Tonto punca operasi gagal
KUALA LUMPUR 5 Mei - Lokasi sarang pelacuran di Jalan Gelang, Pudu di sini, sukar dibanteras kerana dilindungi lebih 20 tonto yang berkeliaran di kawasan itu, pada setiap malam. Malah dalam operasi sepasukan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, kira-kira pukul 12.30 te-ngah malam tadi, turut gagal apabila maklumat serbuan berjaya dihidu tonto lebih awal. Walaupun pergerakan pasukan polis dipecahkan kepada beberapa buah kumpulan namun tetap gagal kerana terdapat puluhan tonto berkeliaran di gerai-gerai makan, kaki lima premis dan tempat letak kenderaan. Utusan Malaysia yang turut mengikuti serbuan itu mendapati kumpulan tonto berkenaan bertindak pantas menghubungi ‘seseorang’ sebaik sahaja ‘menghidu’ kehadiran pihak berkuasa. Menurut jurucakap polis, pihaknya telah beberapa kali me-lakukan serbuan di kawasan terbabit tetapi lokasi itu masih menjadi sarang pelacuran. Katanya, polis akan terus me-nyerbu lokasi terbabit dan memastikan kawasan tersebut bebas daripada sarang maksiat. Mingguan Malaysia semalam menerusi ruangan pojok, Awang Selamat mendedahkan Jalan Gelang, Pudu di ibu negara yang suatu ketika dahulu kelihatan tenteram dan bersih kini menjadi kawasan hitam dengan aktiviti pelacuran. Menurut Awang Selamat, maklumat tersebut diterima daripada sekumpulan aktivis sosial yang mendakwa hampir 400 pelacur kebanyakannya dipercayai warga China dan Vietnam berlegar-legar mencari pelanggan di kawasan tersebut.
Anggota polis Unit D7 Balai Dang Wangi dan IPK Kuala Lumpur mengumpil pintu masuk sebuah unit pangsapuri ketika serbuan pelacur asing yang dijalankan tengah malam semalam di Jalan Gelang, Pudu, Kuala Lumpur. Operasi yang berakhir pada pukul 2 pagi itu hanya berjaya menahan seorang pelacur kerana para pengendali rumah pelacuran telah dimaklumkan mengenai kehadiran pihak berkuasa oleh tonto-tonto yang diupah mereka. - UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH
Last edited by tapibukanaku on 7-5-2014 10:03 AM
|