|
|
Jualan Kombo MADANI Sabtu ini di Jumbo Grocer Sibu Jaya
Januari 13, 2026, Selasa - 4:33pm

Poster program Sayangi Lanang: Jualan Kombo MADANI pada jam 9 pagi, Sabtu ini di Jumbo Grocer, Sibu Jaya.
SIBU: Pusat Khidmat P211 Lanang akan menganjurkan Program Sayangi Lanang: Jualan Kombo MADANI pada jam 9 pagi, Sabtu ini di Jumbo Grocer, Sibu Jaya, Jalan Industri Permata.
Ahli Parlimen Lanang Alice Lau berkata, sebanyak 200 set barangan keperluan harian disediakan dalam program tersebut yang asalnya bernilai RM30, namun ditawarkan kepada orang ramai pada harga RM20 sahaja melalui subsidi khas.
“Setiap set kombo mengandungi sekampit 5 kilogram (kg) beras, sepeket 1kg gula putih, minyak masak, biskut serta telur ayam 10 biji.
“Inisiatif ini merupakan antara usaha berterusan pihak Pusat Khidmat P211 Lanang untuk membantu meringankan beban kos sara hidup penduduk Sibu.
“Kami menyediakan barangan keperluan pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran,” katanya.
Beliau menambah, program tersebut sentiasa mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
“Langkah ini dilihat berkesan dalam membantu isi rumah menguruskan perbelanjaan harian,” katanya.
Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Very Mart Permyjaya tawar produk plastik, pembungkusan berkualiti pada harga borong
Januari 13, 2026, Selasa - 4:36pm

Cawangan Very Mart di Permyjaya yang terletak sebaris Habibi Cake Shop beroperasi setiap hari seawal jam 7.30 pagi.
MIRI: Sekiranya anda sedang mencari produk plastik dan pembungkusan pada harga borong, Very Mart Permyjaya merupakan destinasi pilihan tepat yang menawarkan pelbagai produk berkualiti pada harga yang paling murah.
Very Mart Permyjaya yang mula beroperasi pada November tahun lepas merupakan cawangan kelima Very Mart di Miri, sekali gus mencerminkan perkembangan pesat syarikat tersebut sejajar dengan permintaan pasaran yang semakin meningkat.
Premis tersebut beroperasi setiap hari bermula jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang (Isnin hingga Sabtu) manakala 7.30 pagi hingga 3.30 petang pada hari Ahad dan cuti umum, bagi memudahkan urusan pelanggan.
Ia menawarkan rangkaian lengkap produk plastik dan pembungkusan termasuk barangan sekali guna dan boleh diguna semula seperti bekas makanan (kontena), pinggan, cawan, pembungkus makanan, sudu, penyucuk sate, beg plastik, kotak pastri pelbagai saiz, arang, botol plastik, tisu, tali, sarung tangan pakai buang dan pelbagai produk lain.
Kepelbagaian ini menjadikan Very Mart sebagai pusat pembelian sehenti yang praktikal dan menjimatkan.
Selain itu, ia turut menyediakan perkhidmatan menyediakan hamper khas mengikut permintaan pelanggan, khususnya untuk kegunaan musim perayaan, majlis korporat dan acara istimewa.
Penubuhan Very Mart Permyjaya adalah susulan daripada permintaan tinggi daripada pengusaha restoran, perkhidmatan katering, penjaja serta orang awam, terutama menjelang musim perayaan dan acara besar.
Kedai plastik itu terletak di lokasi strategik sebaris dengan Habibi Cake Shop dan seberang Restoran Al Asna Permyjaya, memudahkan ia diakses oleh pelanggan setempat.
Selari dengan slogan 'Kedai Plastik, Harga Borong', Very Mart menawarkan harga kompetitif hasil pembelian produk secara pukal terus daripada pengeluar, sekali gus membolehkan penjimatan kos disalurkan kepada pelanggan.
Ketika ini, Very Mart mempunyai enam cawangan iaitu di Batu Niah, Centre Point, Tudan, Senadin, Permyjaya dan SABERKAS.
Bagi menghargai pelanggan setia, Very Mart turut menawarkan Program Ganjaran Keahlian yang membolehkan ahli mengumpul mata di semua cawangan dan menebus mata ganjaran pada pembelian akan datang, sekali gus membina hubungan jangka panjang yang saling menguntungkan.
Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Polis, KPM jayakan program 'First Day At School' di SMK Limbang
Januari 13, 2026, Selasa - 4:44pm

