|
20% industri gagal patuh peraturan alam sekitar
Oleh YUSRI SAHAT
SEBAHAGIAN peserta seminar Alam Sekitar dan Biodiversiti Ke Arah Malaysia Maju 2020 Peringkat Pantai Timur tekun mengikuti seminar di Kuantan, semalam.
KUANTAN 14 April - Sebanyak 20 peratus atau 14 daripada 68 kilang memproses minyak sawit termasuk milik Felda di Pahang dikesan gagal mematuhi peraturan pelepasan sisa buangan sepanjang tahun lalu.
Timbalan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Zakaria Ahmad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 54 kilang sawit di negeri itu didapati mematuhi peraturan tersebut.
Berikutan itu, tegas beliau, pihaknya telah mengambil tindakan undang-undang terhadap kilang-kilang terbabit mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
''Secara keseluruhannya sebanyak RM500,000 denda telah dikenakan terhadap pihak yang gagal mematuhi peraturan alam sekitar sepanjang tahun lalu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian seminar Alam Sekitar dan Biodiversiti Ke Arah Malaysia Maju 2020 peringkat Pantai Timur di sini hari ini.
Beliau mewakili Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah Embas.
Menurut Zakaria, kegagalan kilang-kilang terbabit mematuhi peraturan alam sekitar kerana sistem pengawasan pembuangan sisa buangan yang lemah.
''Kita mendapati sistem rawatan sisa buangannya yang tidak berfungsi menjadi punca kepada pencemaran alam sekitar," jelasnya.
Sehubungan itu, tambah beliau, pihaknya meminta semua kilang sawit menjalankan pengawasan yang lebih ketat terhadap rawatan sisa buangannya.
Bagaimanapun, jelas beliau, kebanyakan syarikat yang terlibat dalam sektor industri mematuhi peraturan alam sekitar menerusi pemantauan di beberapa kawasan perindustrian di seluruh negeri ini.
Menurutnya, JAS sentiasa memantau kawasan industri di negeri ini terutama di Gebeng, Semambu, Pekan dan Bentong. |
|
|
|
|
|
|
|
Mi Hamidi gigih amalkan rawatan berbekam
JERANTUT 17 April - Perubatan tradisional melalui kaedah berbekam sememangnya popular di kalangan orang Melayu sejak sekian lama begitu juga di China, Asia Barat dan Eropah.
Meskipun pengamal perubatan kaedah berbekam itu semakin berkurangan di negara ini namun masih ada di kalangan generasi muda yang mahir dalam bidang tersebut.
Mi Hamidi Nipah, 36, merupakan salah seorang pewaris amalan perubatan bekam di Kampung Pagi, Tembeling, dekat sini.
Imam Masjid Kampung Pagi itu berkata, dia mempelajari teknik bekam semasa menuntut dalam pengajian al-Quran di Pakistan 15 tahun lalu daripada seorang guru.
Setelah yakin untuk mengamalkan rawatan itu, dia membeli peralatan berbekam seperti cawan, alat penyedut dan pisau selepas kembali dari Pakistan.
''Saya menjalankan rawatan ini di rumah dan peralatan yang digunakan haruslah bersih dan selamat daripada sebarang jangkitan kuman yang boleh memudaratkan," katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Pagi, dekat sini hari ini.
Mi Hamidi memberitahu, proses berbekam dilakukan menerusi empat peringkat bermula rawatan asas, memulihkan sakit, mengekalkan dan memelihara kesihatan.
Semasa rawatan asas, kata beliau, seluruh badan perlu dibekam bermula dari bahagian kepala dan selepas seminggu, rawatan boleh dijalankan ke seluruh badan.
''Tujuan utama ialah untuk membuang racun dalam darah, memulihkan saraf dan organ dalam badan. Di samping itu, ia juga penting untuk membetulkan sistem badan dan memudahkan pengaliran oksigen," katanya.
Tambahnya, peringkat kedua ialah rawatan pemulihan yang dilaksanakan secara berulang sehingga penyakit sembuh.
Kebiasaannya, menurut Mi Hamidi, darah yang disedut keluar berwarna kehitaman dan kadang-kadang mempunyai lendir dan lemak.
''Darah yang terdapat dalam badan yang tidak berfungsi untuk tubuh boleh membawa keracunan dan mengakibatkan sistem tubuh lemah. Jika tidak dibuangkan, toksin akan menyebabkan badan tidak boleh bertahan dan mengakibatkan penyakit seperti buah pinggang, kencing manis dan komplikasi penyakit lain yang berbahaya,'' katanya.
Menurut Mi Hamidi, bagi yang telah mendapatkan rawatan bekam, mereka akan merasakan perbezaan terutama daripada segi kecergasan otak, ringan sendi, wajah berseri, tidak ditumbuhi jerawat, tubuh bertenaga dan hilang bau badan.
''Berbekam tidak sahaja sesuai pada yang berpenyakit tetapi mereka yang sihat juga boleh melakukannya, sekurang-kurangnya setiap enam bulan sekali," katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
Rumah sewa dapat bil elektrik RM22,000

FADHEELAH menunjukkan bil elektrik rumahnya yang berjumlah RM22,132 di Kuantan semalam.
KUANTAN - Tidak masuk akal.
Seorang kerani swasta, Fadheelah Abdul Manaf, 31, tidak lelap tidur apabila menerima penyata tunggakan bil elektrik rumah sewanya berjumlah RM22,132.50 bagi bulan April.
Baginya, ia satu amaun yang mustahil jika mengambil kira beliau hanya menyewa sebuah rumah bersama dua rakan dan mereka pula hanya pulang pada waktu malam selepas bekerja.
"Sebelum ini, secara puratanya bil elektrik kami hanya dalam lingkungan RM30 hingga RM40 sebulan.
"Masalah ini bermula bulan lepas apabila kami dapat bil berjumlah RM21,982.66,'' katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Fadheelah menyangka Tenaga Nasional Berhad (TNB) tersilap cetak atau berlaku kesilapan teknikal dalam penyata itu dan beliau mengambil keputusan menunggu bil bulan berikutnya.
"Bagaimanapun, saya terkejut kerana bil elektrik bulan ini meningkat lagi kepada RM22,132.50.
"Saya tidak berpuas hati dan enggan melangsaikan bil itu kerana kami tidak pernah menggunakan elektrik setinggi itu," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta TNB memberikan penjelasan berhubung perkara ini dan menyelesaikannya secepat mungkin. |
|
|
|
|
|
|
|
Proses kelulusan pinjaman usahawan dikaji semula
TEMERLOH 18 April - Kerajaan akan membuat kajian semula mengenai proses kelulusan dana pinjaman perniagaan yang dikatakan merumitkan usahawan bumiputera.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kajian semula itu dibuat selepas pihaknya menerima banyak rungutan di kalangan usahawan yang sukar mendapatkan pinjaman berikutan kerenah birokrasi institusi kewangan.
Selain itu kata beliau, kementeriannya akan mengkaji semula syarat-syarat sedia ada dan mungkin akan memindanya mengikut kesesuaian supaya pinjaman dapat diberikan secepat mungkin.
''Kita akan menyelaraskan kursus usahawan supaya tidak berlaku pertindihan antara pihak bank dan agensi kerajaan yang mengeluarkan pinjaman seperti Bank Pembangunan, Bank Industri Kecil dan Sederhana (MSE), Tabung Ekonomi Usahawan Niaga (Tekun) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Hua Lian, Mentakab dekat sini hari ini.
Menurut beliau, usahawan yang memohon pinjaman kini disyaratkan menghadiri kursus yang ditetapkan oleh pihak bank, Mara dan Tekun walaupun pemohon terbabit telah mengikuti kursus yang sama sebelumnya.
Saifuddin berkata, pertindihan kursus itu menyebabkan usahawan terbabit telah membuang masa kerana mereka terpaksa melalui kursus yang sama berulang kali apabila hendak membuat pinjaman dengan bank dan agensi kerajaan yang berlainan.
Tambahnya, pihak terbabit sepatutnya tidak mengenakan syarat yang terlalu ketat kepada peminjam terutama usahawan bumiputera kerana ia merupakan pinjaman daripada dana kerajaan.
Sehubungan itu, Saifuddin memberikan jaminan pihaknya akan lebih telus dan meminta semua agensi kerajaan dan bank membantu usahawan dengan tidak mengenakan syarat yang terlalu ketat.
''Kita mahu agensi kerajaan terbabit dan pihak bank membantu usahawan yang benar-benar berpengalaman dan mengenal pasti perniagaan yang akan diceburi itu," tegasnya.
Beliau berharap usahawan bumiputera tidak mudah berputus asa sebaliknya bersabar menunggu kajian semula yang dijalankan itu selesai. |
|
|
|
|
|
|
|
200 peniaga akan dibantu
Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN
KUANTAN 18 April - Nasib kira-kira 200 peniaga dan penjaja kecil sekitar Sungai Lembing dekat sini yang menjadi mangsa banjir besar penghujung tahun lalu akan diberi perhatian sewajarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md. Sohaimi Mohamed Shah berkata, beliau telah membawa perkara tersebut kepada pengetahuan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob untuk mempertimbangkan bantuan akibat kerugian yang dialami mereka.
Maklum balas yang diterima daripada kepimpinan negeri setakat ini katanya, amat positif dan pihaknya yakin mereka akan menerima bantuan yang diharapkan dalam tempoh terdekat ini.
''Pada umumnya, kerajaan negeri bersetuju untuk membantu tetapi kadarnya belum diputuskan lagi," katanya selepas perjumpaan dengan peniaga di Dewan Persatuan Cina, Sungai Lembing dekat sini hari ini.
Pertemuan tersebut diadakan ekoran rayuan oleh peniaga terbabit sebelum ini agar pihak kerajaan negeri turut membantu mereka sebagaimana bantuan yang diperoleh oleh mangsa rumah kediaman.
Menurut Md. Sohaimi, beliau akan berusaha memastikan tiada mangsa banjir di kawasan terbabit yang akan tercicir daripada menerima bantuan.
''Sekarang ini saya minta ketua-ketua kampung kenal pasti mangsa yang terlibat, buat laporan berkelompok dan kita akan sampaikan kepada Menteri Besar untuk tindakan susulan," katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
Mat rempit dipenjara 20 bulan
Oleh Irwan Shafrizan Ismail
KUANTAN: Mahkamah Majistret di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara 20 bulan dan denda RM5,000 ke atas seorang mat rempit, Mohd Azlin Fazleen Rusli, 23, yang menunggang motosikal secara melulu pada 5 April 2006.
Ini menjadi hukuman kedua tertinggi di Pahang membabitkan mat rempit. Sebelum ini, jurukimpal, Ahmad Afzal Sabari Zumadi, 20, yang didapati bersalah pada Rabu lalu kerana berlumba haram dan melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal pada 28 Mei 2006.
Majistret, G Ramesh menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Azlin, yang juga seorang pengawal keselamatan dari Kampung Kuala Pueh, Kuala Berang, Terengganu kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Hukuman penjara itu berkuat kuasa semalam dan sekiranya Mohd Azlin gagal membayar denda, hukuman penjara ditambah lapan bulan. Mahkamah juga memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung selama dua tahun bermula tarikh sama.
Mengikut fakta kes, Mohd Azlin didakwa menunggang secara berbahaya serta melanggar tiga lampu isyarat merah di Jalan Penjara serta Jalan Mat Kilau, di sini.
Tertuduh juga dipercayai tidak mahu memberhentikan motosikalnya walaupun polis membunyikan siren sebelum memecut motosikalnya untuk melarikan diri dengan membuat pusingan U serta menunggang melawan arus trafik. |
|
|
|
|
|
|
|
Pelajar maut, rakan cedera dirempuh kereta
KUANTAN: Seorang pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Gudang Rasau di sini, terbunuh manakala rakan sekelasnya cedera akibat dirempuh sebuah kereta di Km 9 Jalan Kuantan-Gambang di sini, awal pagi tadi.
Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, Asisten Superintendan Wan Zahari Wan Busu, berkata kejadian dipercayai berlaku ketika Nur Fadhilah Amri, 13, dari Batu 8 Jalan Gambang, bersama rakannya, Nur Hajar Sobri, 13, melintas jalan di hadapan sekolah berkenaan kira-kira pukul 6.50 pagi.
Beliau berkata, sebuah kereta Proton Wira yang datang dari arah Kuantan menuju ke Gambang gagal mengelak dan merempuh kedua-dua pelajar itu sebelum mereka tercampak beberapa meter.
"Kereta berkenaan kemudian merempuh pula dua pokok palma yang ditanam di kawasan pembahagi jalan sehingga tumbang sebelum mengenai seorang penunggang motosikal, |
|
|
|
|
|
|
|
Syurga pencinta alam
Teks dan gambar Yooga Rani Murugiah
[email protected]
http://www.hmetro.com.my/Thursday/Santai/20080417102913/mainpix
CAMERON Highlands di Banjaran Titiwangsa begitu popular di kalangan pelancong tempatan dan asing yang cintakan keindahan alam semula jadi, flora dan fauna.
CAMERON Highlands di Banjaran Titiwangsa begitu popular di kalangan pelancong tempatan dan asing yang cintakan keindahan alam semula jadi, flora dan fauna.
Sebagai pusat peranginan tanah tinggi terbesar di Malaysia, ia dikelilingi kawasan hutan simpan yang tebal.
Cameron Highlands memang menjanjikan percutian menarik.
Dengan udara bersih dan nyaman serta suhu antara 14 hingga 22 darjah selsius, pusat pengeluar sayuran, bunga dan teh ini nyata memberi keselesaan dan ketenangan kepada mereka yang inginkan suasana privasi, tenang dan nyaman.
Oleh kerana iklim sejuk dan tanah subur di Cameron Highlands sesuai untuk pelbagai jenis tanaman seperti teh, strawberi, bunga ros, kaktus dan jagung, majoriti penduduk setempat menjadikan kegiatan pertanian sebagai sumber pendapatan mereka.
Menaiki kenderaan sendiri merentasi jalan bengkang-bengkok dari Simpang Pulai atau Tapah ke lembah Cameron cukup meletihkan. Namun, kepenatan ini tidak dirasai apabila mata segar dijamu dengan pemandangan sekeliling yang begitu mempesonakan.
Memang pemandangan sekitar ke kawasan tanah tinggi ini memukau. Sama ada belok ke kanan atau kiri, pasti mata tidak lekang menyaksikan keindahan panorama tanaman sayuran, bunga dan teh yang bertaburan bagaikan hamparan permaidani hijau.
Apa yang istimewanya, melalui jalan berliku-liku yang dibina mengikut kontur bukit, anda boleh nikmati kehijauan tanaman di sepanjang lereng bukit, pelancong sibuk membeli pelbagai buah tangan dan hasil tani yang segar di situ, saujana mata memandang.
Jika bertuah, sambil menaiki bukit ini, anda akan terserempak dengan Orang Asli menjual akar kayu dan hasil tani lain.
Penduduk Orang Asli ini masih mendiami lereng bukit dan di sepanjang kawasan tanah tinggi Cameron Highlands sejak dahulu.
Sebaik sampai di Cameron Highlands, kunjungan anda tidak lengkap jika tidak menjamah strawberi segar atau melawat kebun tanaman strawberi yang diusahakan menggunakan teknologi hidroponik dan sistem tanaman semula jadi.
Selain memetik sendiri strawberi yang harum di kebun strawberi Raaju Hill di Kea Farm, tinjau sekali ladang dan kilang teh yang menunjukkan cara daun teh segar dikutip dan diproses menjadi serbuk di Ladang Teh Boh di Sungei Palas.
Di samping Ladang Teh Boh dengan kafeteria yang unik, membolehkan anda menghirup teh harum sambil menyaksikan keindahan ladang teh dari puncak bukit, Cameron turut memiliki dua lagi ladang yang tidak kurang popular, Bharat Tea Plantation dan Blue Valley yang dibuka untuk kunjungan ramai.
Pengalaman bercuti di Cameron Highlands memang menyeronokkan apatah lagi jika anda sukakan alam semula jadi.
Malah pelancong yang melawat setiap ladang teh dan kebun sayuran serta tanaman lain, pasti diberi penerangan mengenai kegiatan dijalankan di situ. Malah penjual juga tidak keberatan menunjuk ajar, selain membawa pelawat meninjau taman berkenaan.
Untuk kemudahan penginapan yang selesa dan mewah, anda boleh memilih Hotel Equatorial Cameron Highlands yang menawarkan harga berpatutan ketika promosi selain pakej lawatan ke semua destinasi di Cameron Highlands.
>Info
Lokasi : Cameron Highlands
Tempat menarik: Ladang Teh Boh Palas, Ladang Teh Cameron Valley dan Blue Valley, kebun strawberi di Brinchang, kebun tanaman sayuran, Ros dan Cactus Valley, Taman Rama-Rama, Air Terjun Robinson.
