Selepas hampir setahun berita mengenai pembabitan Raja Ilya dalam sebuah filem adi wira terbitan Marvel dicanangkan, akhirnya impian untuk melihat aktres tersebut dalam filem antarabangsa itu hancur berkecai.
Berita itu disampaikan sendiri oleh Raja Ilya kepada Berita Harian. Menurutnya, dia terpaksa melepaskan peluang keemasan itu selepas dua minggu menjalani uji bakat untuk filem tersebut di Los Angeles.
Sumber foto: Malay Mail Online
Aktres berusia 32 tahun itu berkata, penolakan berkenaan adalah kerana berasakan syarat-syarat yang dikenakan tidak sesuai untuknya.
“Saya terima dengan hati terbuka walaupun terpaksa melepaskan peluang yang amat besar ini. Saya menganggap peluang ini adalah tidak baik untuk saya. Saya tidak boleh komen lebih lanjut dan harap semua orang faham.
“Orang boleh buat apa sahaja andaian, tetapi keputusan ini adalah dibuat demi kebaikan diri dan karier saya," jelasnya.
Sumber foto: Marvel Studios
Raja Ilya atau nama sebenarnya Raja Ramilah Begum Raja Mohamad berada di Amerika Syarikat selama dua minggu untuk menjalani sesi uji bakat selepas tiga bulan melakukan rejim senaman bagi meningkatkan stamina dan mendapatkan bentuk badan ideal.
Walapun impian bersama Marvel tidak kesampaian, Raja Ilya mengakui telah mendapat tawaran daripada syarikat produksi Hollywood lain.
Sumber foto: Malay Mail Online
“ Saya teruja untuk berkongsi berita baik ini, tetapi perjanjian telah dilakukan dan mereka meminta saya untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Saya hanya meminta peminat mendoakan yang terbaik. Saya berjanji akan kongsikan maklumat lanjut apabila tiba masanya.
“Sebaik sahaja selesai pengambaran filem di sini, saya akan terbang semula ke AS untuk mulakan projek baru. Syarikat tersebut telah bersetuju untuk menunggu saya,” ujar Raja Ilya dipetik daripada Berita Harian.
Alahai, banyak pula liku perjalanan Raja Ilya untuk terbabit dengan filem Marvel ya. Apapun, semoga Raja Ilya berjaya walau di mana jua dia berada. - CARI |