|
Post Last Edit by cikieda at 11-5-2011 08:55
Ada kekuatan, ada magis
LETAK tepi soal rekod pecah panggung mahupun keuntungan di sebaliknya, filem yang diangkat daripada sambutan luar biasa menerusi drama sirinya sebelum ini, Nur Kasih The Movie punya kekuatan tersendiri.
Jika kualiti dan kelainan garapan dijadikan kayu pengukur, filem sentuhan pengarah terkenal, Kabir Bhatia yang diterjemah daripada hasil tulisan isterinya sendiri, Mira Mustaffa boleh dilihat antara naskhah terbaik dan magis tersendiri untuk tontonan kaki wayang tempatan.
Malah karya sebelum ini, Cinta dan Sepi mendapat pujian pengkritik tetapi malangnya filem itu gagal memancing penonton melalui pungutan tiket.
Ketika ditanya perkara itu kepada Kabir, katanya, dia optimis dan menyifatkan perkara itu sebagai satu cabaran.
“Saya akui akan senario itu yang mana karya-karya saya masih gagal untuk menarik penonton ke panggung sebelum ini. Walaupun pihak media dan pengkritik filem memberi ulasan yang positif, ia masih tidak menjamin satu sambutan luar biasa.
“Namun saya lihat kedua-dua filem itu, Cinta dan Sepi tidak benar-benar menyeluruh menguasai selera penonton luar bandar dan itu adalah faktor utamanya.
“Berbeza dengan Nur Kasih The Movie, saya percaya ia sebuah naskhah yang mungkin boleh mengusik minat penonton terutamanya peminat setia drama sirinya.
“Konsep dan pengarahannya digarap pada skala yang lebih luas bagi memikat selera semua peringkat umur. Plot ceritanya diubah sedikit namun keseluruhan rasa dan jiwa masih kekal sama seperti mana yang digambarkan pada sirinya sebelum ini.
“Sesuatu yang saya sifatkan luar biasa dan istimewa adalah sentuhan tulisan Mira yang begitu kemas dan tersusun. Enam bulan penerokaannya dalam menyempurnakan keseluruhan plot cerita begitu berbaloi dan saya begitu bangga untuk menterjemahkannya dalam bentuk visual.
“Namun apa yang lebih indah adalah watak dan karektor yang menghidupkan jalan ceritanya. Lakonan dan komitmen daripada setiap barisan pelakon adalah terbaik dan memudahkan perjalanan penggambaran,” katanya ketika ditemui di majlis Malam Gala Nur Kasih The Movie, kelmarin.
Bagaimanapun, enggan bersikap berat sebelah atau memberikan bayangan negatif kepada karya bernilai RM2.8 juta ini, ada lebih baiknya peminat dan penonton sendiri yang menilainya.
Namun jika diteliti dengan sempurna, keseluruhan plot ceritanya masih tidak menghampakan kepada peminat setia siri itu.
Sinopsis dan kronologi plot ceritanya sarat dengan konflik dan kemelut cinta yang tidak berakhir. Malah lebih kusut dan tampak terlalu padat hingga ada kalanya mengelirukan penonton apabila versi layar lebarnya ini ditambah dengan beberapa sub plot lain kononnya bagi menguatkan jalan ceritanya.
Mengangkat tema kekeluargaan dalam jalur keislaman mengisahkan Adam lakonan Remy Ishak dan Aidil lakonan Fizz Fairuz sebagai subjek utamanya. Dua jasad dari darah yang sama menyimpang jauh dari segi perwatakan. Aidil, anak muda penuh pegangan agama manakala Adam penuh dengan jiwa memberontak.
Dalam memenuhi wasiat terakhir ayah tercinta, Adam dan Nur Amina lakonan Tiz Zaqyah dinikahkan dengan penuh meriah tanpa terlihat kesengsaraan yang dilalui Aidil yang dalam diam mencintai Nur Amina sepenuh hati.
Enam tahun berlalu, Aidil, Adam dan Nur berada di persimpangan kemuncak kehidupan mereka. Aidil kehilangan isteri tercinta, Aliya lakonan Ayu Raudhah yang hanya digambarkan pada gaya imbasan menyebabkan dia membesarkan dua anak comelnya Ilyas dan Maryam sendirian.
