|
|
FAS santuni mangsa kebakaran di Membakut dan Penampang
Januari 22, 2026, Khamis - 12:14pm

BANTUAN: Darren dan pasukan FAS menyalurkan bantuan kepada mangsa kebakaran.
MEMBAKUT: Pertubuhan Food Aid Sabah (FAS) yang diketuai Pengerusinya, Darren Liew telah melaksanakan misi bantuan kemanusiaan bagi menyantuni mangsa-mangsa kebakaran di daerah Membakut dan Penampang baru-baru ini.
Program bantuan itu dimulakan seawal jam satu petang di Kampung Lembah Poring, Membakut, bagi menyerahkan sumbangan kepada dua keluarga yang kehilangan tempat tinggal dalam tragedi kebakaran yang berlaku pada 28 Disember tahun lalu.
Bagi meringankan bebanan yang ditanggung, pihak FAS telah menyalurkan bantuan berupa barangan keperluan makanan asas, tilam, bantal serta selimut kepada keluarga yang terlibat.
Pengerusi FAS, Darren Liew menzahirkan rasa simpati dan amat sedih atas musibah yang menimpa mangsa serta mendoakan agar segala urusan mereka dipermudahkan dalam menghadapi dugaan berkenaan.

PENYEDIAAN: Pasukan FAS bertungkus-lumus menyediakan bahan bantuan.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Food Aid Foundation (FAF) selaku penaja utama yang sentiasa memberikan sokongan padu terhadap misi kemanusiaan itu.
Selepas selesai urusan penyerahan bantuan di Membakut, pasukan sukarelawan berkenaan kemudiannya meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya di Kampung Mahandoi, Penampang, bagi menjalankan misi bantuan serupa.
Inisiatif berterusan itu mencerminkan komitmen pertubuhan dalam memastikan kebajikan komuniti yang ditimpa bencana di Sabah sentiasa mendapat perhatian sewajarnya.
Dalam pada itu, orang ramai yang ingin menyumbangkan pakaian atau mainan terpakai kepada golongan memerlukan boleh menghubungi FAS di talian 016-2200520 atau menerusi laman Facebook rasmi FAS di https://www.facebook.com/FoodAidSabah.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pusat Sains ‘SainsXplor’ diperluas ke luar bandar, pedalaman - James
Januari 22, 2026, Khamis - 1:58pm

RASMI: James (tengah) ketika merasmikan Majlis Pelancaran SainsXplor Tawau.
TAWAU: Kerajaan Sabah merancang untuk memperluaskan penubuhan pusat sains atau SainsXplor ke kawasan luar bandar dan pedalaman bagi memastikan akses pendidikan sains dan teknologi dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh pelajar di negeri ini.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, berkata perancangan itu susulan perbincangan yang diadakan bersama pihak pengurusan tertinggi PETRONAS, yang juga rakan strategik kementerian dalam pelaksanaan projek pusat sains berkenaan.
Katanya, antara kawasan yang dikenal pasti sebagai tumpuan peluasan ialah Paitan di Beluran, Sook di Keningau, selain beberapa daerah lain termasuk Kinabatangan, Kuamut dan Sipitang.
Beliau berkata, usaha memperluaskan pusat sains itu selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk memperkasa pendidikan sains, teknologi dan inovasi, khususnya di kawasan luar bandar yang sebelum ini mempunyai akses terhad kepada kemudahan pembelajaran berasaskan teknologi.
“Saya telah pun merasmikan pusat sains SainsXplor Tawau, yang menelan belanja kira-kira RM6 juta. Projek ini merupakan satu kolaborasi strategik antara Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) dengan PETRONAS.
“Melalui perbincangan bersama pengurusan tertinggi Petronas, kita bersetuju agar konsep pusat sains ini diperluaskan lagi ke kawasan luar bandar dan pedalaman supaya pelajar di kawasan berkenaan tidak ketinggalan dalam pendedahan kepada sains dan teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Majlis Pelancaran SainsXplor Tawau, di sini, hari ini.
James turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada PETRONAS atas komitmen dan kerjasama yang diberikan kepada KPSTI dalam menjayakan projek berkenaan, yang disifatkannya sebagai satu pembaharuan penting dalam landskap pendidikan sains dan teknologi di Sabah.

LAWAT: James berkesempatan melawat dan melihat peralatan sains yang disediakan oleh pusat sains di Tawau.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan satu lagi pusat sains SainsXplor di Sandakan dijangka siap dan mula beroperasi pada pertengahan tahun ini, dengan kos pembinaan hampir sama iaitu sekitar RM6 juta, sekali gus menjadi projek kolaborasi kedua antara KPSTI dan PETRONAS.
Menurutnya, inisiatif itu juga selaras dengan saranan Perdana Menteri yang menggesa Sabah menerokai teknologi baharu, khususnya dalam aspek pendigitalan pendidikan, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Pendigitalan pendidikan adalah satu keperluan masa kini. Oleh itu, pusat sains seperti SainsXplor ini boleh menjadi platform penting untuk memperkenalkan teknologi baharu serta meningkatkan minat pelajar terhadap sains dan teknologi sejak peringkat awal,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama strategik antara KPSTI dan PETRONAS dapat dijadikan contoh oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain di Sabah untuk turut sama berganding bahu dengan kerajaan negeri dalam meneroka teknologi baharu demi memperkasa pendidikan anak-anak Sabah.
Katanya, kerajaan negeri kekal komited untuk memastikan setiap pelajar, tanpa mengira lokasi, mempunyai peluang yang sama untuk mengakses pendidikan berkualiti berteraskan sains, teknologi dan inovasi.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sabah alu-alukan kehadiran pelabur asing untuk pembangunan industri tenaga
Januari 22, 2026, Khamis - 2:35pm

CENDERAMATA: Hajiji menerima cenderamata daripada Ryan semasa menerima kunjungan hormat di pejabatnya di Menara Kinabalu pada Khamis.
KOTA KINABALU: Sabah sentiasa mengalu-alukan kehadiran dan sokongan pelabur antarabangsa berwibawa yang mampu membawa nilai tambah kepada pembangunan industri tenaga, minyak dan gas negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Kerajaan Negeri komited menyediakan persekitaran pelaburan yang stabil, kondusif dan berdaya saing bagi menarik pelaburan berkualiti tinggi, khususnya dalam sektor tenaga dan minyak.
“Kerjasama strategik antara syarikat minyak antarabangsa dan pemain industri utama perlu memberi manfaat jangka panjang kepada negeri serta rakyat Sabah,” katanya ketika menerima kunjungan hormat Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ConocoPhillips Ryan Lance di pejabatnya di Menara Kinabalu, pada Khamis.

