Safa Hawani yang sedikit tersentak dengan pertannyaan itu perlahan-lahan mengukir senyum. Sekali lagi, emak dirangkul.
“Safa okey mak cuma sibuk sikit sekarang ni. Tu yang tak boleh selalu balik kampung.”
“Safa, dekat tempat orang nanti jaga diri ya nak. Ingat pesan mak ni, perangai tu jaga sikit. Perangai Safa yang ‘keras’ tu ambil buang semua. Mak dengan ayah, bukan boleh selalu ada kat sisi Safa,” nasihat Puan Rohaya sedang tangan mengusap lembut kepala anak daranya itu.
“Mak nak ke mana pula?” Kesebakan telah melandanya.
“Tak ke manalah. Ingat pesan mak ni. Bila mak dah tak ada,”
“Mak, janganlah cakap macam tu. Safa tak sukalah. Safa kalau boleh nak mak dengan ayah selalu aje ada depan mata. Mak, janganlah takutkan Safa.”
“Safa, jangan lupa tau pesan mak. Jaga diri baik-baik. Selalulah doakan untuk mak, ayah dan adik-adik, ya nak. Mak tak boleh lama-lama kat sini sayang. Mak kena pergi.” Puan Rohaya menutur dalam sebak.
“Mak, nak ke mana? Jangan pergi mak. Safa rindu...” terus sahaja emak hilang dari pandangan. Safa Hawani terkedu, memerhati sekeliling, melihat di mana emak namun hampa.
“Mak!” Dia menjerit, memekik nama-nama insan yang sangat disayangi. Satu rumah dia berlari, mencari di mana mereka.
“Mak, ayah!” pekiknya lagi.
“Safa!”
Kerana terkejut dengan panggilan yang oktaf suara itu menjurus kepada menjerit, pantas Safa Hawani bangun duduk. Matanya yang sudah celik, memandang ke sekeliling. Setelah puas mengamati keadaan sekitar, SAH...dia berada di dalam bilik tidurnya. Serta-merta, tangan melekat di dahi yang sedang basah kerana berpeluh.
“Kau kenapa Safa?” tanya empunya tubuh yang menjerit tadi.
“Safa..Safa mimpi kak. Safa mimpi mak,” dek kerana detak jantungnya yang sedang melaju, dia sedikit semput.
“Safa,” Salbiah kemudian merapati Safa Hawani lalu melabuhkan duduk di birai katil gadis itu. Rasa sebak, tiba-tiba meresap ke dalam jiwanya.
“Kak, Safa rindu mak, ayah, adik-adik...” Safa Hawani sudah mula menangis. Lutut sudah diangkat dan kini mukanya disembam ke situ. Dia menghamburkan tangis hingga terhinggut kedua bahu.