Edited by Glass_shoes at 28-5-2017 09:29 AM
https://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0514&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_06.htm
Semusim Rindu temukan Ben, Intan
Ben Amir dan Intan Ladyana merupakan dua pelakon yang belum pernah digandingkan bersama-sama. Bagaimanapun, kedua-duanya itu bakal disatukan dalam sebuah naskhah adaptasi novel karya Aleeya Aneesa yang berjudul Semusim Rindu.
Semestinya, drama bersiri 40 episod itu antara naskhah yang ditunggu-tunggu peminat. Apatah lagi, ia merupakan pertama kali Ben selaku pendatang baharu diberikan tanggungjawab menggalas watak utama bersama seorang pelakon yang lebih berpengalaman daripadanya.
Bagi Ben sendiri, katanya, peluang berlakon bersama Intan merupakan satu momen yang cukup bermakna. Lebih-lebih lagi drama yang bakal disiarkan di saluran Astro Prima itu nanti bakal menjadi naskhah kemunculan semula Intan di kaca televisyen selepas lama menyepi.
“Selepas dapat tahu yang saya bakal berlakon bersama Intan, saya berasa gementar juga pada mulanya. Maklumlah, ini boleh dikira sebagai produk pertama untuk dia buat kemunculan semula selepas lama menyepi.
“Pada pandangan saya, Intan semestinya sudah mempunyai set dan target sendiri untuk kemunculan drama terbaharunya nanti. Jadi, saya mesti memberikan mutu lakonan yang terbaik agar bersesuaian dengan kehadirannya semula di kaca televisyen,” kongsi pemilik nama sebenar Muhammad Amir Sabaruddin, 27, itu kepada Sensasi Bintang baru-baru ini.
Menurut Ben, biarpun Intan jauh lebih berusia daripadanya, perkara itu tidak menjadi satu halangan buatnya untuk mewujudkan keserasian bersama sewaktu berada di set penggambaran. Bahkan, mereka juga saling duduk berbincang untuk memastikan satu-satu babak itu dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Memang saya lebih muda daripadanya tetapi itu bukan alasan untuk tidak boleh digandingkan bersama. Cuma, saya akan memberikan yang terbaik menerusi watak saya sebagai Ikhman dalam drama tersebut. Apa yang penting, saya dapat memenuhi karakter Ikhman seperti yang digambarkan di dalam novel asal,” kongsinya.
Sementara itu, bagi Intan pula, dia berasakan drama arahan sutradara Ejump Zahir itu dilihat sebagai satu karya yang mempunyai jalan cerita yang cukup menarik untuk dikongsikan kepada penonton.
Bukan sahaja mengisahkan soal cinta, tetapi drama itu nanti mengangkat kisah bagaimana seorang wanita yang tercari-cari jawapan mengenai nasib malang yang menimpanya ketika kecil apabila menjadi mangsa dera.
“Saya menerima tawaran ini selepas tertarik dengan jalan ceritanya. Apatah lagi ia merupakan sebuah karya yang diadaptasi daripada sebuah novel. Semestinya novel itu juga sudah mempunyai pengikutnya tersendiri.
“Jadi, saya perlu fahamkan jalan cerita novel itu sebelum memasuki set penggambaran. Ia mengisahkan kehidupan seorang anak yang sering didera dan berada dalam keadaan murung sewaktu kecil. Watak saya sebagai Hajar yang kemudian bertemu dengan Ikhman apabila sudah dewasa,” katanya.
Masih lagi belum selesai penggambaran, drama bersiri tersebut turut menampilkan pelakon lain seperti Donna Muslim, Aizat Hassan dan Haliza Misbun.
Semusim Rindu mengisahkan seorang wanita bernama Hajar yang pernah mengalami episod hitam apabila sering menjadi mangsa dera ibu saudaranya, Nazimah. Pada usia 10 tahun, dia kemudian melarikan diri sebelum dia dijaga oleh sebuah keluarga angkat.
Bagaimanapun, nasibnya bertambah malang apabila ibu angkatnya meninggal dunia, manakala bapanya pula lumpuh. Situasi itu secara tidak langsung membuatkan segala tanggungjawab terletak di bahunya untuk membesarkan adik-beradiknya yang lain.
Dia kemudian bertemu dengan Ikhman yang kemudian menjadi suaminya. Bagaimanapun, satu demi satu konflik muncul sehingga membuatkan mereka bergolak dengan perasaan masing-masing apabila bersikap ego.
Semusim Rindu bakal ditayangkan mulai 30 Mei ini setiap hari Isnin hingga Jumaat di saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135).
|