Kesilapan pandu arah, keusangan kapal faktor KD Pendekar karam

Saat akhir KD Pendekar yang dilihat senget sebelum karam di Tanjung Penyusop, Johor pada 25 Ogos lalu.
KUALA LUMPUR: Dua faktor dikenal pasti menyebabkan Kapal Diraja (KD) Pendekar milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) karam di Tanjung Penyusop, Johor pada Ogos lalu termasuk disebabkan keusangan kapal. Perkara itu dimaklumkan Lembaga Siasatan TLDM melalui laporan berkaitan siasatan insiden KD Pendekar yang karam itu, selain kematian anggota penyelam semasa operasi salvaj kapal berkenaan. Melalui kenyataan kepada media, Bahagian Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut Kuala Lumpur berkata, Lembaga Siasatan TLDM mendapati beberapa faktor yang menyumbang kepada insiden KD Pendekar yang karam iaitu kesilapan pandu arah serta keusangan kapal. "Berdasarkan daripada rekod laluan kapal tersebut, KD PENDEKAR telah tersasar dari laluan yang dirancang dan terlanggar Terumbu Punggai (Stork Reef).
"Faktor keusangan kapal yang melebihi Dasar Kasting iaitu berusia 45 tahun telah menyukarkan kawalan kebanjiran berikutan kelemahan struktur badan kapal dan mempercepatkan kebanjiran merebak ke kompartmen-kompartmen lain. "Usaha menyelamat dan mengapungkan KD PENDEKAR berjaya diselesaikan pada 15 Oktober lalu oleh sebuah firma tempatan dan kapal itu kini dalam proses pemeriksaan teknikal," katanya. Pada 25 Ogos lalu, KD PENDEKAR karam ketika melaksanakan rondaan operasi, dengan insiden itu berlaku apabila kapal menghadapi gegaran kuat diikuti kebanjiran besar semasa menghampiri pesisir pantai untuk melakukan pemeriksaan teknikal. Semua 39 kru kapal berjaya dipindahkan dengan selamat ke kapal dagang MV ASHLEY tanpa sebarang kecederaan. Berhubung kematian penyelam TLDM, Laskar Kelas I PLM Arman San Hermansa dalam pelaksanaan operasi salvaj KD PENDEKAR, Lembaga Siasatan TLDM mendapati siasatan mengesahkan punca kematian penyelam adalah akibat lemas.
PENYELAM Ranjau TLDM dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA), Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa disahkan meninggal dunia ketika membuat selaman dalam operasi salvaj kD Pendekar di perairan Tanjung Pengelih, Johor.
Katanya, keadaan di kawasan operasi di mana arus yang tidak menentu dan memukul lumpur di dasar laut mengakibatkan jarak penglihatan menjadi sangat terhad iaitu sekitar 1 kaki pada hari kejadian. "Keadaan ini meletakkan seseorang penyelam pada situasi berisiko tinggi dan tekanan kerja yang mencabar. "Apabila tali keselamatan digunakan oleh penyelam didapati tersangkut pada kapal tersebut, langkah kecemasan dilakukan penyelam malang ini tidak berhasil seterusnya menyebabkan beliau lemas," katanya. Lembaga Siasatan TLDM juga mendapati prosedur operasi standard (SOP) penyelaman dan langkah keselamatan telah dipatuhi sebelum tugasan penyelaman dimulakan. "Peralatan menyelam yang digunakan disahkan berfungsi dengan baik sebelum dan selepas penyelaman. Penyelam juga disahkan kompeten untuk menjalankan tugas penyelaman tersebut," katanya. Bahagian Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut Kuala Lumpur berkata, TLDM mengambil serius dapatan kedua-dua insiden yang berlaku. "Keselamatan anggota dan kesiagaan armada keutamaan TLDM, di samping memastikan semua warga TLDM dapat menjalankan tugas dengan sempurna dan mengikut garis panduan ditetapkan," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1317148/kesilapan-pandu-arah-keusangan-kapal-faktor-kd-pendekar-karam
|