“Amira, kemalangan dua tahun lepas Fiq. Sejak dari saat tu, dia koma. Amira cedera teruk kat kepala. Doktor kata, harapan untuk dia pulih tipis. Selama tu jugalah hidup dia bergantung pada semua ni,” ujar Salbiah sambil tangan menghala ke arah deretan mesin di sebelah katil yang menempatkan Amira.
“Kalau dah dua tahun semua ni terjadi, enam tahun sebelum tu, macam mana hidup Amira? Masa tu, dia bahagia ke Sal?” Wafiq Zainal semakin sebal. Soalan yang masih belum berjawapan sebaik melihat Salbiah yang menangis tersedu-sedan, memaksanya berfikir, betapa seksa hidup Amira selepas pemergiannya.
“Lepas awak tinggalkan Amira...”
“Kejap, saya tinggalkan Amira? Awak cakap apa ni Sal?” Wafiq Zainal terpaksa mencelah. Mengapa Salbiah berfikir begitu?
“Mula-mula saya ingat awak, yang minta putus. Pergi tinggalkan dia macam tu aje lepas tahu dia mengandung...”
“Apa, mengandung! Awak biar betul Sal?” Wafiq Zainal bereaksi terkejut terus bangun dari kerusi. Apa yang keluar dari mulut Salbiah, bagaikan sebutir peluru yang baru dilepas dari selaras senapang. Hampir meletup di jantung mendengar semua itu.
“Ya Fiq, Amira mengandung masa tu. Memang saya salahkan awak sebab saya ingat awak lari dari tanggungjawab. Lepas dua bulan awak pergi, barulah Amira cerita pada saya perkara sebenar. Bukan anak awak Fiq,”
“Habis anak siapa? Anak siapa Sal? Tergamak Amira curang pada saya,” Wafiq Zainal berkata melulu. Hatinya, tiba-tiba membahang.
“Kak Mira tak curang abang Wafiq. Jangan tuduh dia macam tu. Dia...” Atira gagal meneruskan kata-kata. Dia sebak hingga kelu lidahnya. Tidak mahu lelaki itu menyalahkan kakaknya yang sekarang ini telah lemah, tidak berdaya mempertahankan diri. Atira, ‘menyandar’ harapan ke atas Salbiah. Semoga wanita itu dapat membela kakaknya.
“Amira, kena rogol dengan sepupu dia Fiq,” Salbiah terhenti di situ. Lambat-lambat Salbiah menuturkannya setelah dapat mengumpul kekuatan untuk menyambung kata. Sekilas dia memandang Amira dengan linangan air mata.
Wafiq Zainal beristighfar. Terhenyak tubuh di atas kerusi itu semula. Kebenaran yang sepatutnya menjadi halwa di telinga bertukar menjadi jadam. Dari telinga langsung ke tekak, kepahitan begitu dirasai dengan pekat. Langsung tidak tertelan olehnya semua itu.
Last edited by wipers81 on 4-11-2014 03:12 PM
|