|
|
Teresang Dayak Sarawak rancang tambah keahlian, buka bahagian baharu di Sarikei
Januari 18, 2026, Ahad - 11:07am

Robinson (duduk tengah) merakamkan kenangan bersama ahli-ahlinya semasa AGM di Sibu pada Sabtu.
SIBU: Persatuan Kebajikan Masyarakat Iban Sibu (Teresang Dayak Sarawak) berhasrat membuka keahliannya di beberapa bahagian di negeri ini.
Presidennya Robinson Corey berkata, persatuan kini mempunyai beberapa bahagian iaitu di Sibu, Kanowit, Julau, Kuching, Bintulu dan Miri.
"Kita juga mempunyai bahagian di Selangor. Dalam persatuan, kami tidak menggunakan istilah cawangan tetapi bahagian.
"Setakat ini kami mempunyai enam bahagian di negeri ini dan satu bahagian di Selangor. Kesemuanya ada tujuh bahagian.
"Dalam tujuh bahagian itu, kami mahu membuka keahlian untuk menambah ahli-ahli di kawasan atau bahagian berkenaan," katanya semasa mempengerusi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Siri 1/2026 Teresang Dayak Sarawak di sini pada Sabtu.
Robinson memberitahu setakat ini persatuan mempunyai seramai 68 orang ahli daripada tujuh bahagian tersebut.
Jelasnya lagi, tujuan menambah keahlian adalah untuk mempertingkatkan kesedaran masyarakat Iban tentang pentingnya peranan kebajikan, memupuk sifat tanggungjawab, disiplin dan semangat komuniti, yang merupakan antara misi persatuan.
"Pengambilan ahli baharu akan bermula Februari ini. Pada masa yang sama juga, kami berharap dapat membuka bahagian baharu di Sarikei," ujarnya.
Semasa mesyuarat, beliau mendedahkan persatuan berhasrat mengadakan lawatan kebajikan ke rumah anak-anak yatim dan rumah warga emas sebagai inisiatif baharu.
Pada masa yang sama, Robinson turut memberitahu persatuan hanya menfokuskan kerja-kerja kebajikan dan amal.
"Saya menggesa semua ahli agar terus menjaga nama baik persatuan dan tidak menyalahgunakan nama persatuan dengan aktiviti-aktiviti yang di luar tujuan persatuan.
"Semua ahli juga digesa untuk tidak jemu dengan persatuan dan memperbanyakkan aktiviti kebajikan," tegasnya.
Beliau menambah bahawa misi persatuan adalah memberi kebajikan tanpa mengira bangsa atau agama, termasuk kepada warga emas, anak yatim, orang kelainan upaya (OKU) dan mereka yang memerlukan, serta bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan Iban yang mempunyai matlamat sama.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Projek Pusat Khidmat Batu Lintang, Undop dalam proses pelaksanaan
Januari 18, 2026, Ahad - 11:26am

Kakitangan MDSA dan ahli JKKK Cina Bandar Sri Aman termasuk ketua kaum merakamkan gambar bersama sebagai kenangan. - Gambar UKAS
SIMANGGANG: Projek Pusat Khidmat Batu Lintang, Undop baharu di sini yang bernilai RM15 juta masih dalam proses pelaksanaan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis berkata, projek di bawah Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) berkenaan akan dilaksanakan di atas tanah berkeluasan dua ekar dan melibatkan pembinaan 10 lot rumah kedai dua tingkat, pasar tamu dan dewan komuniti.
"Bagaimanapun, Lesen Pendudukan Sementara (TOL) bagi tanah berkenaan sudah tamat tempoh dengan pihak Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Sri Aman kini sedang dalam proses memperbaharui semula lesen terbabit.
"Kita sekarang juga sedang berbincang dengan pihak Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah Sarawak (PELITA) untuk membuat reka bentuk, pelan dan mencari jalan untuk membangunkan pusat khidmat yang baharu ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Pembangunan Komuniti Majlis Daerah Sri Aman (MDSA): Gotong-Royong dan Kempen Kebersihan untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Cina Bandar Sri Aman di sini, pada Sabtu.
Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang menambah, kewujudan pusat khidmat baharu terbabit juga adalah perlu apabila cadangan pembinaan tiga pos sempadan iaitu Sungai Putong, Temiang dan Titingkah dalam kawasan Batu Lintang, Undop, Sri Aman dilaksanakan.
"Projek pembinaan pos sempadan di Sungai Putong sudah pun diluluskan dengan kos sebanyak RM5 juta dan bakal menempatkan Jabatan Imigresen, Kastam, Pasukan Gerakan Am dan Pasukan Polis Diraja Malaysia.
"Dua lagi juga sudah dilulus namun belum ada peruntukan. Justeru, diharap agar projek pusat khidmat ini dapat dilaksanakan bagi mengurus urusan ulang-alik antara penduduk kita dan warga jiran di kawasan ini pada masa akan datang," katanya.
Terdahulu, seramai 32 kakitangan MDSA dan 70 ahli JKKK Cina Bandar Sri Aman termasuk Ketua Kaum telah mengambil bahagian dalam kempen yang berlangsung di kawasan Jalan Kelab, Jalan Kecil dan Jalan Main Bazaar di kawasan bandar ini.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Dua projek bernilai hampir RM2 juta lonjak pembangunan Kampung Suba Buan
Januari 18, 2026, Ahad - 11:38am

Henry memberi penjelasan mengenai pembangunan di Kampung Suba Buan, Bau. - Gambar UKAS
BAU: Dua buah projek bernilai hampir RM2 juta hasil peruntukan Kerajaan Sarawak telah melonjak pembangunan di Kampung Suba Buan di sini.
Projek berkenaan adalah menaik taraf jalan dari Kampung Suba Buan ke Kampung Suba Bau sepanjang dua kilometer membabitkan kos sebanyak RM900,000 yang dibina di bawah peruntukan Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).
Manakala projek kedua adalah projek penyambungan paip oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bau yang dilaksanakan dengan menggunakan dua peruntukan iaitu di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM300,000 dan sebahagian peruntukan dari projek penyambungan paip berkelompok kawasan Jagoi yang berjumlah RM1.8 juta di bawah GKCDA.