Parum (dua kanan) menyantuni pelajar baharu di SMK Limbang pada Isnin.
LIMBANG: Program 'First Day At School' anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Limbang dengan kerjasama strategik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diadakan di sekolah tertua di daerah ini iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Limbang pada Isnin.
Program itu merupakan cerminan komitmen bersama dalam memastikan persekitaran sekolah yang selamat, kondusif dan harmoni untuk proses pembelajaran dan pembentukan insan cemerlang.
Bertepatan dengan slogan PDRM iaitu ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’, Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot turut hadir menyantuni pelajar termasuk pelajar baharu yang mendaftar di sekolah itu.
“Pada program ini, seramai lima Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang turut hadir menyantuni para pelajar bersama warga guru SMK Limbang,” katanya.
Tambah beliau, kerjasama erat antara pihak sekolah dan PDRM diharapkan dapat terus memupuk kesedaran keselamatan serta membentuk generasi muda yang bertanggungjawab dan berakhlak mulia.
Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kerajaan harus pertimbang buka laluan sungai baharu, kurangkan impak banjir
Januari 13, 2026, Selasa - 5:06pm

Chiew (dua kanan) bersama ahli DAP Bintulu yang lain.
BINTULU: Kerajaan Sarawak harus mempertimbangkan pelaksanaan projek pembukaan sungai baharu di bahagian ini khususnya di kawasan rendah dan kerap banjir bagi mengagihkan aliran air sungai, kata Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Bintulu Tony Chiew Chan Yew.
Jelasnnya, bagi menghadapi masalah banjir yang semakin serius dari tahun ke tahun, kerajaan mesti berani berdepan dengan punca sebenar masalah dan mempertimbangkan pembukaan laluan sungai baharu bagi mengagihkan aliran air, bukannya terus meletakkan segala harapan ke atas Sungai Sebiew yang sejak sekian lama sudah berada di tahap maksimum.
"Berdasarkan keadaan paras air sungai yang berulang kali naik dan melimpah setiap kali selepas hujan lebat dan pada musim angin Monsun Timur Laut, jelas menunjukkan Sungai Sebiew sedia ada sudah tidak mampu lagi menampung aliran air dari kawasan hulu, kawasan perumahan serta projek-projek pembangunan baharu," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
"Situasi Sungai Sebiew sejak beberapa hari lalu jelas menunjukkan masalah banjir kilat yang berlaku setiap kali selepas hujan lebat ini harus diatasi dengan segera.
"Semua maklum bahawa apabila hujan berterusan walaupun dalam tempoh yang singkat, ditambah pula dengan aliran air dari kawasan Jalan Abang Galau, paras air sungai akan meningkat dengan pantas dan melimpah keluar menjejaskan kawasan sekitarnya," ujarnya.
Menurutnya, di kawasan DUN Tanjong Batu, puluhan ribu penduduk tinggal di sepanjang Sungai Sebiew dan kawasan tadahannya.
Namun begitu ujarnya, masalah kenaikan air menjadi semakin kerap dan semakin teruk dari tahun ke tahun sehingga orang ramai trauma dengan apa yang berlaku sebelum ini terutama banjir besar yang melanda Bintulu pada Tahun Baharu Cina tahun lalu.
Chiew berkata, sama ada di sepanjang Sungai Sebiew atau di kawasan pesisir pantai Tanjung Batu, masalah banjir bukan lagi isu yang boleh diselesaikan hanya dengan menggali sedikit parit atau menaik taraf sebahagian kecil sistem perparitan di kawasan perumahan.
"Sungai Sebiew sedang berdepan dengan masalah penumpuan jumlah air yang berlebihan serta laluan pelepasan yang terhad yang mana ia merupakan krisis yang bersifat struktur dan sistematik dan tidak boleh ditangani melalui pembaikan serta pengorekan parit secara kecil," jelasnya.
Beliau dalam kenyataannya turut berkata, sementara menunggu kerja-kerja pendalaman dasar sungai dilaksanakan, kerajaan mesti secara selari dan serius menilai keperluan membuka laluan sungai baharu bagi mengurangkan tekanan jumlah air yang ditanggung oleh keseluruhan sungai khususnya dari kawasan Batu 5 hingga ke Kampung Kemunting berhampiran Desa Damai.
Beberapa hari lepas ujar Chiew, beliau sendiri berjumpa dengan mangsa banjir dalam keadaan masih hujan yang mana apa yang dilihat dan dirasai bukanlah sesuatu yang mudah difahami oleh mereka yang tidak mengalaminya sendiri.
"Ketakutan itu tetap wujud walaupun hujan sudah berhenti dan matahari kembali bersinar kerana bagi mangsa banjir, ketakutan setiap kali berlaku hujan lebat masih menghantui kerana bukan sekadar kebimbangan biasa tetapi trauma psikologi yang terpahat dalam hati selamanya," tambah beliau.
Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
SJKC Chung Hua Tudan johan VIA Safe Mobility 2025, bawa pulang EUR5,000
Januari 13, 2026, Selasa - 5:18pm

