhan, Matriks Pembelajaran berfungsi sebagai mekanisme intervensi dan pengukuhan pembelajaran, di samping menyokong pelaksanaan kurikulum baharu,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Pelan Induk Pendidikan Negara 2026–2035 di Putrajaya.
Matriks Pembelajaran akan dilaksanakan oleh Lembaga Peperiksaan sebagai badan yang diberi kuasa, dengan tujuan meningkatkan keyakinan awam terhadap pentaksiran tersebut.
Ia melibatkan empat mata pelajaran bagi murid Tahun 4, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains manakala bagi Tingkatan 3, subjek Sejarah turut disertakan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
SUPP gesa Anwar perjelas pendirian kerajaan terhadap pengiktirafan UEC
Januari 21, 2026, Rabu - 5:59pm

SIBU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memberikan jawapan yang jelas, tegas dan tidak berbelah bahagi berhubung pendirian Kerajaan Perpaduan terhadap pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Penolong Setiausaha Publisiti dan Infomasi SUPP Pusat Wong Ching Yong (gambar) berkata, kekeliruan timbul dalam kalangan masyarakat Cina susulan pengumuman Perdana Menteri mengenai hala tuju pembaharuan pendidikan, yang tidak secara jelas menyebut pengiktirafan UEC.
Menurutnya, Anwar seharusnya mencontohi pendekatan Kerajaan Sarawak yang berterus terang dan tidak membuka ruang kepada spekulasi awam.
Katanya, walaupun syarat dikenakan, ia mesti munasabah dan dinyatakan dengan jelas, seperti di Sarawak yang hanya mewajibkan pemegang UEC lulus Bahasa Melayu untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Sarawak telah mengiktiraf UEC sejak 2015 tanpa sekatan tambahan, tanpa campur tangan dalam kurikulum sekolah menengah persendirian Cina serta tanpa mempolitikkan UEC sebagai isu sensitif.
"Kejayaan ini membuktikan pengiktirafan UEC diterima baik dalam masyarakat berbilang kaum," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Wong berkata, kenyataan Perdana Menteri bahawa semua sekolah termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama dan sekolah yang menggunakan kurikulum UEC perlu mewajibkan pelajar menduduki SPM Bahasa Melayu dan Sejarah, tidak boleh ditafsirkan secara automatik sebagai pengiktirafan UEC.
"Perdana Menteri tidak pernah menyebut secara jelas frasa 'pengiktirafan UEC'.
"Apa yang berlaku kini hanyalah tafsiran awam bahawa kewajipan menduduki Bahasa Melayu dan Sejarah dijadikan prasyarat oleh kerajaan," jelasnya.
Beliau menambah, kenyataan susulan daripada Menteri Pendidikan Tinggi dan Menteri Pendidikan hanya meningkatkan kebimbangan bahawa isu pengiktirafan UEC masih belum mempunyai pendirian Kabinet yang jelas dan sehaluan.
Menurut Wong, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menyifatkan kewajipan menduduki SPM Bahasa Melayu dan Sejarah sebagai langkah awal, namun gagal memberikan jawapan muktamad sama ada ia membolehkan pemegang UEC memasuki universiti awam.
Sementara itu katanya, kenyataan Menteri Pendidikan bahawa pelajar sekolah persendirian Cina perlu menduduki sekurang-kurangnya enam mata pelajaran SPM menunjukkan pengenalan sistem dwilaluan, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada UEC sebenarnya akan digantikan, bukannya diiktiraf.
Wong yang juga Pengerusi SUPP Cawangan Dudong berkata, terdapat dua kemungkinan tafsiran terhadap pendirian kerajaan.
Pertama, semua sekolah menengah dipaksa menduduki SPM yang membawa kepada campur tangan langsung dalam sistem sekolah persendirian manakala UEC kekal tidak diiktiraf.
Kedua, kerajaan bersedia mengiktiraf UEC tetapi dengan syarat tambahan yang semakin meningkat.
Beliau mempersoalkan keikhlasan pemimpin Pakatan Harapan, khususnya DAP yang memasukkan pengiktirafan UEC dalam manifesto pilihan raya, namun kelihatan teragak-agak selepas berkuasa.
"Manifesto pilihan raya sepatutnya satu komitmen yang dipertimbangkan dengan teliti, bukannya janji kosong yang boleh diubah selepas berkuasa," katanya.
Wong turut menasihati kepimpinan pendidikan Cina, khususnya Dong Zong supaya kekal berpegang teguh kepada kepentingan sekolah persendirian Cina dan tidak tergesa-gesa menganggap jaminan kabur sebagai satu kejayaan besar.