Henry menyaksikan penyerahan projek kepada pihak berkenaan di Kampung Suba Buan, Bau. - Gambar UKAS
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep berkata, apabila infrastruktur seperti jalan kampung, bekalan air bersih, elektrik dan sebagainya dinaik taraf di kawasan kampung, ia secara langsung memberi faedah dan kemudahan kepada penduduk.
Tambahnya, penduduk Kampung Suba Buan juga kini berpeluang memohon Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) dengan adanya Surat Hak Milik Tanah untuk membantu mengatasi masalah menyewa dan membeli rumah yang mahal di kawasan bandar.
Katanya lagi, melalui Rangka Tindakan Greater Bau, perancangan menyediakan kemudahan infrastruktur yang kukuh diikuti dengan pengeluaran geran tanah yang telah dilaksanakan sejak lapan ke sembilan tahun lepas tidak pernah salah.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif GKCDA Datu Ik Pahon Joyik, Penolong Jurutera Air Bahagian (Pembangunan) JBALB Sarawak Ts Siet Ung Wu, Setiausaha Majlis Daerah Bau Ong Chin Ping dan wakil Pegawai Daerah Bau Danny Gumbang Martin Engkujang.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pemandu maut, penumpang parah kereta terbabas ke dalam parit
Januari 18, 2026, Ahad - 11:58am
KUCHING: Seorang pemandu maut, manakala penumpang cedera parah apabila kereta dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit di Batu 8, Jalan Kuching-Serian, malam Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Superintenden Damataries Lautin berkata siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa, 51, bersama lelaki, 23, bergerak dari arah Kuching dan menuju ke Batu 17, Jalan Kuching-Serian.
"Apabila sampai di Batu 8, Jalan Kuching-Serian dan sedang bergerak lurus, pemandu tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit di sebelah kanan jalan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Damataries berkata, akibat daripada kejadian tersebut, mangsa dikenali sebagai Bong Bing Wen disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Manakala mangsa yang cedera parah katanya, dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk menerima rawatan.
"Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik HUS untuk tindakan lanjut," katanya lagi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, khidmat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut digunakan untuk membawa naik mangsa-mangsa ke permukaan jalan raya.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi, JBPM Sarawak dalam satu kenyataan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.35 malam sebelum mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Sentosa ke lokasi.
"Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan yang terbabas terjunam masuk ke dalam parit anggaran 30 kaki dan terdapat dua orang mangsa lelaki dewasa terlibat," katanya.
Operasi yang melibatkan seramai enam anggota bomba bersama sebuah jentera FRT itu tamat sepenuhnya pada jam 1.10 pagi Ahad.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki disyaki salah guna dadah ditahan di pekan Meradong
Januari 18, 2026, Ahad - 12:21pm
BINTANGOR: Seorang lelaki berusia 41 tahun ditahan dalam Op Tapis Khas yang dilancarkan oleh polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Meradong pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Meradong DSP Tansli Mering berkata, lelaki tersebut telah ditahan pada jam 8.26 malam ketika pasukan Task Force IPD Meradong melakukan rondaan di sekitar pekan Meradong.
“Lelaki tersebut ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.
“Sejurus ditahan, lelaki terbabit telah dibawa ke IPD Meradong untuk menjalani saringan ujian air kencing,” kata Tansli kepada media, hari ini.
Menurut Tansli, hasil ujian tersebut, lelaki berkenaan didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
“Berikutan itu, kes ini telah disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952 dan jika disabitkan kesalahan akan didenda tidak lebih daripada RM5,000.00 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada 2 tahun.
“Hasil semakan rekod lampau juga mendapati lelaki terbabit tiada mempunyai sebarang rekod jenayah,” katanya.
Tansli menambah, IPD Meradong memandang serius kesalahan dadah dalam kalangan masyarakat dan tidak berkompromi dengan masalah tersebut.
Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah untuk menyalurkannya kepada Balai Polis Bintangor di talian 084-693222.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Dua rentung dalam kebakaran kuarters pekerja di Baram
Januari 18, 2026, Ahad - 2:37pm
MIRI: Dua individu dewasa ditemui rentung selepas sebuah kuarters pekerja di Baram, dekat sini musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran awal pagi tadi.
Dalam kejadian yang dilaporkan sekitar jam 5.59 pagi itu, api yang marak telah meranapkan keseluruhan struktur sebuah kuarters kayu berkembar setingkat.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Berain Skam, 37, dan Terit Lenjau, 37, masing-masing seorang lelaki dan wanita dewasa yang menghuni Unit A kuarters berkenaan.
Katanya, kebakaran berkenaan turut melibatkan Unit B yang dihuni lima orang dewasa dan seorang kanak-kanak, namun kesemua mereka berjaya menyelamatkan diri ketika kejadian berlaku.
"Api telah berjaya dipadamkan lebih awal oleh pekerja ladang menggunakan 30 unit alat pemadam api dan tiga pam air sebelum pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 8.20 pagi," katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, pasukan bomba kemudiannya menjalankan pemantauan di kawasan kejadian bagi memastikan tiada risiko kebakaran berulang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.16 pagi.
Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Seramai 10 anggota bomba terlibat dalam operasi tersebut dengan kekuatan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Program Khidmat Komuniti Sehenti Batu Kitang bukti keprihatinan GPS terhadap rakyat
Januari 18, 2026, Ahad - 3:13pm

Lo (dua kiri) ditemani Alvin (dua kanan) bersama-sama menyampaikan cenderamata kepada perwakilan Yayasan Sarawak yang hadir menyertai program pihaknya hari ini.
KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membuktikan komitmen dan keprihatinannya terhadap kesejahteraan rakyat dengan penganjuran Program Khidmat Komuniti Sehenti Batu Kitang, di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Dato Lo Khere Chiang berkata, GPS menerusi Pusat Khidmat SUPP Batu Kitang berjaya menghimpunkan pelbagai agensi dan organisasi komuniti setempat untuk tujuan itu.
“Tidak semua orang mempunyai kenderaan atau masa untuk berurusan di pejabat kerajaan pada hari bekerja.
“Namun hari ini, walaupun diadakan pada hari Ahad, rakyat dapat mengakses pelbagai perkhidmatan di satu lokasi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis tersebut di Dewan Serba Guna Hare Krishna, hari ini.
Program tersebut melibatkan kerjasama lima organisasi utama iaitu Sayap Belia SUPP Batu Kitang diketuai Ahli Majlis Alvin Chong, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Sayap Wanita SUPP Batu Kitang serta Persatuan Antarabangsa Kesedaran Krishna (ISKCON).
Antara agensi yang terlibat termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kebajikan Wanita Sarawak (JKWS), Sarawak Pay, Yayasan Sarawak, Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Bank Rakyat.
Ramai penduduk turut mengambil peluang melunaskan cukai taksiran rumah, lantas mencerminkan keberkesanan pendekatan perkhidmatan sehenti berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan khas kepada ISKCON yang bukan sahaja menyediakan lokasi program, malah turut menyumbang sarapan dan makan tengah hari kepada para hadirin.
“Saya amat terharu dengan sumbangan ISKCON walaupun badan ini menerima bantuan kerajaan, khususnya melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) tetapi mereka tidak lupa untuk memberi kembali kepada masyarakat.
“Inilah semangat yang ingin kita pupuk,” katanya.
Justeru, beliau menggalakkan lebih banyak badan keagamaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk turut sama menyumbang kembali kepada komuniti hasil manfaat yang diterima daripada kerajaan GPS.
Pada masa yang sama, beliau menegaskan bahawa antara pencapaian terbesar kerajaan GPS di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg adalah pelaksanaan pendidikan tinggi percuma untuk anak Sarawak.
“Dasar pendidikan tinggi percuma ini telah mengurangkan beban ibu bapa dan membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak Sarawak untuk menimba ilmu.
“Pendidikan adalah kunci yang membina anak bangsa dan ekonomi Sarawak,” tegasnya.
Maka itu, beliau menggesa golongan belia agar memanfaatkan peluang tersebut dengan belajar bersungguh-sungguh dan membangunkan kepakaran dalam bidang profesionalisme masing-masing demi menyumbang kepada pembangunan negeri.
Program tersebut merupakan acara komuniti berskala besar pertama dianjurkan oleh Pusat Khidmat SUPP Batu Kitang dan sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan kehadiran masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
Lo turut menyeru agar lebih banyak program seumpama itu dianjurkan pada masa depan serta menegaskan kepentingan perpaduan rakyat dalam menyokong kepimpinan sedia ada.
“Bukan sahaja di Batu Kitang, malah seluruh Sarawak perlu terus bersatu dan memastikan GPS kekal kuat.
“Bersama-sama kita sokong GPS demi masa depan Sarawak yang lebih makmur,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Agensi Bencana Daerah Meradong akan sediakan laporan kejadian tanah runtuh Rh Dipa, Sungai Lemayong
Januari 18, 2026, Ahad - 3:17pm

Ding bersama dengan Agensi Bencana Daerah Meradong meninjau kejadian tanah runtuh yang berlaku di Rumah Dipa, Sungai Lemayong, Bintangor.
BINTANGOR: Agensi Bencana Daerah Meradong akan menyediakan laporan terperinci berkaitan kejadian tanah runtuh yang berlaku di Rumah Dipa, Sungai Lemayong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, langkah itu penting dalam tujuan penilaian lanjut dan tindakan susulan yang akan diambil bagi mengatasi masalah tersebut.
“Lawatan ini juga bertujuan mendapatkan maklumat terperinci di lapangan serta membincangkan langkah-langkah susulan yang perlu diambil bagi menjamin keselamatan penduduk setempat.
“Dalam lawatan ini kita telah diberi taklimat mengenai punca kejadian tanah runtuh, tahap kerosakan yang berlaku serta risiko berterusan terutama ketika musim hujan.
“Beberapa kediaman penduduk didapati terjejas dan keadaan cerun yang tidak stabil menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan jangka panjang komuniti di kawasan tersebut,” kata Ding.
Beliau berkata demikian kepada media ketika meninjau kejadian tanah runtuh yang berlaku di Rumah Dipa, Sungai Lemayong bersama Agensi Bencana Daerah Meradong dekat sini, hari ini.

Ding bersama dengan Agensi Bencana Daerah Meradong meninjau kejadian tanah runtuh yang berlaku di Rumah Dipa, Sungai Lemayong, Bintangor.
Menurut Ding, pada lawatan itu juga beliau berpeluang melihat sendiri keadaan semasa serta tahap risiko yang dihadapi penduduk terjejas.
Katanya, keselamatan penduduk adalah keutamaan dan tindakan segera perlu diambil bagi mengurangkan risiko bencana berulang.
“Kita ingin menegaskan bahawa kerjasama antara agensi berkaitan amat penting dalam merangka penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang, termasuk cadangan kerja-kerja mitigasi serta bantuan kepada penduduk yang terkesan.
“Agensi Bencana Daerah Meradong pula akan menyediakan laporan terperinci hasil lawatan tapak bagi tujuan penilaian lanjut dan tindakan susulan.
“Antara langkah yang akan dipertimbangkan termasuk pemantauan berterusan kawasan berisiko, cadangan kerja penstabilan cerun serta bantuan kebajikan kepada penduduk terlibat sekiranya diperlukan,” tegas Ding.
Tambah Ding lagi, lawatan tapak itu mencerminkan komitmen berterusan pihak ADUN Meradong bersama wakil rakyat Parlimen Sarikei dan agensi berkaitan dalam menangani isu bencana alam secara proaktif demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Hadir sama pada lawatan tersebut ialah wakil Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sarikei Wong Soon Mee, Ketua Polis Daerah Meradong DSP Tansli Mering dan wakil Pegawai Daerah Meradong Ting Kai Siang.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Seni kuntau memiliki nilai warisan tinggi
Januari 18, 2026, Ahad - 3:49pm
Ia berpotensi dijadikan tarikan pelancongan budaya sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, kata Kong

Peserta menunjukkan seni bela diri Kuntau yang telah dipelajari.
BINTULU: Seni kuntau memiliki nilai warisan tinggi yang berpotensi diangkat sebagai produk pelancongan budaya berdaya saing, kata Steven Kong Kai Seng yang merupakan Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing.
Katanya, seni mempertahankan diri itu mampu menjadi tarikan pelancongan budaya sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 untuk diperkenal kepada masyarakat antarabangsa.
“Seni kuntau ternyata hebat sama dengan seni mempertahankan diri yang lain," katanya yang kali pertama melihat seni mempertahankan diri itu semasa merasmikan Program Tamat Pendekar Peringkat 4 Persatuan Seni Kuntau Spring Bintulu di sini hari ini.

Kong (duduk tengah) bergambar bersama peserta seni bela diri kuntau.
Program itu menghimpunkan para peserta, jurulatih serta ahli keluarga peserta.
Ujarnya, seni bela diri itu memperlihatkan keunikan budaya tempatan yang mampu memukau pengunjung yang menyaksikannya sekiranya dipersembahkan secara konsisten.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkas pada Program Tamat Pendekar Peringkat 4 Persatuan Seni Kuntau Spring Bintulu yang menghimpunkan para peserta, jurulatih serta ahli keluarga.
Katanya, program itu menilai tahap kemahiran seni mempertahankan diri serta dapat memelihara seni warisan tradisional sebagai identiti budaya tempatan.
Dengan sokongan semua pihak katanya, seni kuntau berpotensi menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat di Bintulu.
Katanya, penghargaan kepada para jurulatih, penganjur serta ibu bapa atas komitmen berterusan dalam memastikan seni warisan tersebut terus dipelihara.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Ceramah Perdana Israk dan Mikraj di Masjid Darul Taqwa Belaga meriah
Januari 18, 2026, Ahad - 4:04pm

Abu Ubaidah (lima kiri) menerima cenderamata daripada Abu Talip sambil disaksikan yang lain di Belaga malam Sabtu.
BELAGA: Jawatankuasa Pengurusan Masjid (JPM) Darul Taqwa Belaga yang baharu memulakan langkah dengan penganjuran Ceramah Perdana Israk dan Mikraj yang berlangsung penuh meriah pada malam Sabtu, sekali gus menghimpunkan kehadiran jemaah dari seluruh pekan Belaga.
Ceramah istimewa itu menampilkan penceramah jemputan, Imam II Masjid Darul Hidayah Kidurong, Bintulu Ustaz Abu Ubaidah Fadzli, yang menyampaikan pengisian sarat dengan pengajaran dan penghayatan peristiwa agung Israk dan Mikraj.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Penghulu Abu Talip Mohd Mokhtar, Pengerusi JPM Darul Taqwa Kiprawi Mohd Mokhtar, Ketua Kampung Melayu Belaga Awang Japar Awang Akbar, Ketua Kampung Hijrah Jaya Belaga Hasbi Awang Radin serta Ketua Biro Pendidikan dan Agama merangkap Timbalan Pengerusi JPM Darul Taqwa Awang Baim Awang Ahmad.
Kupasan beliau menekankan kepentingan istiqamah dalam menunaikan solat serta memperkukuh hubungan rohani dengan Allah SWT sebagai teras pembinaan ummah.
Selain penduduk dari kedua-dua kampung, ceramah tersebut turut dihadiri muslimin dan muslimat sekitar pekan Belaga, mencerminkan sokongan padu masyarakat terhadap program keagamaan anjuran masjid.
Penganjuran ceramah itu dilihat sebagai langkah awal yang positif oleh JPM Darul Taqwa dalam mengimarahkan masjid, di samping menyemarakkan semangat kebersamaan dan penghayatan Islam dalam kalangan komuniti setempat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Masyarakat Islam hadiri Forum Perdana Hal Ehwal Islam sempena Israk Mikraj
Januari 18, 2026, Ahad - 4:13pm

Dua ahli panel terdiri daripada Ustaz Muhammad dan Ustaz Amir (kanan) bersama moderatornya Ustaz Saimon (kiri) yang membicarakan perjalanan Rasulullah SAW dalam peristiwa Israk Mikraj.
BINTULU: Masyarakat Islam setempat menghadiri majlis ilmu Forum Perdana Hal Ehwal Islam sempena sambutan Israk Mikraj 1447 Hijrah/2026 Peringkat Bahagian Bintulu di Surau Darussyakirin, Kampung Assyakirin Bintulu malam Sabtu.
Forum yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee itu, menyaksikan dua ahli panel forum terdiri daripada Ustaz Muhammad Yansari Yusof dan Ustaz Amir Adili Mohd Noor bersama moderatornya Ustaz Saimon Kila@Nuur Huzaifah Zainun mengupas tajuk Perjalanan Agung Rasulullah SAW.
Program tersebut merupakan anjuran Bintulu Port Holdings Bhd (BPHB) melalui Jawatankuasa Kebajikan Islam (JKI) Bintulu Port.
Iskandar berkata, forum yang diadakan penuh dengan pengisian rohani yang memberi peluang kepada masyarakat Islam menghayati peristiwa agung Israk dan Mikraj Rasulullah SAW sambil memperkukuhkan keimanan serta mengingatkan kepentingan solat sebagai tiang agama.
"Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur serta semua yang terlibat dalam menjayakan forum ini," katanya.
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|

