|
Akhiri Kemarau Penantian
Menghimpunkan nama terkenal seperti Jaclyn Victor, Sheila Rusly, Hazami, Raja Azura, Kristal, Sofaz, Azwan Ali selain nama baru yang sedang mekar dalam industri hiburan antaranya Mila, Farah Asyikin, Bard R1, Fouziah Gous dan Julia Ziegler, pelbagai acara disusun untuk memeriahkan siri promosi yang dihangatkan lagi oleh tiga penyampai saluran radio rasmi ABPBH 2007, HotFM iaitu AG, Leya dan Ikhwan.
Bagaikan berada dalam sebuah temasya hiburan yang gilang gemilang, perarakan finalis yang akan mengakhiri debaran mereka pada malam kemuncak ABPBH 2007 di Arena of Stars, Genting Highlands pada 30 Mac ini disambut sorakan gamat sebaik rombongan memasuki pintu masuk Kuantan Parade.
Laungan nama finalis yang menyertai siri promosi, diiringi tepukan gemuruh bergema memenuhi ruang legar pusat beli belah terkenal cukup untuk menggambarkan kemeriahan yang menanti selama empat jam acara berlangsung.
Kelainan yang dicipta di setiap destinasi menjadikan kunjungan finalis sentiasa dinanti, malah menghangatkan lagi siri promosi dengan pelbagai gimik kreatif untuk memanaskan ABPBH 2007.
Menariknya, siri promosi jelajah ABPBH 2007 bagaikan menjadi medan kepada beberapa finalis untuk memperkenalkan produk terbaru mereka kepada peminat.
Paling teruja, pastinya pelakon dan pengacara keletah, Raja Azura yang begitu bersemangat mempromosikan album keduanya yang baru siap dirakamkan.
Selepas sedekad tidak merakamkan album, malah namanya sebagai penyanyi juga sudah hampir dilupakan, artis yang lebih akrab membahasakan diri sebagai Kak Engku belum hilang pesonanya di pentas.
Dua lagu dialunkan, sebuah lagu balada hasil sentuhannya sendiri, Hati Terkunci dan lagu rancak, Alang-Alang, Kak Engku berjaya menggamit peminat cilik untuk menari bersamanya di pentas.
Lebih menggembirakannya, 25 salinan album yang memuatkan lapan lagu yang turut dibawa bersama laris dijual dalam masa singkat.
Ia sekali gus menyuntik semangat kepadanya untuk kembali menyemarakkan namanya sebagai penyanyi dengan himpunan lagu yang mendapat sentuhan komposer popular masa kini, Yasin dan Cat Farish.
Begitu juga dengan Hazami yang dicalonkan bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular. Jemputan menyertai beberapa siri promosi ABPBH 2007 sebelum ini tidak mampu dipenuhi lantaran komitmen terhadap pelbagai urusan.
Bagaimanapun, penyanyi yang baru melahirkan album ketiga, Nyata, September lalu tidak mampu menolak apabila dipelawa ke Kuantan Parade.
Antara destinasi yang kerap disinggahi selama lebih enam tahun bergelar artis rakaman, Hazami begitu teruja sebaik tiba di Kuantan malah tidak dapat melelapkan mata kerana tidak sabar menanti reaksi peminat.
Begitu kuat pengaruh ABPBH 2007 dan kata Hazami, pencalonan dalam kategori yang turut mempertaruhkan nama hebat seperti Anuar Zain, Faizal Tahir, Mawi dan Adam itu mengubat segala kekalutan sejak Nyata dipasarkan.
Tidak mampu menyembunyikan gejolak perasaan, apatah lagi bukan sering ruang untuk mempromosikan album pertamanya diperoleh, Farah Asyikin juga menjadikan ABPBH 2007 sebagai platform untuk memperkukuhkan namanya.
Bintang yang digilap menerusi pertandingan Malaysian Idol dan One In A Million itu ternyata bersemangat waja untuk meneruskan perjuangannya sebagai anak seni.
Disebabkan itu kata Farah, dia tidak akan tunduk kepada tekanan dan paksaan orang lain yang ingin menjatuhkan namanya.
Sebaliknya dia akan terus bangkit mempertahankan haknya, malah dengan sokongan besar yang diterima termasuk pencalonan ABPBH 2007 bagaikan membakar semangat untuk dia terus mencuba.
Dan sebaik menamatkan persembahan menerusi dua lagu, Di Pangkuan Pilu dan 1000 Penipuan, helaan nafas lega serta senyum kepuasan menghiasi wajahnya yang pada awal agak bimbang memikirkan reaksi peminat.
Bintang kecil molek yang melakar sejarah menerusi pertandingan Akademi Fantasia (AF) 6, Mila ialah antara penyanyi muda yang tidak jemu memperkenalkan bakatnya.
Walaupun Kuantan Parade bukan destinasi pertama siri promosi ABPBH 2007 yang dijayakannya, namun kata anak kelahiran Pulau Pinang itu, kedatangan kali ini lebih bermakna.
"Walaupun hanya dengan dua lagu, ia cukup menggembirakan Mila kerana dapat menghiburkan peminat sebab pada siri promosi pertama di KB Mall, hanya artis lelaki yang dibenarkan membuat persembahan," katanya.
