KUALA LUMPUR – Pelakon jelita Rozita Che Wan mengaku takut gemuk dan mengamalkan senaman ‘sit up’ sebanyak 400 kali sehari untuk memastikan perutnya tidak buncit.
Rozita yang lebih mesra dengan panggilan Che Ta, berkata, senaman ‘sit up’ terbaik untuknya kerana dia tidak ada masa untuk ke gim.
“Tak susah buat ‘sit up’. Saya buat secara berperingkat-peringkat dalam sehari,” tuturnya.
Ibu beranak dua yang sudah mencecah usia 40 tahun ini turut mewarisi petua kecantikan daripada ibunya.
“Saya tidak makan makanan segera. Saya juga tidak minum air gas dan hanya makan nasi. Tetapi saya lebihkan pengambilan protein dan sayur-sayuran. Saya kurang makan udang dan kerang sebab malas nak kopek,” katanya.
Diusik tentang penampilannya yang selalu mengenakan pakaian ketat, Che Ta berkata, dia hanya berpegang kepada satu prinsip.
“Saya hanya berpegang kepada satu prinsip iaitu ‘biar kecilkan badan, jangan besarkan baju’,” ujarnya berseloroh.
Menyentuh mengenai persiapan perkahwinannya dengan pelakon kacak Zain Saidin, Che Ta masih lagi berahsia tentang tarikhnya, tetapi mengakui sudah melantik seorang peruding perkahwinan untuk majlisnya.
Pasangan romantis itu dijangka akan berkahwin Disember depan di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam.