KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), menjangkakan hujan akan berterusan di negeri-negeri Pantai Timur dan utara Semenanjung, berdasarkan ramalan cuaca signifikan bermula esok hingga 5 Mac ini.
Ketua Pengarah METMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah, berkata ramalan berdasarkan analisis model METMalaysia Weather Research and Forecasting Model (MET-WRF), European Centre for Medium-Range Weather Forecasts (ECMWF) dan Global Forecast System(GFS).
"Luruan monsun berserta satu sistem cuaca tekanan rendah di Laut China Selatan sudah memasuki sempadan negeri Pahang dan Terengganu.
"Ia bergerak merentasi Semenanjung menuju utara Selat Melaka yang membawa hujan berterusan di negeri-negeri Pantai Timur dan utara Semenanjung Malaysia," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Muhammad Helmi berkata, keadaan cuaca di Semenanjung dijangka bertambah baik mulai 28 Februari ini.
Manakala hujan dan ribut petir dijangka berlaku di utara Sarawak serta barat dan timur Sabah pada sebelah petang hingga awal malam.
Dalam pada itu, katanya amaran angin kencang dan laut bergelora (kategori pertama, kedua dan ketiga) dikeluarkan untuk perkapalan di perairan Laut China Selatan berkuat kuasa sehingga Isnin ini.
Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman sesawang www.met.gov.mydan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih