|
kt utusan semalam ada cerita pasal anne, pastu ada gambar terbaru baby anne yg perempuan tu..
Perceraian ada hikmah
Oleh KHADIJAH IBRAHIM
khadijah.ibrahim@utusan.com.my
Gambar AMIN FARIJ HASAN
Pakaian kanak-kanak Gingersnap
Abdul Warits (kiri), Abdul Wafri berebut untuk bersalam dengan Anne yang sedang memangku Nazhakah Afroza.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------
MESKIPUN Anne atau Nasriah Ngasri, 26, mempunyai sosok tubuh yang kecil namun secara zahir, dia merupakan seorang yang berjiwa besar dalam menempuh kehidupan ini.
Ketabahan dan kegigihan itu dapat dilihat dalam usahanya untuk membesarkan tiga orang cahaya mata, Abdul Warits Abdul Wafi, 5, Abdul Wafri, 3, dan Nazhakah Afroza, 10 bulan.
Kata Anne, sejak bercerai talak tiga dengan bekas suaminya, Abdul Wafi Hassan, 29, pada 25 Jun 2010, dia perlu menjadi ketua keluarga.
Anne yang menyambut raya kali kedua tanpa suami di sisi berkata, sejak bergelar ibu tunggal, dia lebih mengutamakan keperluan anak-anak berbanding kepentingan sendiri.
“Bagi Anne tidak ada bezanya beraya bersama suami atau tidak. Tahun ini tidaklah sedih seperti dulu, sebab ini tahun kedua Anne beraya tanpa suami.
“Ada seronoknya juga sebab ini kali pertama Anne, Warits dan Wafri beraya dengan Afroza. Sebab itulah, apa-apa hal pun Anne lebih utamakan anak-anak,” katanya tersenyum.
Tambahnya, walaupun sudah bercerai namun hubungan bekas suami dengan anak-anak tidak pernah putus dan Wafi boleh bertemu dengan anak-anak pada bila-bila masa.
Lantaran persefahaman itulah, anak-anak tidak pernah merasai yang mereka kehilangan seorang ayah.
Menurut Anne, apa yang berlaku ke atasnya bukanlah musibah tetapi lebih kepada hikmah kerana ramai yang memberi sokongan kepadanya.
“Walaupun hidup sendirian, Anne tidak pernah rasa sunyi. Tengoklah (rujuk gelagat anak-anak), masa bila nak sedih-sedih. Kalau setengah jam mereka boleh duduk diam, itu sudah kira baik.
“Anak-anak adalah penyeri hidup Anne dan mereka adalah keutamaan dalam apa juga yang Anne lakukan,” jelasnya yang beraya dengan kedua ibu bapanya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
Katanya, selepas beraya di Kuala Lumpur, ahli keluarganya akan berangkat ke Johor untuk beraya dengan sanak saudara di sana.
Menurut Anne, setiap kali mengenangkan masa depan anak-anak itu yang membuatkan dia bersemangat untuk bekerja keras tanpa mengira waktu.
Dalam waktu yang sama kata Anne, rezeki berlakon datang tidak henti dan ada ketikanya dia tidak terdaya memenuhi tawaran tersebut.
Anne yang turut berlakon drama Hostel Ramadan yang disiarkan di TV AlHijrah sepanjang Ramadan lalu berkata, sejak menjadi ketua keluarga, banyak perkara yang tidak pernah dibuat sebelum ini dilakukan sendiri.
“Kalau dulu, Anne lebih memberi tumpuan pada keluarga kerana tahu mencari nafkah adalah tanggungjawab suami dan sebab itulah Anne tidak banyak berlakon.
“Sekarang ini perlu bekerja keras dan lakonan merupakan punca pendapatan Anne untuk membesarkan anak-anak. Alhamdulillah, sehingga kini rezeki Anne dalam bidang lakonan tidak pernah berhenti,” katanya lega.
Belum fikir jodoh
Sebagai ibu tunggal yang menjadi perhatian ramai dek lakonan drama, Anne tidak dapat lari daripada diintai kaum Adam.
Biarpun ada yang cuba untuk mendekati hatinya, namun Anne tidak mudah jatuh cinta kerana matlamat utamanya ketika ini adalah anak-anak.
“Macam baru sangat nak cari pengganti. Biarlah Anne besarkan anak-anak dulu. Soal jodoh itu, biar ia datang sendiri. Nak beria sangat pun Anne sudah ada tanggungjawab, bukan boleh main terima sahaja.
“Bila sudah ada anak-anak, penerimaan Anne juga turut berbeza. Anne mesti fikir, mahukah lelaki itu menerima anak-anak seperti mana dia terima Anne. Apa pun setakat ini, Anne belum terlintas untuk kembali berumahtangga,” katanya terus terang. |
|