Membawakan lagu yang menjulang namanya sebagai juara AF6, Persis Mutiara dan single terbaru, Mila Bila Cinta, aura penyanyi muda yang sedang menggilap nama ini di pentas semakin meyakinkan. (Sejak bila Mila juara AF6? AF6 pun x start lagik! )
Ruang yang sama juga dimanfaatkan penyanyi lelaki yang sedang popular dengan lagu Lena, Diddy. Antara finalis yang memberikan komitmen jitu dalam siri promosi ABPBH 2007, Diddy memanfaatkan peluang itu untuk memperkenalkan album pertamanya.
Lengkap poskad, poster selain album yang ditandatangani, Diddy melihat ABPBH 2007 sebagai platform untuk mengetengahkan bakatnya sebagai antara barisan pelapis yang akan mewarnai pentas seni.
Tidak ketinggalan kumpulan Sofaz yang juga baru muncul dengan album terbaru, Kepantasanku. Sedang popular dengan lagu Bukan Di Sini, mereka juga mengambil peluang sebagai finalis Artis Berkumpulan/Duo Popular untuk mempromsikan album yang sedang hangat diperkatakan itu.
Menghangatkan lagi siri promosi ABPBH 2007, kehadiran penyanyi bersuara lantang, Jaclyn Victor yang sanggup memandu sendiri ke destinasi wajar diberi pujian.
Rasa letih diketepikan dan sebaik kakinya menjejaki pentas, penyanyi yang membahasakan dirinya sebagai Jac itu seperti mendapat kekuatan untuk melontarkan vokal hebatnya menerusi dua lagu, NO One dan Satu Harapan.
Pujian juga wajar diberikan kepada dua pelakon baru Fouziah dan Julia yang turut memberikan komitmen mereka dengan menjayakan sesi bersama peminat yang menawarkan pelbagai cenderamata kenangan untuk dimenangi.
Tidak lengkap ABPBH 2007 tanpa kehadiran dua pengacara berpengalaman, Azwan Ali dan Sheila Rusly banyak membantu menghidupkan perjalanan acara dengan telatah serta celoteh mereka yang menghiburkan.
Selama dua hari berlangsung, Kuantan Parade menyaksikan pelbagai acara menarik disusun untuk memperkemaskan lagi siri promosi ABPB 2007 seperti peraduan mewarna, pertandingan karaoke serta cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai cenderamata eksklusif.
Peminat juga berpeluang bergambar kenangan bersama artis di gerai Berita Harian selain acara kuiz dan cabutan bertuah Habib Jewels yang juga penaja utama ABPBH 2007.
Corat-Coret:
- TUBUH kecil molek Mila sering menjadi bahan usikan barisan finalis yang menyertai siri promosi ABPBH 2007 di Kuantan Parade, Kuantan. Hinggakan finalis Artis Komedi Wanita Popular, Sheila Rusly mengusik untuk memberi seluar anak bongsunya yang berusia 7 tahun kepada Mila kerana terkejut dengan saiz badan penyanyi itu yang kecil.
- PUAS Mila meyakinkan kepada ahli rombongan beratnya sudah bertambah. Malah, dengan bangga dia memberitahu sejak keluarganya berpindah dan tinggal bersama di Kuala Lumpur, badannya naik dua kilogram. Tetapi, seperti biasa dia tetap diusik kerana tidak nampak perubahan ketara pada tubuh badannya.
- FINALIS Pengacara TV Lelaki Popular, Azwan Ali cukup bersedia untuk sesi promosi. Siap membawa poster dan poskad khas untuk diberikan kepada peminat. Cuma kenapa perlu ada ayat Top 5 Ker?? Kenapa Azwan? Tak yakin mampu mara dalam senarai Top 5 ke?
- TERUJA Kak Engku apabila diajak berbicara mengenai album keduanya yang siap sepenuhnya, Rabu lalu. Malah, Kuantan Parade menjadi destinasi pertama untuk dia memperkenalkan album yang turut memuatkan lagu ciptaannya sendiri, Hati Terkunci. Seronok apabila album yang dibawanya laris dijual macam goreng pisang panas.
- BEBERAPA finalis pantas mengangkat tangan apabila dimaklumkan mereka akan diarak dengan motosikal berkuasa besar ke lokasi promosi. Diddy awal-awal lagi menyatakan bimbang kerana sudah lama tidak membonceng motosikal. Sheila pula menolak kerana tidak mahu timbul salah tanggapan dengan penampilannya yang bertudung.
- KAK Engku memang seorang yang lasak. Langsung tidak takut, malah dengan yakin dia membawa sendiri sukter untuk ke lokasi promosi dan vokalis Sofaz, Amer menjadi pemboncengnya.
- DIDDY cukup seronok kerana album sulungnya mendapat perhatian setiap kali menjayakan siri promosi ABPBH 2007. Tidak hanya mendapat album, peminat juga dihadiahkan poskad dan poster khas membuktikan Diddy begitu bekerja keras untuk meletakkan namanya di persada seni.
- PERGILAH ke mana saja lokasi, persembahan Kristal sentiasa dinanti. Begitu juga apabila mereka menjejaki Kuantan Parade. Persembahan bertenaga mereka sebagai penutup siri promosi di negeri itu memberikan kepuasan, malah membuat peminat tersenyum kerana bukan sering berpeluang menyaksikan persembahan secara langsung daripada Kristal.
|
|