|
Tangkak: “Sepanjang hampir dua tahun perkahwinan kami, saya sering ditumbuk, ditendang, melakukan hubungan seks walaupun masih dalam pantang dan dimaki hamun, namun saya masih bersabar kerana beranggapan dia akan berubah hinggalah dia memaksa saya melakukan perbuatan menjijikan iaitu menjilat kemaluan anak lelaki sendiri, 18 September lalu,” kata suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Ida, 22.
Kisah Ida yang didera secara fizikal dan seksual mula mendapat perhatian ramai apabila polis Johor mengesahkan menerima laporannya dan kini memburu suaminya, seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Segamat bagi membantu siasatan.
Ida ketika ditemui berkata, sepanjang perkahwinannya dia sering dipukul dan dipijak, namun pergaduhan mereka tidak pernah membabitkan anak-anaknya menyebabkannya masih menaruh harapan suami berusia 37 tahun itu akan berubah.
“Ketika mula berkenalan dengan suami yang juga seorang duda, dia seorang yang baik menyebabkan saya sanggup menjadi isterinya.
“Malangnya, selepas seminggu mendirikan rumahtangga dia mula berubah, dia akan memaki hamun tanpa sebab dan sekiranya ‘anginnya’ kurang baik, dia mula memukul dan menendang saya.
“Lebih malang, dia sanggup memaksa saya melayan nafsunya walaupun masih berpantang menyebabkan saya terpaksa menjalani pembedahan kerana kemaluan terkoyak,” katanya.
Menurutnya, selama ini dia bersabar kerana suaminya itu biasanya mengamuk selepas beberapa hari tidak pulang ke rumah namun akan kembali seperti biasa selepas beberapa hari di rumah.
Katanya, keadaan itu menyebabkannya bersabar dan beranggapan tekanan kerja namun kejadian bulan lalu menyebabkannya nekad meninggalkan suaminya itu dan menuntut cerai.
“Pada 18 September lalu, selepas dua hari tidak pulang ke rumah, suami pulang pada 4 petang dalam keadaan marah menyebabkan kami bertengkar sebelum suami mencekik leher saya, menghentak kepala menggunakan bakul baju dan mengheret saya dari dapur ke depan rumah sebelum dia keluar.
"Pada 11.30 malam hari sama, dia pulang ke rumah dan meletak parang di leher saya sebelum menghentak kepala menggunakan komputer bimbit, menendang dan memukul saya.
“Tidak cukup dengan itu, dia memaksa saya menjilat kemaluan anak lelaki berusia dua tahun dan apabila enggan dia memaksa saya menjilat kakinya serta habuk rokok,” katanya.
Menurutnya, suaminya itu kemudiannya membawanya ke balai polis di Segamat untuk membuat laporan polis kehilangan enjin motosikal dan ketika dalam perjalanan, terus memukul kepalanya.
Katanya, selesai membuat laporan polis dia pulang ke rumah dan mendapati suaminya itu tidur dan keluar dari rumah keesokan harinya bersama dua anak berusia dua tahun dan lima bulan ketika suaminya itu ke mahkamah.
“Saya membuat aduan di balai polis Bukit Gambir sebelum berlindung di rumah rakan kerana tidak mahu dia mencari saya di rumah keluarga.
“Saya berharap dia dikenakan tindakan tegas dan hukuman setimpal selain memohon perlindungan terhadap dirinya serta anak-anak kerana bimbangkan keselamatan mereka,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, suspek lelaki berumur 37 tahun berjaya ditahan di Batu Berendam, Melaka, kira-kira 8 malam tadi.
"Suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan tahanan reman esok," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 10:47 PM
- metro |
|