Aliff bukan kena santau

Betul ke Aliff terkena sihir santau?
Memang baru-baru ini Aliff jatuh sakit. Tapi saya nak tekankan, itu bukan berkaitan santau atau sihir. Aliff mengalami masalah gastrik. Dalam perutnya ada luka dan kadang-kadang sakit macam itu memang akan muntah darah. Saya bukan orang yang tak percaya pada benda-benda macam itu. Bahkan memang dalam Islam pun cakap kita kena percaya pada benda-benda ghaib. Tapi dalam kes Aliff, saya menafikan kerana doktor sudah sahkan Aliff ada masalah dalam perut. Saya juga hairan macam mana cerita macam ini boleh tersebar sedangkan perkara itu tak benar.
Berapa lama Aliff ditahan di wad dan kenapa tergesa-gesa balik ke Singapura? Dia cuma dimasukkan ke wad selama sehari. Dia yang minta nak balik ke Singapura dan berubat di sana. Biasalah orang muda. Mana suka lama-lama duduk di hospital. Doktor pun bagi pelepasan segera. Jadi tak ada masalah.
Maksudnya Aliff sekarang dah okey? Dah tak perlu rujuk ke hospital untuk dapatkan rawatan susulan? Apa yang boleh saya cakap, keadaan Aliff dah semakin baik. Cuma dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi dia kena ke hospital semula untuk pemeriksaan doktor. Aliff seringkali dikaitkan dengan keadaan tidak sihat. Sebelum ini pun dia dikatakan sakit berkaitan jantung. Sekarang muncul pula dengan cerita santau yang sebenarnya adalah gastrik. Saya melihat perkara ini berlaku disebabkan kecuaian Aliff sendiri dalam menjaga kesihatannya. Mungkin dia tak jaga pemakanannya, tak jaga waktu tidur... Biasalah orang muda. Dia pun merokok. Itu antara puncanya.
Apa perasaan anda apabila timbul gosip atau cerita palsu mengenai Aliff? Sedih dan kecewa juga sebab benda tak betul diada-adakan. Padahal, kalau ditanya terus pada saya atau Aliff tak ada masalah, kami boleh jawab. Tak ada benda yang nak disorok pun. Ini kaitkan dengan santau. Saya tak menolak perkara macam itu ada berlaku tapi setakat ini tidak pada Aliff. Bila isu timbul dan hal ini keluar di surat khabar, orang yang tak tahu menahu percaya. Iyalah, gosip. Masa keluar cerita ini, keluarga semua hubungi saya nak bertanyakan hal sebenar. Mereka semua risau.
Aliff masih berdiam diri. Kenapa agaknya dia tak mahu jawab hal ini? Dia cuma mahu berehat. Itu saja.
Harapan anda berhubung isu ini? Saya harap selepas penjelasan ini dapat menghentikan persepsi orang mengenai apa yang berlaku pada Aliff. Jangan mudah percaya pada desas-desus yang belum tentu benar hujung pangkalnya.
|