Iskandar (empat kiri) bersama masyarakat Islam setempat yang menghadiri forum hal ehwal Islam.
Beliau berkata, program tersebut akan dapat diteruskan dalam memperkukuhkan nilai kerohanian serta perpaduan dalam kalangan masyarakat, terus istiqamah memperbaiki diri dan amalan seharian.
Peristiwa Israk Mikraj merupakan bukti kekuasaan Allah berkaitan perjalanan Rasulullah dari langit pertama hingga ke langit ketujuh untuk bertemu dengan-Nya dalam masa yang singkat.
Berdasarkan ayat al-Quran surah Al-Israk ayat 1 yang bermaksud, 'Maha Suci Allah yang memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang kami berkati di sekelilingnya supaya kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) kami. Sesungguhnya Dia adalah maha mendengar lagi maha melihat’.
Ia merupakan peristiwa mengenai perjalanan roh dan jasad Rasulullah ke langit secara nyata yang bukan hanya roh atau mimpi.
Peristiwa itu berlaku setahun sebelum Rasulullah berhijrah ke Madinah pada 721 Masihi ketika baginda dan sahabat berada dalam tekanan kuat daripada golongan Musyrikin Mekah seperti Abu Jahal dan Abu Lahab. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|

Iskandar (berdiri tengah) bersama pihak penganjur, ahli panel forum dan masyarakat Islam setempat merakam kenangan selepas berakhirnya program forum di Surau Darussyakirin.
Sebelum Israk dan Mikraj, Rasulullah menjalani pembedahan dada yang dilakukan malaikat Jibril dan Mikail yang mana hati Rasulullah dicuci dengan air zam zam, dibuang ketul hitam (alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was-was.
Bermulanya perjalanan luar biasa Israk Mikraj Rasulullah dengan menunggang binatang yang bernama Buraq selepas selesainya pembedahan itu dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa diiringi malaikat Jibril dan Israfil.
Semasa tiba di tempat mulia dan bersejarah, malaikat Jibril mengarahkan Rasulullah bersolat dua rakaat antaranya di Thaibah (Madinah) iaitu tempat Rasulullah melakukan hijrah, Bukit Tursina dan Baitul Laham iaitu tempat Nabi Isa dilahirkan.
Setibanya di Masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq memasuki masjid itu dengan mengimamkan seluruh nabi dan rasul untuk solat dua rakaat.
Baginda naik ke langit sampai ke Sidratul Muntaha seterusnya Mustawa sehingga sampai di bawah Arasy Allah melalui tujuh lapisan langit.
Selepas itu, Rasulullah turun ke langit dunia semula seterusnya ke Baitul Maqdis dengan menunggang Buraq dan pulang ke Mekah pada malam yang sama.
Diceritakan kecepatan Buraq membolehkan Rasulullah pergi antara dua tempat hanya dengan sekelip mata.
Hadis Rasulullah yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik katanya, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Aku didatangi buraq. Iaitu seekor binatang yang putih rupanya, panjang (tinggi) lebih besar daripada keldai tetapi lebih kecil daripada baghal. Ia merendahkan tubuhnya hinggalah perut buraq mencecah bumi".
Sabda baginda lagi: "Tanpa membuang masa, aku terus menungganginya, kakinya melangkah cepat sejauh penghabisan mata memandang hinggalah sampai ke Baitul Maqdis."
Kaum kafir Quraisy Mekah pada zaman nabi langsung tidak mempercayai peristiwa itu bahkan memperlekehkannya selepas baginda bercerita peristiwa itu berlaku dalam tempoh masa yang singkat dan tidak masuk akal.
Hanya segelintir umat Islam yang mempunyai keimanan tinggi membenarkan serta mempercayai peristiwa yang dialami baginda itu ketika baginda nabi berada di puncak kesedihan yang memerlukan sokongan dalaman.
Berdasarkan catatan sejarah, Nabi Muhammad SAW menghadapi dua musibah iaitu kehilangan dua insan yang amat berjasa dan sangat baginda kasihi iaitu wafatnya isteri tercinta, Siti Khadijah serta bapa saudaranya Abu Talib sehingga tahun itu dinamakan sebagai 'Aam al Huzni' atau tahun berdukacita.
Justeru, umat Islam perlu meyakini peristiwa Israk Mikraj yang sudah dinyatakan Allah dalam kitab suci al-Quran tanpa keraguan yang mana Rasulullah diperlihatkan segala-galanya dalam peristiwa Israk Mikraj itu.
Peristiwa itu juga membawa misi penting untuk umat Islam iaitu bermulanya kewajipan melaksanakan perintah secara langsung daripada Allah SWT tanpa melalui perantaraan malaikat Jibril oleh baginda nabi tentang menunaikan solat lima waktu.
Solat adalah amalan yang paling awal dihitung di akhirat kelak sekali gus memperlihatkan solat memiliki kelebihan berbanding ibadat lain bahkan merupakan tiang agama.
Daripada Ibnu Umar RA, beliau berkata bahawa telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu bertanya apakah perkara yang paling disukai oleh Allah SWT di dalam Islam? Nabi SAW bersabda: "Solat pada waktunya, barang siapa yang meninggalkan solat maka tiadalah agama baginya dan solat itu merupakan tiang agama." [Riwayat al-Baihaqi (2550) dalam al-Syu'ab]
Dalam pada itu, semasa peristiwa Israk Mikraj, baginda nabi sebelum itu diperintah Allah SWT berkaitan penetapan solat fardu 50 kali sehari dan kemudian diringankan kepada lima kali sehari semalam namun dalam penilaian sebenar, Allah tetap memberi ganjaran pahala sama seperti solat fardu 50 kali sehari tersebut.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: "(Selain daripada apa yang aku saksikan ketika aku dibawa Israk dan Mikraj pada malam itu), maka Allah fardukan (atasku) dan atas umatku 50 rakaat sembahyang, lalu aku memohon kepada-Nya (supaya dikurangkan lagi bilangan sembahyang itu yang sudah pun dikurangkan hingga tinggal lima saja); maka Allah berfirman yang bermaksud: "Sembahyang fardu (sehari semalam) itu tetap lima (dari segi bilangannya) dan ia juga tetap 50 (dari segi pahalanya); keputusan-Ku itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti." (Hadis riwayat Bukhari)
Pengajaran lain yang dapat diambil daripada peristiwa Israk Mikraj ialah seluruh umat Islam bertanggungjawab membebaskan dan memelihara kesucian Masjid Al-Aqsa yang merupakan lambang kebesaran serta tempat suci umat Islam.
Mereka perlu berkorban dengan keyakinan terhadap kekuasaan Allah dan kebenaran kenabian Muhammad SAW.
Pada masa sama dalam pengembaraan luar biasa itu, Rasulullah menyaksikan banyak perkara dahsyat terutama balasan dan seksaan yang diterima manusia kerana melakukan kemungkaran di dunia serta menyaksikan pelbagai perkara yang luar biasa.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Projek jalan raya pacu akses, tarikan pelancongan Kampung Sadir
Januari 18, 2026, Ahad - 4:52pm

Dr Jerip (tengah) ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pesta Makan Durian Kampung Sadir Siri Ke-3 semalam.
PADAWAN: Pembinaan dan penambahbaikan rangkaian perhubungan darat yang bakal menghubungkan kawasan Tebedu menerusi Jalan Temong-Tepoi-Sadir-Sibakar dijangka menjadi pemangkin utama kepada pembangunan ekonomi serta pelancongan luar bandar ke kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil berkata dengan siapnya laluan itu kelak, akan membuka akses yang lebih lancar untuk menarik kehadiran pengunjung dari kawasan bandar ke Kampung Sadir dan sekitarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong menegaskan bahawa pembangunan jalan raya adalah elemen penting bagi memastikan kelestarian usaha promosi pelancongan dan hasil pertanian di kawasan tersebut.
“Apabila jalan dari Tebedu, menerusi Temong-Tepoi-Sadir hingga ke Sibakar siap sepenuhnya, saya yakin kawasan ini akan dipenuhi pengunjung. Ini adalah permulaan untuk mendedahkan Kampung Sadir kepada orang awam,” katanya ketika ditemui pemberita pada Pesta Makan Durian Kampung Sadir Siri Ke-3, semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata pembinaan jalan tersebut dilaksanakan secara berfasa, dengan fasa pertama melibatkan laluan dari Temong ke separuh jalan ke Sibakar sejauh kira-kira lima kilometer manakala baki laluan sejauh kira-kira empat kilometer menuju ke Kampung Sadir.
“Fasa kedua pula akan dilaksanakan bergantung kepada peruntukan dan penilaian Jabatan Kerja Raya (JKR) serta kelulusan kerajaan negeri,” jelasnya.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa projek Jalan Biya Jaber telah ditender dengan kos RM24 juta di bawah peruntukan kerajaan persekutuan.
Sementara, Projek Jalan Sapit pula dilaksanakan di bawah Agensi Pembangunan Bersepadu Kuching Raya (GKCDA) juga dengan nilai tender RM20 juta.
Menurutnya lagi, keseluruhan pembangunan infrastruktur jalan tersebut bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk malah berperanan besar dalam merancakkan sektor pelancongan, pertanian dan ekonomi komuniti luar bandar secara menyeluruh.
Menyentuh tentang penganjuran pesta berkenaan yang dimulakan sejak tiga tahun lalu, beliau berkata ia adalah hasil daripada keyakinannya terhadap kualiti durian Kampung Sadir yang disifatkan antara yang terbaik di kawasan Padawan.
“Saya sendiri telah menghantar sampel durian kepada Jabatan Pertanian dan rakan-rakan, dan maklum balas yang diterima amat memberangsangkan.
“Setiap tahun kampung ini menghasilkan durian dalam jumlah yang banyak,” katanya.
Tambah beliau, sebelum ini penduduk sering berdepan kesukaran memasarkan durian ke kawasan bandar disebabkan faktor jarak dan logistik, khususnya apabila hasil terlalu banyak.
“Jadi kita ambil pendekatan membawa orang bandar datang terus ke sini untuk makan dan membeli durian.
“Cara ini bukan sahaja membantu penduduk, malah memperkenalkan kawasan ini kepada orang luar,” jelasnya.
Dr Jerip turut berharap pada masa akan datang penduduk dapat membuka gerai jualan beberapa hari lebih awal sebelum pesta durian diadakan bagi memenuhi permintaan pengunjung dari bandar.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kampung Sadir, sekitarnya kaya tarikan pelancongan
Januari 18, 2026, Ahad - 4:54pm
Terima RM50,000 untuk bangun sektor pelancongan termasuk penganjuran pesta, program, aktiviti berkaitan