Pasukan Safety Squad dari SJKC Chung Hua Tudan di Miri, menunjukkan piala dan sijil kemenangan yang diperolehi sekali gus membawa pulang wang tunai EUR5,000.
MIRI: Pasukan Safety Squad dari SJKC Chung Hua Tudan di sini, mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai juara kebangsaan program VIA Safe Mobility 2025, sekali gus melayakkan sekolah itu menerima geran bernilai EUR5,000 daripada TotalEnergies bagi merealisasikan inisiatif keselamatan jalan raya di persekitaran sekolah.
Kejayaan tersebut diumumkan pada program VIA Safe Mobility di Petaling Jaya pada 8 Januari lalu anjuran TotalEnergies dengan kerjasama Arus Academy, yang kini memasuki tahun keempat pelaksanaannya di Malaysia.
Pengarah Jualan TotalEnergies Marketing Malaysia Patricia Law berkata, keselamatan merupakan nilai teras syarikat itu khususnya dalam komuniti tempat mereka beroperasi dan program VIA Safe Mobility menjadi platform penting untuk melengkapkan golongan muda dengan pengetahuan serta amalan mobiliti yang selamat.
Sementara itu, Pengasas Bersama Arus Academy David Chak berkata, kejayaan pasukan Safety Squad membuktikan keberkesanan pembelajaran autentik yang memberi peluang kepada murid menyelesaikan masalah sebenar melalui pemikiran kritis dan kerjasama berpasukan.
SJKC Chung Hua Tudan yang mempunyai lebih 1,200 murid, terletak berhampiran Jalan Bypass Kuala Baram, merupakan antara lima lokasi panas kemalangan di Miri, sekali gus mendedahkan murid kepada risiko keselamatan setiap hari.
Menyedari situasi tersebut, pasukan Safety Squad yang terdiri daripada 10 murid, dengan bimbingan guru, melaksanakan audit pemerhatian di kawasan menurunkan penumpang dan zon pejalan kaki sekitar sekolah bagi menilai aliran trafik ketika waktu puncak.
Antara cadangan utama yang dikemukakan ialah pembinaan lintasan pejalan kaki di hadapan sekolah, selain mengenal pasti risiko tingkah laku seperti tahap kesedaran keselamatan yang rendah serta penggunaan topi keledar yang usang atau rosak dalam kalangan murid Tahun 1 hingga Tahun 3.
Sebagai susulan, pasukan itu mengemukakan permohonan rasmi kepada Majlis Bandaraya Miri (MBM) bagi pembinaan lintasan zebra, selain melancarkan kempen keselamatan bertemakan 'See + Go = Safe. Helmet On, Worries Gone' yang melibatkan lebih 1,200 murid melalui Kem Mobiliti Selamat VIA, pertandingan melukis dan perhimpunan keselamatan jalan raya interaktif.
Kempen tersebut turut diperluaskan kepada komuniti menerusi penganjuran Karnival Keselamatan Jalan Raya, program Walk for Safe Mobility di Taman Bulatan Miri serta sesi perkongsian rakan sebaya di SMK Pujut Miri yang melibatkan kira-kira 1,000 pelajar sekolah menengah.
Usaha berterusan itu membuahkan hasil apabila MCC kini menjalankan penilaian teknikal bagi pembinaan lintasan pejalan kaki khas di hadapan sekolah berkenaan, dengan kerja-kerja pengukuran tapak awal telah pun dilaksanakan oleh jurutera berkaitan.
Selain kejayaan di peringkat kebangsaan, pasukan Safety Squad turut mewakili Malaysia di peringkat akhir antarabangsa serantau VIA Safe Mobility bersama juara dari India, Iraq dan Romania, melibatkan penyertaan dari 24 negara di seluruh dunia.
Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Bomba Batu Niah anjur taklimat keselamatan bencana di SK Batu Niah
Januari 13, 2026, Selasa - 5:52pm

