DATO NAZIM bermenung di beranda biliknya, mengenang kembali pertemuannya dengan Minah di Kampung Belalang. Sungguh tak sangka, produk kampung yang dia selalu beli itu rupanya hasil tangan Minah. Sepanjang dia hidup di kampung dulu sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur, boleh dikira dengan jari berapa kali dia bertemu dengan Minah. Bercakap memang tak pernah.
Datin Afifah masih berdiri menyandar di tepi pintu memerhati suamnya yang nampaknya termenung jauh. Air kopi O panas yang dalam cawan di atas meja kecil dan sepotong kek red velvet dalam piring tidak bersentuh. Sarapan kegemaran suaminya sejak dulu. Sejak pulang dari Kampung Belalang semalam, suaminya tidak banyak bercakap. Kadang sepatah ditanya, sepatah yang dijawab. Langkahnya diatur semula mendekati si suami yang masih mengelamun.
"Tak luak pun air dan kek ni, you fikir apa?" sapa Datin Afifah sebaik sahaja dia duduk di kerusi sebelah.
Agak lama Dato Nazim dalam keadaan macam itu sebelum perlahan menoleh pada isterinya. Sebaris senyuman diukir untuk isteri tercinta. Cawan berisi kopi o itu dicapai lalu diteguk sampai habis. Piring berisi kek pula diangkat dan satu sudu kecil kek disuap ke mulut.
"I perasan, you macam dah berubah sejak berjumpa Minah. Apa..you kenal ke Minah? Perempuan tu pandang semacam je kat you." Luah Datin Afifah.
Dato Nazim masih diam. Kek red velvet disuap ke mulut. Sedap. Kek yang dimasak oleh isterinya sendiri. Kerana kek itulah juga, dia terpikat dengan Afifah. Antara dia dan Afifah tidak pernah ada rahsia sejak mereka bercinta lagi dan sampai sekarang, dia dan Afifah hidup bahagia. Namun pertemuannya dengan Minah sedikit sebanyak telah membuatkan hatinya kembali gelisah. Tak tenteram.
"Ifah, I ada benda nak beritahu."
Datin Afifah pandang wajah suaminya yang nampak agak sugul. Seperti ada sesuatu yang serius.
sorry guys..
macik sibuk lately...
so janji dicapati sudaaahhhhhhhhhhh
ok, untuk tak nak menghampakan mana yang ikuti ini cerita walaupun krik krik sudah ini thread, ini bod (dah tak macam dulu), cerita cik @LadyFinger12 pun nak jadi buku dah ..
Okey, sambung ya
"Beritahu apa?" soal Datin Afifah, menatap dalam wajah suaminya yang tunduk memandang kek red velvet yang sudah tinggal sedikit di atas piring.
" Pasal Hani. Anak kita.."
Wajah Datin Afifah mula berubah.
"You tahu kan, Hani tu anak angkat kita." Dato Nazim mengangkat muka dan menatap pula wajah Afifah yang sudah bertaut keningnya.
Datin Afifah mengangguk.
"Well..she actually.."Serba salah Dato Nazim kali ini.
"Kenapa dengan Hani? I tak faham. What are you trying to say?" soal Datin Afifah dengan senyuman nipis.
"Semalam I bermimpi. Actually dah lama I mimpi pasal ni.." keluh Dato Nazim.
"Mimpi?"
Dato Nazim mengangguk.
"Dalam mimpi tu , I bertemu dengan seorang perempuan memakai kebaya putih. Perempuan tu berulangkali sebut nama Harlina dan nih.." Dato Nazim tunjuk sekeping kertas bertulisan tangan.
Datin Afifah melihat dua baris ayat yang tertera di atas kertas putih itu. Keningnya bertaut. "Apa ni? Macam jampi je."
"Mungkin. Itu yang disebut perempuan yang muncul dalam mimpi saya. Perempuan tu selalu sebut nama Harlina.
"Siapa Harlina?"
Serentak Datin Afifah dan Dato Nazim berpaling ke arah Hani yang sudah tercegat berdiri di muka pintu. Mereka berdua saling berpandangan dengan wajah pucat. Selama ini Hani tidak pernah tahu dia adalah anak angkat mereka. Bimbang jika Hani mendengar perbualan mereka tadi, Datin Afifah bingkas bangun dan menapak mendekati Hani yang juga mula mengatur langkah ke arahnya.
"Hani tak ada study group ke hari ni?" soal Datin Afifah sambil memeluk bahu anak gadisnya. Dia tahu, setiap Ahad, jam sepuluh pagi, Hani akan ke perpustakaan di kampus bersama kawan-kawan yang lain.
"Cancel." sepatah Hani menjawab. "Mama dan papa bincang pasal apa tadi? Hani dengar papa sebut nama Harlina. Siapa Harlina?"
Datin Afifah mengalih pandang pada suaminya yang mula menunjukkan reaksi bersahaja. Dia tahu, suaminya tidak mahu perkara itu sampai ke pengetahuan Hani walaupun lambat laun perkara itu akan terbongkar juga nanti. Pada masa pernikahan Hani nanti, nak tak tak, Hani akan tahu juga siapa diri dia yang sebenarnya.
Hani terus mengatur langkah mendekati Dato Nazim dan mula melabuhkan punggung di sebelah ayahnya. Seraut wajah tenang milik ayahnya ditatap lama.
"Tadi Hani dengar papa sebut nama Harlina. Siapa tu?" soal Hani dengan rasa tak puas hati. Selama ini ibubapanya tak pernah berahsia dengannya.
"Tak ada siapa pun. Harlina tu anak kawan papa yang dah lama meninggal." Cepat saja Datin Afifah menjawab. Tak mahu suaminya membongkar siapa Hani sebenarnya. Bimbang Hani tidak dapat menerima kenyataan.
"Oh..macam tu. Harlina tu sebaya ke dengan Hani?"
Datin Afifah mengangguk seraya mengerling suaminya yang masih bersikap bersahaja walaupun dia tahu jauh di sudut hati suaminya, ada perasaan gelisah dan resah.
"Eh, apa ni?" Hani capai sekeping kertas di atas meja lalu membacanya sekilas. "Mentera apa ni?"
Dato Nazim segera mengambil semula kertas daripada tangan Hani dan disimpan dalam poket seluar. "Tak ada apa."
Hani merenung tajam wajah ayahnya sebelum beralih kepada wajah Datin Afifah. kemudian dia bingkas bangun. Sambil membetulkan rambut yang ditiup angin pagi, dia mengatur langkah meninggalkan kedua ibubapanya tanpa sepatah kata.
" Pelik pula tengok Hani tu." Datin Afifah mengekor langkah Hani dengan matanya sambil menggeleng.
"Biarlah dia."
"I rasa, you jangan percaya mimpi tu. Semua tu mengarut. Tu, jampi serapah tu. Elok bakar je kertas tu. Entah-entah sihir. Seram I dengar pasal mimpi you ni. Jangan disihir you sudahlah!" Cebik Datin Afifah.
Dato Nazim hanya diam. Minuman dihabiskan dan lebihan kek red velvet turut dihabiskan. Dia perlu berjumpa lagi dengan Minah. Mungkin Minah tahu tentang Harlina. Dia perasan tenungan Minah pada Hani semalam. Seperti ada sesuatu yang tidak kena.
HARTINI merenung jauh ke luar tingkap bas. Perjalanan sejam lebih itu terasa panjang. Pertemuannya dengan lelaki dalam kereta mewah di stesen bas TBS tadi sungguh tak diduga. Lelaki misteri yang sentiasa memerhatinya dari cafe di tempatnya bekerja rupanya anak kepada lelaki itu. Tak sangka, lelaki itu banyak tahu tentang arwah kedua ibubapanya selama ini. Hartini melepaskan keluhan. Sudah terasa berbelit kisah kehidupannya. Mak Minah, Sharina, Hani dan yang pasti, Dato Zainuddin dan Dato Nazim adalah sahabat baik arwah ayah yang telah berpaling tadah.
"Tak sangka..korang dengki dengan ayah aku, ayah aku dituduh guna jampi." Bibir diketap kuat saat terbayang wajah-wajah yang pernah dilihatnya.
Bas Jebat menderum laju membelah lebuhraya Utara Selatan menuju ke Masjid Tanah. Hartini mula melayan novel yang sempat dicapai dari rak buku di bilik asrama. Hampir sejam lebih berlalu, akhirnya bas tiba di perhentian bas Masjid Tanah. Syukur sepanjang perjalanan tidak ada perkara buruk berlaku. Hartini bersama beg galas mula menapak ke tempat kereta sewa yang tidak jauh dari tempat perhentian bas. Langkahnya dipercepatkan. Sesekali dia lihat jarum jam tangan.
"Emm..dah nak tengah hari ni." Hartini semakin laju mengatur langkah.
Kalau boleh, dia ingin sampai ke rumah sebelum jam 12 tengah hari. Bolehlah dia masak lauk tengah hari nanti. Sudah lama dia tidak memasak bersama Mak Minah. Sejak bergelar pelajar, boleh bilang dengan jari berapa kerap dia pulang ke kampung. Kekangan kewangan yang menyebabkan dia terpaksa bekerja di hujung minggu mencari duit poket sendiri. Mujurlah ayah Zenot faham dengan keadaannya. Hasil jualan menjahit pun tidak seberapa. Sementalah lagi dia seorang pelajar yang perlu memberi tumpuan pada pelajaran dahulu sebelum dahulukan benda lain.