Dr Jerip (kiri) menunjukkan buah durian yang berkualiti tinggi hasil dari tanah asli Kampung Sadir yang jarang ditemui di mana-mana di Pesta Makan Durian Kampung Sadir Siri Ke-3 di Padawan, semalam.
KUCHING: Kampung Sadir menerima peruntukan sebanyak RM50,000 sebagai sokongan kepada pembangunan sektor pelancongan termasuk penganjuran pesta serta pelaksanaan program dan aktiviti yang berkaitan pada masa depan.
Demikian kata Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong Datuk Dr Jerip Susil yang turut ditemani isteri, Datin Lee Chai Fong di sini, semalam.
“Kampung Sadir dan kampung-kampung di sekitarnya mempunyai pelbagai tarikan pelancongan termasuk air terjun, kepelbagaian flora dan fauna, gua semula jadi serta budaya hospitaliti masyarakat setempat yang sesuai diketengahkan sebagai produk pelancongan komuniti.
“Inisiatif ini selari dengan usaha memperkukuhkan ekonomi luar bandar melalui penglibatan langsung penduduk kampung dalam aktiviti pelancongan dan keusahawanan setempat,” katanya ketika berucap pada Pesta Makan Durian Kampung Sadir Siri Ke-3 di Padawan.
Peruntukan tersebut ujarnya, diharap dapat membantu meningkatkan pendapatan penduduk setempat serta merancakkan aktiviti ekonomi bermusim, khususnya melalui jualan durian tempatan dan produk pelancongan komuniti.
Selain itu, aspek prasarana turut diberi perhatian meliputi keperluan penambahbaikan kemudahan dewan serba guna, kawasan parkir serta infrastruktur sokongan lain seiring dengan perkembangan Kampung Sadir sebagai lokasi tumpuan pengunjung kelak.
Dari segi jaringan perhubungan, pembinaan dan penambahbaikan laluan jalan raya yang menghubungkan kawasan sekitar dijangka dapat memendekkan masa perjalanan serta memudahkan akses ke kampung berkenaan.
Semalam, Pesta Makan Durian Kampung Sadir, Padawan Tahun 2026 berlangsung dengan meriah apabila berjaya menghimpunkan penduduk setempat serta pengunjung dari luar kawasan menyerlahkan potensi Kampung Sadir sebagai destinasi pelancongan luar bandar yang berdaya saing.
Pesta Makan Durian Kampung Sadir 2026 turut dimeriahkan dengan penyertaan penduduk dari kampung-kampung sekitar serta pengunjung luar yang berpeluang menikmati lebih 2,000 biji durian tempatan yang disediakan untuk orang ramai.
Pada masa yang sama, diharap menerusi penganjuran pesta sedemikian berupaya untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan memperkukuhkan semangat perpaduan komuniti setempat.
Sebelum ini, penganjuran Pesta Makan Durian Kampung Sadir telah mula diperkenalkan pada tahun 2023, mencerminkan komitmen berterusan semua pihak dalam memperkasakan pembangunan luar bandar secara inklusif, mampan dan berasaskan kekuatan komuniti tempatan.
“Penganjuran pesta ini bukan sahaja bertujuan mempromosikan durian tempatan yang terkenal dengan keunikan rasa dan kualitinya.
“Malah menjadi platform untuk memperkenalkan Kampung Sadir serta kawasan sekitarnya sebagai kawasan berpotensi tinggi dalam pembangunan pelancongan berasaskan alam semula jadi,” jelasnya.
Turut hadir sama adalah ketua-ketua jabatan, pemimpin masyarakat, ketua-ketua kaum, wakil agensi kerajaan serta penduduk kampung sekitar.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tiang berharap projek pembangunan semula Bukit Assek dapat dilaksanakan tahun ini
Januari 18, 2026, Ahad - 4:59pm

Tiang (kanan) menyempurnakan Upacara Menitik Mata Singa (Lion Eye-Dotting) di Tokong Datuk Kong hari ini.
SIBU: Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang berharap projek pembangunan semula Bukit Assek yang melibatkan kawasan seluas 800 ekar dapat dilaksanakan dengan jayanya pada tahun ini.
Beliau berkata, projek berkenaan yang telah melalui tempoh kajian, tinjauan dan perancangan selama empat tahun dianggap sebagai antara “anugerah” terbesar daripada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kepada rakyat Sibu.
“Selepas empat tahun kajian, tinjauan dan perancangan, saya berharap pada tahun 2026 projek ini akhirnya dapat dilancarkan dan beberapa fasa pembangunannya dapat dimulakan bagi menyambut tahun baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian dan Upacara Menitik Mata Singa (Lion Eye-Dotting) di Tokong Datuk Kong di sini, hari ini.
Tiang turut menyatakan keyakinan bahawa tahun 2026, yang juga merupakan Tahun Kuda mengikut kalendar lunar, mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan berterusan Sarawak berteraskan nilai ketahanan, perpaduan dan kemakmuran bersama.
“Semoga kemakmuran ini dapat dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang etnik atau agama, agar kita terus hidup dalam suasana harmoni dan bersatu padu demi membina Sarawak yang lebih kuat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai projek naik taraf infrastruktur di kawasan Pelawan yang kini menunjukkan perkembangan memberangsangkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu berkata projek naik taraf Jalan Ling Kai Cheng dijangka siap menjelang akhir bulan ini manakala projek Jalan Ulu Sungai Merah pula akan siap sepenuhnya pada awal Mei.
“Namun, saya ingin memberi jaminan kepada semua penduduk dan pengguna jalan raya bahawa tahun ini merupakan tahun terakhir mereka akan mengalami kesulitan sedemikian di Jalan Ulu Sungai Merah.
“Selepas bulan Mei, jalan ini akan memasuki fasa baharu dengan naik taraf kepada jalan berkembar. Saya berbesar hati untuk melaporkan bahawa projek ini berjalan lancar dan mengikut jadual,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Mangsa banjir Kampung Segan Muslim terima sumbangan bakul makanan
Januari 18, 2026, Ahad - 5:38pm

Iskandar menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Segan Muslim hari ini.
BINTULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee bertindak menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada mangsa terjejas banjir di Kampung Segan Muslim di sini hari ini.
Menurutnya, sumbangan yang diserahkan beliau dan ahli pusat khidmatnya itu bertujuan meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh mangsa yang ditimpa musibah banjir kilat berkenaan pada Khamis lalu.
"Inisiatif ini sememangnya bertujuan meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh penduduk kampung akibat musibah yang melanda dan terkesan secara langsung akibat banjir," jelasnya.
Apa yang penting ujarnya, bantuan itu akan membantu penduduk terjejas memenuhi keperluan asas harian yang turut musnah ekoran banjir yang melanda.
Iskandar berharap agar bantuan itu sedikit sebanyak dapat membantu serta memberi sokongan moral kepada keluarga yang terlibat.
"Pada masa sama saya menzahirkan rasa penghargaan serta terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan usaha kebajikan ini di seluruh Bintulu khususnya dalam daerah Sebauh yang terjejas teruk dalam banjir kali ini," tambah beliau.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Banjir: Penduduk hilang dokumen perlu lapor, dapatkan pengesahan pihak berkuasa berkaitan
Januari 18, 2026, Ahad - 5:52pm