BINCANG: Hajiji mengadakan perbincangan bersama Lance di pejabatnya di Menara Kinabalu pada Khamis.
Sementara itu, Ryan Lance memaklumkan ConocoPhillips merupakan antara syarikat minyak utama dari Amerika Syarikat serta pemain bebas terbesar dunia dalam aktiviti penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas, dengan operasi di pelbagai rantau strategik global.
Katanya, ConocoPhillips memberi tumpuan pelaburan di Sabah dan pada masa sama mengukuhkan komitmen jangka masa panjangnya terhadap Malaysia.
“Kami bangga kerana dapat bersama-sama membangunkan industri minyak dan gas di Sabah, dan yakin industri ini menyediakan pertumbuhan masa hadapan yang amat cerah kepada Sabah,” katanya yang kali pertama melawat Sabah.
ConocoPhillips Sabah Gas kini menjadi pengendali tunggal bagi Kluster Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Kebabangan (KBBC) di Sabah selepas Petronas memindahkan pengendalian itu kepadanya pada 21 Januari 2025, menjadikannya pengendali tunggal kluster medan minyak dan gas tersebut.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sabah cadang semak silibus, peranan negeri dalam Malaysia diperjelas
Januari 22, 2026, Khamis - 3:02pm

JAMES
TAWAU: Kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan supaya naratif pembentukan Malaysia dalam buku teks sekolah disemak semula bagi memberi gambaran lebih tepat dan menyeluruh mengenai peranan Sabah dan Sarawak sebagai rakan pengasas negara.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, berkata cadangan itu akan dibawa ke peringkat kebangsaan susulan perbincangan bersama pengurusan tertinggi Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
Katanya, kandungan silibus dan buku teks Sejarah ketika ini lebih menekankan naratif Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia, sedangkan hakikatnya kedua-dua wilayah berkenaan bersama Persekutuan Tanah Melayu menubuhkan negara ini.
“Perkara ini telah dibincangkan di peringkat negeri dan insya-Allah akan saya suarakan dalam Mesyuarat Exco Pendidikan peringkat kebangsaan yang dijangka diadakan pada April ini.
“Kita mahu ada penambahbaikan terhadap kandungan silibus supaya fakta sejarah yang disampaikan kepada pelajar lebih tepat, seimbang dan mencerminkan realiti sebenar pembentukan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Majlis Pelancaran SainsXplor Tawau, di sini, hari ini.
James berkata, semakan semula naratif sejarah itu penting bagi memastikan generasi muda memahami peristiwa lampau dengan lebih jelas, sekali gus menghargai peranan Sabah dalam pembentukan negara.
Menurutnya, usaha itu bukan bertujuan mengubah atau menafikan fakta sejarah, sebaliknya melengkapkan kandungan sedia ada agar lebih inklusif dan adil kepada semua pihak yang terlibat.
“Sejarah adalah asas pembentukan jati diri. Sebab itu, kerjasama antara Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Kementerian Pendidikan Malaysia amat penting supaya mana-mana perkara yang tertinggal dalam silibus dapat diperbaiki dan diselaraskan.
“Kerajaan Sabah kekal komited untuk bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dalam memastikan kandungan pendidikan negara sentiasa relevan, tepat dan selari dengan aspirasi pembinaan negara bangsa,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri sebelum ini berucap pada Majlis Pelancaran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 bahawa Pengukuran Pembelajaran Tingkatan Tiga akan diperkenal mulai 2027 membabitkan lima mata pelajaran utama termasuk Sejarah.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pos Malaysia lancar perkhidmatan baharu pasport bersama Konsulat Indonesia
Januari 22, 2026, Khamis - 3:21pm

ALBUM: Pengarah Akaun, GLC & Rakan Kongsi, Pos Malaysia, Muhammad Fawzan Sabirin bergambar bersama Noorman Effendi.
KOTA KINABALU: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) dan Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kota Kinabalu, melancarkan kolaborasi perkhidmatan pasport inovatif bertujuan memudahkan akses dan meningkatkan keselesaan rakyat Indonesia di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Majlis pelancaran berlangsung pada 17 Januari baru-baru ini dan dirasmikan oleh Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Noorman Effendi.
Turut hadir ialah Ketua Hal Ehwal Konsular, Irhamna Fithriya, Pegawai Imigresen Teknikal, Satria Adi Wicaksana, serta wakil-wakil dari Pos Malaysia.
Melalui kerjasama strategik ini, rakyat Indonesia kini boleh membuat permohonan pasport di Kota Kinabalu dan menerima pasport yang telah siap melalui perkhidmatan kurier Pos Laju di seluruh Sabah.
Selain itu, pemohon juga boleh memilih untuk menerima dokumen imigresen mereka di pejabat pos terdekat, sekali gus memudahkan komuniti di seluruh negeri.
Inisiatif ini menawarkan alternatif yang lebih efisien dan selamat berbanding kaedah sedia ada, yang memerlukan rakyat Indonesia menunggu di Kota Kinabalu sehingga pasport siap.
Dengan perkhidmatan baharu ini, kos penginapan dan perjalanan dapat dikurangkan, masa jauh dari kerja dan keluarga diminimakan, serta pengalaman permohonan pasport menjadi lebih mudah dan selamat.
Dianggarkan seramai 150,000 rakyat Indonesia yang menetap di Sabah dan Labuan akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini.
Langkah berkenaan juga menunjukkan kejayaan kolaborasi berkesan antara sektor awam dan swasta dalam meningkatkan perkhidmatan merentas sempadan.
Pos Malaysia bercadang untuk memperluaskan perkhidmatan ini secara berperingkat ke semua pejabat diplomatik dan konsulat Indonesia di Malaysia.
Selain Konsulat Jeneral Indonesia di Kota Kinabalu, pelaksanaan secara nasional akan merangkumi Kedutaan Republik Indonesia di Kuala Lumpur, Konsulat Jeneral Indonesia di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuching, dan Konsulat Indonesia di Tawau.
Langkah ini akan membolehkan lebih ramai rakyat Indonesia, tidak kira negeri atau wilayah, mengakses perkhidmatan penghantaran pasport melalui rangkaian Pos Malaysia yang meluas, sekali gus memastikan kemudahan, keberkesanan dan keselamatan dokumen terjamin di seluruh negara.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
PETRONAS lancar SainsXplor Tawau, perkukuh pendidikan STEM di Sabah
Januari 22, 2026, Khamis - 3:50pm