Beliau mengingatkan bahawa pengalaman Sarawak membuktikan pengiktirafan UEC boleh dilaksanakan secara telus dan berkesan tanpa menjejaskan sistem pendidikan negara, justeru menggesa kerajaan persekutuan mengambil iktibar daripada model tersebut.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
KPWK sambut baik kanak-kanak enam tahun masuki Tahun Satu mulai 2027
Januari 21, 2026, Rabu - 6:25pm

Fatimah bergambar bersama penerima sijil Pengajar SeDidik untuk TOY8 di Bangunan Baitulmakmur II semalam. Turut kelihatan ialah Rosey (tiga kiri), Nur Alina dan Ayub (dua kanan).
KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mahu kanak-kanak berumur enam tahun memasuki Tahun Satu mulai 2027.
Menterinya Dato Sri Fatimah Abdullah ketika ditemui media di Bangunan Baitulmakmur II hari ini berkata, ia selaras dengan amalan di kebanyakan sekolah di negara maju.
"Begitu pun pelaksanaan dasar itu perlu mengambil kira tahap 'school readiness' atau kesediaan bersekolah dalam kalangan kanak-kanak kerana amalan sebelum ini ialah berumur tujuh tahun berbanding enam tahun mulai tahun depan," katanya.
Hadir sama pada sidang media itu ialah timbalan beliau Datuk Rosey Yunus, Setiausaha Tetap KPWK Nur Alina Abdullah serta Pengurus Besar SeDidik Sarawak Ayub Dahari.
Tambah Fatimah, 'school readiness' ialah istilah dalam pendidikan awal kanak-kanak yang merujuk kepada kesediaan mereka dari segi sosial, emosi, kognitif dan fizikal sebelum memasuki pendidikan formal.
Tegas beliau, pendidikan awal bukan sahaja melibatkan pembelajaran akademik tetapi juga pendedahan kepada rutin persekolahan seperti mematuhi masa, duduk di dalam kelas serta berinteraksi secara sosial.
“Kanak-kanak perlu disediakan dari segi sosial kerana peralihan daripada tadika kepada darjah satu melibatkan perubahan besar dari segi populasi dan persekitaran.
“Jika mereka tidak bersedia, ia boleh menjadi pengalaman yang mengecewakan. Sebab itu kesediaan sosial, kognitif dan emosi amat penting,” katanya.
Beliau berkata walaupun kebanyakan kanak-kanak berusia enam tahun didapati sudah matang dari segi intelek, fizikal dan emosi, tahap perkembangan setiap individu adalah berbeza.
“Walaupun umur sama, kadar perkembangan kanak-kanak tidak seragam. Ada yang cepat, ada yang perlahan justeru guru darjah satu perlu menerima bukan sahaja murid tetapi juga fail perkembangan yang disediakan oleh guru prasekolah,” katanya.
Menurut beliau, fail tersebut penting sebagai rujukan utama dalam mengenal pasti sahsiah, perkembangan sosial, tahap keyakinan serta sebarang keperluan khas seperti autisme atau disleksia murid Tahun Satu itu.
“Kanak-kanak yang belum benar-benar bersedia itu tidak boleh dimarahi...mereka perlu dibantu supaya dapat menyesuaikan diri dengan budaya sekolah dan berasa selesa berada di persekitaran baharu kerana setiap murid sekecil itu perlu masa menerima suasana pembelajaran mereka,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa guru perlu memberi perhatian khusus kepada murid yang belum bersedia, walaupun jumlah mereka kecil dalam sesebuah kelas.
“Mungkin hanya seorang atau dua orang dalam satu kelas, tetapi mereka perlu diberi perhatian kerana ini melibatkan perubahan dasar yang baharu,” katanya.
Sehubungan itu, pihaknya akan membincangkan perkembangan terbaharu pendidikan khususnya berkaitan kanak-kanak dalam Mesyuarat Majlis Pembangunan Awal Kanak-Kanak Sarawak melibatkan wakil persatuan tadika, guru prasekolah dan pengusaha taska di negeri ini.
“Kita akan bincangkan kesan perubahan ini termasuk keperluan penyesuaian kurikulum serta perkhidmatan yang perlu disediakan oleh pengusaha taska, tadika dan KEMAS pada satu mesyuarat khas pada 24 Februari depan,” katanya.
Menurut Fatimah, fokus utama adalah memastikan kanak-kanak yang belum bersedia tidak tercicir dan terus mendapat sokongan sewajarnya.
“Pendidikan seharusnya berpusatkan kanak-kanak. Ia tidak boleh dilaksanakan secara pukul rata kerana setiap individu mempunyai kadar perkembangan yang berbeza,” katanya.
Sementara itu, beliau ketika mengulas pengecualian yuran pengajian untuk golongan orang kurang upaya (OKU) di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan politeknik, menyifatkan langkah itu sebagai wajar dan bertepatan.
“Ia satu langkah yang baik kerana untuk golongan OKU mencapai tahap seperti orang biasa bukan sesuatu yang mudah. Apa yang dicapai oleh mereka adalah suatu yang sangat luar biasa sama ada dalam bidang akademik atau sukan.