Adam dan Nur pula walau bahagia, tapi dalam diam bergelut dengan rontaan apabila masih gagal menimang cahaya mata.
Untuk mengisi ruang kosong di hati, mereka menjadi sukarelawan di Pusat Perlindungan Kanak-Kanak Terbiar. Adam juga punya kesinambungan hitam dari kejadian letupan di Mumbai.
Semua harapan kini bersinar bila Nur disahkan berbadan dua. Namun bencana tidak diundang menimpa dan memisah dua hati ini sekali lagi. Lantas wujud pula konflik lain yang terus menghangatkan lagi plot ceritanya.
Menariknya, Kabir masih lagi mengekalkan sinematografi yang indah menggambarkan kebahagiaan Adam dan Nur Amina terutamanya babak-babak pengembaraan di bumi Jordan.
Selepas mengamati sejam setengah kisahnya, filem yang turut dijayakan Datuk Rahim Razali dan Afida Es ini mengundang pelbagai reaksi daripada penggiat-penggiat seni lain yang sempat meluangkan masa bagi memberikan sokongan di majlis malam gala filem itu.
Pengarah terkenal, Shuhaimi Baba, pelakon dan pengacara Melodi, Dira Abu Zahar serta produser Datuk Yusuf Haslam yang ditemui berkata, Nur Kasih memberikan kepuasan yang tersendiri kepada penonton terutamanya pada aspek pengarahan dan garapan ceritanya.
Yusof yang hadir bersama isteri, Datin Fatimah Ahmad berkata, selepas menonton filem ini dan menilai pada perspektif seorang pengarah, mengakui kagum dengan pembangunan watak dan hala tuju pengarahannya.
“Keseluruhan plot dan cerita yang ingin disumbat digarap dengan kemas membuatkan penonton dapat merasa impaknya. Itu adalah satu kekuatan yang mungkin menjadi pelaris kepada filem ini.
“Malah saya cukup mengagumi kesemua barisan pelakonnya terutamanya Tiz Zaqyah yang begitu hebat dan bersahaja melakonkan watak Nur Aminah. Ekspresi wajah dan lontaran skripnya begitu jelas hingga berjaya menjentik emosi penonton yang berkhayal mengikuti kisahnya. Pelakon-pelakon lain juga begitu hebat dan membantu menguatkan lagi jalan ceritanya.
“Saya yakin filem ini akan berjaya menarik minat penonton ke panggung selain memberikan sesuatu yang berbeza kepada industri perfileman tempatan,” katanya.
Mengakui menjadi peminat setia kepada 26 episod sirinya sebelum ini, penyampai radio popular yang juga pelakon berbakat, Sharifah Aleya turut mengandaikan Nur Kasih adalah kesinambungan kepada fenomena yang pernah dicetuskan.
“Jujurnya saya memang peminat setia drama sirinya hingga mempunyai set box yang dibeli. Bukan setakat konsep ceritanya, namun saya begitu tertarik dengan skrip dan pengarahan Kabir yang punya identiti tersendiri. Justeru saya begitu tertarik untuk menyaksikan kesudahannya menerusi versi filemnya ini.
“Keistimewaan filem ini juga terletak kepada kombinasi kreativiti Kabir dan isterinya, Mira yang begitu hebat menjalin kisah untuk mengikat perhatian penonton. Bayangkan, filem ini tidak hanya mencerminkan emosi semata-mata sebaliknya karektor yang dibangunkan ada keserasian yang begitu kemas,” katanya.
Kehadiran wajah baru sebagai pelakon undangan dilihat begitu kuat dan hebat.
Afida Es dan Rahim berjaya meninggalkan impak meskipun hanya muncul pada akhir cerita.
Malah pendatang baru, Muniff Isa, Syafie Naswip, Beto Kusyairi dan Sara Ali selain pelakon cilik, Mohd Ilyas Suhaimi dan Mia Sara Nasuha berjaya menarik perhatian walaupun peranannya hanya untuk melengkapkan jalur cerita. |
|