Edited by aylanins at 19-2-2015 10:49 PM
“MAK! CUTI MAR BERAPA LAMA?” Tanya Mardhiyah ketika ibunya masuk ke dalam biliknya untuk ambil pakaian kotor.
“Setahun. Sampai hujung tahun ini. Ada Cikgu Awang Had hantar message kat abah. Salinan surat dia kata dalam fail peribadi Mar kat ofis,” Puan Faridah terhenti seketika memungut pakaian kotor yang ada dalam bakul pakaian.
Mardhiyah terdiam. Setahun? Lepas setahun? Boleh berjalan lagikah ya? Kasihan emak. Pakaian sendiri pun dia tidak mampu untuk cuci, semua harapkan emak.
“Mak…”
“Kenapa Mar?” Puan Faridah sudah pandang wajah Mardhiyah. Cengkungnya wajah itu. Rambut Mardhiyah yang panjang lebat dulu cuma tinggal sejemput halus saja di atas kepala. Sudah ada nampak tanda-tanda rambut baru hendak tumbuh cuma tidak banyak.
“Cincin ni bagi kat Luqman. Kalau dia tak nak ambil, mak gadai saja di kedai. Lepas itu duit sedekah kat sapa-sapa,’ Mardhiyah sudah letak sebentuk cincin di atas meja sisi katilnya.
PuanFaridah terkesima. Bersinar-sinar cincin emas berbentuk hati kecil-kecil itu dipanah sinar mentari pagi. Elok saja cincin itu terletak di di atas meja kecil di tepi katil Mardhiyah. Mardhiyah dilihatnya sudah tunduk membaca buku cerita.Tapi entah kenapa, dia seakan dapat mengesan mata Mardhiyah yang sedih.
“Mak. Nanti Marzuqi balik cuti, cakap kat Marzuqi, kalau dia nak pakai set SK II tu, pakailah. Tu set untuk lelaki. Minyak wangi, kemeja, jam tangan, kasut semua tu bagi kat dia. Kalau saiz tak muat, bagi je kat sapa-sapa. Simpan pun tak ada guna,” sambung Mardhiyah lagi tapi matanya masih pura-pura membaca buku cerita dihadapannya.
Susahnya mahu menuturkan ayat itu. Dadanya terasa sebak yang amat sangat. Disimpan pun semua barang hantaran itu akan membuatkan hatinya semakin sedih. Badan masih sakit-sakit dengan kesan kemoterapi, tapi sakit di hati terasa lebih dari itu. Memang dasar lelaki agaknya, masa kita cantik sihat walafiat, semua indah saja. Masa kita sakit, semua janji manis entah ke mana.
Puan Faridah menghampiri katil Mardhiyah. Dia capai cincin emas di atas meja sisi itu.
“Nantilah mak bagi kat Luqman ya,” Puan Faridah belek-belek cincin emas itu. Yalah, kita hanya mampu merancang, Dia yang menentukan.
“Mak masak apa?” Tanya Mardhiyah cuba mengubah suasana sedih.
“Belum masak lagi. Mar ada nak makan apa-apa?” Tanya Puan Faridah sambil senyum pada Mardhiyah.
Pucat-pucat begitu pun, Mardhiyah tetap cantik di matanya. Dalam 4 orang anak-anak gadisnya, bukan orang dalam rumah ini saja, malah semua sanak-saudaranya yang lain setuju, Mardhiyah itulah yang paling cantik. Dia seorang saja yang ada mata sepet teduh menawan. Safa dan Wardah pun sepet juga, tapi tidaklah sesepet Mardhiyah. Mata sepet tapi kening lebat. Hidung mancung terletak. Kulit kuning langsat. Kalau rambutnya yang panjang lebat itu masih ada, lagilah dia bertambah cantik. Hem, cantik-cantik begini pun orang tidak sudi juga buat menantu, habis wajah Mardhiyah ditenung oleh Puan Faridah.
“Mak… ada sate tak?” Tanya Mardhiyah, tiba-tiba saja dia teringat dengan sate di benteng.
“Sate? Nanti mak suruh abah beli, bawa balik rumah,” senyum Puan Mardhiyah. Lama sudah Mardhiyah tidak minta dibelikan makanan. Apa yang dia masak, dia makan saja tanpa kompelin apa-apa. Kecualilah kalau dia tidak ada selera, tidak habislah makanan itu.
Bawa balik rumah? Dia sebenarnya teringin mahu keluar makan di benteng, kawasan makan tepi air itu. Macam lama sangat dia tidak melihat langit yang berbulan bintang. Tapi nanti menyusahkan emak dan abah pula. Lagipun dia tidak suka mata-mata yang memandangnya yang berkerusi roda ini.
“Nak apa lagi?” Tanya Puan Faridah pada Mardhiyah. Suka dia dengar Mardhiyah sudah mula minta makanan. Susah hatinya lihat badan Mardhiyah yang kurus susut begitu.
“Tak ada apa-apalah. Mak buatlah kerja mak,” ujar Mardhiyah. Entah kenapa dia terasa hatinya bagai ada sesuatu yang tajam menghiris.
Puan Faridah sudah ambil bakul berisi pakaian kotor tadi. Cincin emas yang ada di atas meja sisi tepi katil itu pun dia ambil. Kalau Luqman tidak mahu juga ambil balik cincin itu, dia akan ikut kata Mardhiyah. Gadai cincin itu di kedai pajak gadai Islam, duit itu dia akan sedekah pada siapa-siapa. Pintu bilik dia katup sebaik saja kakinya melangkah keluar dari bilik Mardhiyah.
Serentak dengan itu, Mardhiyah menekup wajahnya dengan selimut. Bahunya sudah terhinggut-hinggut menahan tangis.
Buruk sangatkah ya orang yang lumpuh kaki macam diaini?
|