"Emm..lama tak beli kepah untuk mak." Hartini mengorak senyum sebaik terpandang gerai menjual kepah di sebelah perhentian teksi.
"Saya nak sekilo ya." Ujar Hartini sebaik tiba di gerai itu. Dia sudah berkira untuk masak lemak kepah bersama pucuk ubi.
Sambil menunggu penjual itu membungkus kepah, Hartini melihat-lihat sekeliling. Tidak banyak berubah sekitar situ. Masih seperti dulu. Namun matanya tidak berganjak pada satu susuk tubuh yang sedang enak menjamu selera di sebuah restoran.
"Sharizal??" Berkerut kening Hartini memerhati Sharizal yang keseorangan menikmati hidangan makan tengah hari. Agak lama dia memerhati untuk memastikan dia tidak tersalah orang. Cepat-cepat dia memalingkan wajah sebaik saja lelaki yang ditenung tadi berpaling ke arahnya.
"Err..makcik, cepat sikit ya." Hartini menghulurkan sekeping wang kertas sepuluh ringgit dan segera capai bungkusan kepah daripada tangan penjual. Terus saja dia berlalu pergi tanpa mengambil baki wang.
"Cik! cik! Baki tiga ringgit belum ambil!"
Hartini tidak hiraukan laungan penjual. Dia harus segera menaiki teksi dan pulang ke rumah sebelum Sharizal menyedari kehadirannya di situ.
Hartini semakin laju mengatur langkah. Nampaknya Sharizal sudah sedar kehadirannya di sini. Dia harus segera beredar dari situ. SHarizal tidak perlu tahu di mana dia tinggal.
"Pakcik, Kampung Belalang?" Soal Hartini sebaik dia tiba di sebuah teksi yang sedang menunggu penumpang.
"Boleh, tapi pakcik tunggu 2 lagi penumpang ni."
"Saya bayar lebih pakcik. Saya nak cepat." Balas Hartini sambil mencuri pandang ke arah Sharizal yang sedang berlari ke arahnya. "Tolong pakcik ya!"
Lelaki separuh umur itu mengangguk lalu Hartini segera menaiki teksi dan teksi itu meluncur laju meninggalkan kawasan perhentian teksi menuju ke destinasi. Hartini jenguk ke belakang, Sharizal nampaknya sudah berhenti mengejar. Lega. Tidak sampai 20 minit, dia tiba di depan kedai Pak Kahar. Usai membayar tambang, Hartini segera menapak ke rumahnya pula.
"Tini!"
Hartini terdiam. Risau, suara yang memanggilnya tadi adalah Sharizal.
"tapi..takkanlah abang Rizal pulak. Kan dia kat sana tadi."
Perlahan Hartini menoleh. Tersenyum lebar melihat Pak Kahar sedang berlari anak ke arahnya. Lega.
"Bila balik?" termengah-mengah Kahar bertanya.
"Baru sampai Pakcik." balas Hartini dengan senyuman masih kekal di bibir.
"Oh..eloklah kamu balik ni. Pakcik nak beritahu. Semalam ada orang datang rumah kamu, mereka nak tempah produk kamu nanti. Bolehlah kamu bincang dengan Mak Minah tu. Jangan lepaskan peluang ni. Rezeki tu. Oh ya satu lagi, semalam, ada seorang anak muda datang cari kamu. Diam-diam ya kamu Tini." Kahar melakar senyum lebar.
Kening Hartini bertaut. "Apa maksud pakcik?"
"Pakcik pun suka tengok budak tu. Baik bahasanya, sopan dan hormat orang tua. Berkawanlah baik-baik. Nanti, apa-apa hal, pakcik boleh tolong apa yang patut." balas Kahar dengan senyuman masih tidak lekang.
Hartini semakin bingung dengan kata-kata Pak Kahar. Dia mendekati Pak Kahar. "Siapa dia pakcik?"
Kahar pula merasa keliru dengan pertanyaan Hartini. "Eh, Sharizal tak beritahu kamu ke yang dia datang sini?"
Sharizal?? Hartini terkejut. Dia segera minta diri dan mula melangkah laju dengan membawa perasaan gundah gulana.
Saja masuk sini..nak ucap
Selamat berpuasa kepada semua forumer Islam
Di bulan penuh berkat ini, rajinkan diri beribadah. Moga diberi pahala yang berlipatganda.