|
Reds pasti bangkit: Carragher.
LIVERPOOL: Pemain pertahanan Liverpool, Jamie Carragher percaya pasukannya mampu bangkit dari permulaan yang buruk musim ini selagi mereka masih bersatu sebagai sebuah pasukan.
Pasukan Reds kini nyaris kehilangan peluang untuk memberi saingan sebagai pencabar gelaran Liga Perdana Inggeris selepas kekalahan 1-0 kepada Sunderland, kelmarin menyebabkan mereka ketinggalan tujuh mata berbanding pendahulu, Manchester United.
Tewas akibat jaringan pelik Darren Bent yang menyaksikan bola melantun melepasi penjaga gol, Jose Reina selepas terkena bola pantai yang dilontarkan ke padang oleh penyokong Liverpool menambah aib buat kelab yang kian berdepan krisis.
Pasukan Rafa Benitez tewas empat kali dalam perlawanan liga musim ini, dua kali lebih banyak berbanding musim lalu dan berdepan minggu getir selepas tiga kekalahan berturut-turut dalam semua kejohanan.
Liverpool akan berdepan , Lyon dalam Liga Juara-Juara di Anfield esok sebelum musuh ketat, United berkunjung ke Merseyside, Ahad depan. - AFP |
|