"Mereka ini kurang sempurna fizikal iaitu ada yang buta, pekak, kekurangan anggota badan berbanding individu normal namun berbekalkan azam dan tekad berusaha untuk berjaya seperti insan cukup sifat," katanya.
Beliau berkata, insentif itu diharap dapat menggalakkan lebih ramai individu berkeperluan khas melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
“Ini adalah manifestasi sebuah kerajaan yang prihatin terhadap kebajikan golongan berkeperluan khas,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kerajaan Sarawak komited pastikan setiap kanak-kanak mendapat akses menyeluruh kepada pendidikan awal
Januari 21, 2026, Rabu - 6:33pm

Fatimah menyampaikan Sijil Training of Trainers SeDidik di pejabatnya di Bangunan Baitulmaur II semalam. Turut kelihatan ialah Rosey (tiga kiri), Nur Alina dan Ayub (kanan).
KUCHING: Kerajaan Sarawak komited memastikan setiap kanak-kanak mendapat akses menyeluruh kepada pendidikan awal yang berkualiti, inklusif dan berteraskan pendigitalan sejajar aspirasi pembangunan modal insan negeri.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, antara usaha awal adalah menubuhkan perkhidmatan pendidikan awal kanak-kanak di Sarawak.
"Ia dimulakan dengan penubuhan SeDidik di bawah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) atas ilham Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang percaya bahawa pembangunan modal insan berkualiti harus bermula dari pendidikan awal kanak-kanak," kata Fatimah.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Sijil Training of Trainers SeDidik Toy8 kepada 10 orang guru daripada 59 orang di Bangunan Baitulmakmur II di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis penganugerahan sijil itu ialah timbalan beliau Datuk Rosey Yunus, Setiausaha Tetap KPWK Nur Alina Abdullah serta Pengurus Besar SeDidik Sarawak Ayub Dahari.
Tambah Fatimah, tahun ini menandakan ulang tahun ke-35 penubuhan SeDidik Sdn Bhd yang sejak awal penubuhannya memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan pendidikan awal kepada kanak-kanak di Sarawak.
“(Allaharyam) Tun Taib sentiasa menekankan untuk melahirkan modal insan berkualiti dan ia bermula dari pendidikan awal kerana pada peringkat inilah rasa ingin tahu kanak-kanak dapat dipupuk melalui pendekatan pembelajaran berasaskan kanak-kanak dan pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.
Fatimah berkata, sejak 2020 SeDidik telah ditempatkan di bawah kementeriannya bagi membolehkan dasar, program dan aktiviti berkaitan pendidikan awal kanak-kanak dilaksanakan secara lebih tersusun di peringkat negeri.
Menurut beliau, antara pencapaian utama SeDidik ialah dari segi akses, apabila kadar kemasukan kanak-kanak Sarawak ke prasekolah di negeri ini kini mencecah 98.46 peratus.
“Walaupun 98 peratus dianggap tinggi, sasaran kita ialah 100 peratus. Kita mahu setiap kanak-kanak (Sarawak) mempunyai akses kepada pendidikan awal termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini SeDidik mempunyai 107 pusat berbanding 91 pusat pada 2019 namun bilangan murid di sesetengah kawasan luar bandar lebih rendah berikutan faktor demografi.
“Di sesetengah kawasan seperti rumah panjang dan komuniti Penan atas CSR PETRONAS sebagai contoh, telah wujud pusat SeDidik di kawasan mereka namun kita gagal capai sekurang-kurangnya 25 murid sebaliknya bilangan murid hanya enam hingga sembilan orang.
"Walaupun bilangannya kecil, kita tetap sediakan pusat pendidikan atas permintaan komuniti,” katanya.
Dalam aspek kualiti, Fatimah berkata semua guru SeDidik kini memiliki sekurang-kurangnya Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, sekali gus mencapai sasaran 100 peratus kelayakan profesional pada akhir 2025.
“Kita boleh dengan bangganya mengatakan bahawa semua guru SeDidik sekurang-kurangnya memiliki diploma dalam pendidikan awal kanak-kanak malah ada yang telah memiliki ijazah sarjana muda,” katanya.
Beliau berkata, SeDidik juga menerima pengiktirafan melalui penganugerahan Anugerah Taska Berkualiti dan Tadika Berkualiti yang membuktikan peningkatan standard perkhidmatan pendidikan yang disediakan.
Dalam aspek inklusiviti, Fatimah berkata SeDidik melaksanakan dasar pintu terbuka sejak 2020 bagi memastikan kanak-kanak berkeperluan khas tidak tercicir daripada sistem pendidikan awal.
“Konsep inklusiviti SeDidik ialah kanak-kanak berkeperluan khas ditempatkan bersama kanak-kanak arus perdana, bukan diasingkan.
“Ini membantu mereka belajar dengan lebih baik serta membina sifat empati dalam kalangan kanak-kanak normal,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini seramai 217 kanak-kanak berkeperluan khas mengikuti program pendidikan awal di bawah SeDidik di seluruh negeri.
Selain itu, Fatimah berkata SeDidik turut menubuhkan One Stop Early Intervention Centre (Offsit) yang menyediakan kemudahan saringan dan intervensi awal dengan kerjasama pakar perubatan.
“Ramai kanak-kanak tidak pernah dinilai secara profesional. Melalui Offsit, kita dapat membantu ibu bapa mengenal pasti jenis keperluan khas yang dihadapi anak mereka,” katanya.
Beliau turut memaklumkan pelaksanaan projek perintis Toy Aid dengan sokongan Nippon Foundation dari Jepun yang menyediakan saringan dan intervensi digital kepada kanak-kanak.
“Daripada 200 kanak-kanak yang mengikuti saringan digital, seramai 20 dikenal pasti memerlukan intervensi dan 12 daripada mereka berjaya mengikuti aliran perdana selepas menjalani intervensi,” katanya.
Dalam pada itu, Fatimah berkata pendigitalan turut menjadi teras utama SeDidik apabila semua guru dan murid didedahkan kepada penggunaan teknologi dalam pembelajaran.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
10 tapak bazar Ramadan beroperasi dalam kawasan pentadbiran MPP
Januari 21, 2026, Rabu - 6:55pm

Tan Kai (tengah) bersama ahli-ahli majlis MPP dan wakil agensi berkaitan merakam kenangan selepas Sesi Dialog dan Taklimat bersama para penganjur bazar Ramadan 2026.
Tan Kai (tengah) bersama ahli-ahli majlis MPP dan wakil agensi berkaitan merakam kenangan selepas Sesi Dialog dan Taklimat bersama para penganjur bazar Ramadan 2026.
Tan Kai (tengah) bersama ahli-ahli majlis MPP dan wakil agensi berkaitan merakam kenangan selepas Sesi Dialog dan Taklimat bersama para penganjur bazar Ramadan 2026.
KUCHING: Sebanyak 10 tapak bazar Ramadan akan beroperasi dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Padawan (MPP) bagi Ramadan 2026, dengan Jawatankuasa Bazar Ramadan ditubuhkan bagi menyelaras penganjurannya di semua tapak terlibat.
Pengerusi MPP Tan Kai berkata penubuhan jawatankuasa itu bertujuan memastikan penganjuran bazar Ramadan dapat dilaksanakan secara lebih teratur, terkawal dan sistematik di setiap tapak yang diluluskan.
Menurutnya, jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Kaunselor Madhi Tomi dengan Kaunselor Mahmud DS Ibrahim, Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan bertindak sebagai penaung dan penasihat.
“Sebanyak 10 tapak bazar Ramadan akan beroperasi pada tahun ini, melibatkan empat tapak yang diuruskan oleh pihak komuniti dan enam tapak yang diuruskan oleh pihak swasta,” katanya.
Tan Kai berkata, antara tapak bazar yang diuruskan komuniti ialah Taman Malihah, Matang Jaya Commercial Centre, Sentosa Town Square (Kota Sentosa) dan Kota Padawan (Jalan Penrissen).
Manakala tapak di bawah pengurusan swasta katanya, melibatkan beberapa pusat komersial utama di kawasan Jalan Matang, Batu Kawa dan Batu Kitang.
Jelas beliau juga, sebagai langkah memastikan kebersihan, keselamatan dan pematuhan peraturan, MPP dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching (PKB), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) telah mengadakan sesi dialog dan taklimat kepada para penganjur.
“Taklimat ini merangkumi aspek kebersihan dan keselamatan makanan, kawalan harga makanan serta isu-isu berkaitan halal.
“Pemantauan dan pemeriksaan secara berkala akan dijalankan oleh MPP bersama jabatan-jabatan kerajaan berkaitan sepanjang tempoh pengoperasian bazar Ramadan,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada Central Coldstorage Kuching Sdn Bhd (CCK) yang sekali lagi menjadi penaja utama bazar Ramadan dalam kawasan pentadbiran MPP.
Penganjuran bazar Ramadan oleh pihak komuniti dan pihak swasta bersama MPP telah mula dilaksanakan sejak 2008, membolehkan kedua-dua pihak menganjurkan bazar Ramadan secara lebih teratur, terkawal dan sistematik.
