“Kak, terima kasih sebab selalu ada kat sisi Safa. Safa janji, takkan susahkan akak lagi. Safa selalu buat macam ni, bersedih tak kira masa. Akak pula tak pernah jemu pujuk Safa.”
“Safa dah macam adik akak sendiri. Akak dah janji dengan umi dan abah akak, nak jaga Safa. Kita, tetap bersaudara sayang. Safa sedih, akak pun sama. Dah, cukuplah ‘drama’ sedih kita malam ni. Bangun, jom buat apa yang akak suruh tadi,” Salbiah kini sudah berdiri dan tangan kanan dihulur, menanti Safa Hawani menyambut.
“Yalah kak,” Safa Hawani juga bingkas bediri. Tangan kakak sepupunya disambut. Langkah dipacu menuju ke bilik air.
Safa Hawani mengerjakan solat sunat yang disaran oleh Kak Salbiah dengan khusyuk. Usai, dia mengambil senaskah surah Yassin lalu membacanya. Tersedu-sedu, Safa Hawani menangis. Hatinya sayu, membaca bait-bait di dalam surah itu. Rutin itu, selalu dia lakukan dengan niat semoga roh keluarganya ‘di sana’ dicucuri oleh rahmat-Nya. Tidak pernah dia melupakan doa itu setiap kali selepas solat. Safa Hawani kian tenggelam di hanyut oleh arus yang membuak-buak kenangan pahit di dalamnya. Ingatannya menerawang...
“Akak nak bawa Safa ke mana ni?” Dadanya, berdegup kencang saat Salbiah menyuruhnya bersiap. Gesaan Salbiah, terpaksa dia turuti.
“Safa ikut aje.”
“Kenapa ni kak? Ada hal penting apa yang sampai suruh orang ikut tengah-tengah malam ni?” Safa Hawani masih tidak berpuas hati.
Salbiah mendiamkan diri. Mahu menjawab pertanyaan Safa Hawani... bagai sepasang tangan sedang mencekik batang lehernya hingga dia mahu tercekik. Sebak, cuba dikawal sebaik mungkin. Mahu mengkhabarkan berita buruk kepada Safa Hawani mengenai apa yang telah menimpa keluarga gadis itu, dia tidak sampai hati. Genangan air mata, cuba ditahan dari tumpah. Dia menumpukan perhatian kepada pemanduannya. Hatinya perlu dicekalkan.
“Akak, kenapa bawa Safa datang sini?” Dahinya semakin berlapis-lapis. Memandang sekitar perkarangan yang diwartakan wad kecemasan itu semakin melajukan degupan jantung.
“Akak harap Safa sabar,”
“Sabar apa pula kak? Apa hal ni kak? Cuba cerita kat Safa apa sebenarnya yang terjadi?”
“Sebenarnya Safa... mak su, paksu diorang...”
“Kak, cakap ajelah kenapa?” Safa Hawani resah. Nadanya kedengaran sangat mendesak.
“Safa, mak dengan ayah Safa kemalangan. Diorang semua,” Salbiah sudah menangis.
“Akak cakap apa ni?” Desahan nafasnya tidak menentu.
Last edited by wipers81 on 28-11-2014 05:52 PM
|