Saya hanya tahu digugur sejam sebelum umum' Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau hanya mengetahui berhubung penggugurannya sebagai timbalan perdana menteri pada 12.15 tengah hari semalam, kira-kira sejam sebelum pengumuman perdana menteri. Katanya, beliau dimaklumkan untuk bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada jam 11.30 pagi. Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, memandangkan beliau pada ketika itu berada di Sendayan Negeri Sembilan, beliau hanya bertemu Najib pada jam 12.15 tengah hari. "Dia jemput saya dan selepas perbincangan saya beri pendapat saya dan beliau jelaskan apa yang patut dijelaskan. "Dan saya tanya tujuan dijemput, adakah berkaitan rombakan. Dan dia angguk. Saya tanya adakah you nak bercakap apa-apa dengan saya. "Dia (Najib) cakap dia susah nak cakap. Kemudian saya tanya adakah saya tak tersenarai, dia angguk dan ucapkan terima kasih," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media di kediamannya hari ini.
|