CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: mirza5

Berita di pahang hari ni..

[Copy link]
Post time 28-4-2008 08:49 AM | Show all posts
KBS bangunkan acara sukan mampu raih pingat

TEMERLOH 27 April - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memfokus pada pembangunan acara sukan yang mampu memberikan pingat, termasuk sukan yang tidak popular dalam kalangan rakyat negara ini.

Menterinya, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, penyertaan atlet di pentas antarabangsa sebelum ini 'tersalah fokus' apabila mengambil bahagian dalam acara yang sukar untuk memberikan pingat.

Katanya, pembangunan sukan selama ini lebih tertumpu kepada acara popular seperti bola sepak dan hoki tetapi pada realitinya, acara terbabit sukar untuk memberikan pingat kerana gagal bersaing dengan atlet luar negara dari segi stamina dan kekuatan fizikal.

''Selepas ini, kita juga akan memberi tumpuan membangunkan sukan dalam acara yang tidak popular tetapi mampu memberikan pingat seperti menembak, memanah, boling padang dan gimnastik,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kesyukuran dan Beramah Mesra Bersama Menteri Belia dan Sukan di sini, malam tadi.

Menurut beliau, walaupun tidak popular tetapi atlet negara mampu bersaing kerana sukan seumpamanya tidak terlalu bergantung kepada kekuatan fizikal, sebaliknya kemahiran untuk mengendalikan peralatan seperti panah dan pistol.

Katanya, sukan menembak mungkin tidak popular dalam kalangan rakyat negara ini tetapi dari segi ranking, Malaysia menduduki tangga ketujuh dunia dan acara boling padang, pada kedudukan terbaik dunia.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, pihaknya akan memberikan tumpuan untuk mengembangkan acara sukan tersebut di peringkat akar umbi.

''Kita telah menubuhkan jawatankuasa kerja untuk mengenal pasti bakat-bakat sukan tersebut di peringkat sekolah rendah lagi," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, KBS akan membina lebih banyak gelanggang serba guna yang berharga RM100,000 sebuah di kawasan kampung mulai Jun depan, sebagai satu usaha untuk mencungkil bakat muda.

Menurut beliau, disebabkan tidak mempunyai kemudahan peralatan dan gelanggang untuk bersukan, bakat-bakat muda di kawasan kampung tidak dapat dicungkil dan akhirnya terabai begitu sahaja.

Katanya, setiap kawasan Parlimen akan mendapat empat atau lima buah gelanggang serba guna yang mempunyai gelanggang badminton, bola keranjang, futsal, bola jaring dan sebagainya.

Pada majlis itu, bekas Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Tan Sri Sabbaruddin Chik dikurniakan Anugerah Jasamu Dikenang bagi menghargai peranan beliau membangunkan sukan peringkat Daerah Temerloh.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 28-4-2008 08:53 AM | Show all posts
Pelajar mangsa langgar lari meninggal dunia

KUANTAN 27 April - Setelah 10 hari ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini, Norhajar Sobri, 13, akhirnya meninggal dunia kira-kira pukul 7 pagi di wad itu hari ini.

Pengarah HTAA, Dr. Ardi Awang berkata, kematian pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gudang Rasau itu berpunca daripada kegagalan beberapa organnya berfungsi akibat kemalangan di Jalan Kuantan-Gambang pada 18 April lalu.

''Norhajar menghembuskan nafasnya pagi ini. Kemalangan tersebut menyebabkan beberapa organnya gagal berfungsi," katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian 18 April lalu, sebuah kereta Proton Wira merempuh Norhajar dan rakannya, Norfadhila Amri, 13, ketika mereka melintas jalan untuk ke sekolah di Jalan Kuantan-Gambang.

Akibat kemalangan tersebut rakan Norhajar, Norfadhila, meninggal dunia di tempat kejadian sementara Norhajar cedera parah.

Sementara itu, bapa mangsa, Sobri Mustafa, 40, memberitahu, pemergian anak bongsunya itu begitu menyedihkan dia sekeluarga tetapi tetap menerima berita tersebut dengan hati terbuka.

Dia turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat tentang nasib anaknya itu termasuk Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

''Tiada apa yang dapat saya katakan selain terima kasih kerana prihatin dengan penderitaan yang kami alami dan menjaga anak saya dengan baik.

''Saya reda dengan kematian Norhajar walaupun sukar untuk menelan hakikat anak kesayangan kami telah tiada, lebih-lebih lagi dialah satu-satunya anak perempuan dalam keluarga," katanya ketika ditemui di Kampung Alor Batu, Mukim Sungai Karang di sini hari ini.

Jenazah Norhajar yang dibawa pulang ke rumah neneknya di sini dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Alor Batu tengah hari ini.

Sobri sekali lagi merayu agar siasatan lanjut berkaitan kemalangan membabitkan anaknya itu dapat dijalankan dengan teliti agar kematian Norhajar lebih terbela.

''Dalam hal ini, saya sebenarnya tidak menyalahkan sesiapa dan saya juga tidak mahu mengganggu siasatan dijalankan oleh pihak polis dan menyerahkan segalanya kepada mereka.