ALBUM: dari kanan Bacho Pilong, Ruslan, James, Jordan Jude dan Zainudin dalam majlis perasmian berkenaan.
TAWAU: PETRONAS melancarkan SainsXplor Tawau, sebuah pusat sains yang mula beroperasi sejak Oktober tahun lepas, menandakan langkah signifikan dalam memacu pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sabah.
Terletak di Garden City, kemudahan seluas 3,756 kaki persegi itu dikendalikan oleh Petrosains Sdn Bhd, menempatkan 20 pameran interaktif serta sebuah Maker Studio yang direka untuk menggalakkan kreativiti dan pembelajaran secara praktikal.
Berteraskan slogan ‘Xperience. Xcitement. Xcellence.’, SainsXplor Tawau bertujuan mencetuskan minat terhadap sains, memupuk pemikiran inovatif serta membina kemahiran praktikal komuniti melalui pengalaman pembelajaran yang interaktif dan imersif.
Sejak dibuka, pusat sains ini menerima lebih 32,000 pengunjung dalam tempoh tiga bulan pertama, menunjukkan sambutan hangat daripada masyarakat setempat dan meningkatkan minat terhadap STEM di Tawau.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, berkata, pelancaran SainsXplor Tawau mencerminkan komitmen Sabah dalam membangunkan masyarakat yang berdaya saing dan berilmu.
Selain itu, katanya, ia menjadi hab sains, ia juga menjadi pemangkin peluang, memperkasakan golongan belia melalui kemahiran STEM ke arah membentuk masa depan negeri.
Beliau turut menghargai PETRONAS dan Petrosains sebagai rakan kongsi dalam usaha ini, yang membuktikan kerjasama antara kerajaan dan industri mampu memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.
Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS, Ruslan Islahudin, berkata, penubuhan SainsXplor Tawau mencerminkan komitmen PETRONAS dalam memupuk bakat serta memperkukuh pendidikan STEM di Sabah.
“Dengan pengalaman pembelajaran yang interaktif dan praktikal, kami berhasrat membina kemahiran generasi akan datang agar bersedia menghadapi cabaran dan peluang dalam ekonomi berteraskan ilmu,” katanya.
Turut hadir, Naib Presiden Kanan PETRONAS, Pengurusan Petroleum Malaysia, Datuk Ir (Dr) Bacho Pilong; Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Jordan Jude Ellron, serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman.
Selain pembangunan SainsXplor Tawau, PETRONAS juga memperluas penglibatan STEM melalui program Petrosains Rover, trak pameran bergerak yang menyediakan aktiviti praktikal dan pameran interaktif di sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman di sembilan daerah Sabah, termasuk Tawau.
Program ini bertujuan merangsang minat pelajar terhadap STEM sambil menyokong guru dengan alat praktikal untuk mempertingkatkan pembelajaran di bilik darjah.
SainsXplor Tawau terletak di Aras Satu, Garden City, Jalan Chong Thien Vun dan dibuka setiap hari dari 9 pagi hingga 5 petang dengan masuk percuma, membolehkan semua lapisan masyarakat menikmati pengalaman pembelajaran sains yang menyeronokkan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Dua lelaki cuba lari semasa SJR ditahan bersama gulungan kabel
Januari 23, 2026, Jumaat - 8:50am
KOTA BELUD: Tindakan dua lelaki memecut kenderaan pacuan empat roda bagi mengelak sekatan jalan raya membawa padah apabila mereka ditahan bersama beberapa gulungan kabel telekomunikasi yang gagal dijelaskan pemilikannya.
Kejayaan tangkapan hasil operasi bersepadu Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) bersama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud menerusi Sekatan Jalan Raya (SJR) Op Perdagangan di Jalan Ranau Bypass berhampiran Kampung Rangalau.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintenden Shahrudin Mat Husain berkata, ketika sekatan dijalankan, sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna oren dipandu dalam keadaan mencurigakan.
“Semasa diperiksa, pemandu enggan berhenti walaupun diarahkan anggota bertugas, sebaliknya bertindak melarikan diri.
“Polis kemudian mengejar kenderaan suspek dari lokasi sekatan sehingga ke Kampung Bokilong.
“Pada masa sama, Pasukan BSPT kemudian menyalurkan maklumat kepada BSJ bagi membantu mengekang pergerakan suspek,” katanya.
Katanya, hasil koordinasi kedua-dua pasukan, kenderaan dinaiki suspek berjaya dipintas dan ditahan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati dua lelaki bukan warga tempatan berusia 25 dan 27 tahun berada dalam kenderaan berkenaan.
“Beberapa rakan suspek lain dipercayai melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran ketika operasi dijalankan.
“Pemeriksaan di bahagian belakang kenderaan membawa kepada penemuan beberapa gulungan kabel sebuah syarikat telekomunikasi,” katanya.
Katanya, kedua-dua suspek gagal memberi sebarang dokumen atau keterangan munasabah berhubung pemilikan kabel berkenaan.
“Polis percaya kabel itu dipercayai hasil kegiatan mencuri kemudahan telekomunikasi di sekitar daerah berkenaan.
“Semua barang rampasan bersama kenderaan dibawa ke IPD Kota Belud untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 22A Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Negeri Sabah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Polis kini giat mengesan beberapa lagi individu yang melarikan diri bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, kegiatan mencuri kabel telekomunikasi bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan malah menjejaskan perkhidmatan komunikasi awam.
Katanya, gangguan kemudahan itu boleh memberi kesan kepada urusan harian penduduk termasuk talian kecemasan dan perniagaan.
“Polis tidak berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti jenayah yang boleh menjejaskan kemudahan awam serta keselamatan masyarakat.
“Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan kegiatan seumpama ini dibanteras sepenuhnya,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
16 PTI ditahan dalam operasi penguatkuasaan JIM di Keningau
Januari 23, 2026, Jumaat - 9:02am