Bagaimana ke sana: Perjalanan menaiki kenderaan sendiri dari Tapah atau Simpang Pulai
ke Cameron Highlands mengambil masa kira-kira sejam setengah. Anda akan merentasi pekan Ringlet, Tanah Rata dan Brinchang.
# Cameron Highlands mempunyai tiga pekan iaitu Ringlet, Tanah Rata dan Brinchang. Jika Brinchang menempatkan ladang teh dan strawberi, Tanah Rata tertumpu kepada penanaman sayuran. Bunga ros, matahari dan orkid selain sayur seperti kobis dan tomato yang dibungkus sekali dalam satu pek boleh dibeli pada harga RM5.
# Bagi peminat bunga ros dan pelbagai pokok bunga eksotik, Pusat Ros di Brinchang menawarkan bunga ros pelbagai warna. Di sini, anda boleh mendapatkan kombinasi spesies bunga raya, orkid, periuk kera dan tumbuhan hutan.
# Daripada pusat ros, anda perlu memandu beberapa kilometer ke hadapan hingga sampai ke Lembah Kaktus, yang juga di Brinchang.
# Taman kaktus terbesar ini menempatkan lebih 1,000 spesies kaktus di kawasan berlandskap seakan-akan padang pasir.
# Melihat bekalan kaktus yang diperoleh dari Belanda dan China ini begitu unik selain harganya begitu murah, pasti membuatkan penggemar kaktus membeli pulang beberapa pokok kaktus sebagai hadiah buah tangan untuk keluarga dan rakan. |
|
|
|
|
|
|
|
RM50 juta program
latihan anak peneroka
BANDAR JENGKA 19 April - Felda memperuntukkan sebanyak RM50 juta untuk program latihan kemahiran kepada anak peneroka lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di institusi latihan di seluruh negara pada tahun ini.
Penolong Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Omar Dollah berkata, peruntukan besar itu akan memberi manfaat terhadap anak peneroka untuk menimba sebanyak mungkin kemahiran dan pengetahuan.
''Generasi baru Felda hari ini harus berpengetahuan global dengan mengekalkan nilai-nilai positif budaya, norma hidup dan patriotik untuk berhadapan dengan cabaran hebat pada masa akan datang,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penilaian Anugerah Belia Negeri (Kategori Persatuan) peringkat negeri di Felda Raya Jengka 14 dekat sini semalam.
Hadir sama Timbalan Presiden Majlis Belia Felda Pahang, Abdul Rahman Basri, Timbalan Naib Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rakyat (JKKR) Jengka 14, Daud Hitam dan Pengerusi Persatuan Belia Felda Jengka 14, Hamdan Abu Samah.
Omar berkata, usaha lain untuk melahirkan lebih ramai anak peneroka berwawasan ialah mewujudkan Anugerah Belia Felda Malaysia (ABFM).
Anugerah itu, katanya, bertujuan merangsang peningkatan kualiti generasi baru tanah rancangan itu untuk menyumbang kepada pembangunan negara.
Menurut beliau, ABFM bermatlamat mewujudkan generasi baru Felda yang bertanggungjawab, berdikari, bersemangat sukarela dan patriotik.
''Perhatian berat yang diberi kerajaan terhadap generasi baru Felda patut diambil kesempatan oleh mereka untuk membaiki kualiti diri dan mengukuhkan organisasi,'' katanya.
Tambah beliau, anugerah itu bukan sahaja menonjolkan aspek kepimpinan tetapi dalam bidang berpersatuan dan keusahawanan.
Katanya, sebarang anugerah yang dianjurkan itu bertujuan mendidik generasi baru Felda melaksanakan tanggungjawab dengan amanah.
Omar menegaskan, organisasi belia yang mantap memudahkan usaha Felda melaksanakan pelbagai program pembangunan seperti latihan kepimpinan, kemahiran, keusahawanan. |
|
|
|
|
|
|
|
Penjelasan MB Pahang
PADA Sabtu 19 April 2008, Utusan Malaysia telah menyiarkan komen Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang mengulas pelantikan Exco Pahang, Datuk Maznah Mazlan sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.
Terdapat dua isu dalam laporan Utusan Malaysia itu, menurut Adnan, tidak tepat seperti yang diperkatakannya pada sidang akhbar yang diadakan di Kuantan pada petang Jumaat lalu.
Berikut ialah kenyataan penuh penjelasan Menteri Besar Pahang berhubung laporan berkenaan.
1. Saya ingin membuat penjelasan mengenai tajuk berita dalam Utusan Malaysia 19 April 2008, hari Sabtu, muka surat tiga bertajuk Jawatan Exco Gugur - MB.
2. Tajuk berita dan isi berita dalam perenggan enam yang melaporkan "dan sebagai Menteri Besar, beliau (yakni Adnan) mempunyai hak mutlak melantik sesiapa sahaja" adalah salah, mengelirukan dan boleh melaga-lagakan Menteri Besar dengan Perdana Menteri dan di antara Menteri Besar dengan Sultan Pahang.
3. Berdasarkan kepada rakaman percakapan yang direkodkan oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar dan ramai pemberita lain, saya tidak pernah menggunakan perkataan 'hak mutlak saya' dan tidak pernah mengatakan 'Datuk Maznah Mazlan digugurkan sebagai Exco'.
4. Hak mutlak atau prerogatif diberikan kepada Perdana Menteri dalam pemilihan anggota kabinetnya dengan menyembah nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong.
5. Sultan Pahang mempunyai hak mutlak melantik Menteri Besar sebagaimana yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Pahang.
6. Mengenai pengisian jawatan yang dikosongkan oleh Maznah saya menyatakan, "Itu kita tunggu saya menyembah nasihat, menyembah maklum, mengadakan perbincangan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dan juga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Pahang."