''Apa saya luahkan selama ini hanyalah untuk menuntut hak saya dan hasrat sebagai seorang bapa yang ingin perkara sama tidak berulang kepada keluarga lain di negara ini," katanya.

Tambahnya, bagi mengelakkan kemalangan berulang di lokasi yang sama, dia turut berharap agar kemudahan keselamatan untuk pelajar sekolah berdekatan dapat dibina dengan secepat mungkin.
Reply

Use magic Report

Post time 28-4-2008 08:56 AM | Show all posts
Pahang bakal jadi pengeluar ulam pajibaya

Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN

KUANTAN 27 April - Pahang bakal menjadi pengeluar utama Bactris gasipaes atau pajibaya iaitu sejenis tanaman yang menghasilkan buah dan umbut untuk makanan manusia serta ternakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak berkata, pihaknya telah mengenal pasti kawasan seluas 50,000 hektar di Muadzam Shah untuk mengusahakan tanaman tersebut.

''Kita telah menjalankan tanaman awal sebanyak 5,000 pokok di tanah seluas empat hektar dan kita akan besarkan kepada 50,000 hektar," katanya selepas merasmikan Promosi Sayur-sayuran dan Ulam-ulaman Peringkat Negeri Pahang di Stadium Darul Makmur di sini hari ini.

Menurutnya, selain ditanam secara komersiol, pajibaya yang berasal dari Amerika Tengah dan Amerika Selatan itu juga sesuai ditanam sebagai pokok hiasan di laman-laman rumah.

''Pokoknya seperti pokok pinang merah. Setiap pokok menghasilkan banyak sulur bagi menghasilkan umbut yang teksturnya halus.

''Umbutnya boleh dimakan secara mentah (salad), dijeruk atau dimasak pelbagai juadah menggantikan umbut kelapa dan rebung," kata beliau.

Tan Mohd. Aminuddin berkata, buah pajibaya boleh dijadikan tepung, diproses menjadi kerepek, kuih bingka dan lain-lain manakala bahan buangan pokok ini pula boleh dibuat campuran makanan binatang ternakan.

Beliau berkata, pajibaya mengambil masa setahun tiga bulan untuk membolehkannya dituai dan rasanya pula lebih enak berbanding umbut-umbut yang biasa dimakan oleh rakyat negara ini.

Lebih menarik, penanaman pokok jenis ini boleh diintegrasikan dengan tanaman kelapa sawit.

Daripada segi hasil, penanaman tanaman ini menelan kos sebanyak RM10,000 sehektar tetapi mampu mendatangkan pulangan RM13,000 iaitu untung bersih RM3,000 bagi setiap hektar dalam setahun.

Katanya, di Malaysia, selain Pahang, negeri-negeri yang sedang mengusahakan tanaman yang sama ialah Selangor dan Sabah.

Dalam perkembangan lain, Tan Mohd. Aminuddin menggesa para petani melipat gandakan hasil pengeluaran berikutan rungutan yang diterima daripada pasar raya besar bahawa mereka mengalami masalah kekurangan bekalan bahan mentah.

''Saya juga menyeru usahawan kita agar menceburi sektor pertanian dalam bidang ternakan, tanaman dan perikanan kerana pasaran terhadap hasil-hasil ini sentiasa ada," katanya.
Reply

Use magic Report

Post time 28-4-2008 08:57 AM | Show all posts
Rompin 'Jelapang Padi' Pantai Timur

KUANTAN 27 April - Pahang mahu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengkaji semula permohonan negeri itu untuk menjadikan daerah Rompin sebagai 'Jelapang Padi' di Pantai Timur.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak berkata, permohonan tersebut perlu diberi perhatian, berikutan krisis bekalan beras yang berlaku kebelakangan ini.

Menurutnya, Pahang sudah bermula awal kerana sebelum ini pernah membuat permohonan untuk mewujudkan 'Jelapang Padi' di Rompin.

''Kita minta pihak kementerian mengkaji balik (permohonan ini) kerana di Pahang kawasan yang banyak menanam padi ialah di Rompin dan Pekan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Promosi Sayur-Sayuran dan Ulam-Ulaman Peringkat Negeri Pahang di Stadium Darul Makmur di sini hari ini.

Daripada segi geografi, Pahang mempunyai keluasan tanah untuk pertanian kira-kira 3.6 juta hektar. Daripada jumlah itu, guna tanah untuk pertanian hanya merangkumi keluasan 1.2 juta hektar sahaja.

Menurut Tan Mohd. Aminuddin, Rompin mempunyai banyak kawasan tanah terbiar yang boleh diusahakan sebagai kawasan pertanian padi bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan beras.

''Saya menyeru para petani agar mengusahakan paya-paya (kawasan) terbiar. Kita boleh berunding dengan pihak kementerian untuk mendapatkan subsidi atau sebagainya," ujarnya.

Katanya, walaupun masalah bekalan beras di Pahang belum meruncing, namun pihaknya menerima rungutan daripada usahawan-usahawan kecil tentang kesukaran mereka mendapatkan bahan makanan itu daripada pembekal untuk dipasarkan di pasaran.