Inisiatif itu juga memberi peluang kepada komuniti setempat melaksanakan pengurusan kendiri dalam menjalankan aktiviti berkonsepkan ‘For The Community, By The Community’.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Program Sosek Malindo ke-24 dan Malam Titian Muhibah ke-17 pada 11 April 2026
Januari 21, 2026, Rabu - 7:00pm

Gerard (duduk, empat kanan) bersama yang lain merakam kenangan selesai mesyuarat bersama. - Gambar UKAS
KUCHING: Program Sosioekonomi Malaysia–Indonesia (Sosek Malindo) ke-24 dan Malam Titian Muhibah ke-17 bagi tahun 2026 akan dilaksanakan pada 11 April 2026 susulan Mesyuarat Penangguhan yang diadakan di Pejabat Daerah Tebedu.
Mesyuarat bersama pada Selasa itu melibatkan kerjasama antara Pejabat Daerah Tebedu, Sarawak dan pihak Camat Entikong, Indonesia, sebagai usaha berterusan memperkukuh hubungan dua hala khususnya dalam kalangan komuniti di kawasan sempadan Malaysia–Indonesia.
Pegawai Daerah Tebedu Gerard George Entigar memaklumkan, Pejabat Daerah Tebedu telah dipilih sebagai tuan rumah penganjuran program berprestij itu untuk tahun ini yang menjadi simbol persahabatan dan kerjasama erat antara Tebedu, Sarawak dan Entikong, Kalimantan Barat.
“Pengisian program akan dimulakan pada waktu siang dengan penganjuran Sukan Sosek Malindo yang melibatkan pelbagai aktiviti sukan tradisional dan sukan moden, bertujuan menggalakkan penyertaan masyarakat serta memupuk semangat perpaduan dan kesukanan,” katanya dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Selain itu, Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) turut membantu sebagai penasihat keselamatan dalam perancangan dan pelaksanaan program Sosek Malindo setiap tahun.
Gerard George menambah, pada sebelah malam pula, Malam Titian Muhibah ke-17 akan diadakan sebagai acara kemuncak sambutan tahun 2026.
Program itu katanya, dijangka menjadi platform penting dalam mengeratkan silaturahim, pertukaran budaya serta persefahaman antara rakyat kedua-dua negara.
Secara keseluruhan ujarnya, penganjuran program itu dijangka melibatkan seramai 200 peserta yang terdiri daripada wakil Entikong, Indonesia dan Tebedu, Sarawak, Malaysia.
Jelasnya, penganjuran Program Sosek Malindo dan Malam Titian Muhibah itu dilihat terus memainkan peranan signifikan dalam memperkukuh hubungan kejiranan, kerjasama sosial serta keharmonian komuniti di kawasan sempadan Malaysia–Indonesia.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Bomba Zon 7 Limbang sasar murid kuasai kemahiran asas renang
Januari 21, 2026, Rabu - 7:14pm

Ramlan menjalankan Program Jom Belajar Renang Zon 7 Limbang di Kolam Renang Limbang baru-baru ini.
LIMBANG: Program Jom Belajar Renang Zon 7 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menyasarkan para peserta yang terdiri daripada murid sekolah rendah untuk menguasai kemahiran asas renang.
Ketua JBPM Zon Tujuh Limbang Ramlan Marajan berkata, kemahiran asas renang amat penting bagi mengurangkan kes lemas dan insiden tidak diingini.
“Seramai 45 peserta telah terlibat yang terdiri daripada kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun di daerah ini,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, pemilihan murid sekolah rendah dilakukan kerana struktur pembelajaran lebih mudah dan senang bagi menarik golongan ini secara berkumpulan.
Program Jom Belajar Renang Zon 7 Limbang itu diadakan di Kolam Renang Limbang.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Banjir di Beluru semakin pulih, hanya enam kawasan masih terjejas
Januari 21, 2026, Rabu - 7:19pm
MIRI: Keadaan banjir di daerah Beluru dilaporkan semakin pulih apabila hanya enam kawasan masih digenangi air setakat jam 2 petang tadi berbanding jumlah kawasan yang lebih banyak sebelum ini.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Beluru Mirwan Shah Masri, banjir yang melanda kawasan terbabit berpunca daripada fenomena air sungai pasang besar bertembung dengan hujan lebat secara berkala sejak 8 Disember 2025 sehingga kini.
Antara kawasan yang masih terjejas ialah Rumah William Saba yang melibatkan 17 pintu rumah dengan 110 penduduk, dengan paras air setinggi kira-kira 2.2 kaki namun dilaporkan semakin menurun.
Turut terjejas Rumah Keyai di Sungai Lutong, Bakong membabitkan sembilan pintu dan 43 penduduk, dengan paras air setinggi 31 inci, selain Rumah Adin di Sungai Kelabit, Bakong yang melibatkan 14 pintu rumah dan 45 penduduk, dengan paras air sekitar dua kaki, juga menunjukkan trend penurunan.
"Dua lagi kawasan di Bakong iaitu Rumah Limban di Sungai Buri dan Rumah Nazareth Melvin di Rantau Segawa masing-masing mencatatkan paras air sekitar satu kaki hingga satu kaki satu inci, melibatkan keseluruhan 10 pintu rumah dan 47 penduduk dan dilaporkan beransur surut.