7. Saya ada menyatakan juga "kedudukan Maznah dengan sendirinya di Majlis Mesyuarat Kerajaan akan dikosongkan." Saya tidak pernah menyatakan Maznah akan digugurkan sebagai Exco sebagaimana yang dilaporkan.
8. Berita yang telah tersiar menggambarkan saya sebagai Menteri Besar tidak memahami kuasa dan prerogatif yang ada pada Perdana Menteri dan kuasa dan prerogatif yang ada pada Sultan Pahang, sedangkan pada hakikatnya saya amat memahami.
9. Saya ucapkan terima kasih kerana menyiarkan kenyataan saya ini yang sepatutnya tidak perlu berlaku jika Utusan lebih berhati-hati, beretika dan profesional dalam laporannya.
10. Saya tidak memerlukan sebarang liputan lagi oleh Utusan selepas ini.
ADNAN YAAKOB
MENTERI BESAR PAHANG
Bertarikh: 19 April 2008
Sabtu, 11.29 malam |
|
|
|
|
|
|
|
17 juta rokok seludup dirampas dalam 3 bulan
Oleh SALEHUDIN MAT RASAD

WAN Salman Wan Ismail (kanan), Iskandar Jaafar (kiri) melihat pameran barangan rampasan Kastam Diraja Malaysia selepas merasmikan Hari Keluarga Peniaga Bersama Penguatkuasa Kastam Pahang di Balora Mastika, Bandar Jengka, Pahang, kelmarin.
BANDAR JENGKA 20 April |
|
|
|
|
|
|
|
Penyeludup rokok tumpu kawasan tanah rancangan Felda
BANDAR JENGKA 20 April - Kastam Diraja Malaysia (KDRM) mengesan taktik penyeludup yang kini beralih ke kawasan pedalaman dan tanah rancangan Felda untuk menyeludup rokok.
Ketua Bahagian Pencegahan KDRM negeri, Zubli Din berkata, ini kerana permintaan rokok seludup dan tiruan adalah tinggi di kalangan buruh asing yang bekerja di ladang getah dan sawit.
Berikutan itu, tegas beliau, pihaknya akan menggiatkan usaha pembanterasan dengan mengadakan serbuan ke premis perniagaan yang menjual pelbagai jenama rokok setiap minggu sepanjang tahun ini.
''Pengedaran rokok jenama palsu tanpa kelulusan Kastam di pedalaman secara langsung menjejaskan pendapatan syarikat rokok sah yang beroperasi di negara ini.
''Syarikat-syarikat rokok tempatan akan menjadi mata dan telinga KDRM melaporkan kegiatan pengedaran jenama rokok palsu di kalangan pengguna di seluruh pelosok negeri,'' katanya kepada Utusan Malaysia selepas sambutan Hari Keluarga Peniaga Bersama Penguat Kuasa Kastam di Balora Mastika di sini.
Tegas beliau, pengguna dan peniaga diminta bekerjasama dengan pihak berkuasa jika mempunyai maklumat berhubung kegiatan penyeludupan di kawasan masing-masing.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Persatuan Pekilang-Pekilang Tembakau Malaysia, Shaik Abbas Ibrahim berkata, pihaknya memberi kerjasama penuh kepada KDRM untuk membanteras kegiatan penyeludupan rokok.
Katanya, kegiatan penyeludupan boleh menyebabkan syarikat rokok di negara ini gulung tikar kerana pengguna beralih kepada jenama palsu.
''Kajian persatuan mendapati arah aliran perokok termasuk golongan muda menggunakan produk luar tanpa kelulusan kastam lebih tinggi berbanding yang sah,'' katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
Masalah pungutan sampah selesai
TEMERLOH 20 April - Masalah pungutan sampah yang tidak mengikut jadual di Zon 4, Mentakab sejak dua bulan lalu dijangka selesai apabila kerja-kerja itu diambilalih Alam Flora tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi, Teknologi Maklumat dan Penerangan, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, Alam Flora telah menamatkan khidmat kontraktor sebelum ini kerana syarikat berkenaan didapati tidak mampu memungut sampah mengikut jadual.
Kata beliau, Alam Flora sudah mula memungut sampah di Zon 4 yang terdiri daripada Taman Rimba, Taman Saga, Taman Tualang, Taman Bukit Bendera dan Taman Gopeng sejak dua minggu lalu sebaik sahaja perkhidmatan kontraktor terbabit ditamatkan.
''Bagaimanapun keupayaan Alam Flora mengangkut sampah mengikut jadual seperti sedia kala akan pulih sedikit masa lagi apabila ia menerima sembilan buah lori mengangkut sampah yang baru tidak lama lagi yang berharga RM300,000 sebuah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menemui pegawai Alam Flora bagi mendapatkan penjelasan mengenai masalah pungutan sampah yang tidak mengikut jadual di kawasan berkenaan sejak dua bulan lalu di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang memberitahu, sebelum ini Alam Flora hanya menggunakan dua buah lori sahaja untuk mengangkut sampah bagi keseluruhan kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Temerloh (MPT).
Dengan memiliki 11 buah lori mengangkut sampah yang moden dan berkapasiti besar, katanya, masalah memungut sampah bagi keseluruhan pentadbiran MPT yang membabitkan 8,000 premis menjadi lebih cekap dan berjalan lancar.
Dalam satu perkembangan lain, Mohd. Sharkar memberitahu, MPT mendapat peruntukan RM6.5 juta daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi membaikpulih kerosakan akibat banjir besar hujung tahun lalu.
''Sekarang ini kerja-kerja tersebut sedang berjalan antaranya ialah menurap semula keseluruhan jalan raya yang rosak di bandar Temerloh dan Mentakab, membaiki taman permainan dan papan tanda jalan.