OPERASI: Antara PTI yang diperiksa dalam operasi ini.
KENINGAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah mempergiat operasi penguatkuasaan terhadap pendatang tanpa izin (PTI) di sekitar daerah ini dengan penahanan 16 individu atas pelbagai kesalahan imigresen.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, tindakan diambil hasil beberapa operasi berasingan susulan aduan awam serta risikan selama kira-kira seminggu di beberapa lokasi dikenal pasti.
“Operasi utama pada 21 Januari lalu membabitkan 15 pegawai Bahagian Penguatkuasaan Keningau, JIM Sabah.
“Sepanjang operasi, pasukan memeriksa seramai 22 individu di beberapa premis dan kawasan tumpuan, hasil pemeriksaan mendapati 15 PTI ditahan di lokasi berkenaan.
“Kesemua mereka terdiri daripada warganegara Filipina dan Indonesia, seorang lagi individu ditahan dalam operasi berasingan menjadikan keseluruhan tangkapan seramai 16 orang,” katanya.
Beliau berkata, semua yang ditahan gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas sah ketika pemeriksaan dijalankan.
“Kesemua individu dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen sah.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Beliau berkata, JIM Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan dijalankan secara berterusan bagi membanteras kebanjiran PTI di negeri ini.
“Kehadiran warga asing tanpa dokumen bukan sahaja melanggar undang-undang malah boleh menjejaskan aspek keselamatan dan ketenteraman awam.
“Kita juga akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang melindungi, menggaji atau memberi perlindungan kepada PTI.
“Majikan atau pemilik premis yang didapati bersubahat bakal berdepan tindakan undang-undang,” katanya.
JIM Sabah juga menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berhubung kehadiran PTI di kawasan masing-masing.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sabah sasar pelaburan RM1.4 bilion dalam tenaga biojisim, bahan api penerbangan mampan
Januari 23, 2026, Jumaat - 9:22am

PERHIMPUNAN: Roger mewakili Hajiji ketika menyampaikan ucaptama pada perhimpunan pelaburan di luar negara.
KOTA KINABALU: Sabah terus mengukuhkan kedudukan sebagai hab tenaga mampan serantau apabila syarikat antarabangsa, Petra Seaga sedang menilai pelaburan awal kira-kira USD300 juta atau hampir RM1.4 bilion bagi pembangunan kompleks biopenapisan bersepadu berasaskan biojisim di negeri ini.
Pengerusi Invest Sabah Berhad, Datuk Roger Chin, berkata komitmen pelaburan berskala besar itu mencerminkan keyakinan pelabur global terhadap hala tuju ekonomi jangka panjang Sabah, khususnya dalam sektor tenaga boleh baharu dan bioekonomi.
Beliau mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor ketika menyampaikan ucaptama pada satu perhimpunan pelaburan di luar negara, sambil memaklumkan Invest Sabah Berhad diberi mandat sebagai agensi promosi pelaburan negeri bagi memacu kerjasama strategik.
Menurutnya, cadangan projek melibatkan pembangunan kompleks biopenapisan berskala besar yang menukar biojisim boleh baharu kepada pelbagai produk hiliran dalam satu sistem bersepadu.
“Antara produk dinilai termasuk bahan api penerbangan mampan (SAF), biofuel, biokimia, bioplastik serta penjanaan tenaga boleh baharu di tapak operasi, sejajar konsep ekonomi kitaran yang memaksimumkan guna semula tenaga, haba dan produk sampingan bagi mengurangkan sisa.
“Sabah memiliki kelebihan ketara berikutan sektor kelapa sawit negeri menjana puluhan juta tan biojisim setiap tahun, di samping sumber daripada industri kayu, getah dan aktiviti pertanian lain.
“Sebahagian besar bahan itu selama ini kurang dimanfaatkan atau dianggap sisa, sedangkan ia berpotensi ditukar kepada produk bernilai tinggi serta industri baharu yang menjana pendapatan dan pekerjaan berkualiti,” katanya.

KENANGAN: Roger merakamkan gambar kenangan bersama semasa perhimpunan pelaburan terbabit.
Katanya, langkah itu selari strategi ekonomi Sabah yang beralih daripada pergantungan kepada eksport bahan mentah kepada pemprosesan hiliran, pembuatan maju dan industri berasaskan teknologi.
“Dalam masa sama, kerajaan negeri memperkukuh asas infrastruktur seperti keselamatan bekalan air, kebolehpercayaan tenaga, rangkaian pengangkutan, logistik dan tanah perindustrian bagi memastikan pelaburan besar dapat beroperasi secara mampan.
“Sabah terbuka kepada pelaburan tenaga bersih dan boleh baharu, selain modal patuh ESG dan inisiatif ekonomi biru yang menyeimbangkan pulangan komersial dengan tanggungjawab alam sekitar,” katanya.
Katanya, mesej negeri jelas iaitu Sabah bersedia menerima rakan pelabur yang berdisiplin, berdaya maju dan komited untuk jangka panjang.
“Dalam konteks industri penerbangan, permintaan SAF di ASEAN terus meningkat seiring pertumbuhan perjalanan udara dan tekanan pengurangan karbon, namun bekalan serantau masih terhad.
“Sehubungan itu, Sabah melihat peluang mengisi jurang bekalan dengan memanfaatkan sumber biojisim, lokasi strategik serta potensi perindustrian bagi menyokong pasaran ASEAN dan seterusnya Asia Timur.
“Fokus negeri bukan tertumpu kepada satu pelaburan semata-mata, sebaliknya pembinaan ekosistem industri yang menarik penyedia teknologi, rakan penyelidikan, pemain logistik serta pengguna hiliran,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu diyakini mampu mewujudkan pekerjaan berkemahiran, pemindahan pengetahuan serta kapasiti industri mapan untuk generasi akan datang.
Tambahnya, setiap cadangan pelaburan dinilai secara teliti, telus dan tertakluk proses kawal selia serta keutamaan alam sekitar, sosial dan ekonomi negeri.
“Peranan Invest Sabah Berhad merangkumi penyelarasan antara agensi, memudah cara rundingan serta memastikan pelabur serius dapat berurusan secara cekap dan bertanggungjawab.
Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Bahan Api Penerbangan Mampan Asia Tenggara juga memilih Kota Kinabalu sebagai ibu pejabat, sekali gus memperkukuh kedudukan Sabah sebagai pusat dialog dasar dan kerjasama industri serantau.
Kehadiran majlis itu dijangka menghimpunkan wakil kerajaan, pemain industri dan pakar teknikal bagi menyelaras usaha mempercepat penggunaan SAF di rantau ini.
Roger berkata, Sabah tidak mengejar perhatian semata-mata atas faktor cita-cita besar, sebaliknya menumpukan pembinaan nilai jangka panjang melalui disiplin dasar, kelestarian dan pelaksanaan berkesan.
Beliau menegaskan negeri mengalu-alukan rakan kongsi yang berkongsi visi sama serta bersedia bekerjasama dengan pemegang taruh tempatan demi pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
GBA kini tiba di Tawau
Januari 23, 2026, Jumaat - 10:17am