"Sementara itu, kawasan Rumah Anthony di Logan Manok yang melibatkan 22 pintu rumah dan 68 penduduk turut masih digenangi air setinggi kira-kira satu kaki satu inci, namun keadaan juga dilaporkan semakin baik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mirwan yang juga Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Marudi memaklumkan bahawa lima kawasan banjir termenung sebelum ini telah ditutup, selaras dengan keadaan air yang semakin surut.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
AADK Sibu adakan ceramah, pameran di GIATMARA Kanowit
Januari 21, 2026, Rabu - 7:25pm

Ceramah dan Pameran Antidadah sempena Program Minggu Mesra Pelatih Baharu Sesi 1/2026 di GIATMARA Kanowit, semalam. - Gambar AADK Daerah Sibu
KANOWIT: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sibu telah mengambil inisiatif proaktif dengan mengadakan Ceramah dan Pameran Antidadah sempena Program Minggu Mesra Pelatih Baharu Sesi 1/2026 di GIATMARA Kanowit, semalam.
Program yang dianjurkan GIATMARA Kanowit itu bertujuan memberikan pendedahan awal serta kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang kepada para pelatih yang baru mendaftar.
AADK Daerah Sibu dalam kenyataan di Facebook rasminya berkata, seramai 15 pelatih baharu telah menyertai sesi itu.
Pengisian program merangkumi ceramah kesedaran mengenai klasifikasi dadah serta bahan terlarang, kesan buruk terhadap kesihatan mental dan fizikal.
Selain itu, pameran interaktif turut diadakan bagi memberi gambaran visual yang lebih jelas kepada para peserta.
Dalam pada itu, pihak AADK Daerah Sibu turut mengambil peluang mempromosikan serta melaksanakan pendaftaran keahlian SKUAD Antidadah secara dalam talian kepada para pelatih.
Langkah itu bertujuan menggalakkan golongan belia untuk berperanan aktif sebagai ejen perubahan dalam komuniti.
Inisiatif kerjasama antara AADK Daerah Sibu dan GIATMARA Kanowit itu dilihat sebagai langkah penting dalam membentuk jati diri pelatih yang bebas daripada najis dadah, selaras dengan aspirasi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang bersih.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki cedera dalam kemalangan dua lori di Bintangor
Januari 21, 2026, Rabu - 9:11pm
BINTANGOR: Seorang pemandu lori cedera ringan selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah lori di Jalan Skim B menghala ke Sungai Petai di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.55 petang itu, mangsa berusia 30 tahun itu mengalami kecederaan ringan pada bahagian kaki kanan selepas lori yang dipandunya bertembung dengan sebuah lagi lori.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.55 petang sebelum menggerakkan sebuah jentera bersama lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor ke lokasi kejadian.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi pada jam 5.12 petang dan mendapati kemalangan melibatkan dua buah lori,” menurut kenyataan itu.
Katanya, seorang mangsa didapati terperangkap di dalam kenderaan terbabit dan operasi menyelamat segera dijalankan.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat dan disahkan mengalami kecederaan ringan pada kaki kanan sebelum diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Menurut kenyataan sama, pemandu lori kedua berusia 70 tahun dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Operasi dikawal sepenuhnya pada jam 5.25 petang dan ditamatkan kira-kira jam 5.40 petang selepas kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan dilaksanakan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Bomba kesan kehadiran gas metana di tapak Pesta Kaul Oya
Januari 21, 2026, Rabu - 9:22pm

Operasi pemantauan dan mengenal pasti bacaan gas di tapak Pesta Kaul Oya di Mukah, hari ini. - Gambar BBP Mukah
MUKAH: Hasil pemantuan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Bintulu hari ini mendapati kehadiran gas mudah terbakar jenis metana di tapak Pesta Kaul Oya di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah Nicholas Belulin berkata, pasukan HAZMAT telah menjalankan pemantauan bacaan gas menggunakan peralatan khas.
"Bacaan diambil sebanyak tiga kali pada masa yang berbeza.
"Keadaan di lokasi adalah tiada berlaku kebakaran dan permukaan tanah kering," ujarnya menerusi kenyataan hari ini.
Operasi pemantauan dan mengenal pasti bacaan gas di tapak Pesta Kaul Oya bermula jam 10.30 pagi hingga 5 petang.
Bacaan yang diambil menandakan tahap risiko tinggi - Gambar BBP Mukah
Beliau berkata, tiga bacaan yang diambil menggunakan peralatan 4 Gas Meter (GFG) menunjukkan bacaan LEL antara 90 peratus hingga 100 peratus yang menandakan tahap risiko tinggi.
"Kehadiran gas mudah terbakar ini berpotensi mendatangkan bahaya kepada orang awam memandangkan lokasi berkenaan merupakan laluan utama penduduk ke tapak pesta kaul serta kawasan rekreasi," jelasnya.
