Seremban: Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun dan lima sebatan ke atas seorang penganggur selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan merogol adik iparnya, September dan bulan lalu.
Hakim Fathiyah Idris dalam penghakimannya turut memerintahkan tertuduh berusia 35 tahun menjalani kaunseling ketika dalam penjara dan berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun sebaik selesai menjalani hukuman penjara.
Pada masa sama, mahkamah turut memerintahkan hukuman berjalan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 24 November lalu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol adik iparnya berusia 11 tahun di sebuah rumah di Port Dickson pada 1 September dan 23 November lalu.
Selain merogol, tertuduh didakwa meminta isterinya yang mengalami masalah lembam merakam aksi jijik mereka sebelum menjual rakaman video kepada kenalan.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 hingga 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Wan Noora Nisa Ngadirin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pihak pendakwaan sebelum itu memohon mahkamah supaya mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana tertuduh tergamak merogol kanak-kanak perempuan yang masih kecil sedangkan dia sudah berkahwin.
Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan sebatan dua kali manakala dalam pertuduhan kedua, tertuduh dipenjara 16 tahun serta tiga sebatan, namun kedua-dua hukuman itu berjalan serentak.
Harian Metro pada 25 November lalu melaporkan seorang lelaki yang berkahwin dengan remaja perempuan orang kurang upaya berusia 14 tahun sanggup memperkosa adik iparnya berumur 11 tahun.
Perbuatan terkutuk lelaki itu bagaimanapun terbongkar apabila rakaman terbabit tersebar menerusi aplikasi WhatsApp.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2015 @ 8:12 AM
« »
TERTUDUH dikenakan hukuman penjara 16 tahun dan lima sebatan selepas mengaku rogol adik iparnya sendiri.
|