|
Imbau kebangkitan Rock 80-an - Rock Oo Rimba Bara
WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Mac 2013
Pada 2005, Mamat Khalid tampil dengan filem Rock, yang berkisar mengenai kumpulan Rock, Rimba Bara yang cuba mencipta nama sebagai rockers di era muzik 80 dan 90-an tempatan.Dalam filem tersebut, kumpulan Rimba Bara telah dianggotai oleh Hasnul Rahmat sebagai Zubir@Zack, Que Haidar sebagai Amy Mat Piah, Khir Rahman sebagai Jijo Alfonso
Pareira Abdullah, dan Norazmi Bahron sebagai Black. Namun berbeza dalam sekuelnya, Rock Oo Rimba Bara Kembali, kebanyakan watak dikekalkan dan di tambah dengan kehadiran Pekin sebagai Slash Haji Tapah dalam kumpulan Rimba Bara.
Jika dalam Rock, ia membawa kepada perjuangan Rimba Bara dalam mencipta nama, dalam Rock Oo, ia mengetengahkan kisah Amy sebagai bekas vokalis yang telah dibuang dari kumpulan, namun dia kembali semula walaupun dengan menagih simpati selepas Zul Kapan telah berpaling tadah dan kembali kepada kumpulan lamanya, Malaikat Maut.
Secara keseluruhan, tidak keterlaluan untuk meletakkan Rock Oo sebagai filem terbaik dari pengarah prolifik ini.
Segala cerita diadun sebaik mungkin, ada pahit, manis, pedas dan sekali gus berjaya mendekatkan penonton dengan arena rock kapak itu sendiri.
Biarpun plot agak perlahan pada mulanya, namun apabila durasi bergerak ke klimaks cerita, gelak tawa mula menguasai dan ia kekal sehingga ke penghujung penceritaan. Pendek kata, filem ini seimbang dengan gelak tawa dan mesej sebagai teladannya.
Meletakkan latar belakang kampung dan bandar sebagai sinematografi utamanya, kumpulan Rimba Bara meninggalkan kampung halaman dan datang ke Kuala Lumpur setelah diyakinkan oleh seorang promoter.
Namun, nasib malang menimpa mereka apabila promoter tersebut ditangkap dan mereka terpaksa meneruskan perjuangan tanpa wang.
Babak paling penting yang pasti akan diingat semua adalah ketika zaman rock mengalami kejatuhan dan kumpulan rock tidak dibenarkan berambut panjang sehingga ada upacara memotong rambut sebagai simbolik, pasti akan menjadi momen yang paling diingati semua kerana ia benar-benar terjadi suatu ketika dahulu.
Kebijaksanaan Mamat, ia tidak sedikit pun memperlihatkan seolah-olah filem ini melalui pembikinan pada 2011. Sebaliknya, ia seolah-olah dirakam pada 1990. Contohnya penggunaan kereta, cara berpakaian dan suasana, memperlihatkan negara kita 20 tahun lalu.
Malah, penggunaan seleksi lagu seperti Cintamu Mekar Di Hati, Dari Kacamata & Sendiri (May), Meniti Titian Usang, Rozana & Pawana (Search), Ku Di Halaman Rindu (Lefthanded), Tika Dan Saat Ini (Medicine), Sejuta Wajah, Teratai (Sweet Charity), Untukmu Sayang (Febian), Misteri Mimpi Syakila & Intanku Kesepian (Wings), Srikandi Cintaku (Bloodshed) serta Suci Dalam Debu (Iklim), banyak mengimbau kegemilangan zaman rock kapak.
Namun, pengisian lagu ini bukan diisi kosong dan hanya untuk memenuhi durasi filem ini, sebaliknya, setiap lagu yang diselitkan membawa pengertian mengenai kisah yang berlaku.
Lakonan mantap
Paling penting, Mamat sangat bertuah kerana filem ini dibarisi pelakon hebat seperti Que Haidar (Amy Mat Piah), Khir Rahman (Jijo), Soffi Jikan (Zul Kapan) dan Pekin Ibrahim (Slash Haji Tapah).
Tiada siapa dapat menafikan kehebatan mereka dan ke semua pelakon tidak cuba untuk 'bertanding' sebaliknya menterjemahkan watak masing-masing dengan cara yang tersendiri.
Pastinya, rindu peminat Que akan terubat dengan lakonannya setelah dua tahun menyepi tanpa sebarang filem dan drama.
Khir yang selama ini sering diberi watak antagonis begitu menyerlah dengan watak Jijo yang berjaya membuatkan penonton pecah perut dengan kata-katanya yang slumber.
Manakala Slash yang mirip seperti Johnny Depp menarik perhatian kerana biarpun berjiwa rock, dia sebenarnya seorang pencinta yang setia. Malah, ke mana sahaja sanggup membawa teman wanitanya. Namun, kerana cita-cita, dia terpaksa meninggalkan wanita yang dicintainya itu.
Biarpun kecewa, dia tetap meneruskan perjuangan dan berlagak seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.
Rimba bara vs Malaikat Maut
Rock Oo merupakan kesinambungan filem Rock yang mengisahkan tentang perjuangan rockers kampung iaitu Rimba Bara yang bersemangat teguh untuk menempah nama di arena muzik tempatan yang akhirnya menjadi kenyataan.
Dalam filem ini, Que Haidar yang memegang watak sebagai Amy Mat Piah merupakan seorang yang berpegang kepada prinsip pantang anak petani moden mengaku kalah, berhajat untuk menyatukan kembali kumpulan Rimba Bara dengan memujuk Jijo (Khir Rahman), Slash Haji Tapah (Pekin Ibrahim) dan Mi Black (Azmi Black) kembali dalam kumpulan rock mereka.
Namun begitu, mereka terpaksa bersaing dengan kumpulan Malaikat Maut yang semakin mendapat tempat di hati peminat, apatah lagi bekas vokalis Rimba Bara, Zul Kapan (Shoffi Jikan) menjadi vokalis kumpulan tersebut.
Berjayakah Amy Mat Piah menyatukan semula kumpulan Rimba Bara? Dapatkah Amy menjadi vokalis utama Rimba Bara menggantikan Zul Kapan? |
|