Katanya, operasi pemantauan dan mengenal pasti bacaan gas di tapak Pesta Kaul Oya bermula jam 10.30 pagi hingga 5 petang.
Operasi tersebut turut disertai pegawai dan anggota BBP Mukah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Daerah Kecil Oya, Jabatan Alam Sekitar (JAS), syarikat survei geologi tempatan dan Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM).
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Waspada penipuan dalam talian menjelang musim perayaan: MTPN Sarawak
Januari 22, 2026, Khamis - 8:31am

Lau (dua kiri) bersama pasukannya ketika membantu seorang mangsa penipuan scam di Sibu membuat laporan polis, baru-baru ini.
SIBU: Warga Sarawak digesa agar meningkatkan tahap kewaspadaan terhadap taktik penipuan dalam talian yang semakin licik dan terancang, khususnya menjelang musim perayaan.
Gesaan itu disuarakan oleh Yang Dipertua Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Sarawak Lucas Lau sambil menambah, bentuk dan kaedah jenayah masa kini sentiasa berubah seiring dengan perkembangan teknologi.
Katanya, walaupun kadar jenayah fizikal dilihat menurun di beberapa kawasan, jenayah dalam talian atau jenayah siber pula menunjukkan peningkatan yang membimbangkan.
"Keghairahan orang ramai mencari tawaran hebat, diskaun besar atau ganjaran lumayan sempena musim perayaan sering menjadi sasaran sindiket penipuan untuk mengaut keuntungan mudah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Lau turut merujuk kepada data awam sehingga akhir tahun 2025 yang menunjukkan kerugian akibat penipuan dalam talian di Malaysia telah melonjak secara drastik, dengan jumlah kes mencecah puluhan ribu dan nilai kerugian terkumpul melebihi RM2.7 bilion.
Tegasnya, angka tersebut bukan sekadar statistik, sebaliknya mencerminkan ancaman sebenar terhadap keselamatan kewangan rakyat.
"Sebahagian besar kes menunjukkan bahawa selepas wang berpindah tangan, hampir tiada apa yang boleh dilakukan untuk mendapatkannya semula.
"Justeru, masyarakat perlu menjadi pengguna bijak yang lebih peka dan tangkas sebelum terperangkap," ujarnya.
Lau turut menjelaskan, kesan penipuan siber bukan sahaja melibatkan kerugian individu, malah memberi impak besar terhadap ekosistem perniagaan yang sah.
Katanya, peningkatan kes scam boleh menghakis kepercayaan pengguna terhadap transaksi digital, sekali gus menjejaskan peniaga tempatan yang menjalankan perniagaan secara jujur, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana yang bergantung kepada platform e-dagang.
"Ketakutan pengguna untuk berbelanja dalam talian akibat pengalaman ditipu boleh melumpuhkan pertumbuhan ekonomi tempatan," katanya sambil menegaskan bahawa pembanterasan scam penting bagi mengekalkan integriti pasaran dan reputasi peniaga yang telus.
Sebagai langkah keselamatan, beliau menekankan kepentingan tindakan pantas sekiranya seseorang menyedari mereka menjadi mangsa penipuan.
Orang ramai dinasihatkan supaya segera menghubungi bank masing-masing melalui talian bantuan 24 jam atau melaporkan kejadian kepada Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997.
"Laporan awal amat kritikal bagi membolehkan pihak berkuasa menyekat aliran keluar wang mangsa daripada sistem perbankan," jelasnya.
Selain itu, orang ramai digalakkan membuat semakan nombor telefon atau akaun bank yang mencurigakan melalui portal SemakMule Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum melakukan sebarang transaksi.
Lau berkata, pihaknya sentiasa bersedia bekerjasama dengan badan berkuasa dan agensi penguatkuasaan untuk menganjurkan lebih banyak kempen kesedaran di seluruh negeri.
Beliau turut menyatakan kesediaan MTPN Sarawak untuk menyokong dan menyertai sebarang program komuniti yang bertujuan mendidik masyarakat mengenai kepenggunaan dan hak pengguna.
Lau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan prinsip “siasat sebelum percaya” dan tidak sesekali mendedahkan maklumat perbankan kepada pihak ketiga.
"Saya menyeru rakyat Sarawak supaya bersatu meningkatkan literasi kewangan dan digital bagi mengelakkan diri daripada terus menjadi mangsa kepada perancangan licik para penjenayah siber yang tidak bertanggungjawab," tambahnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Terabai Menua Cawangan Selangau santuni mangsa kebakaran di Nanga Sikat
Januari 22, 2026, Khamis - 8:39am

Ahli-ahli Jawatankuasa Terabai Menua Cawangan Selangau menyerahkan sumbangan kepada Dicky (tiga kiri) dan keluarganya di Nanga Sikat, Selangau pada Rabu.
