|
Pembunuh duduk sebelah
KLANG, 2 Disember : “Saya tidak sangka itu makan tengah hari terakhir saya bersamanya. Menyesal saya biarkan dia pulang sendirian,” kata lelaki Bangladesh yang dikenali sebagai Abu, 32, mengenai teman wanitanya yang ditemui dibunuh di bilik sewanya di Kampung Kuantan, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa berusia 31 tahun yang juga berasal dari Bangladesh dipercayai cuba diperkosa seorang lelaki berasal dari negara sama sebelum dibunuh dengan cara mencekik dan mengelar leher mangsa dengan pisau.
Abu mendakwa ketika dia dan mangsa makan tengah hari di sebuah restoran beberapa jam sebelum itu suspek duduk di sebelah meja dan asyik memandang ke arah mangsa.
“Selepas makan, saya meminta teman wanita pulang dulu kerana ada temu janji dengan kawan. Selesai bertemu kawan, saya pergi ke rumah teman wanita dan terkejut apabila ditolak lelaki tidak berbaju yang tiba-tiba meluru keluar dari bilik teman wanita,” katanya kepada Harian Metro.
Mengesyaki lelaki itu pencuri yang menceroboh bilik sewa teman wanitanya Abu dibantu orang ramai di kawasan itu menangkap suspek.
Menurutnya, selepas suspek ditahan, dia pulang semula ke bilik sewa teman wanitanya dan sebaik pintu bilik dibuka, dia melihat mangsa terbaring dalam keadaan berbogel dan tidak bernafas selain terdapat kesan kelar pada lehernya.
“Saya cuba melonggarkan ikatan cadar yang digunakan untuk menjerut lehernya dengan harapan dia sedar kembali, namun semua sia-sia kerana teman wanita sudah tidak bernyawa. Saya terus menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia kerana sesak nafas akibat dijerut.
Beliau berkata, namun hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) mengesahkan mangsa tidak dirogol.- hARIANMETRO
Last edited by tongkatwaran75 on 2-12-2013 08:58 PM
|
|