|
game 5.5
Singa Utara tunjuk garang di Paroi
Oleh Hussain Said, Hamid Salleh, Irwan Shafrizan Ismail
[email protected]
PEMAIN Perlis, Nizaruddin Yusof [kiri] dikawal pemain Polis di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.
PERLIS kekal menguasai saingan Liga Super apabila menjinakkan Polis 3-1 ketika Selangor terus mengekori rapat manakala Negeri Sembilan terpaksa menunggu lagi selepas pertemuan dengan Terengganu ditunda akibat hujan lebat, malam tadi.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Ahmad Fikri Saraani membuka tirai jaringan untuk Perlis selepas dia memanfaatkan situasi kelam kabut di depan gol selepas sepakan sudut Azimi Azmi untuk menewaskan penjaga gol Polis, Abdul Rahman Ismail pada minit ke-19.
Namun Mohd Fauzi Abdul Majid menyamakan kedudukan buat tuan rumah apabila merembat bola minit pada ke-32 sebelum Perlis menambah jaringan menerusi Mohd Shazwan Zainol (m-54) dan walaupun Fikri dilayangkan kad merah pada minit ke-79, pelawat masih mampu merobek gawang lawan menerusi jaringan Zuraindey Jumai (m-81).
Di Stadium Darulmakmur, Pahang yang terdesak untuk keluar dari kelompok bawahan liga, mendapat gol pendahuluan pada minit ke-55 apabila Md Badrul Hisani Abdul Rahman merembat dari luar kotak penalti, namun kegembiraan tidak kekal lama apabila Amri Yahyah menyamakan kedudukan 10 minit selepas itu.
Mohd Fitri Shazwan Raduan yang dimasukkan menggantikan Mohd Asraruddin Omar, meletakkan pelawat di depan pada minit ke-69, bagi memastikan anak buah K Devan pulang dengan tiga mata berharga untuk terus menekan Perlis.
Di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, UPB-MyTeam menundukkan Perak 2-1 selepas bermula garang sejak sepak mula sebelum gol Depan Sakwati membolehkan tuan rumah mendahului pada minit ke-16 disusuli jaringan Zambri Chin pada minit ke-33.
Anak buah M Karathu, merapatkan kedudukan pada minit-45, apabila Razali Umar Kandasamy menemui kembali sentuhan jaringannya selepas tidak dapat diturunkan ketika Perak tewas kepada Pulau Pinang di Ipoh, Sabtu lalu.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, perlawanan antara Terengganu dan Negeri Sembilan terpaksa ditangguhkan malam ini akibat hujan lebat malam tadi,
Pengadil, Ahmad Bustaman Hamid terpaksa menghentikan perlawanan selepas 10 minit selepas babak kedua bermula ketika kedudukan terikat 1-1 hasil jaringan Mohd Shukor Adan pada minit-28 sebelum pemain Terengganu, Ashaari Shamsudin, menyamakan kedudukan dua minit kemudian. |
|