Murid-murid menghadiri sesi taklimat tersebut yang disampaikan anggota dari Balai Bomba Batu Niah semalam.
MIRI: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah menganjurkan taklimat kesedaran keselamatan bencana kepada murid dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Niah, di sini, semalam.
Ketua BBP Batu Niah Rary Binjie berkata, program tersebut bertujuan menilai tahap kesiapsiagaan murid dan warga sekolah dalam menghadapi sebarang situasi bencana seperti banjir atau kebakaran.
Menurut beliau, pendedahan awal amat penting khususnya kepada golongan kanak-kanak supaya mereka mengetahui tindakan yang perlu diambil sekiranya berdepan dengan kejadian tidak diingini.
“Taklimat ini memberi pengetahuan asas serta maklumat penting kepada orang awam, khususnya murid sekolah, agar mereka lebih bersedia dan tidak panik sekiranya berlaku bencana,” katanya.
Taklimat yang bermula pada jam 8.30 pagi itu melibatkan seramai 450 murid serta 47 guru dan kakitangan sekolah.
Tambah Rary, program berkenaan turut bertujuan memupuk kesedaran mengenai peranan dan tanggungjawab individu semasa kecemasan, selain menekankan langkah-langkah keselamatan asas yang perlu dipatuhi ketika menghadapi situasi bencana.
Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Longkang sumbat di hadapan pintu keluar kedua SMK Bintulu akan diselesaikan
Januari 13, 2026, Selasa - 6:22pm

Timbunan sampah yang menyebabkan longkang tersumbat di pintu keluar masuk kedua SMK Bintulu.
BINTULU: Sebagai wakil rakyat yang prihatin akan masalah rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang bertindak menghubungi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) bagi menyelesaikan masalah longkang di hadapan SMK Bintulu yang tersumbat akibat longgokan sampah, hari ini.
"Pagi ini, saya menerima makluman daripada pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Bandar Bintulu mengenai longkang di pintu keluar kedua sekolah yang tersumbat akibat timbunan sampah selepas berlaku hujan lebat beberapa hari ini," katanya.
Perkara tersebut menurut beliau, menyebabkan air bertakung yang menimbulkan risiko keselamatan.
Sejurus menerima laporan tersebut, beliau menghubungi (BDA) dan meminta tindakan segera diambil bagi menangani masalah tersebut.
"Kelancaran aliran air dalam sistem perparitan amat penting bagi menjamin keselamatan para pelajar dan warga pendidik, terutama dalam keadaan hujan berterusan yang berlaku pada masa sekarang," ujarnya.
Pihak sekolah dan PIBG SMK Bintulu juga turut memaklumkan beliau bahawa ini bukan merupakan pertama kali kejadian sebegini berlaku, justeru tindakan yang pantas dan berkesan amat diperlukan.
Beliau dalam pada itu menzahirkan penghargaan serta terima kasih kepada pihak BDA atas maklum balas yang pantas serta kerja-kerja pembersihan yang dijalankan tanpa berlengah.
Justeru beliau menggalakkan pihak sekolah dan PIBG terus memantau keadaan dan segera menghubungi beliau atau pasukan khidmat Tanjong Batu sekiranya terdapat sebarang masalah.
Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kebakaran dilapor berlaku di KIWMP, Kampung Mambong
Januari 13, 2026, Selasa - 6:25pm
KUCHING: Satu kebakaran dilaporkan berlaku di Taman Pengurusan Sisa Bersepadu Kuching (KIWMP), sebuah tapak pengurusan dan pelupusan sisa pepejal di Kampung Mambong, Jalan Mambong-Siburan dekat sini, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.28 petang.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan kemudian digerakkan ke lokasi kejadian.
“Seramai 10 anggota terlibat dalam operasi dengan kekuatan satu jentera FRT, satu EMRS dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
“Pasukan bomba yang tiba di lokasi segera menjalankan kerja-kerja pemadaman dan kawalan bagi mengelakkan kebakaran daripada merebak,” katanya menerusi satu kenyataan.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat setakat maklumat awal diterima.
Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Dua buah rumah di Kampung Siol Kandis musnah dalam kebakaran
Januari 13, 2026, Selasa - 7:27pm
KUCHING: Dua buah rumah di Kampung Siol Kandis di sini musnah dalam satu kejadian kebakaran pada petang Selasa, namun semua penghuni berjaya menyelamatkan diri dan tiada kecederaan dilaporkan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.49 petang.
Katanya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dibantu BBP Padungan digerakkan ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.
“Jentera tiba pada jam 4.03 petang dan operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 4.19 petang sebelum ditamatkan pada jam 5.11 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal yang musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi rumah jenis separuh kekal terbakar sekitar 80 peratus.
Operasi pemadaman dijalankan secara defensif dan ofensif menggunakan satu aliran sepanjang 400 kaki dengan dua nozel.
“Sumber air daripada pili bomba dan pam jentera sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya.
Seramai 16 anggota terlibat dalam operasi dengan bantuan beberapa jentera.
“Setelah memastikan keadaan selamat dan terkawal, pasukan bomba beredar dari lokasi,” katanya.
Turut berada di lokasi ialah pegawai kanan JBPM manakala agensi lain yang terlibat membantu operasi ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sarawak Energy Berhad (SEB).
Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sokong kajian semula UPSR, PT3: Yazid
Januari 14, 2026, Rabu - 10:55am