Iskandar (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada penduduk Kampung Kuala Segan sambil disaksi Maslihah (kanan) dan Penghulu Idil (kiri).
BINTULU: Penduduk yang hilang dokumen penting antaranya sijil kelahiran, dokumen persekolahan dan sebagainya semasa musibah banjir perlu melapor dan mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa berkaitan bagi memudahkan urusan penggantian dokumen baharu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee berkata, tindakan awal melaporkan kehilangan dokumen berkaitan amat penting bagi memastikan urusan berkaitan terutama persekolahan anak-anak tidak bermasalah manakala bantuan serta kebajikan penduduk dapat disalur dengan lebih baik.
Katanya, penduduk yang memerlukan bantuan pengesahan dokumen berkaitan boleh merujuk kepada ketua masyarakat di kawasan masing-masing dan untuk kawasan Jepak boleh mendapatkan pengesahannya daripada Penghulu Idil Ismail.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan sumbangan bantuan barang makanan secara serentak daripada Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) dan Pusat Khidmat Rakyat N67 Jepak di Kampung Kuala Segan dan petempatan di kawasan Ulu Sebauh pada Jumaat lepas.
Pada masa sama Iskandar berkata, Jabatan Pendidikan dan Yayasan Sarawak juga akan turut membantu anak-anak pelajar yang terjejas akibat banjir.
Dengan sumbangan yang disalurkan itu katanya, ia diharap dapat meringankan beban dan memberi sedikit kelegaan kepada mangsa-mangsa banjir yang terlibat serta berharap penduduk sentiasa menjaga keselamatan diri serta keluarga dalam menghadapi musibah yang melanda.
Terdahulu menurut BPHB, sumbangan disalurkan oleh BPHB itu adalah untuk 48 orang penerima dari Kampung Kuala Segan.
Katanya, sumbangan itu sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat terhadap komuniti setempat yang terjejas akibat bencana banjir.
Penyampaian sumbangan itu turut dihadiri Pengurus Besar Perhubungan Pihak Berkepentingan Kumpulan BPHB merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bintulu Port Maslihah Tioh yang mewakili Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB Dato Ruslan Abdul Ghani.
BPHB menambah pihaknya berharap sumbangan bantuan tersebut dapat meringankan beban mangsa banjir serta membantu mereka dalam proses pemulihan dalam meneruskan kehidupan seharian selepas bencana.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Wanita warga emas dilapor hilang sejak 13 Jan ditemui selamat
Januari 18, 2026, Ahad - 6:43pm
PAKAN: Seorang wanita warga emas dan juga merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) yang dilaporkan hilang sejak 13 Januari lepas di Pakan, telah ditemui selamat hari ini.
Ketua Polis Daerah Julau DSP Alif Haiqal Ramesh Abdullah berkata, wanita tersebut telah ditemui oleh pasukan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa (SAR) pada jam 10.15 pagi.
“Mangsa, Seriah Luyoh, 68 tahun telah ditemui pada jarak 1.3 kilometer di kawasan hutan berhampiran kebun sawit di bahagian belakang rumah panjang Rumah Ajai Sandin Berasok, Pakan.
“Ketika ditemui, mangsa berada dalam keadaan lemah dan hanya mengalami cedera ringan sahaja.
“Sejurus ditemui, mangsa telah dibawa keluar dari hutan dan dihantar ke Klinik Kesihatan Pakan untuk rawatan pada jam 11.30 pagi,” katanya kepada media hari ini.
Dalam kejadian tersebut, mangsa telah dilaporkan keluar ke kawasan hutan berhampiran untuk mencari sayur.
Namun hingga lewat petang pada hari kehilangannya, mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah.
Risau dengan keselamatannya, ahli keluarga mangsa telah bertindak menghubungi pihak polis dan memohon bantuan untuk mencari mangsa.
Berikutan itu kata Alif, operasi SAR hari pertama telah dilancarkan bermula pada 14 Januari dan memasuki hari kelima semalam.
“Dengan penemuan tersebut, operasi SAR mencari mangsa hilang berkenaan telah ditamatkan pada jam 11.45 pagi hari ini,” katanya lagi.
Selain polis, operasi itu turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysa dan penduduk rumah panjang.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lima warga asing ditahan dalam Ops Sapu di Lawas
Januari 18, 2026, Ahad - 6:50pm
MIRI: Seramai lima lelaki warga asing ditahan dalam Ops Sapu yang dilancarkan oleh pasukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Lawas di sebuah rumah kongsi tidak bernombor di Kampung Long Sebangang Asal, di Lawas, lewat malam Khamis.
Operasi yang dijalankan sekitar jam 11.30 malam pada 15 Januari 2026 itu dilakukan hasil maklumat serta aduan awam berhubung kehadiran warga asing yang disyaki melanggar peruntukan undang-undang imigresen.
JIM Sarawak dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebook rasminya, mendedahkan operasi berkenaan dilaksanakan oleh sepasukan pegawai penguat kuasa sebagai tindakan segera bagi membendung isu kemasukan dan keberadaan warga asing tanpa dokumen sah di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati seramai lima lelaki warga asing berada di premis tersebut. Siasatan lanjut mendapati kesemua individu terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002),” demikian menurut kenyataan tersebut.
Kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut serta tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
JIM Lawas turut menegaskan komitmen jabatan itu untuk terus memperhebatkan penguatkuasaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen sentiasa dipatuhi.
Pada masa sama, orang awam digesa agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan melibatkan warga asing tanpa izin, demi menjamin keselamatan, kedaulatan negara serta kesejahteraan masyarakat setempat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|