|
Utusan Malaysia Online Dalam Negeri |
Rakyat terus menziarahi
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]
Link to original article
JOHOR BAHRU 24 Jan. - Makam Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah di sini terus dikunjungi kerabat diraja dan rakyat pelbagai kaum hari ini.
Sultanah Zanariah bersama kerabat diraja Johor serta kerabat diraja Kelantan dilihat berangkat menziarahi makam Almarhum kira-kira pukul 8.30 pagi.
Cucuanda almarhum, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim kemudian tiba di makam berkenaan kira-kira sejam kemudian.
Tunku Abdul Jalil merupakan anakanda Sultan Johor yang baru, tidak menyertai upacara pemakaman almarhum Sultan Iskandar petang semalam kerana berada di luar negara.
Pada sebelah petang, Sultanah Zanariah bersama kerabat diraja Johor sekali lagi berangkat ke makam berkenaan bersama kerabat diraja Negeri Sembilan, Tuanku Najihah Tunku Besar Burhanuddin untuk membacakan surah Yassin.
Sultan Iskandar, 77, mangkat pukul 7.15 malam kelmarin di Hospital Pakar Puteri dan jenazah Almarhum selamat disemadikan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah pukul 4.10 petang semalam.
Ketua Makam Diraja, Masri Sapuan berkata, orang ramai pelbagai kaum dan agama tidak putus-putus menziarahi makam Almarhum sejak petang semalam hingga hari ini.
Menurutnya, selepas majlis pemakaman selesai petang semalam, orang ramai tidak putus-putus menziarahi makam berkenaan sehingga lewat malam.
"Para pelajar Kolej Pengajian Islam Johor turut membacakan ayat-ayat suci al-Quran secara bergilir-gilir sepanjang tempoh berkabung sehingga Khamis ini," katanya.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar kawasan makam mendapati, pelbagai pihak termasuk daripada pejabat Konsulat Jenderal Republik Indonesia turut meletakkan jambangan bunga di makam berkenaan.
Sementara itu, seorang kakitangan swasta, Eddil Azami Muhammad Adrus, 32, memberitahu, dia memang berhasrat untuk menziarahi makam Almarhum Sultan Iskandar hari ini selepas menonton majlis pemakaman menerusi televisyen semalam.
"Hati saya terdetik untuk datang sendiri untuk bersedekah Al-Fatihah kepada Almarhum tuanku selepas menonton televisyen semalam. Selain itu, anak-anak dan isteri juga mengajak saya ke makam hari ini," katanya.
Seorang kakitangan kerajaan, Nor Azam Mohd. Yasak, 36, bersama isterinya sanggup datang dari Kota Tinggi semata-mata untuk menziarahi makam Almarhum.
"Hati saya menjadi sayu apabila melihat majlis pemakaman tersebut dan saya berdoa agar roh Almarhum dicucuri rahmat," katanya.
|
|
|