siyesly ameng muncul kt kilauan emas semalam? memang sebak suasana ek?
iols bukan la peminat ameng pun, tapi tgk gambo dibawah tu macam sian pulak 
Kemunculan Ameng Di Konsert KE 5 Buat Penonton Sebak

Kemunculan vokalis kumpulan Spring, Ameng ketika siaran langsung program Kilauan Emas 5 pada malam tadi (Rabu) menyebabkan para penonton di dewan sebak.
Suasana di Dewan Konvensyen CIDB , Cheras bertukar sunyi dan sayu ketika lagu Romantis didendang Ameng.
Malah, orang ramai di dalam dewan mula terpinga-pinga mencari arah suara penyanyi tersebut, termasuklah isteri Ameng, Sabariah Zakariah.
Sebaik sahaja Ameng muncul di pentas, para penonton mula bertepuk tangan dan berdiri memberikan penghormatan kepadanya.
Ada di antara hadirin gagal mengawal emosi sehingga sedu-sedan mula kedengaran sepanjang Ameng menyanyikan lagu ciptaan Allahyarham Mama Juwie dengan penuh penghayatan.
Lebih menjentik perasaan apabila kamera terarah kepada isteri dan anaknya Wan Ahmad Haizal, 8, yang turut berdiri sepanjang nyanyian.
Pengacara program, Raja Azura juga dilihat turut mengawal emosinya namun gagal untuk menyembunyikan perasaan sebaknya (getaran pada nada suara) selepas Ameng selesai membuat persembahan.
Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail sedang menjalani hukuman di penjara Kluang selepas Mahkamah Sesyen Melaka menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dengan 10 sebatan pada 2011, kerana kesalahan dadah.
Dalam pada itu Ketua Program Realiti & Format Astro, Namanzee Harris berkata pihak Astro sangat berbesar hati kerana dapat membawa Ameng ke pentas Kilauan Emas 5.
“Bukan mudah untuk mendapatkan Ameng kerana banyak prosedur yang harus dipatuhi. Kami meminta Ameng menyanyikan dua buah lagu, namun pihak penjara hanya membenarkan satu sahaja.
“Bagaimanapun, kami akur dengan permintaan tersebut dan berterima kasih kepada Jabatan Penjara Malaysia kerana turut membenarkan Ameng bertemu ahli keluarganya, walaupun seketika,” katanya kepada Astro Gempak.
Menurut Namanzee, perancangan untuk membawa Ameng ke program realiti tersebut bermula sejak kilauan emas musim keempat.
“Sebenarnya kami mahu bawa Ameng pada Kilauan Emas musim lalu, tetapi di atas sebab-sebab tertentu dan prosedur, kami hanya dapat Ameng pada musim ini,” jelasnya.
Namanzee ditemui selepas konsert minggu ketiga KE 5 di Dewan Konvensyen CIDB, Cheras pada malam Rabu.
Siaran langsung konsert Kilauan Emas 5 boleh disaksikan menerusi Astro Prima (saluran 105) dan Maya HD (saluran 135), pada setiap Rabu, bermula jam 9 malam.
|