''Selain itu, MPT turut melantik juru perunding bagi menjalankan kajian untuk tapak pelupusan sampah di Kampung Belenggu seluas 40 hektar bagi menggantikan tempat pelupusan sampah yang sedia ada di Kampung Tualang," kata beliau.
Menurutnya, MPT memerlukan tempat pelupusan yang baru memandangkan tempat sedia ada tidak mampu untuk menampung sampah dan terpaksa menumpang kawasan pelupusan di Bera. |
|
|
|
|
|
|
|
Jangan ambil kesempatan
isu kenaikan harga beras
Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN
KUANTAN 20 April - Para peniaga di negeri ini diberi amaran supaya tidak menggunakan alasan kenaikan harga beras global untuk menaikkan harga barangan tersebut sewenang-wenangnya.
Pada masa sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi; Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ishak Muhamad menasihati orang ramai agar tidak panik dengan apa yang berlaku kerana kerajaan akan sentiasa menjalankan pemantauan.
''Pengguna jangan terlalu bimbang atau panik kerana harga yang naik itu hanya melibatkan beras yang diimport dan bukan yang dikeluarkan dalam negara.
''Harga beras tempatan yang di bawah kawalan akan sentiasa kita pantau," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Negeri Pengguna (PPDNHEP) Pahang, Abu Samah Shahbudin di sini hari ini.
Menurut Ishak, kerajaan menerusi PPDNHEP hanya bertanggungjawab mengawal harga beras tempatan dan tidak mempunyai kuasa menentukan harga ke atas mana-mana beras yang diimport.
Bagi memastikan pengguna tidak terus tertipu dengan tindak tanduk peniaga, katanya, lebih banyak program kesedaran orang ramai mengenai hak dan peranan mereka akan diadakan.
''Masih ramai pengguna yang belum sedar hak mereka. Budaya kepenggunaan kita sebenarnya belum mencapai tahap yang membanggakan. Ini yang akan kita beri tumpuan," jelas beliau.
Katanya, apa yang diharapkan ialah pengguna tidak lagi takut untuk mengatakan hak mereka dan peniaga akan lebih berhati-hati semasa berurusan seperti yang berlaku di negara-negara maju.
Terdahulu dalam taklimatnya, Abu Samah menjelaskan, sehingga Mac lalu, sebanyak 61 kes dibawa ke Tribunal Tuntutan Pengguna dan daripada jumlah itu, 21 kes dapat diselesaikan.
Pada tahun lalu, katanya, jumlah kes yang dilaporkan ialah 327 kes berbanding tahun sebelumnya iaitu 312 kes.
''Antara kes yang sering dibawa ialah berkaitan tuntutan kerosakan barangan elektrik, kes penipuan gores dan menang, kenderaan, ubahsuai rumah dan tiket penerbangan," jelasnya.
Mengulas isu pemantauan harga barangan, Abu Samah berkata, terdapat 140 pegawai pemantau dilantik secara kontrak sedang menjalani latihan di seluruh Pahang.
Pegawai-pegawai terbabit katanya, bertanggungjawab memantau 350 jenis barang keperluan harian untuk melihat trend perubahan harga dari semasa ke semasa termasuk di kawasan Felda. |
|
|
|
|
|
|
|
Petanda positif Pahang
Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY
[email protected]

PENYERANG Pahang, V. Saravanan (kiri) cuba melepasi pemain pertahanan Perlis, Mohd. Rethudin Emran pada perlawanan Liga Super di Kuantan semalam.
KEMENANGAN 1-0 ke atas Perlis pada aksi Liga Super malam kelmarin jelas memberi petanda positif terhadap perubahan prestasi Pahang.
Jelas jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan, kejayaan membenam Perlis membuktikan bahawa anak buahnya kini semakin matang dalam memikul tugas serta tanggungjawab masing-masing.
"Berdasarkan rentak permainan yang dipamerkan pemain malam ini (kelmarin), saya yakin dengan potensi mereka.
"Situasi ini jelas membuktikan bahawa mereka mampu mara lebih jauh, sekali gus memperbaiki kedudukan liga dalam dua baki perlawanan seterusnya," kata Zainal.
Tambah Zainal, sekalipun turun tanpa beberapa tonggak berpengalaman, barisannya masih mampu melaksanakan tugas dengan baik.
"Permainan serta pergerakan mereka cantik dan tersusun walaupun tanpa kehadiran beberapa pemain lama.
"Ini merupakan satu petanda positif dan pemain muda semakin matang dalam memikul tugas masing-masing pada perlawanan ini, tahniah," tambah Zainal.
Dalam pada itu, Zainal tetap mengingatkan barisannya agar tidak mudah berpuas hati dengan perkembangan yang dipamerkan mereka.
"Saya nasihatkan pemain untuk tidak leka dengan kejayaan yang diraih memandangkan masih ada tugas berat yang menanti mereka khasnya dalam saingan Piala FA Selasa ini (esok)," kata Zainal.
Malam esok, Pahang akan bertandang ke Stadium Likas untuk membuat perhitungan dengan Sabah pada aksi suku akhir pertama Piala.
"Beraksi di tempat lawan menuntut semua pemain untuk tidak mudah leka selain perlu memberi komitmen yang tinggi bagi memastikan kemenangan tercapai," ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, beberapa rombakan akan dibuat sebagai salah satu strategi Pahang menentang skuad bimbingan Drago Mamic tersebut. |
|
|
|
|
|
|
|
Tiga maut selepas ziarah rakan
KUANTAN - Tiga remaja terbunuh apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan dua buah kenderaan lain termasuk sebuah lori tangki di Kilometer 21.5, Jalan Kuantan-Sungai Lembing di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu, kereta Perodua MyVi yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah kereta yang dinaiki oleh lima ahli sekeluarga dan sebuah lori tangki tanpa muatan yang datang dari arah bertentangan.
Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, Asisten Supritendan Wan Zahari Wan Busu berkata, mangsa-mangsa yang terkorban ialah pemandu lelaki, Chan Kin Chaw, 20, dari Taman Muda, Kuala Lumpur, penumpang depan Michelle Gan Mei Li, 21, dari Setapak Jaya, Kuala Lumpur dan penumpang bahagian belakang Yap Li Sim, 21, dari Jalan Mat Kilau di sini.
Menurut beliau, semasa kejadian kereta ketiga-tiga sahabat itu dalam perjalanan dari Sungai Lembing ke Kuantan dipercayai terbabas ke laluan bertentangan ketika melalui satu selekoh di jalan berkenaan.

KEADAAN kereta MyVi yang mengorbankan tiga sahabat selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 21.5, Jalan Kuantan-Sungai Lembing, Kuantan semalam.
Akibat rempuhan kuat itu, Michelle terhumban sejauh 10 meter dari tempat nahas.
Kesemua mereka yang menetap di Kuala Lumpur semasa itu dipercayai dalam perjalanan pulang selepas melawat rakan mereka di Sungai Lembing.
Wan Zahari berkata, kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di bahagian kepala dan beberapa bahagian badan.
Kesemua mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk dibedah siasat.
Bagaimanapun, pemandu dan empat penumpang kereta lain serta pemandu lori tangki berusia 55 tahun tidak mengalami kecederaan.
Pemandu kereta yang terselamat, Kamaruddin Othman, 37, berkata, keretanya berpusing dan terbabas ke tepi jalan selepas bahagian belakangnya dirempuh kereta mangsa.
Bagaimanapun, Kamaruddin bersyukur kerana dia dan keluarganya terselamat. |
|
|
|
|
|
|
|
AKPK bantu 41,366 orang bermasalah kewangan
KUANTAN 21 April - Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah membantu seramai 41,366 pengguna yang menghadapi masalah kewangan di seluruh negara sejak 2006 hingga 31 Mac lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Mohamed Akwal Sultan berkata, daripada jumlah itu, 29,685 orang mendapat perkhidmatan kaunseling dan selebihnya menerima bantuan melalui program pengurusan kredit.
Dalam tempoh itu, kata beliau, penduduk Kuala Lumpur paling ramai mendapatkan khidmat AKPK iaitu seramai 25,527 orang diikuti Johor Bahru seramai 5,494 orang.
"Kebanyakan yang hadir mendapatkan kaunseling itu ialah golongan yang kehilangan pekerjaan, kegagalan perniagaan, masalah kesihatan, penganggur dan kematian anggota keluarga," katanya ketika berucap pada majlis perasmian AKPK cawangan Kuantan di Teluk Chempedak dekat sini hari ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Mohamed Akwal menjelaskan, faktor yang menyumbang kepada masalah hutang dan ketidakmampuan membayar balik pinjaman berpunca daripada kelemahan pengurusan kewangan.
"Kebanyakan mereka tidak mempunyai pengetahuan membuat perancangan kewangan dan tidak berdisiplin dalam kehidupan mereka," jelasnya.
Sehubungan itu, katanya, AKPK berperanan memberi pendidikan dalam aspek pengurusan supaya peminjam bijak menguruskan kewangan masing-masing.
Bagi mencapai matlamat itu, Mohamed Akwal memberitahu, AKPK merangka modul pengurusan kewangan peribadi bagi semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang akan dilancarkan pada Jun ini.
Dalam pada itu, Mohamed Akwal menambah, AKPK yang beribu pejabat di Kuala Lumpur kini mempunyai tujuh cawangan iaitu di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuching, Kota Kinabalu, Ipoh, Melaka dan Kuantan sejak ditubuhkan pada April 2006.
"Di Kuantan sahaja, kita telah menerima 500 pelanggan yang berurusan sejak pejabat cawangan itu dibuka pada 19 November tahun lalu," katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
Jumpa pistol berpeluru hidup depan rumah

Mohd. Yusof Katri menunjukkan lokasi pistol dan peluru hidup yang ditemui dalam longgokan batu pasir sungai di hadapan rumahnya di Felda Jengka Satu, Maran, kelmarin.
MARAN 21 April - Seorang peneroka terkejut apabila menemui sepucuk pistol mengandungi enam butir peluru dalam longgokan pasir di depan di rumahnya di Felda Anggerik Jengka Satu di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 8.30 pagi itu, pistol berwarna putih itu ditemui ketika Mohd. Yusof Katri, 65, sedang mencangkul pasir tersebut untuk dijadikan benteng penghalang hakisan sungai di depan rumahnya.
Menurutnya, pada awalnya dia menyangka objek itu hanya sepucuk pistol mainan sebelum senjata api tersebut dibawa ke Pondok Polis Felda Jengka Satu untuk pengesahan.
"Ketua Pondok Polis Felda Jengka Satu mengesahkan objek itu adalah pistol asli buatan Thailand," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di sini.
Berikutan penemuan itu, kata Mohd. Yusof, satu laporan dibuat di Balai Polis Sungai Jerik dekat sini.
Dia difahamkan, pistol berkenaan kini berada dalam simpanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran untuk tindakan selanjutnya.
Mohd. Yusof tidak menolak kemungkinan senjata api itu mungkin milik penjenayah dan tertinggal di longgokan pasir yang ditempah olehnya daripada pembekal bagi tujuan penghalang hakisan. |
|
|
|
|
|
|
|
Curi sawit berleluasa di Jengka
Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
BANDAR JENGKA 21 April - Peneroka Felda di sini menggesa pihak berkuasa bertindak tegas membanteras kegiatan kecurian buah kelapa sawit yang semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini.
Mereka mendakwa, pihak berkuasa tidak bersungguh-sungguh menangani masalah kecurian itu sehingga menyebabkan peneroka kerugian ratusan ribu ringgit.
Timbalan Naib Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rakyat (JKKR) Gabungan Wilayah Jengka, Abdul Hamid Shafie (gambar) berkata, pihaknya meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pencuri buah sawit bagi menjaga kebajikan peneroka.
Katanya, kegiatan itu berlaku berikutan wujud pembeli atau penimbang haram yang sanggup membeli secara tunai buah sawit besar walaupun dalam kuantiti yang kecil.
''Felda wajar mewujudkan semula skim pengawal keselamatan bagi menjaga laluan utama masuk ke tanah rancangan sekali gus dapat memantau kegiatan negatif di situ,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Jengka 18, Mat Saad Sarip, 54, turut bimbang kegiatan mencuri buah sawit yang kerap berlaku di sini sejak akhir-akhir ini ini berikutan harga komoditi itu yang tinggi antara RM680 hingga RM750 setan metrik.
Katanya, jika kegiatan mencuri ini tidak diatasi, ia akan menjejaskan pendapatan peneroka yang menjalankan aktiviti tanam semula.
''Kecurian buah bukan sahaja berlaku di tempat pengumpulan tetapi juga diambil dari atas pokok sawit milik orang lain,'' katanya.
Seorang peneroka Felda Seroja Jengka 18, Abdul Ghani Rejab, 57, mahu polis dan pengurusan Felda bekerjasama untuk menghalang kegiatan itu daripada terus berleluasa.
''Jika kegiatan mencuri buah sawit tidak diatasi, dibimbangi akan menimbulkan rasa tidak puas hati golongan peneroka berikutan kelemahan pihak berkuasa menangani isu itu,'' katanya.
Abdul Ghani berkata, polis dan pengurusan Felda perlu bertindak dan tidak berkompromi dengan pihak yang dikenal pasti melakukan kegiatan mencuri itu.
Bagi Mat Yasin Hassan, 54, dari Jengka 18 pula, masalah peneroka bukan sahaja membabitkan kecurian buah tetapi juga kualiti penyelenggaraan Felda Technoplant tidak mencapai piawaian.
''Pihak pegawai atasan Felda Technoplant harus turun padang melihat kualiti penyelenggaraan ladang terutama dari segi pusingan pembajaan, pembersihan dan kualiti pokok yang ditanam,'' katanya.
Seorang lagi peneroka, Nazeri Yahya, 69, mengakui ladang miliknya yang diserahkan kepada Felda Technoplant tidak diselenggara dengan baik.
Tegasnya, masalah buah sawit dicuri dan ditambah dengan masalah ladang yang tidak diselenggara dengan berkesan akan menjejaskan pendapatan peneroka.
Peneroka, Panis Mat Piah, 53, berpendapat kelemahan Felda mengawal kegiatan penimbang haram yang membeli buah sawit menjadi punca kegiatan kecurian berlaku secara berleluasa.
Katanya, banyak penimbang swasta dan haram wujud di Felda Jengka 19, Felda Sungai Jerik dan Felda Jengka Satu menyebabkan pencuri mudah menjual sawit kepada mereka secara tunai. |
|
|
|
|
|
|
|
RM1.2j laksana ternakan lembu daging
KUALA LIPIS 21 April - Yayasan Tekun Nasional (Tekun) memperuntukkan pinjaman RM1.2 juta untuk melaksanakan projek ternakan lembu daging secara komersiol di Kampung Pasar Sasak, dekat sini tahun ini.
Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamed Shahrum Osman berkata, projek melibatkan seramai 40 penternak itu bermula selepas kerja-kerja pembinaan kandang dan lojistik siap sepenuhnya tidak lama lagi.
Bagi peringkat permulaan, katanya, sebanyak tiga kandang dibina dengan kapasiti setiap kandang sebanyak 60 ekor lembu.
''Pembangunan ekonomi berasaskan sektor ternakan bersepadu ini sejajar dengan projek Wilayah Pembangunan Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER)," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.
Bagi melaksanakan projek ternakan lembu itu, katanya, penternak Kampung Pasar Sasak menubuhkan jawatankuasa pengurusan dengan bantuan pengusaha berpengalaman, kelengkapan lojistik serta peranan agensi kerajaan.
Mohamed Shahrum memberitahu, pihaknya akan mendapatkan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) daripada aspek pengurusan ternakan dan kawalan penyakit serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan pengusaha swasta sebagai rangkaian pasaran.
''Jika berjaya dan berpotensi, kita akan meminta kerjasama Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian (Mardi) untuk mengasaskan Pusat Nukleus Pembiakan dan Penyelidikan Lembu di Lipis," katanya.
Katanya, usaha itu dapat mempercepatkan program penyelidikan dan pembiakan lembu yang sekali gus meningkatkan pengeluaran daging lembu di Lipis.
Beliau yakin projek ternakan itu dapat berkembang dan memberi pulangan pendapatan lumayan kepada penternak.
Beliau menambah, projek itu berupaya membantu kerajaan meningkatkan bekalan daging negara dan mengurangkan pergantungan import pada masa akan datang.
Menurutnya, daerah Lipis bakal menjana sektor ternakan itu seperti yang telah berjaya dilaksanakan di kawasan Jengka, Bera dan Muadzam Shah.
''Kerajaan merancang pembangunan koridor ekonomi berasaskan ternakan di Pahang Barat bagi memacu ekonomi penduduk kampung tradisional, Orang Asli dan peneroka Felda di Lipis yang sebelum ini mungkin sedikit tercicir," katanya. |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|