KUALA LUMPUR 3 Ogos- Pelakon Ummi Nazeera membuat kejutan apabila mendedahkan dia sudah selamat bergelar isteri kepada lelaki pilihannya, Dr. Mohd. Izzar Anwari Abdul Khani 23 Julai lalu.
Dalam satu kenyataan, Ummi berkata, dia mengambil keputusan untuk mempercepatkan majlis yang sepatutnya berlangsung hari ini demi menghormati permintaan keluarga.
“Saya mengaku sudah bergelar isteri Izzar sejak 23 Julai lalu kerana menuruti keputusan keluarga agar pernikahan ini diadakan lebih awal dari tarikh dirancang,” kata pelakon berusia 27 tahun ini.
Ummi dalam pada itu berkata, majlis pernikahan tersebut hanya dihadiri 20 tetamu dan berlangsung secara tertutup di kediaman adik kepada ayah pelakon tersebut, Datuk Aziz Mat Akhir di Bukit Tunku, di sini.
Ummi sah bergelar isteri kepada Mohd. Izzar Anwari yang juga seorang doktor dengan sekali lafaz tepat pukul 10.45 pagi dan khutbah nikah disampaikan oleh Imam Besar Masjid Wilayah, Datuk Rashidy Jamil Al-Rashid. 
 Ummi menerima tujuh dulang hantaran berbalas sembilan manakala jumlah mas kahwin dirahsiakan.

Yang turut hadir dalam jalis tersebut ialah bonda Sultan Terengganu, Tengku Besar Terengganu Sharifah Nong Fatimah Syed Abdullah Al-Saggof, isteri Aziz, Tengku Datuk Rahimah Almarhum Sultan Mahmud Al-Mukhtafi Billah Shah, ibu serta abang Ummi, Datuk Sri Maziah Musa dan Datuk Ahmad Nazreem Azrul Hidayat, bapa serta ibu Izzar, Datuk Seri Abdul Khani Daud dan Datin Seri Nurah Abdul Rahman.

Sementara itu, Ummi berkata, dia kini berasa lebih gembira dan tenang selepas memasuki 11 hari mendirikan rumah tangga.

“Saya kena lebih berhati-hati dalam setiap perkara kerana sekarang hidup berdua bersama suami. Kalau hendak merajuk atau marah, kena berfikir banyak kali disebabkan takut rasa berdosa dengan suami.

“Cuma agak sedih apabila kami terpaksa berpisah selepas setengah hari bernikah kerana Izzar masih lagi bertugas di Sarawak. Yang pasti, saya perasan bahawa suami menjadi lebih romantik selepas berkahwin,” jelas Ummi yang tetap meneruskan karier seni seperti biasa selepas ini.

Ummi dan Mohd. Izzar Anwari merancang untuk berbulan madu di Sabah dan Switzerland tidak lama lagi.

Resepsi persandingan pasangan itu akan diadakan di Hotel Shangri-La pada Sabtu ini dan diikuti di Dewan Bankuet Menara Felda, KLCC 12 Ogos depan.
 Pasangan sama cantik sama padan ini mengikat tali pertunangan pada 12 November tahun lalu apabila memasuki usia tiga bulan berkenalan selepas diperkenalkan oleh ibu Izzar pada 29 Januari 2016. - UTUSAN ONLINE
|