YAZID
KOTA KINABALU: Langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan bagi mengkaji keperluan pelaksanaan semula Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menerima reaksi positif pelbagai pihak, termasuk pendidik berpengalaman.
Bekas Guru Besar Cemerlang Yazid Mohd Hasnan Tawik @ Charles berkata, usaha kajian semula itu sejajar dengan keperluan semasa sistem pendidikan negara, khususnya dalam menilai keberkesanan mekanisme pentaksiran yang diguna pakai ketika ini.
Beliau berpandangan, keputusan memansuhkan UPSR dan PT3 sebelum ini mencetuskan pelbagai pandangan dalam kalangan ibu bapa, guru serta masyarakat yang melihat keperluan kepada satu penanda aras nasional yang lebih jelas dan seragam bagi mengukur pencapaian murid.
“Walaupun Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) mempunyai kekuatan tersendiri dari segi penilaian holistik, peperiksaan berpusat seperti UPSR dan PT3 masih berperanan sebagai pelengkap penting untuk menilai tahap penguasaan murid secara lebih objektif.
“Peperiksaan berpusat mampu menyediakan gambaran pencapaian murid yang lebih konsisten di peringkat nasional, sekali gus membantu pihak berkepentingan membuat perancangan pendidikan yang lebih tepat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, sebagai bekas pentadbir sekolah, sistem peperiksaan berpusat juga membantu memastikan keadilan dalam penilaian pencapaian murid, terutama bagi sekolah di luar bandar dan pedalaman yang sering berdepan kekangan dari segi sumber dan kemudahan.
“Dalam konteks ini, saya berharap dapatan kajian yang bakal dibentangkan kepada Jemaah Menteri mengambil kira pandangan menyeluruh semua pihak berkepentingan, termasuk guru berpengalaman, ibu bapa serta pakar pendidikan.
“Pendekatan inklusif dalam merangka sistem pentaksiran penting bagi memastikan keseimbangan antara penilaian akademik, pembangunan sahsiah dan keupayaan sebenar murid.
“Matlamat akhirnya untuk memastikan sistem pentaksiran yang adil, seimbang dan berkesan, demi menjamin masa depan pendidikan anak-anak di negara ini,” katanya.
Yazid kini aktif dalam pertubuhan masyarakat sebagai Ahli Jawatankuasa Tertinggi Persatuan Mantan Pendidik Sabah serta Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
ELMU TVET latih anggota penguat kuasa selam skuba, dron
Januari 14, 2026, Rabu - 12:10pm

TANDATANGAN: Faiza (dua kiri) dan Mohamad Suhaimy (dua kanan) ketika menandatangani MoU berkenaan.
KOTA KINABALU: ELMU TVET Sdn. Bhd. memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Juragan Equestrian Sdn. Bhd. bagi melaksanakan Program TVET Berimpak Tinggi 2026 dalam bidang Selam Skuba dan Pengendalian Dron, sekali gus memperkasa keupayaan operasi agensi penguatkuasaan.
Naib Canselor Enforcement, Leadership and Management University (ELMU), Prof Datuk Dr Kassim Noor Mohamed berkata, program itu dirangka bagi meningkatkan kecekapan dan kesiapsiagaan anggota penguatkuasaan, khususnya dalam aspek keselamatan, penyelamatan serta penggunaan teknologi terkini.
Katanya, kemahiran Selam Skuba dan Pengendalian Dron dikenal pasti sebagai bidang berisiko tinggi serta strategik yang memberi kesan langsung terhadap keberkesanan operasi di lapangan.
“Penguasaan kemahiran ini mampu memperkukuh kecekapan operasi dan meningkatkan tahap keselamatan anggota ketika menjalankan tugas,” katanya pada majlis menandatangani MoU berkenaan di kampus universiti itu di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan, semalam.
MoU berkenaan ditandatangani Pengarah ELMU TVET, Datin Faiza Rosly, manakala Juragan Equestrian diwakili Ketua Jurulatihnya, Mohamad Suhaimy Sulaiman.
Turut hadir, Pengarah dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ELMU Education Group, Datuk Hairul Ridza Hayata; Pengarah dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Datin Noraini Aripin; Timbalan Presiden dan Pendaftar ELMU, Datuk Wan Azman Wan Omar; Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), Mohd Fathullah Mustafa serta Pengurus Penyedia Latihan ELMU TVET, Dr Mohd Kamil Yusoff.