Beliau turut meminta Padiberas Nasional Berhad (Bernas) agar membantu pengusaha-pengusaha kecil ini dan tidak hanya mengutamakan pengilang yang besar-besar sahaja.
Reply

Use magic Report

Post time 29-4-2008 08:57 AM | Show all posts
Bendung gejala sosiol - Sultan

Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN

RAUB 28 April - Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah menyeru pihak-pihak berwajib bertindak segera membendung gejala keruntuhan moral di kalangan golongan muda di negeri ini yang kian membimbangkan.

Baginda bertitah, dalam usaha menangani masalah tersebut, mereka harus bertindak dengan bijak dan berhati-hati agar matlamat untuk 'menyelamatkan' anak bangsa dan negara dapat dicapai dengan berkesan.

Menurut baginda, antara aspek penyumbang kepada fenomena keruntuhan moral tersebut ialah berlakunya revolusi teknologi maklumat.

Titah baginda, revolusi teknologi maklumat amat berpengaruh terhadap warga remaja mengabaikan nilai-nilai tradisi kerana unsur-unsur budaya dominan yang dianggap moden ditiru.

''Saya amat bimbang dan menyeru pihak-pihak tertentu sentiasa berhati-hati membendung secara psikologi dan bijak mematahkan kemelut ini.

''Ini agar budaya tempatan tidak diasimilasi dengan budaya dominan asing sehingga melenturkan jati diri dan kita kehilangan identiti agama, bangsa dan negara," titah baginda.

Sultan Pahang bertitah demikian pada Majlis Semarak Kasih sempena Memuliakan Hari Ulang Tahun Keputeraan Baginda di Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah di sini hari ini.

Dalam titahnya, Sultan Ahmad Shah turut menasihatkan golongan muda terutama para pelajar supaya sentiasa mementingkan ilmu pengetahuan.

''Seharusnya kita melengkapkan diri dengan kesedaran penguasaan ilmu pengetahuan yang menjadi asas kepada insan di muka bumi ini mencapai dan memiliki kejayaan.

''Sejarah Islam telah memartabatkan hakikat bahawa segala perubahan dari sudut kejayaan tidak mungkin dinikmati tanpa penguasaan ilmu," titahnya.

Menyedari hakikat tersebut, Sultan Pahang menyatakan keazaman baginda untuk turut serta merealisasikan hasrat mengangkat martabat pendidikan ke ambang kecemerlangan akademik dan jati diri terbilang.

''Atas kesedaran ini, hakikatnya ialah pendidikan negeri dan negara perlu diberi sokongan padu oleh semua pihak.

''Orientasi sistem pendidikan kita juga sewajarnya bersifat holistik agar berupaya menyerlahkan potensi intelek warga pelajar," titah baginda.
Reply

Use magic Report

Post time 29-4-2008 08:58 AM | Show all posts
Dokumentasikan sejarah peradaban sepanjang Sungai Pahang

ORANG ramai menyaksikan peserta berakit memulakan Ekspedisi Berakit Antarabangsa Sungai Pahang 2008 di Kuala Lipis, kelmarin.

KUALA LIPIS 28 April - Semua pihak yang terlibat dalam Ekspedisi Berakit Antarabangsa Sungai Pahang 2008 disaran membuat kajian mengenai aspek kebersihan dan sejarah peradaban Melayu di sepanjang sungai itu.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamed Shahrum Osman berkata, hasil kajian itu amat penting bagi tujuan pemuliharaan dan mengawal kebersihan alam sekitar di sepanjang Sungai Jelai dan Sungai Pahang.

Menurut beliau, kajian mengenai khazanah sungai, artifak sejarah, geologi dan ekosistem perlu didokumentasikan dalam bentuk buku bagi tatapan generasi akan datang untuk dimanfaatkan bagi tujuan ilmiah.

''Berakit bukan sahaja untuk beriadah tetapi yang lebih penting ialah pengisiannya daripada aspek kajian mengenai sungai dan kebersihan yang boleh dimanfaatkan untuk kepentingan kerajaan dan penduduk pada masa akan datang sekali gus mendidik kita mencintai sungai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Ekspedisi Berakit Antarabangsa Sungai Pahang 2008 Kesembilan di jeti Sungai Jelai di sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Abdul Rahman Mohamed dan ADUN Cheka, Foong Kong Fuee.

Pada majlis itu, Mohamed Shahrum menaiki rakit khas mengiringi 80 rakit yang dinaiki seramai 750 peserta ke perhentian rehat pertama di Kampung Kuala Lanar, kira-kira lapan kilometer dari bandar Kuala Lipis.

Katanya, hasil kajian mengenai kebersihan amat penting kerana Sungai Jelai dan Sungai Pahang merupakan sumber bekalan air negeri ini terutama bagi daerah berdekatan sungai tersebut.

''Selain itu, peserta dapat membuat kajian mengenai sejarah etnik Melayu di pesisiran Sungai Jelai dan Sungai Pahang kerana masih banyak khazanah yang belum diteroka untuk didedahkan kepada pengetahuan umum," katanya.

Beliau juga meminta peserta yang mengikuti ekspedisi selama lapan hari itu memanfaatkan program tersebut dengan menghayati keindahan alam sekitar di samping menyedarkan semua pihak mengenai kebersihan sungai.

