Adam Corrie Minta TV3 Hentikan Fitnah. Akibat disalah anggap sebagai ahli parti Pas, pelakon dan bekas pereka tari, Adam Corrie, 45, mendakwa dirinya digam dari- pada membuat penampilan oleh stesen televisyen TV3. Memetik kenyataan di akhbar Kosmo! hari ini, Adam berkata dia menyedari tentang perkara tersebut sejak tahun lepas apabila drama lakonannya, 'Zikir Tanpa Bibir' ditolak mentah-mentah untuk disiarkan oleh stesen TV tersebut.
Selain itu, dua episod daripada sebuah program keagamaan yang bakal disiarkan tidak lama lagi turut disunting dan dirakamkan semula atas sebab yang sama. "Saya sangat terkejut. Saya tidak pernah menyertai mana-mana parti politik mahupun mengikuti sebarang ceramah atau perhimpunan. Saya berasa seperti difitnah", katanya yang memeluk Islam pada 13 Julai 2007.
Adam bagaimanapun tidak menolak hal itu terjadi kerana rentetan daripada isu gambar dia bersama Datuk Dr. Haron Din yang dimuat naik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dalam sebuah blog awal tahun lalu.
Saya berharap agar pihak TV3 berhenti daripada memfitnah saya. Jika benar saya merupakan ahli Pas, buktikan. Saya berasa sedikit terkilan kerana ada antara selebriti yang secara terang-terangan terlibat dengan parti tersebut tetapi masih dibenarkan muncul dalam drama pada slot waktu perdana", katanya.
|