MERIAH: Para pelancong dari Hong Kong disambut mesra setibanya di Lapangan Terbang Tawau.
TAWAU: Lapangan Terbang Tawau menyambut penerbangan sewa khas pertama dari Hong Kong yang dikendalikan oleh Greater Bay Airlines (GBA) pada hari Selasa lepas.
Penerbangan itu tiba pada jam 8 malam dengan membawa 131 orang penumpang.
Ia merupakan penerbangan sewa khas pertama Tawau pada bulan ini dan meningkatkan lagi hubungan serantau, susulan perkhidmatan sewa khas sebelum ini oleh Loong Air dari Shenzhen dan AirAsia dari Shanghai pada Disember 2025, di samping penerbangan berjadual oleh Juneyao Airlines dari Shanghai.
Turut hadir menyambut ketibaan penumpang ialah Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Joseph Pang; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kanan Lembaga Pelancongan Sabah, Tay Shu Lan; Timbalan Pengarah Tourism Malaysia (Sabah), Khairul Amir Anuar; Ketua Operasi Lapangan Terbang Tawau, Rosaimey Asmari; dan Naib Presiden Dewan Perniagaan Cina Tawau, William Tan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin berkata, penerbangan tambahan itu merupakan permulaan yang baik bagi Tahun Melawat Malaysia 2026 dan penting dalam usaha mencapai sasaran 4 juta ketibaan ke Sabah.
“Pelancong dari Hong Kong kini mempunyai laluan terus ke keindahan semula jadi Tawau seperti Taman Bukit Tawau, makanan laut bertaraf dunia, serta pintu masuk ke pulau-pulau menakjubkan di Semporna.
"Ia adalah gabungan sempurna antara pengembaraan, ketenangan, dan peluang untuk menyokong produk tempatan kita.
“Penerbangan sewa khas ini juga merupakan saluran yang baik untuk menguji minat pasaran dan berpotensi membuka jalan kepada penerbangan berjadual tetap pada masa hadapan.
“Saya menyeru pemain industri pelancongan Tawau agar merebut peluang ini dengan menawarkan pakej pelancongan yang direka khas untuk pasaran ini, memastikan tetamu kita menikmati yang terbaik daripada daerah ini,” katanya.
Greater Bay Airlines dijadualkan beroperasi dua kali seminggu, dengan satu waktu berlepas pada hari Selasa dan Sabtu.
Sehingga 1 Januari, Sabah mempunyai dua syarikat penerbangan Hong Kong Express (lima kali seminggu) dan AirAsia (setiap hari) yang menghubungkan Kota Kinabalu dan Hong Kong.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sabah alu-alukan Singapura buka konsulat di Kota Kinabalu
Januari 23, 2026, Jumaat - 10:18am

TERIMA KASIH: Hajiji menyampaikan cenderamata kepada Vanu pada kunjungan itu.
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengalu-alukan keputusan Singapura membuka pejabat konsulatnya di Kota Kinabalu pada tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, keputusan itu mampu memperkukuh hubungan dua hala antara Sabah dan republik itu.
Katanya, pembukaan konsulat berkenaan mempunyai kepentingan strategik merangkumi aspek ekonomi, diplomatik, pelaburan, perdagangan dan keselamatan, khususnya melibatkan Sabah dan Singapura.
Beliau yakin kehadiran konsulat Singapura di Sabah dapat memperluas kerjasama kedua-dua pihak, sekali gus membuka lebih banyak peluang pelaburan dan perdagangan yang memberi manfaat langsung kepada pembangunan negeri.
“Kerajaan negeri mengalu-alukan pembukaan pejabat konsulat Singapura di Sabah pada tahun ini.
"Ia merupakan satu perkembangan positif yang mampu mengukuhkan lagi hubungan sedia ada antara Sabah dan Singapura,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, TYT Vanu Gopala Menon, di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.
Menurutnya, kerajaan negeri turut mengalu-alukan kehadiran pelabur dari Singapura untuk menerokai sektor-sektor berdaya saing di Sabah, selain menggalakkan lebih ramai pelancong dari negara itu berkunjung ke negeri ini.
Sementara itu, Vanu memaklumkan bahawa Singapura akan membuka pejabat konsulat di Sabah dan Sarawak selepas memperoleh kelulusan Kerajaan Malaysia bulan lalu.
Pada 4 Disember lalu, Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, menyambut baik kelulusan rasmi Malaysia terhadap cadangan pembukaan konsulat Singapura di Sabah dan Sarawak, yang disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
SCC lakukan kunjungan hormat kepada Masidi
Januari 23, 2026, Jumaat - 10:20am

ALBUM: Masidi (tengah) bergambar bersama Rusdin (tiga kanan) sambil memegang watikah pelantikannya. Turut kelihatan ialah Ishak (tiga kiri), George (dua kanan) serta wakil-wakil lain.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, menerima kunjungan hormat daripada Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC), di sini kelmarin.
Kunjungan itu bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan SCC.
Dalam pertemuan itu, Masidi turut diberi taklimat mengenai prestasi semasa SCC, hala tuju perbadanan itu serta peranan berterusan SCC dalam menyokong agenda pembangunan ekonomi negeri yang inklusif.
Dalam pada itu, Masidi turut mengucapkan tahniah kepada Pengerusi SCC, Datuk Rusdin Riman, atas pelantikannya.
Masidi menzahirkan keyakinan bahawa beliau mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan serta terus memperkukuh peranan SCC dalam menyokong pembangunan ekonomi negeri.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas komitmen SCC dalam membantu merangsang pertumbuhan ekonomi Sabah dan menegaskan kepentingan tadbir urus yang baik serta pengurusan kewangan yang berhemah bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memberi impak positif kepada kesejahteraan rakyat.
Turut hadir dalam kunjungan berkenaan ialah Pembantu Menteri Kewangan II, Dato’ Ishak Ayub, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Mohd Sofian Alfia Nair, Ketua Pegawai Eksekutif SCC, Datuk George Taitim Tulas, serta wakil-wakil lain.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
SFA dan Sabah Port bincang isu Pelabuhan Sandakan
Januari 23, 2026, Jumaat - 10:21am