Ekspedisi berakit, menurutnya, antara lain memberi peluang kepada pelancong asing dan domestik melihat cara hidup masyarakat Melayu di pesisiran sungai di setiap kampung yang menjadi perhentian peserta sebelum berakhir di Pekan.

''Peserta yang mewakili agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat bertukar pendapat mengenai sejarah tempatan di samping membuktikan kemahiran mengawal rakit di sepanjang laluan Sungai Pahang," katanya.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan cadangan kerajaan untuk membina sebuah jambatan gantung menyeberangi Sungai Jelai di sini, untuk memudahkan orang ramai melihat keindahan alam sekitar dan bandar bersejarah Kuala Lipis.

Katanya, projek itu juga mampu menarik lebih ramai pelancong melihat bangunan-bangunan lama tinggalan penjajah British pada abad ke-19 di bandar ini.
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 29-4-2008 09:00 AM | Show all posts
Ekspedisi berakit pacu sektor pelancongan Pahang

HAMZAH HAMID

KUALA LIPIS 28 April - Penduduk Kuala Lipis dan Jerantut menyambut baik usaha kerajaan negeri menganjurkan Ekspedisi Berakit Antarabangsa Sungai Pahang 2008 kerana ia mampu memacu sektor pelancongan di daerah itu.

Ekspedisi selama lapan hari bermula di Sungai Jelai di sini, mampu menarik pelancong asing ke daerah berkenaan kerana selama ini pelawat banyak tertumpu ke kawasan pusat peranginan tanah tinggi dan pulau seperti Cameron Highlands, Genting Highlands, Bukit Fraser dan Pulau Tioman.

Langkah itu juga, menurut mereka, dapat memberi peluang kepada pihak yang terlibat dalam ekspedisi tersebut menambah pengetahuan menerusi siri penjelajahan Sungai Jelai dan Sungai Pahang yang mempunyai banyak keunikan.

Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Kuala Tahan, Hamzah Hamid berkata, program itu menggalakkan pembabitan ramai belia dan golongan muda mencintai alam sekitar terutama sungai di negeri ini.

''Program ini dapat menguatkan stamina, disiplin dan kemahiran peserta mengawal rakit semasa menyusuri Sungai Jelai dan Sungai Pahang sejauh 360 kilometer," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Ekspedisi yang dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (PKBF) itu merupakan kegiatan rekreasi berasaskan sungai bagi menarik lebih ramai pelawat ke Pahang tahun ini.

Seramai 750 peserta menaiki 80 rakit bersama 300 anggota keselamatan terlibat dalam ekspedisi yang akan berakhir di Pekan, 8 Mei ini.

Hamzah yang juga peserta ekspedisi itu berkata, acara tersebut memberi pengalaman baru kepada peserta dan penaja untuk membantu kerajaan negeri menghidupkan warisan sejarah bagi menarik ramai pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2008.

Seorang petugas di sebuah resort di Kuala Tahan, Mohd. Azam Mohd. Yassin, 42, berkata, ekspedisi berakit dari Kuala Lipis ke Pekan itu dapat menguji peserta dalam membina semangat kerjasama dan disiplin diri semasa menyusuri Sungai Pahang.

''Program ini memberi peluang peserta menikmati keindahan alam sekitar di sepanjang Sungai Pahang dan meneroka khazanah kebudayaan dan kesenian Melayu Pahang," katanya.

Justeru, jelasnya, kegiatan itu juga dapat memberi pengetahuan kepada peserta mengenai aspek penjagaan alam sekitar dan kepentingan memulihara akuakultur di Sungai Jelai dan Sungai Pahang.

Seorang penduduk Kampung Mela, Norbazilah Ilias, 24, berkata, program itu menarik ramai pelawat untuk melihat dengan lebih dekat kehidupan masyarakat pesisiran Sungai Pahang.

''Kegiatan berakit boleh menghidupkan kembali tradisi silam orang Melayu untuk tatapan generasi hari ini dan memahami erti kepayahan penduduk yang tinggal di sini sebelum merdeka," katanya.

Sehubungan itu, Norbazilah meminta pihak penganjur perlu mengadakan lebih banyak aktiviti seumpama itu kerana ia memberi daya tarikan tersendiri kepada pelawat.

Seorang lagi penduduk, Zamri Ismail, 36, berkata, acara itu boleh menarik pengunjung tempatan di luar Pahang melihat kegiatan berakit dan kehidupan di pesisiran sungai.

''Ia merupakan satu usaha yang baik daripada kerajaan negeri tetapi saya berharap perlu lebih ramai pembabitan pelancong asing kerana program ini didominasi peserta tempatan," katanya.

Kegiatan berakit, menurut Zamri, antara sukan air yang menarik boleh dikembangkan ke peringkat antarabangsa di samping menonjol imej tradisional penduduk tempatan bagi menarik perhatian pelawat luar.

Seorang pelancong Britain, Carrie Vaughn, 35, berkata, kegiatan berakit mampu menarik pelawat luar ke Pahang untuk menikmati keindahan sungai dan memupuk kesedaran menjaga alam sekitar.

''Lawatan singkat ini menarik minat saya untuk turut menyertai ekspedisi berakit pada tahun akan datang untuk mengkaji persekitaran sungai dan budaya penduduk tempatan," katanya.

Dia yang tiba dari Kuala Lumpur menerusi sebuah agensi pelancongan berkata, kegiatan berkenaan boleh mendidik orang ramai mencintai sungai dan hidupan air.

Rakannya, Rick Walsh, 38, pula berkata, dia kagum dengan rakit buluh yang dibina dengan semangat kerjasama dan mempunyai nilai kreativiti dari segi bentuk dan hiasan.

Tambahnya, kegiatan berakit amat jarang ditemui di Britain dan kunjungan itu memberi pengalaman yang cukup berharga serta berazam untuk kembali ke negara ini bagi menyertai acara itu tahun depan.
Reply

Use magic Report

Post time 29-4-2008 09:14 AM | Show all posts
...........................
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 29-4-2008 09:14 AM | Show all posts
mendap jugak page kat sini
Reply

Use magic Report

Post time 29-4-2008 09:14 AM | Show all posts
........................................
Reply

Use magic Report

Post time 29-4-2008 09:15 AM | Show all posts
.............................................
Reply

Use magic Report

Post time 29-4-2008 09:15 AM | Show all posts
.........................................
Reply

Use magic Report

Post time 29-4-2008 09:15 AM | Show all posts
.........................................
Reply

Use magic Report

Post time 1-5-2008 08:07 PM | Show all posts
Matta Fair tawar 10,000 tiket penerbangan percuma

KUANTAN 30 April - Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta Fair 2008) Pahang menawarkan sebanyak 10,000 tiket penerbangan percuma pergi balik Kuantan-Pulau Pinang menerusi syarikat penerbangan komuniti milik Malaysia Airlines System Bhd.(MAS), FlyFirefly Sdn. Bhd. (Firefly).

Pengerusi Matta Fair Pahang, Burhanuddin Ghazali berkata, langkah itu bertujuan menarik orang ramai berkunjung ke pameran tersebut yang akan diadakan selama tiga hari di Kuantan Parade bermula Jumaat ini.

"Selain tawaran tiket percuma, Matta Fair 2008 turut menyajikan pelbagai aktiviti menarik di samping diskaun bagi pakej-pakej pelancongan," katanya kepada pemberita di Taman Budaya Pahang di sini hari ini.

Burhanuddin berkata, pihaknya turut menyasarkan lebih 40,000 pengunjung dalam tempoh tiga hari pameran diadakan.

Jumlah itu katanya, dijangka dapat dicapai berdasarkan penyertaan 22 ejen pelancongan dari seluruh negara yang menawarkan pelbagai pakej pelancongan menarik di dalam dan luar negara.

"Setiap tahun, kita dapati bilangan pengunjung semakin bertambah, begitu juga dengan penyertaan agensi pelancongan dan penaja," katanya.

Jelas beliau, pihaknya menjangkakan menerima seramai 10,000 hingga 20,000 pengunjung sehari melalui penganjuran pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan mewarna, pertandingan Nescafe Tarik dan peraduan bakat kanak-kanak.

Pada sidang akhbar yang sama, beliau turut berterima kasih kepada Firefly sebagai salah satu penaja Matta Fair 2008 Pahang kerana sudi menyediakan 10,000 tiket kepada para pengunjung.

"Tiket yang ditawarkan adalah untuk tempoh penerbangan bermula 1 Jun hingga 25 Oktober, jadi tawaran istimewa ini perlu direbut oleh pengunjung, siapa cepat dia akan dapat.

"Untuk pameran kali ini, kita mempunyai 12 penaja, saya amat berharap jumlah penaja akan meningkat untuk tahun-tahun seterusnya bagi menarik orang ramai berkunjung ke Matta Fair," ujar beliau.

Selain menawarkan pelbagai pakej pelancongan, tambah beliau, pihaknya turut mempromosikan produk-produk pelancongan seperti barangan kraftangan.

"Tidak ketinggalan, kami juga memperkenalkan pelbagai destinasi menarik yang ada di Pahang," katanya.
Reply

Use magic Report

Post time 1-5-2008 08:08 PM | Show all posts
Padah merempit

MAT ZATAH (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret
Kuantan semalam.

KUANTAN - Gara-gara merempit, seorang penunggang motosikal dihukum penjara 20 bulan serta denda RM8,000 dan lesen memandu jenis B digantung tiga tahun di Mahkamah Majistret Kuantan di sini semalam.

Majistret Nordiana Abd. Aziz menetapkan hukuman itu terhadap Mat Zatah Mat Lazi, 22, selepas mendengar keterangan pegawai pendakwa, Cif Inspektor Hashim Yahya mengenai aksi berani tertuduh.

Menurut Hashim, berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa memandu secara berbahaya dengan menaiki pembahagi jalan di Jalan Tun Ismail dan melanggar dua lampu merah di sepanjang Jalan yang sama dan Jalan Penjara pukul 2.05 malam, 23 Januari 2005.

Katanya, tertuduh dari Felda Lepar Hilir 2 yang menunggang motor jenis RXZ bersama sekumpulan 19 mat rempit lain akhirnya dapat ditahan oleh polis setelah terjatuh di Jalan Bayam, di sini.

"Tindakan tertuduh memandu secara berbahaya boleh menyusahkan pengguna jalan raya yang lain, tertuduh wajar dikenakan hukuman agar menjadi pengajaran kepada mat rempit lain," katanya sewaktu membacakan keterangan itu.

Mat Zatah didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda RM5,000 hingga RM15,000.

Jelas beliau, mengikut rekod, tertuduh turut mempunyai empat saman trafik atas pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk satu waran tangkap bertarikh 10 Jun 2007 yang masih belum dijelaskan.
Reply

Use magic Report

Post time 1-5-2008 08:10 PM | Show all posts
Muntah terhidu bau cecair

Oleh HAFIZ ABBAS
[email protected]


KUANTAN - "Busuk! Busuk! Cepat lari."

Itu antara jeritan murid-murid sebuah kelas Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Bukit Setongkol di sini apabila terhidu bau bahan cecair daripada sebuah botol cenderamata yang pecah ketika mereka sedang mengikuti kelas matematik pagi semalam.

Akibat terhidu bau itu, seramai sembilan orang daripada 30 murid di kelas berkenaan mengalami muntah-muntah, loya tekak dan pening sehingga terpaksa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Salah seorang mangsa, Ahmad Alif Irfan, 9, berkata, ketika kejadian pada pukul 10 pagi itu, dia terlihat botol cenderamata yang diletakkan di atas sebuah meja jatuh ke atas lantai dan pecah ketika sedang membuat latihan yang diberikan guru.

"Saya ternampak botol itu pecah setelah dibaling oleh seseorang dengan pemadam papan hitam.

"Kami ramai-ramai kemudiannya mengerumuni botol itu untuk melihat apa telah berlaku, tetapi sebaik sahaja terhidu bau cecair yang keluar dari botol itu, kami terus pening kepala dan muntah," katanya ketika ditemui di HTAA semalam.

Ahmad Alif berkata, berikutan itu, keadaan di dalam kelasnya menjadi kelam-kabut apabila masing-masing cuba melarikan diri untuk mengelak daripada terhidu bau cecair berkenaan.

"Akibat tidak tahan dengan bau itu, saya loya dan muntah sampai tiga kali.

"Nasib baiklah dalam keadaan pening itu, saya sempat menyuruh rakan lain menjauhi cecair tersebut," katanya di sini semalam.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 3-5-2008 04:45 PM | Show all posts
Tingkatkan kempen bahaya dadah kepada Orang Asli

Oleh HARIS FADILAH AHMAD



KUALA LIPIS 2 Mei - Persatuan belia dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu berperanan lebih aktif meningkatkan kesedaran bahaya penyalahgunaan dadah di kalangan Orang Asli di negeri ini.

Presiden Majlis Belia Negeri Pahang, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, kegiatan penyalahgunaan dadah bukan hanya tertumpu di bandar malah menular di kawasan pedalaman.

''Peranan persatuan belia yang berdekatan dengan perkampungan Orang Asli perlu menganjurkan program tertentu yang boleh memberi kesedaran bagi mengelakkan mereka terjebak dengan pengaruh dadah dan gejala negatif lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan kempen Masyarakat Bertamadun Bencikan Dadah anjuran Persatuan Belia 4B Kuala Medang dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Kampung Orang Asli Simoi Baru, dekat sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Belia 4B Kuala Medang, Nordin Talib dan Ahli Majlis Perunding Majlis Belia Pahang, Baharuddin Saaid.

Pada majlis itu Abdul Fattah menerima 60 borang keahlian Sahabat AADK Belia Orang Asli yang disampaikan Nordin.

Abdul Fattah berkata, kerajaan membelanjakan kos yang tinggi untuk membasmi kegiatan penyalahgunaan dadah menerusi pelbagai kempen kesedaran di samping penguatkuasaan.

Menurutnya, kempen berkenaan dilaksanakan di perkampungan Orang Asli kerana belia di kawasan itu terdedah dengan bahaya dadah dan kegiatan tidak bermoral lain.

Justeru, katanya, kempen berkenaan memerlukan kerjasama setiap lapis masyarakat termasuk persatuan belia dan NGO lain bagi mencapai matlamatnya.

Kempen Masyarakat Bertamadun Bencikan Dadah, jelas beliau, akan membantu AADK meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat negara ini agar sama-sama memeranginya.

''Jika semuanya diserahkan kepada AADK, sasaran Malaysia bebas dadah 2015 tidak akan dicapai.

''Tugas ini (memerangi dadah) perlu dilakukan oleh semua pihak sama ada NGO, swasta, korporat serta jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK)," katanya

Selain itu, Abdul Fattah memberitahu, Persatuan Belia 4B Kuala Medang mengambil beberapa belia Orang Asli Simoi Baru sebagai anak angkat untuk membimbing mereka dalam bidang pertanian, pelancongan, sosiol dan pendidikan menerusi kerjasama AADK, Pejabat Belia dan Sukan dan agensi kerajaan di daerah Lipis.

Sempena program itu, Persatuan Belia 4B Kuala Medang dan AADK mengadakan acara sukaneka, berakit di Sungai Jelai Kecil, ceramah, pameran dan kelas bimbingan kerjaya untuk belia kaum Simoi Baru.
Reply

Use magic Report

Post time 3-5-2008 04:45 PM | Show all posts
Belia Kampung Relong dicalon ke peringkat kebangsaan

KUALA LIPIS 2 Mei - Persatuan Belia Kampung Relong, Padang Tengku di sini, dicalonkan untuk Anugerah Belia Negara Peringkat Kebangsaan pada 15 Mei ini.

Persatuan itu dipilih mewakili Pahang kerana pembabitan aktif mereka yang terserlah di dalam pelbagai bidang seperti pertanian, pelancongan, sukan, kemahiran dan pendidikan.

Pengerusinya, Mohd. Faizal Daud berkata, persatuan tersebut sebelum ini meraih banyak kejuaraan dalam pelbagai kategori pertandingan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri sepanjang tahun lalu.

''Komitmen seramai 127 ahli persatuan itu dalam menjayakan sebarang program yang dirancang, membuahkan hasil apabila dipilih untuk pencalonan tersebut,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya bersyukur kerana pengiktirafan yang diberikan oleh kerajaan negeri dan bersedia menghadapi pencalonan anugerah peringkat kebangsaan itu.

Bendahari persatuan itu pula, Kamarul Azman Harun berkata, Persatuan Belia Kampung Relong menjalankan pelbagai projek pertanian dan kemahiran untuk menjana sumber kewangan persatuan.

''Menerusi pendapatan itu, kami menabung dan merancang projek yang lebih besar," katanya.

Pengerusi Biro Pertanian dan Ekonominya, Zulkifli Othman berkata, pihaknya sentiasa memberi galakan kepada belia lepasan sekolah dan yang sudah bekerja membabitkan diri dalam sektor ekonomi.

''Kita mempunyai 10 hektar kawasan tanaman sayur-sayuran dan kontan serta kolam ternakan ikan air tawar yang diusahakan secara komersiol. Sehingga kini, ia menampakkan hasil pulangan yang berbaloi," katanya.

Selain itu, katanya lagi, persatuan merancang untuk memajukan kawasan bersejarah Gua Bama bagi menarik pelancong, dan sekali gus menjana pendapatan tambahan menerusi jualan pelbagai jenis makanan dan kraftangan.

Pengerusi Biro Pendidikan dan Dakwahnya, Sumaiyah Ahmad Suhaimi pula memberitahu, pihaknya mengadakan kelas komputer untuk melatih penduduk dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sejak dua tahun lalu.

''Kita mempunyai ahli lepasan kolej teknikal yang pakar dalam ICT untuk membuka sebuah bengkel melatih belia membaiki komputer dan perkara berkaitan Internet," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Tengku, Abdul Rahman Mohamed berkata, kejayaan persatuan itu membuktikan golongan muda mampu memimpin organisasi serta mengurus perniagaan dan sumber manusia.

''Pencapaian ini, hasil inspirasi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang pernah dipilih menerima anugerah pertama kampung terbaik peringkat negeri tiga tahun lalu," katanya.

Dalam pada itu, Penolong Pegawai Belia Lipis, Mohd. Badri Dainial memberitahu, kejayaan persatuan itu menjadi contoh kepada belia di tempat lain untuk menguruskan persatuan dengan lebih baik dan teratur.

Persatuan Belia Kampung Relong yang ditubuhkan pada 22 April 1967, kini mempunyai aset melibatkan projek dan harta bernilai RM800,000.

Antara aset yang dimiliki persatuan itu termasuk kedai membaiki komputer dan elektrik, ladang, kolam ternakan ikan air tawar, industri kerepek dan kuih-muih, katering, bengkel kenderaan dan jahitan serta pusat pelancongan Gua Bama.
Reply

Use magic Report

Post time 3-5-2008 04:46 PM | Show all posts
Pahang terima RM64j laksana 73 projek

TEMERLOH 2 Mei - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM64 juta kepada Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN) Pahang untuk melaksanakan 73 projek pembangunan pelancongan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Pengurus Besar MTPN negeri, Idros Yahya berkata, daripada jumlah peruntukan itu, sebanyak RM20 juta akan disalurkan bagi menaiktaraf dan menyediakan kemudahan prasarana di Bukit Fraser.

Menurut beliau, sebanyak RM7 juta diperuntukkan bagi mengindah dan meningkatkan prasarana di pantai Cherating manakala RM5 juta lagi untuk menaiktaraf kemudahan di sekitar Tasik Chini.

''Sebanyak RM4 juta akan digunakan untuk menyediakan 100 lot tempat letak kereta di beberapa buah pekan kecil di Cameron Highlands,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian kursus pemanduan berhemah kepada 80 pemandu teksi daerah Maran, Bera dan Temerloh, di sini hari ini.

Idros berkata, kerajaan juga meluluskan sebanyak RM2.6 juta bagi menyelenggarakan projek homestay di seluruh negeri ini.

