“Apa maksud Atira?” Salbiah pantas menoleh, memandang gadis itu.
“Dah lama Tira simpan rahsia ni. Tapi tulah, kalau buka cerita macam Tira ni buka aib arwah Abang Zakri pula. Tapi Tira kena cakap juga. Biarlah, harap-harap, ni kali terakhir Tira cakap perkara ni sebab akak dan Abang Wafiq perlu tahu perkara sebenar. Biarlah semuanya habis kat sini aje. Janji dengan Tira ya, Kak Sal, Abang Wafiq,” silih berganti pandangannya antara Salbiah dengan Wafiq Zainal.
“Apa dia Tira?’ Wafiq Zainal menyoal. Debar di hati kian rancak.
“Arwah Abang Zakri simpan gambar Kak Mira yang... Tira nak cakap pun malu. Dia guna gambar-gambar tu, ugut arwah ayah dan Kak Mira. Sebab tulah kami tak boleh buat apa-apa. Bagi aje apa yang Abang Zakri minta. Kak Mira memang tertekan. Dia takut sangat kalau gambar dia tu tersebar. Sebab tulah dia tahan aje apa yang arwah Abang Zakri buat. Tira cuba nak tolong tapi memang tak mampu. Bila dah jadi macam ni, Tira bersumpah, akan jaga Kak Mira sampai akhir hayat. Biarlah, kalau Tira tak kahwin pun Tira rela asalkan Tira dapat berbakti pada akak.”
Salbiah merapati katil Amira. Berdiri di sisi wanita malang itu, sekali lagi menumpahkan air matanya. Tangan Amira diangkat. Jari-jemari Amira yang kian meruncing, digenggam dan kini dibawa tangan itu ke pipinya. Salbiah mengusap kepala Amira dengan lembut.
“Mira. Kenapa kau tak pernah cerita pada aku pasal semua tu? Kenapa kau biarkan aje diri kau ditindas? Sampai hati kau Mira, pinggirkan aku. Kau pendam masalah kau sendiri. Mira... aku rindukan kau,” bisik Salbiah dengan sebak.
Sekujur tubuh yang kian mersik tubuh dari ke hari, wajah pula semakin lama semakin cengkung, ditatap Salbiah. Mata Amira terbuka luas namun anak mata tidak bergerak. Salbiah memejamkan mata, semakin galak air matanya turun. Saban minggu hingga melajak ke tahun, Amira masih begitu. Kesabarannya yang mahu melihat Amira pulih kian menipis namun semangat yang semakin dijana menjadi kuat. Doa, Salbiah tidak akan berhenti berdoa untuk kesejahteraan Amira.
Last edited by wipers81 on 6-11-2014 09:35 PM
|