KENANGAN: SFA dan Sabah Port merakamkan gambar bersama selepas mesyuarat itu.
SANDAKAN: Persatuan Agen Penghantaran Sandakan (SFA) telah mengadakan mesyuarat pertama dengan Pengurus Besar Sabah Ports Sdn Bhd Lai Fui Nar baru-baru ini.
Pengerusi SFA, Chong Thien Ming berkata, pertemuan itu adalah bagi membincangkan cabaran-cabaran operasi yang sedang berlaku dan menjejaskan aktiviti pelabuhan di Sandakan.
"Kami menghargai keprihatinan Sabah Port dan tindakan pantas diambil berkaitan isu-isu yang ditimbulkan SFA.
"Ekonomi Sandakan kini sedang pulih secara berperingkat selepas lima tahun terjejas akibat pandemik COVID-19.
"Adalah penting untuk memastikan operasi pelabuhan sentiasa lancar agar tidak menjejaskan momentum positif itu," katanya.
Beliau berkata, ekonomi Sandakan sangat bergantung kepada aktiviti pelabuhan khususnya eksport dan import.
Chong mencadangkan beberapa pendekatan untuk mengatasi masalah kegagalan operasi kren pada pelabuhan Sandakan.
"Antaranya termasuklah pembelian kren baharu, pengambilan atau penyumberan luar.
"Sebagai langkah sementara, pindahkan kren lama dari pelabuhan Tawau ke Sandakan untuk dijadikan alat ganti sementara menunggu penghantaran alat ganti yang tertangguh," katanya.
Beliau menyatakan Pelabuhan Tawau dijangka menerima dua kren baharu menjelang April.
Sepanjang mesyuarat, kedua-dua pihak mengadakan perbincangan mesra dan telus mengenai operasi pelabuhan, dengan Sabah Port memberikan penjelasan menyeluruh tentang situasi semasa.
SFA menerima penjelasan itu dengan syarat sekurang-kurangnya dua kren mesti kekal beroperasi sepenuhnya sementara cadangan penyelesaian dibincangkan oleh pihak pengurusan tertinggi.
Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk bertemu semula dalam tempoh tiga bulan bagi mesyuarat susulan untuk memberikan maklumat terkini dan menilai kemajuan pelaksanaan.
Chong turut menyuarakan kebimbangan mengenai kelestarian ekonomi Sandakan, dengan menyatakan bahawa bandar itu kekurangan kilang besar dan projek berskala besar.
"Sebarang ketidakcekapan dalam operasi pelabuhan boleh mencetuskan kesan sampingan yang menjejaskan perniagaan dan pendapatan.
"Sabah Port mesti mengambil langkah proaktif untuk menaik taraf mesin lama bagi menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang di Sandakan," katanya.
Sumber : Utusan Borneo
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Viviantie Sarjuni harumkan nama negara
Januari 23, 2026, Jumaat - 10:59am

CEMERLANG: Viviantie dan Steven menunjukkan sijil penganugerahan itu.
PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim menzahirkan tahniah kepada Ketua Pegawai Eksekutif Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Viviantie Sarjuni atas penganugerahan Anugerah Public Social Innovator 2026 bagi Keusahawanan Sosial oleh Schwab Foundation dengan kerjasama World Economic Forum (WEF).
Katanya, Viviantie telah menerima anugerah di Switzerland pada 21 Januari 2026 bersempena dengan Mesyuarat Tahunan World Economic Forum di Davos.
Menurutnya, penganugerahan itu menjadikan beliau sebagai rakyat Malaysia pertama menerima pengiktirafan berkenaan, sekali gus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
"Sepanjang berada di Davos, Viviantie turut menyertai beberapa bengkel dan sesi libat urus antarabangsa yang menghimpunkan pemimpin serta inovator sosial dari seluruh dunia.
"Ilmu, pengalaman dan amalan terbaik global yang diperoleh akan dibawa pulang untuk dimanfaatkan di Malaysia, khususnya dalam memperkukuh agenda pembangunan keusahawanan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta pelaksanaan program-program strategik INSKEN," katanya.
Menurutnya, pencapaian itu mencerminkan kepimpinan, dedikasi dan komitmen tinggi Viviantie dalam memperkasa keusahawanan, perusahaan sosial serta pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan.
"Saya yakin penganugerahan ini akan terus memberi nilai tambah kepada ekosistem keusahawanan negara, khususnya bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
"Tahniah dan syabas diucapkan atas kejayaan yang amat membanggakan ini. Hebatkan Perniagaan Malaysia!," katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
momod boleh tak tolong sahkan ada Club Med baru nak siap tu di sanaaaa Kuala Penyu |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki maut, pacuan empat roda jatuh dalam lubang pembentungan
Januari 23, 2026, Jumaat - 11:03am
LAHAD DATU: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas kenderaan dinaiki terbabas sebelum terjatuh ke dalam lubang pembentungan sedalam kira-kira tujuh meter di Jalan Pantai menghala ke bandar Lahad Datu, pagi Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata, dalam kejadian jam 7.04 pagi itu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan melalui talian balai memaklumkan insiden kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Katanya, deramai 14 anggota bersama beberapa jentera digerakkan ke lokasi sejauh dua kilometer.
“Jentera pertama tiba pada jam 7.08 pagi dan mendapati kenderaan terbabas sendiri sebelum melanggar penghadang jalan lalu terjatuh ke dalam lubang pembentungan atau ‘jacking pit’ yang masih dalam pembinaan.
“Lubang pembentungan berkenaan dianggarkan sedalam tujuh meter dengan lebar kira-kira 6.5 meter.
“Terdapat dua mangsa berada di dalam lubang berkenaan ketika pasukan bomba tiba dan pihak bomba segera menjalankan operasi menyelamat dengan menggunakan tali serta pengusung bagi membawa mangsa keluar dari kawasan berbahaya,” katanya.
Katanya, kedua-dua mangsa berjaya dinaikkan satu persatu dengan kaedah penyelamatan menegak.
“Pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudian membuat pemeriksaan terhadap mangsa dan seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
“Seorang lagi mangsa berumur 34 tahun mengalami kecederaan termasuk patah tangan, mangsa cedera diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menaiki ambulans KKM bagi rawatan lanjut.
“Mayat mangsa maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, pihak bomba seterusnya memasang sawar keselamatan di sekitar lokasi bagi mengelakkan risiko tambahan kepada pengguna jalan raya dan pasukan penyelamat.
“Pemeriksaan akhir mendapati tiada lagi ancaman bahaya di kawasan kejadian dan ditamatkan pada jam 9.07 pagi,” katanya.
Beliau juga menasihatkan orang ramai agar memandu secara berhati-hati terutama di kawasan pembinaan serta jalan yang mempunyai risiko permukaan tidak rata bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Hajiji mahu lebih ramai anak Sabah sandang jawatan tinggi di Persekutuan
Januari 23, 2026, Jumaat - 1:06pm

KENANGAN: Hajiji menyampaikan cenderamata kepada Ahmad pada kunjungan itu.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berharap lebih ramai anak Sabah yang berkelayakan dapat menyandang jawatan-jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam Persekutuan, termasuk di Putrajaya.
Beliau berkata, anak Sabah perlu bersikap lebih terbuka dan bersedia menerima penempatan di luar negeri ini, termasuk di negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia, bagi memastikan penyertaan yang lebih seimbang dalam pentadbiran Persekutuan.
“Anak-anak Sabah yang berkelayakan perlu menolak stigma tidak mahu bertugas di luar Sabah.
"Banyak jawatan kosong dalam perkhidmatan Persekutuan ditawarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Malaysia dan telah dipohon oleh anak Sabah.
“Apabila ditawarkan jawatan, termasuk jawatan tinggi, walaupun penempatan di Semenanjung, mereka perlu menerimanya supaya lebih ramai anak Sabah dapat berkhidmat dan menyumbang dalam jabatan-jabatan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pengerusi SPA Malaysia, Dato’ Sri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.
Hajiji berkata, penglibatan lebih ramai anak Sabah dalam perkhidmatan awam Persekutuan bukan sahaja membuka peluang pembangunan kerjaya, malah dapat memperkukuh kefahaman serta penyertaan rakyat Sabah dalam sistem pentadbiran negara secara menyeluruh.
Sementara itu, Ahmad dalam taklimatnya memaklumkan bahawa trend permohonan anak Sabah untuk menyertai perkhidmatan awam Persekutuan menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Beliau berkata, secara purata kira-kira 2,000 anak Sabah dilantik ke dalam perkhidmatan awam Persekutuan setiap tahun, khususnya untuk berkhidmat di negeri ini.
Menurutnya, bagi memudahkan urusan pengambilan dan temu duga, SPA Malaysia akan membuka sebuah lagi pusat temu duga baharu di Sabah tahun ini, iaitu di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Keningau.
“Ketika ini, pusat temu duga SPA di Sabah terletak di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau,” katanya.
Beliau turut memaklumkan Ketua Menteri mengenai pelaksanaan program ‘outreach’ SPA di Sabah, termasuk penglibatan dalam Kampung Angkat MADANI, selain jalinan kerjasama dan hubungan rapat yang berterusan antara SPA Malaysia dan SPA Sabah.'
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
STTOS perhebat usaha promosi perdagangan dan pelancongan Sabah
Januari 23, 2026, Jumaat - 1:47pm

ALBUM: Ewon bersama rombongan bergambar bersama pegawai STTOS.
SINGAPURA: Sabah Trade & Tourism Office Singapore (STTOS) diminta melipatgandakan usaha mempromosikan perdagangan dan pelancongan Sabah.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick berkata, STTOS berperanan penting sebagai barisan hadapan kerajaan negeri dalam mempromosikan potensi pelaburan, perdagangan dan pelancongan Sabah, khususnya di pasaran Singapura yang menjadi antara rakan dagang dan pelabur negeri itu.
Katanya, usaha berterusan STTOS selama ini telah memberi impak positif dengan meningkatkan penyertaan syarikat tempatan Sabah dalam pasaran Singapura serta merangsang minat pelaburan dari Singapura ke Sabah.
“Saya hargai usaha STTOS menggerakkan promosi pelaburan, perdagangan dan pelancongan di Sabah selama ini yang telah menyumbang kepada penyertaan syarikat tempatan Sabah dalam pasaran Singapura serta meningkatkan minat pelaburan dari Singapura di Sabah.
“Saya telah memberikan beberapa pandangan khususnya promosi ke atas taman-taman perindustrian baharu di Sabah yang diletakkan di bawah MINDET dan juga promosi ke atas pelancongan luar bandar berasaskan komuniti seperti di Kadamaian.
“Saya juga meminta STTOS untuk mempromosi produk dan perkhidmatan syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) Sabah terutama yang menerima pengiktirafan Anugerah Industri Sabah supaya dapat menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan ke STTOS salah satu agensi di bawah Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah pada hari pertama lawatan kerjanya di Singapura, kelmarin.
Dalam lawatan tersebut, Ewon menerima taklimat daripada Pengarah Urusan STTOS, Wendy Clare Stephen, berhubung peranan serta pencapaian pejabat berkenaan dalam mempromosikan pelaburan, perdagangan dan pelancongan Sabah di pasaran Singapura.
Selain Singapura, beliau turut menerima cadangan penubuhan pejabat perwakilan seumpama STTOS di negara lain bagi mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelaburan, di samping meningkatkan kualiti dan standard produk serta perkhidmatan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Sabah selari dengan wawasan Sabah First MINDET.
Beliau yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan berkata, usaha berterusan STTOS telah menyumbang kepada peningkatan penyertaan syarikat tempatan Sabah dalam pasaran Singapura serta merangsang minat pelaburan dari Singapura ke Sabah.
Sehubungan itu, beliau menghargai komitmen dan peranan strategik STTOS sebagai penghubung utama antara Sabah dan komuniti perniagaan antarabangsa.
Dalam rangka lawatan kerja yang sama, Ewon mengadakan perbincangan dua hala dengan Singapore Business Federation (SBF) yang diketuai oleh Pengarahnya, Tan Shu Yee.
SBF merupakan pertubuhan apex kepada sekitar 35,000 syarikat perniagaan di Singapura yang ingin memberi tumpuan pelaburan di Borneo termasuk di Sabah.
Beliau berkongsi maklumat mengenai pengembangan taman-taman perindustrian di Sabah serta peranan MINDET dalam memudahcara pelaburan langsung asing (FDI) ke negeri itu.
“Saya akan menghoskan pertemuan dengan SBF di Sabah semasa kunjungan delegasi mereka pada bulan hadapan sebagai sebahagian usaha berterusan untuk membangunkan ekosistem mesra pelabur di Sabah sesuai dengan wawasan Sabah First.
“Saya juga mengadakan pertemuan dengan Esteel Sabah bagi membincangkan potensi pengembangan pelaburan syarikat tersebut di Sabah,” katanya.
Lawatan kerja ini mencerminkan komitmen kerajaan Sabah untuk terus memperkukuh jaringan antarabangsa, menarik pelaburan berkualiti serta memperluas akses pasaran bagi produk dan perkhidmatan tempatan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
PRK Kinabatangan, Lamag: Hari terakhir kempen, calon perhebat gerak kerja
Januari 23, 2026, Jumaat - 2:14pm