Peruntukan tersebut, jelas beliau, membuktikan kerajaan bersungguh-sungguh memajukan sektor pelancongan kerana Pahang merupakan salah satu destinasi pelancongan terkenal di negara ini.

''Pahang mempunyai banyak tasik seperti Bera dan Chini yang boleh menarik pelancong selain pusat peranginan terkenal di Genting Highlands dan Cameron Highlands,'' katanya.

Menurutnya, keindahan alam semulajadi yang terdapat di negeri ini bukan sahaja dapat menarik pelancong malah akan memberi sumber pendapatan kepada penduduk sekali gus meningkatkan hasil kerajaan negeri dalam industri itu.

Dalam perkembangan lain, Idros berkata, MTPN Pahang akan menganjurkan Ekspedisi Ekopelancongan kenderaan pacuan empat roda dan kayak di Tasik Bera dan Tasik Chini pada 8 hingga 11 Ogos ini.

Ekspedisi itu, katanya, bertujuan mempromosikan kedua-dua tasik kepada pelancong dalam dan luar negara.

Sementara itu, tambah beliau, kursus pemanduan kepada pemandu teksi tersebut akan diperluaskan ke seluruh negeri dengan sasaran seramai 1,350 orang akan menyertai program berkenaan sebelum akhir tahun ini.

''Sehingga kini, 561 pemandu telah diberi kursus termasuk mempelajari bahasa Inggeris serta mengenal pasti pusat-pusat pelancongan yang terdapat di negeri bagi memudahkan pelancong," katanya.
Reply

Use magic Report

Post time 3-5-2008 04:46 PM | Show all posts
Menara jam Nadi Kota perlu naik taraf

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD

BANDAR JENGKA 2 Mei - Penduduk di sini meminta Majlis Daerah Maran (MDM) menaiktaraf kawasan menara jam di Nadi Kota di sini yang terbiar.

Menurut mereka, usaha itu perlu memandangkan bandar ini tidak mempunyai kawasan rekreasi bagi kemudahan penduduk untuk beriadah atau menjalankan sebarang program atau acara.

Pengerusi Belia Felda Raya Jengka 14, Hamdan Samah mencadangkan kawasan menara jam itu dinaik taraf dan jam tersebut dibaikpulih untuk panduan pengunjung.

Beliau yakin jika lokasi itu dinaik taraf, ia akan menjadi tumpuan pengunjung kerana terletak bersebelahan stesen bas dan teksi, premis perniagaan dan bank-bank perdagangan.

''Keadaan kawasan menara jam yang terbiar itu memberi imej yang buruk kepada Bandar Jengka yang sebahagian besarnya dihuni kaum bumiputera," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini semalam.

Seorang penduduk, Ismaitim Ahmad, 53, berkata, lokasi menara jam yang sebelum ini diselenggara oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) itu pernah menjadi tumpuan pengunjung kerana keunikan lampu gading gajah terutama pada waktu malam.

Bagaimanapun, jelasnya, setelah LKWJ dibubarkan, banyak kawasan di Bandar Jengka termasuk lokasi menara jam terbiar.

''Jam di menara kecil di situ sudah tidak berfungsi, lampu yang menghiasi gading gajah tidak lagi menyala, kolam ikan di situ kering dipenuhi sampah malah menjadi tempat nyamuk membiak,'' katanya.

Seorang lagi penduduk, Jalaluddin Long, 56, terkilan kerana kawasan itu terbiar sedangkan ia berpotensi untuk dijadikan tumpuan pengunjung bagi kegiatan rekreasi.

Beliau menyokong jika MDM menaiktaraf kawasan itu untuk digunakan bagi pelbagai program dan acara selain kemudahan rekreasi.

''Setakat ini, tiada pentas tetap terbuka diwujudkan di sini untuk menjalankan pelbagai aktiviti," jelasnya.

Seorang peneroka Felda Jengka 15, Arshad Hashim, 35, menyifatkan menara jam ini amat sesuai dijadikan identiti bagi Bandar Jengka.

''Dalam hal ini MDM harus kreatif mereka bentuk kawasan itu supaya ia dapat dijadikan lokasi untuk mengadakan program membabitkan agensi kerajaan atau persembahan hiburan,'' katanya.

Arshad berkata, MDM harus mencontohi pelan pembangunan Majlis Daerah Bera yang membina sebuah pentas terbuka tetap untuk pelbagai program.

Seorang peniaga, Abdulrahman Mohamad Sapak, 36, menyokong jika lokasi itu dinaik taraf dengan projek yang sesuai supaya faedahnya dapat dinikmati penduduk.

''Namun demikian MDM perlu juga memastikan persekitaran sentiasa bersih dengan memotong rumput mengikut jadual serta menyediakan tong sampah bagi kemudahan pengunjung,'' katanya.

Abdulrahman menegaskan, Bandar Jengka memerlukan banyak pusat rekreasi kerana ia menjadi tumpuan bukan sahaja penduduk Jengka tetapi kepada lebih 5,000 warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-2-2025 06:45 PM GMT+8 , Processed in 0.468667 second(s), 30 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list