|
|
Kempen Kesedaran Trafik 2026 dijayakan di SMK Chung Hua Miri
Januari 20, 2026, Selasa - 9:22pm

Visvanathan (depan empat kanan) bersama pegawai trafik dan guru kanan SMK Chung Hua semasa pelancaran kempen kesedaran tersebut semalam.
MIRI: Kempen Kesedaran Trafik 2026 yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua Miri, semalam merupakan salah satu usaha meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya khususnya dalam kalangan ibu bapa dan keluarga pelajar.
Program pelancaran yang bermula jam 2 petang itu dianjurkan oleh pihak sekolah dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Trafik Miri, bertujuan menangani isu kesesakan serta keselamatan lalu lintas di persekitaran sekolah, terutama ketika waktu puncak penghantaran dan pengambilan pelajar.
Hadir mewakili PDRM Trafik Miri ialah Inspektor G. Visvanathan Guna Cekeren dan Sarjan Mejar Mohd Khairul Annuar Ahmad Kassim.
Turut hadir ialah wakil pihak sekolah dan agensi berkaitan termasuk Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Yong Hong Then, Ketua Bidang Teknik dan Vokasional Ng Voon Kong, Setiausaha Disiplin Chua Chiang Hoong, wakil Jawatankuasa Keselamatan Wan Saiful Azuari Mohamed, wakil Jawatankuasa Disiplin Ahmad Nizam Ismail, Setiausaha Lembaga Pengelola Sekolah Rita Ting Lee Tai serta Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Voon Cheng Thong.
Antara pengisian utama program adalah edaran risalah panduan dan garis panduan meletakkan kenderaan kepada ibu bapa serta keluarga pelajar, selain sesi taklimat keselamatan secara santai menerusi pendekatan bersemuka.
Menerusi sesi tersebut, pihak polis dan sekolah memberi penerangan mengenai kepentingan sikap bertanggungjawab pengguna jalan raya, khususnya larangan meletakkan kenderaan di kawasan tidak dibenarkan sehingga menghalang aliran trafik atau menyebabkan kesesakan.
Pihak sekolah berharap pelaksanaan kempen itu dapat meningkatkan tahap kesedaran komuniti sekolah serta mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan teratur demi kesejahteraan pelajar dan pengguna jalan raya di kawasan sekitar SMK Chung Hua (CF) Miri.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pemeriksaan keselamatan perlu lebih menyeluruh di Taman Awam Miri
Januari 20, 2026, Selasa - 9:25pm

Ting meninjau ke lokasi seorang pelancong dari Labuan yang cedera selepas papan kayu di pondok rehat jambatan gantung Taman Awam Miri tiba-tiba patah ketika dipijaknya dalam insiden Ahad lalu.
MIRI: Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting mencadangkan Majlis Bandaraya Miri (MBM) menutup sementara pondok rehat dan kemudahan berkaitan di Taman Awam Miri selama kira-kira seminggu.
Langkah ini penting bagi membolehkan pemeriksaan keselamatan dijalankan secara lebih menyeluruh di kawasan taman riadah itu.
“Pembukaan semula kemudahan hanya wajar dilakukan selepas semua struktur disahkan selamat bagi memastikan keselamatan orang awam dan pelancong yang menggunakan kemudahan berkenaan terjamin,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau berkata demikian ketika ditemui semasa meninjau ke lokasi seorang pelancong dari Labuan yang cedera selepas papan kayu di pondok rehat jambatan gantung Taman Awam Miri tiba-tiba patah ketika dipijaknya.
Dalam insiden Ahad lalu, pelancong terbabit cedera pada bahagian paha selepas kakinya terperosok ke dalam lubang papan lantai yang patah tersebut.
Menurut Ting, Jabatan Landskap MBM telah bertindak pantas menyiapkan kerja pembaikan papan kayu yang rosak.
“Saya amat berpuas hati dengan tindakan segera pihak majlis dalam menguruskan perkara ini susulan kejadian tersebut,” katanya.
Beliau turut memohon maaf kepada pelancong yang terlibat dan menekankan bahawa keselamatan awam tidak seharusnya diberi perhatian hanya selepas berlakunya kemalangan.
“Sebaliknya, pemeriksaan dan langkah pencegahan perlu dilaksanakan secara proaktif bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini.
“Penutupan sementara kemudahan bagi membolehkan pegawai majlis menjalankan pemeriksaan mendalam serta mengenal pasti sebarang risiko berpotensi merupakan langkah bertanggungjawab dan perlu,” ujar beliau lanjut.
Beliau menambah, hanya selepas jambatan gantung, struktur papan kayu pondok rehat, kapasiti beban dan keadaan keseluruhan kemudahan disahkan memenuhi piawaian keselamatan, barulah ia wajar dibuka semula kepada orang awam bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Ting mengakui bahawa penutupan sementara mungkin menimbulkan sedikit kesulitan kepada sebahagian masyarakat, namun dari sudut jangka panjang, ia adalah langkah penting demi menjamin keselamatan awam dan berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama sepenuhnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Gangguan bekalan air berlarutan di Durin, Lau hantar air ke sekolah asrama
Januari 20, 2026, Selasa - 9:28pm

Pembantu Ahli Parlimen Lanang Maria (dua kiri) menyerahkan bekalan air minuman kepada wakil SK Sungai Durin hari ini.
SIBU: Gangguan bekalan air yang berlarutan di kawasan Durin sejak Jumaat lalu menjejaskan pelajar asrama di beberapa sekolah rendah dan menengah di kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, pasukan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lanang Alice Lau tampil menghulurkan bantuan dengan menghantar bekalan air minuman ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durin dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Durin semalam bagi memastikan pelajar asrama mempunyai akses kepada air bersih.
Menurut kenyataan media Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lanang, pentadbiran sekolah tersebut telah menghubungi Pusat Khidmat Alice Lau selepas Sarawak Water Sdn Bhd (SWB) menghantar lori tangki air ke kawasan tersebut sebagai langkah sementara.
“Bagaimanapun, pihak sekolah memohon bantuan tambahan berupa air minuman khusus untuk kegunaan pelajar asrama bagi membantu mereka menghadapi situasi gangguan bekalan air yang masih berlarutan.
“Susulan permohonan itu, Lau melalui kakitangan pusat khidmatnya segera membeli dan menyalurkan bekalan air minuman kepada kedua-dua sekolah terbabit,” kata kenyataan itu.
Difahamkan, kawasan pekan Lusek mengalami gangguan bekalan air terawat sejak 16 Januari lalu dan setakat semalam masalah tersebut masih belum diselesaikan sepenuhnya.
Sarawak Water Sdn Bhd masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca gangguan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Lau menggesa Sarawak Water supaya menyelesaikan isu bekalan air itu dengan segera serta menyediakan pengaturan lori tangki air yang mencukupi bagi memenuhi keperluan asas penduduk yang terjejas.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya bersabar sementara menunggu pemulihan sepenuhnya bekalan air di kawasan berkenaan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Gangguan bekalan air di Durin jejas kehidupan harian penduduk
Januari 20, 2026, Selasa - 9:30pm

SIBU: Gangguan bekalan air di kawasan Durin yang berlarutan lebih tiga hari menjejaskan kehidupan harian penduduk apabila isu berkenaan didakwa masih gagal dijelaskan secara tuntas oleh Sarawak Water Sdn Bhd Wilayah Tengah.
Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Cawangan Dudong Baru Stanley Chiew (gambar) berkata, penjenamaan semula Lembaga Air Sibu kepada Sarawak Water Sdn Bhd Wilayah Tengah sepatutnya membawa pembaharuan institusi serta peningkatan kualiti perkhidmatan.
“Nama sudah ditukar, tetapi tiada peningkatan kecekapan dan tiada rasa tanggungjawab.
"Jadi, apakah sebenarnya makna penukaran nama ini?” katanya dalam kenyataan media hari ini.
“Lebih mengecewakan, sehingga hari ini pihak berkuasa langsung gagal menjelaskan punca sebenar kejadian ini dengan jelas.
“Apa sebenarnya yang telah berlaku?
"Berapa lama masa yang diperlukan untuk memulihkan sepenuhnya bekalan air?
“Maklumat paling asas ini pun tidak dijelaskan kepada penduduk oleh syarikat air di bawah kerajaan GPS," tegasnya.
Tambah beliau, gangguan bekalan air di Sibu kini semakin menjadi kebiasaan dan bukan lagi kejadian terpencil, sekali gus mencerminkan masalah pengurusan jangka panjang.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kawasan perumahan yang padat di Sibu silih berganti mengalami tekanan air rendah,” katanya.
“Paip pecah berlaku hampir setiap beberapa hari dan gangguan bekalan serta tekanan air rendah sudah menjadi perkara biasa,” katanya.
Dalam pada itu, Stanley turut mempersoalkan sikap sesetengah wakil rakyat GPS yang lebih kerap bercakap mengenai pelan pembangunan besar berbanding isu asas rakyat.
“Kami melihat ada sesetengah wakil rakyat GPS bercakap panjang lebar tentang pelan pembangunan besar namun apabila melibatkan isu asas kehidupan rakyat, jarang sekali kami mendengar mereka bersuara tegas membela rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan, bekalan air merupakan keperluan asas yang amat penting dalam kehidupan seharian.
“Tanpa air, keluarga tidak boleh memasak atau membersihkan rumah.
"Tanpa air, perniagaan tidak dapat beroperasi.
"Tanpa air, sekolah tidak dapat berfungsi dengan normal,” katanya.
Menurut beliau, penggunaan lori tangki air hanya sesuai sebagai langkah kecemasan sementara dan bukan penyelesaian jangka panjang.
Beliau turut memaklumkan bahawa ada penduduk terpaksa membeli air suling bagi memenuhi keperluan asas harian.
“Ada yang terpaksa mengeluarkan wang tambahan hanya untuk mendapatkan air bagi kegunaan harian,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menuntut Sarawak Water mendedahkan punca sebenar gangguan bekalan air serta mengumumkan perkembangan kerja pembaikan dan jadual pemulihan.
“Jika kerajaan GPS tidak mampu menjamin bekalan air yang stabil, apakah kelayakan mereka untuk bercakap tentang tadbir urus.
“Dan apakah kelayakan mereka untuk bercakap tentang pembangunan?” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kenderaan pacuan empat roda terbakar di Jalan Deshon, Sibu
Januari 21, 2026, Rabu - 8:57am
SIBU: Sebuah kenderaan pacuan empat roda musnah hampir keseluruhan selepas terbakar berhampiran sebuah sekolah menengah di Jalan Deshon, di sini pada awal pagi Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.36 pagi itu, kenderaan berkenaan dilaporkan terbakar sehingga 90 peratus namun tiada mangsa terlibat.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 4.36 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda sedang terbakar dengan anggaran kemusnahan kira-kira 90 peratus.
Kebakaran tersebut bagaimanapun tidak melibatkan sebarang mangsa,” menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak.
Menurut kenyataan itu, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak pantas menjalankan kerja-kerja pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan sumber air dari jentera bomba.
“Api berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya dalam tempoh kurang sejam sebelum operasi ditamatkan pada jam 5.26 pagi, selepas memastikan keadaan benar-benar selamat,” katanya.
Tambah kenyataan itu, pemeriksaan lanjut turut dijalankan bagi mengelakkan sebarang risiko kebakaran semula di lokasi kejadian.
Sebanyak tiga jentera digunakan dalam operasi berkenaan iaitu sebuah Fire Rescue Tender (FRT), Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” jelas kenyataan itu.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Dua lelaki disyaki terlibat penyalahgunaan dadah ditangkap di Bintangor
Januari 21, 2026, Rabu - 9:02am
BINTANGOR: Polis menahan dua lelaki tempatan berusia 35 dan 23 tahun selepas didapati positif dadah dalam satu operasi yang dijalankan di kawasan bandar Bintangor, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Meradong DSP Tansli Mering berkata, kedua-dua suspek ditahan sekitar jam 12.05 tengah hari oleh sepasukan anggota polis dalam operasi membanteras penyalahgunaan dadah.
“Hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Dadah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong mendapati kedua-dua individu tersebut positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, semakan lanjut turut mendapati kedua-dua suspek masing-masing mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Pihak polis memandang serius sebarang kesalahan berkaitan dadah dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk aktiviti penyalahgunaan bahan terlarang di daerah ini,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar terus bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan dadah.
“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Balai Polis Bintangor di talian 084-693222 bagi membantu usaha membanteras dadah di daerah Meradong,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki ditahan di Kabong positif dadah, ada 9 rekod jenayah lampau
Januari 21, 2026, Rabu - 9:07am
SARATOK: Polis menahan seorang lelaki tempatan yang mempunyai sembilan rekod jenayah lampau selepas ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah dalam satu operasi di Kabong, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Saratok DSP Mathew Manggie berkata, tangkapan dilakukan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Saratok antara jam 2 petang hingga 7 malam.
“Bertindak atas maklumat risikan, sepasukan anggota polis telah menjalankan pemeriksaan ke atas seorang lelaki Melayu yang disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah di kawasan Kabong,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, suspek ditahan di lokasi pemeriksaan sebelum dibawa ke Balai Polis Saratok bagi tujuan langkah pencegahan jenayah.
“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mathew berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek yang berusia 27 tahun itu mempunyai sembilan rekod jenayah terdahulu.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Beliau menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah kerana ia memberi ancaman serius kepada keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
“Polis akan terus mempergiatkan operasi dan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras jenayah dadah di daerah ini,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pemandu maut lori 10 tan terbabas
Januari 21, 2026, Rabu - 9:28am
TENOM: Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan dipandunya terbabas sendiri di tepi Jalan Tenom–Keningau berhampiran Kampung Pamilan, Batu 15.5, petang Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom Mudi Pengiran berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.42 petang itu, lori 10 tan yang membawa muatan bibit sawit dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 2.42 petang sebelum sepasukan anggota dari BBP Tenom digerakkan ke lokasi dan tiba di tempat kejadian pada jam 3.06 petang selepas menempuh jarak kira-kira 26 kilometer.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati seorang mangsa lelaki tersepit di bahagian belakang kanan tayar lori.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, berdasarkan maklumat saksi, mangsa dipercayai cuba terjun dari lori sebelum kenderaan itu terbabas, namun mangsa tersepit di bahagian belakang lori.
“Pasukan bomba menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dengan bantuan sebuah jentera berat jenis excavator.
“Mangsa berusia 38 tahun kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.
Katanya, operasi dikawal sepenuhnya sebelum ditamatkan pada jam 4.24 petang selepas pasukan penyelamat memastikan keadaan selamat dan tiada risiko bahaya lain di lokasi kejadian.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki disabit mencuri dipenjara 10 bulan
Januari 20, 2026, Selasa - 4:11pm
MIRI: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini setelah mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri sebuah teras radiator.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh tangkapan pada 15 Januari lalu.
Tertuduh, Benedict Jugah, 27, dari Kampung Sealine, Lutong di sini, didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan keterangan kes, tertuduh didapati telah melakukan kecurian dengan mencuri sebuah teras radiator jenis D6D yang berada dalam milikan Chin Siew Ing, 33.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu bersama dua orang yang masih bebas pada jam 2.42 pagi, 14 Januari lalu di sebuah premis di tingkat bawah sebuah bangunan di Lorong 2 Krokop di sini.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Syafiq Samry di hadapan Majistret Ashok Linggam, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki kena dua tahun kerana angkut dua rakan senegara yang diseludup
Januari 20, 2026, Selasa - 3:44pm
KUCHING: Padah mengangkut dua rakan senegara yang diseludup pada Jun 2025, seorang lelaki Indonesia berusia 59 tahun dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Pesuruhjaya Kehakiman Zaleha Mohd Yusuf Pan memerintahkan hukuman penjara bagi Zaini Akbar untuk dikuatkuasakan mulai tarikh tangkap iaitu 11 Jun 2025.
Zaini mengaku bersalah apabila didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan boleh didenda sehingga RM250,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, Zaini yang bertindak sebagai operator sebuah kenderaan sedan didakwa telah mengangkut dua migran warga Indonesia yang diseludup, iaitu Siti Rahayu Ningsih, 33, dan Abdul Faki, 22.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya sekitar jam 9.20 pagi pada 11 Jun 2025, di hadapan sebuah kedai makan di Tebedu.
Fakta kes mendedahkan sepasukan penguat kuasa melaksanakan Ops Serkap pada hari kejadian dan memeriksa sebuah kereta sedan di hadapan kedai makan tersebut.
Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan berkenaan dipandu oleh Zaini dan membawa dua orang migran yang disyaki warganegara Indonesia.
Susulan itu, pihak berkuasa menangkap Zaini bersama dua migran terbabit untuk tindakan selanjutnya.
Hasil siasatan mendapati, berdasarkan semakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, terdapat rekod kemasukan lama bagi Abdul Faki pada 25 Februari 2025 dan Siti Rahayu Ningsih pada 11 Disember 2024 melalui pintu masuk Tebedu.
Abdul Faki dan Siti Rahayu Ningsih kemudiannya didakwa di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tinggal lebih masa di Malaysia dan masing-masing telah mengaku bersalah.
Mahkamah seterusnya menjatuhkan hukuman yang sewajarnya ke atas kedua-dua tertuduh.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kong Siew Chuo sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Hadir sama menyaksikan prosiding kes hari ini adalah Pegawai Kanan Bahagian Konsuler daripada Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching Alexandri Legawa.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki mengaku bakar kereta milik jiran dipenjara lima tahun
Januari 20, 2026, Selasa - 3:33pm
KUCHING: Seorang lelaki dipenjara lima tahun di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah membakar sebuah kereta sedan milik jirannya sehingga mengakibatkan kerugian RM1,125.20.
Kelvin Kelly Sandah Garberel, 24, yang didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar.
Seksyen berkenaan membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan khianat menggunakan api dengan niat menimbulkan kerosakan ke atas kereta sedan milik lelaki berusia 42 tahun.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya sekitar jam 9 malam pada 2 November 2025 di sebuah tempat letak kereta di flat Taman Sri Harmoni di Matang, di sini.
Berdasarkan keterangan kes, pemilik kereta (pengadu) telah dimaklumkan oleh jiran bahawa kenderaan miliknya yang diletakkan di tempat letak kereta di bawah Blok 9 flat tersebut telah terbakar di bahagian belakang kenderaan.
Berikutan itu, pengadu segera turun untuk melihat kejadian berkenaan dan mendapati cermin pintu belakang sebelah kiri telah dipecahkan sementara kerusi penumpang belakang sebelah kiri mempunyai kesan terbakar.
Laporan polis dibuat dan tertuduh ditangkap pada 12 Januari 2026.
Hasil siasatan mendapati tertuduh telah menyalakan dan membakar kerusi penumpang belakang sebelah kiri kereta milik pengadu sehingga menyebabkan kerosakan dan kerugian sekitar RM1,125.20.
Kejadian turut disaksikan oleh jiran tertuduh yang dapat mengenali dan mengecam tertuduh, malah saksi sudah mengenali tertuduh sudah lebih kurang 20 tahun.
Terdahulu semasa prosiding, tertuduh memohon hukuman ringan dikenakan terhadapnya atas alasan dia merupakan satu-satunya pencari nafkah keluarga, selain menanggung ibunya yang sedang sakit dan memerlukan penjagaan rapi.
Timbalan Pendakwa Raya Adriana Maisarah Mohd Farid bagaimanapun memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pencegahan, dengan mengambil kira kepentingan awam, keadilan sosial, sifat dan keseriusan kesalahan itu.
Tegasnya juga, kesalahan seumpama itu dilaporkan semakin berleluasa di daerah di Sarawak sejak kebelakangan ini.
Dalam pada itu difahamkan, tertuduh dikatakan positif ujian air kencing.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|