DR KASSIM
Dr Kassim berkata, pelaksanaan program itu menggunakan pendekatan Pencapaian Pembelajaran Terdahulu (PPT) yang mengiktiraf pengalaman serta kemahiran sedia ada anggota penguatkuasaan.
“Pendekatan ini membolehkan peserta memperoleh pensijilan profesional yang diiktiraf tanpa menjejaskan tugas hakiki mereka,” katanya.
Menurutnya, kos latihan dibiayai sepenuhnya menerusi geran PTPK di bawah Kementerian Sumber Manusia, tanpa melibatkan implikasi kewangan kepada agensi terlibat.
Katanya, inisiatif itu membuka ruang kepada agensi penguatkuasaan mendapatkan latihan berkualiti tinggi, selain menjadi platform kerjasama strategik jangka panjang dalam pembangunan modal insan berkemahiran tinggi demi keselamatan dan pembangunan negara.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kuil pertama di pedalaman Sabah akan dirasmikan 23 Januari
Januari 14, 2026, Rabu - 12:48pm

SIAP: Kuil Arulmigu Sri Jalaganda Vinayagar dijadual dirasmikan pada 23 Januari ini.
KENINGAU: Kawasan pertama di pedalaman Sabah, Kuil Arulmigu Sri Jalaganda Vinayagar, dijadual dirasmikan Maha Kumbabishegam pada 23 Januari ini.
Kerja pembinaanya sudah siap sepenuhnya, hasil inisiatif tiga beradik yang menjadi pengasasnya -- Suries Ramalingam, Thanabalan Ramalingam dan Vasu Ramalingam.
Dengan siapnya kuil berkenaan, ia bakal menjadi kemudahan bagi masyarakat Hindu beribadat.
Ia sekaligus akan menjadi daya tarikan dan destinasi pelancongan baharu di pedalaman, khususnya daerah Keningau.
Kerja awal pembinaan bermula pada tahun 2019, tetapi tergendala seketika akibat pandemik COVID-19.

SURIES
Ketika ditemui, Suries berkata idea membina kuil itu tercetus susulan penubuhan Persatuan Penganut Agama Hindu Vinayagar Keningau pada 2019.
Katanya, kuil berkenaan mampu menampung sehingga 400 penganut dalam satu-satu masa.
Ketika ini dianggarkan terdapat antara 200 hingga 400 komuniti penganut Hindu di kawasan pedalaman Sabah.
Dalam pada itu, beliau menghargai sokongan kerajaan negeri dari segi bantuan dana kewangan bagi pembinaan kuil berkenaan yang mana peruntukannya disalurkan menerusi kategori rumah ibadat bukan Islam.
Selain itu, katanya, ramai masyarakat pelbagai suku kaum yang turut menyumbang dari segi kewangan bagi menjayakan pembinaan kuil berkenaan.
Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada masyarakat pelbagai kaum di daerah Keningau dan luar negara yang banyak membantu kami dalam menjayakan pembinaan kuil ini," katanya.

MENARIK: Antara ukiran yang terdapat pada kuil berkenaan.
Suries berkata dengan siapnya kuil itu, ia menjadi satu lagi mercu tanda bagi kawasan Keningau kerana ia merupakan kuil pertama seumpamanya di pedalaman Sabah.
"Yang pasti, kuil ini akan menjadi destinasi kunjungan bagi pelancong tempatan dan luar, sekali gus menjana ekonomi daerah Keningau," katanya.
Selain itu, katanya, pelbagai aktiviti seperti yoga dan meditasi juga diadakan di kuil berkenaan yang turut mengadakan program amal membantu golongan kurang berkemampuan.
Menurutnya, sempena hari perasmian itu nanti, pihaknya akan memberikan sumbangan dan bantuan barang keperluan kepada 100 keluarga yang dikenal pasti.
Sumber : Utusan Borneo
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tun Wan Junaidi dan isteri hadiri Majlis Makan Malam Bersama Pesara Pegawai Polis Komponen Sarawak
Januari 14, 2026, Rabu - 9:32am

Tun Wan Junaidi menerima cenderamata daripada Mohd Jamil sambil disaksikan yang lain. -Gambar Astana Negeri Sarawak
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Pesara Pegawai Polis Komponen Sarawak yang berlangsung di Sarawak Club pada malam Selasa.
Menurut kenyataan akhbar dikeluarkan Astana Negeri Sarawak ketibaan Tun Wan Junaidi Toh Puan Fauziah pada jam 7.45 malam disambut mesra oleh Mantan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd. Jamil Johari bersama isteri Puan Sri Zahrah Seruji, serta rakan-rakan Pesara Pegawai Polis Komponen Sarawak.
Turut hadir mengiringi Tun Pehin Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah ialah anakanda Sharifah Fariah, Sharifah Nong-Jasima bersama suami Muhammad Nur Hakeem Yusop, serta Tasnim.
Majlis makan malam ini bukan sahaja menghimpunkan kembali pegawai-pegawai kanan Polis Sarawak yang telah bersara daripada perkhidmatan, malah turut menjadi ruang santai bagi Tun Wan Junaidi dan rakan-rakan untuk mengimbas kembali pelbagai kenangan suka dan duka sepanjang berkhidmat dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM)
Dalam ucapan alu-aluan Mohd Jamil beliau mewakili rakan-rakan menyatakan rasa teruja dan berbesar hati dapat menghadiri majlis pada malam ini serta beramah mesra dengan lebih dekat bersama Tun Wan Junaidi.
Beliau dan rakan-rakan turut menzahirkan rasa bangga serta penghargaan terhadap Tun Wan Junaidi sebagai seorang sahabat seperjuangan yang pernah bersama-sama berkhidmat dalam pasukan polis dan kini menggalas amanah sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah bergambar bersama pesara polis yang hadir pada Majlis Makan Malam Di Kuching pada Selasa. -Gambar Astana Negeri Sarawak
Pada majlis tersebut, Tun Wan Junaidi dan rakan-rakan bertukar-tukar kisah, khususnya pengalaman semasa berkhidmat dalam pasukan polis.
Kesempatan ini menjadi detik bermakna dalam mengimbau kenangan lama yang penuh nostalgia serta mengeratkan lagi hubungan persahabatan yang terjalin sekian lama.
Pesara polis merupakan aset komuniti yang kaya dengan pengalaman.
Jasa mereka dalam memastikan kestabilan dan keselamatan Sarawak, khususnya ketika era insurgensi komunis suatu ketika dahulu, menjadi asas penting kepada kemakmuran dan keharmonian yang dinikmati negeri ini pada hari ini.
Tun Wan Junaidi turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua rakan-rakan yang hadir dan meluangkan masa, sekali gus memperkukuhkan lagi ikatan silaturahim yang telah terjalin sejak sekian lama.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah mendoakan agar semua rakan-rakan pesara polis yang hadir sentiasa dikurniakan kesihatan baik, kesejahteraan berpanjangan serta berada dalam limpahan rahmat Ilahi.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Dua lelaki disyaki terlibat kes pencerobohan di Pujut ditangkap
Januari 14, 2026, Rabu - 9:51am
MIRI: Polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kes pencerobohan jenayah yang berlaku di sebuah kawasan perumahan di Pujut.
Tangkapan ke atas kedua-dua suspek itu dilakukan sekitar jam 1.15 petang semalam (Selasa) oleh sepasukan anggota dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Pusat Miri yang diketuai Ketua Polis Balai Miri, ASP Goldy Jangan, dalam satu operasi di tepi Jalan Pujut Corner di sini.
Menurut kenyataan Polis Daerah Miri dalam laman Facebook rasminya, semasa tangkapan dilakukan, polis turut merampas pakaian milik kedua-dua suspek yang dipercayai dipakai semasa melakukan kesalahan itu untuk dijadikan barang kes.
Kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 30-an kini ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan jenayah.
Sehubungan itu, pihak polis menggesa orang awam agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah dan mengekalkan keselamatan di daerah ini.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki ditangkap disyaki terlibat kes pecah rumah
Januari 14, 2026, Rabu - 11:03am
MIRI: Seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kes pecah rumah diberkas polis dalam satu operasi yang dijalankan pada malam Selasa.
Menurut kenyataan Polis Daerah Miri di laman Facebook rasminya, tangkapan ke atas suspek dilakukan sekitar jam 8.30 malam di tepi Jalan Miri Sentral, Jalan Miri Bypass, hasil tindakan pantas sepasukan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Pusat Miri yang diketuai Ketua Polis Balai Miri, ASP Goldy Jangan.
Dalam operasi tersebut, polis turut merampas satu unit fon kepala (headphone) yang dipercayai barang curi untuk dijadikan bahan bukti kes.
“Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri bagi membantu siasatan lanjut polis di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah.
“Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga lima tahun serta boleh dedenda,” menurut kenyataan itu.

Satu unit fon kepala yang disyaki barang curi telah dirampas daripada milik suspek untuk dijadikan barang kes.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Adik Athalia jalani pembedahan hati di China hari ini
Januari 14, 2026, Rabu - 11:34am

Flora, Athalia, Isabel dan Angelina merakam gambar bersama di wad Hospital Renji, malam tadi. - Gambar ihsan Isabel Wong
KUCHING: Adik Athalia Feodora Augustine yang menghidap Biliary Atresia, sejenis penyakit hati yang jarang berlaku sejak kecil, menjalani pembedahan pemindahan hati di Hospital Renji di Shanghai, China hari ini.
Sukarelawan yang membantu keluarga Athalia, Isabel Wong berkata, kanak-kanak berusia empat tahun itu telah memasuki dewan pembedahan pada pukul 8 pagi untuk menjalani pemindahan hati daripada ibu saudaranya Angelina Jenat, 24.
"Kita berdoa agar segala urusan dipermudahkan serta Athalia dijauhkan daripada segala komplikasi," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia (NPM) turut berharap orang ramai dapat mendoakan agar perjalanan pembedahan itu berjalan dengan lancar, selamat dan dipermudahkan.
"Semoga adik Athalia dan Cik Angelina dikurniakan kekuatan, kesihatan yang baik serta perlindungan sepanjang proses pembedahan dan tempoh pemulihan nanti," katanya dalam catatan Facebook pada Selasa.

Athalia sebelum pembedahan, hari ini. - Gambar ihsan Isabel Wong
Athalia yang tiba di Shanghai, pada 8 Januari lalu bersama ibunya Flora Jenat dan Angelina, turut ditemani Isabel serta pasukan NPM.
Ia susulan kejayaan tabung kutipan dana khas yang dibuka sejak 29 Disember 2025 bagi menampung kos pembedahan, rawatan susulan dan perbelanjaan berkaitan, yang berjaya mengumpulkan sebanyak RM242,091.94 pada 7 Januari.
"Kami akan maklumkan perkembangan dari semasa ke semasa," kata Isabel lagi.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tindakan pantas bomba berjaya padamkan kebakaran sebuah kilang papan lapis di Kuala Baram
Januari 14, 2026, Rabu - 11:48am
MIRI: Hasil tindakan pantas anggota bomba berjaya memadam kebakaran daripada memusnahkan keseluruhan bangunan sebuah kilang papan lapis dalam kebakaran yang berlaku di Kuala Baram, malam tadi.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan kebakaran hanya melibatkan 50 peratus daripada bahagian bilik transformer di kilang berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya telah menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 7.11 malam.
Berikutan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong dan BBP Lopeng (bantuan) dengan diketuai Ketua BBP Lopeng, Henry Jugah selaku Komander Operasi telah bergegas ke lokasi sejauh tujuh kilometer dari balai.
“Setibanya di tempat kejadian enam minit kemudian, komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah bilik transformer berkeluasan 50 x 30 kaki dan telah terbakar 50 peratus.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) terus bertindak memadam kebakaran menggunakan konsep RECEO dengan satu aliran sepanjang 300 kaki, dua nozel dan satu cabang pembahagi air.
“Bekalan air diperoleh daripada tangki simpanan dan dipam menggunakan pam angkut sehingga api berjaya dikawal pada jam 8.18 malam,” katanya dalam satu kenyataan.
Setelah memastikan semua keadaan selamat dan punca api padam sepenuhnya, operasi kemudian ditamatkan jam 9.36 malam.
Turut berada di lokasi ialah empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu kawalan keselamatan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
26 Feb sebutan lanjut kes lelaki didakwa miliki syabu
Januari 14, 2026, Rabu - 1:54pm
MIRI: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menetapkan 26 Februari depan untuk sebutan lanjut kes seorang lelaki yang menghadapi pertuduhan memiliki dadah berbahaya jenis syabu.
Sehubungan itu, tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan RM2,500 berserta seorang penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.
Penetapan tarikh itu dibuat Majistret Ashok Linggam setelah membenarkan permohonan pegawai pendakwa Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman yang memohon tarikh baru untuk sebutan sementara menunggu laporan kimia berhubung barang kes siap.
Tertuduh, 37, dari Piasau Jaya di sini, didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh bukan sebagai seorang yang diberi kuasa di bawah ADB 1952, didapati memiliki dadah berbahaya jenis Methamphetamine (syabu) seberat 0.34 gram.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1.40 pagi, 12 Januari lalu di tepi Jalan Boulevard di sini.
Semasa pendengaran kes pagi ini, tertuduh hadir tanpa diwakili peguam bela, manakala pendengaran kes dibuat menerusi aplikasi Zoom.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|