SIBU: Persatuan Kebajikan Tunjang Masyarakat Sarawak (Terabai Menua) Cawangan Selangau semalam menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran di Nanga Sikat, Selangau.
Dalam kejadian awal pagi 16 Januari lalu, rumah Dicky Siba Jarau dilaporkan musnah sepenuhnya dalam kebakaran sekali gus menyebabkan mangsa sekeluarga berada dalam keadaan serba kekurangan.
Sebagai tanda keprihatinan, Terabai Menua Cawangan Selangau telah menyalurkan bantuan berupa barangan keperluan asas dan bekalan makanan bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa sementara menunggu bantuan susulan daripada pihak berkaitan.
Misi penyampaian bantuan itu diketuai oleh tiga Ahli Jawatankuasa Terabai Menua Cawangan Selangau iaitu Anthony Tupai, Ricky Sauoh dan Frankie Jawan, yang turut meluangkan masa menyantuni mangsa serta meninjau keadaan di lokasi kejadian.
Menurut persatuan, inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Terabai Menua dalam membantu masyarakat setempat yang ditimpa musibah, selaras dengan matlamat untuk memperkukuh semangat kebersamaan dan saling membantu dalam kalangan komuniti luar bandar.
Persatuan itu turut menyeru agar lebih banyak pihak tampil menghulurkan bantuan bagi memastikan kebajikan mangsa kebakaran terus terbela.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Terabai Menua Cawangan Sibu sumbang keranda kepada keluarga mendiang tuai rumah
Januari 22, 2026, Khamis - 8:41am

Ambrose (kanan) menyerahkan dokumen keranda yang disumbangkan bagi pihak Terabai Menua kepada anak mendiang di Sibu, baru-baru ini.
Persatuan Kebajikan Tunjang Masyarakat Sarawak (Terabai Menua) Cawangan Sibu menzahirkan keprihatinan dengan menghulurkan sumbangan berupa sebuah keranda kepada keluarga mendiang Tuai Rumah Jarit Anggan dari Nanga Dap, Kanowit.
Sumbangan itu disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Terabai Menua Cawangan Sibu Ambrose Manggie kepada anak mendiang di sini, baru-baru ini.
Menurut persatuan, sumbangan berkenaan adalah sebagai tanda sokongan moral dan solidariti kepada keluarga yang sedang melalui detik sukar kehilangan insan tersayang.
"Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan persatuan dalam membantu masyarakat, khususnya ketika berhadapan dengan saat-saat mencabar, selaras dengan peranan Terabai Menua sebagai wadah kebajikan yang dekat dengan rakyat," ujar persatuan dalam satu kenyataan.
Keluarga mendiang turut merakamkan penghargaan atas keprihatinan yang ditunjukkan, yang sedikit sebanyak meringankan beban mereka dalam menguruskan urusan pengebumian.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Cadangan pembangunan Platform Inklusif Digital dikemuka bagi memperkasa golongan OKU
Januari 22, 2026, Khamis - 9:58am

Fatimah (enam kanan) merakamkan gambar bersama delegasi akademik diketuai Ida (lima kanan) dan Wan Hashim (empat kiri).
KUCHING: Cadangan pembangunan Platform Inklusif Digital serta penilaian impak sosioekonominya terhadap golongan orang kurang upaya (OKU) dikemukakan bagi memperkasa kebolehcapaian, keterangkuman dan penyertaan golongan berkenaan menerusi pendekatan inovasi digital.
Cadangan tersebut dibentangkan oleh delegasi akademik yang diketuai Prof. Dr. Ida Adi Badiozaman dari Kampus Universiti Teknologi Swinburne Sarawak bersama Prof. Dr. Wan Hashim Wan Ibrahim dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) semasa kunjungan hormat ke atas Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah pada Rabu.
Inisiatif berkenaan bertujuan memanfaatkan teknologi digital serta pendekatan berasaskan data bagi menyokong pembangunan inklusif, di samping memastikan pandangan dan keperluan golongan OKU diintegrasikan secara bermakna dalam perancangan dasar serta pelaksanaan program.
Menyambut baik cadangan tersebut, Fatimah menegaskan kepentingan kerjasama strategik antara kerajaan, institusi akademik dan rakan industri bagi memastikan pembangunan Platform Inklusif Digital dapat memberikan impak nyata terhadap peningkatan kualiti hidup golongan OKU di Sarawak.
Menurut beliau, pendekatan berteraskan inovasi dan keterangkuman adalah penting dalam menyokong usaha ke arah pembangunan masyarakat yang mampan dan saksama.
Kunjungan hormat itu turut mencerminkan komitmen bersama semua pihak untuk memperkukuh kerjasama serta meneroka penyelesaian inovatif dan inklusif demi kesejahteraan komuniti di negeri ini.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|