Calon BN DUN Lamag Mohd Ismail (dua, kanan) atau lebih dikenali sebagai Miha bersama calon BN Parlimen Kinabatangan Mohd Kurniawan Naim hadir pada program Sembang Santai Belia TVET di Pusat GiatMARA Kinabatangan hari ini sempena hari terakhir kempen menjelang Pilihan Raya Kecil Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag esok. - Gambar BERNAMA
KINABATANGAN: Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang memasuki hari terakhir hari ini, menyaksikan semua calon bertanding melipatgandakan gerak kerja kempen bertemu pengundi bagi meraih sokongan sebelum hari pengundian, esok.
Bermula awal pagi, calon mula melakukan kunjungan dari rumah ke rumah, pertemuan bersama komuniti setempat serta program berskala kecil di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) terpilih.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Lamag Mohd Ismail Ayob memanfaatkan hari terakhir kempen dengan menghadiri beberapa program antaranya Program Santai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), program komuniti serta menyertai aktiviti konvoi bermotor, sebelum menutup kempen dengan pertemuan santai bersama jentera parti pada sebelah malam.
Sementara itu, calon BN bagi Parlimen Kinabatangan Mohd Kurniawan Naim Moktar pula memulakan kempen hari terakhir dengan menghadiri program bersama GiatMARA Kinabatangan disusuli dengan beberapa siri kempen rumah ke rumah serta menghadiri ceramah kelompok kecil dalam usaha meraih sebanyak mungkin undi.
Calon Warisan bagi PRK Parlimen Kinabatangan Datuk Saddi Abdul Rahman pula mengisi hari terakhir kempen dengan menghadiri program bersama Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di kawasan DUN Kuamut.
Sementara itu, calon Warisan PRK DUN Lamag Mazliwati Abdul Malek dan calon Bebas PRK Parlimen Kinabatangan Goldam Hamid setakat ini belum mempunyai jadual kempen.
Mohd Ismail, Mohd Kurniawan Naim, Saddi dan Mazliwati juga turut memanfaatkan platform media sosial bagi menyampaikan mesej akhir masing-masing kepada pengundi.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim, Saddi dan Goldam, manakala bagi DUN Lamag, pertandingan berlangsung satu lawan satu antara Mohd Ismail dan Mazliwati.
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.
Sebanyak 48,526 pengundi akan menunaikan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat baharu pada PRK Parlimen Kinabatangan dan 13,703 pengundi akan memilih bagi DUN Lamag, esok. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Dua vesel nelayan ditahan, empat warga asing disiasat
Januari 23, 2026, Jumaat - 2:29pm

TAHAN: Salah sebuah kapal nelayan yang ditahan dalam operasi ini.
TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan dua vesel nelayan dalam dua operasi berasingan selepas dikesan melakukan pelbagai pelanggaran undang-undang di perairan Tawau.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali, berkata penahanan pertama berlaku kira-kira pukul 10.40 pagi ketika bot peronda Maritim Malaysia menjalankan Ops Sejahtera, Ops Pluto Timur dan Op Tiris di sekitar perairan negara.
Katanya, pasukan operasi mengesan sebuah vesel nelayan asing berada dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan.
“Vesel berkenaan dipintas pada jarak 2.4 batu nautika selatan Tanjung Tinagat dan hasil pemeriksaan mendapati dua lelaki warga Indonesia berusia 44 dan 48 tahun gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah selain tidak memiliki lesen pendaftaran bot.
“Siasatan awal mendapati bot terbabit menceroboh perairan Malaysia dan menjalankan aktiviti menangkap ikan tanpa kebenaran pihak berkuasa,” katanya.
Ariffin berkata tindakan tegas diambil bagi memastikan sumber perikanan negara tidak dieksploitasi pihak luar.
“Dalam operasi berasingan pada hari sama, Kapal Maritim Malaysia KM Balung menahan sebuah vesel nelayan tempatan kira-kira pukul 11.30 pagi.
“Bot itu dipintas pada kedudukan 2.8 batu nautika barat daya Batu Tinagat selepas dikesan melakukan pergerakan mencurigakan.
“Pemeriksaan terhadap vesel berkenaan menemukan dua lagi lelaki warga Indonesia yang bekerja sebagai kru,” katanya.
Katanya, kedua-duanya mengemukakan dokumen perjalanan meragukan selain permit kerja sudah tamat tempoh.
“Juragan bot pula gagal mengemukakan dokumen perjalanan asal ketika diminta pegawai penguat kuasa.
“Keadaan itu menimbulkan syak pelanggaran syarat imigresen dan peraturan perikanan, kesemua empat individu bersama dua vesel dan muatan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Perikanan 1985 kerana disyaki melakukan kesalahan menceroboh perairan dan menggaji kru tanpa dokumen sah,” katanya.
Menurutnya, nilai rampasan termasuk hasil laut, dua vesel dan enjin dianggarkan melebihi RM121,000.
Ariffin menegaskan Maritim Malaysia tidak berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang khususnya aktiviti perikanan haram di perairan Zon Selamat Sabah Timur (Esszone).
Menurutnya, rondaan dan pemantauan akan dipertingkat bagi mengekang pencerobohan vesel asing serta melindungi keselamatan perairan negara.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan jenayah maritim atau aktiviti mencurigakan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|