Edited by washere2 at 6-9-2015 01:23 PM
Bravo 5 uji 
Beto Kusyairy
SYED MUSSADDAD SYED MAHDI | 06 September 2015 1:00 PM
MELIHATKAN turun naik industri seni, pastinya membuatkan sesiapa sahaja gerun. Jika satu masa dahulu kebanyakan penerbit dan pelakon boleh tersenyum lebar melihat jumlah kutipan berjuta-juta ringgit, kini semuanya mula mengerutkan dahi.
Bukan soal kualiti filem yang menjadi masalah tetapi kesanggupan penonton untuk ke panggung mula diragui. Hanya filem yang benar-benar hebat sahaja mampu mengutip angka jutaan ringgit manakala yang lain mula mengira rugi. Bagi pelakon Beto Kusyairy pastinya perkara tersebut turut dirasai. Kebanyakan filem berbahasa Melayu sudah kurang mendapat sambutan dan keadaan itu sedikit membimbangkan. “Saya sedar tentang perkara ini dan pastinya itu menjadi keadaan yang membimbangkan buat seluruh industri juga. Tapi buat masa ini saya hanya mampu meyakinkan penonton melalui lakonan semata-mata. “Jika mereka datang ke panggung untuk menyaksikan saya, itu sudah cukup baik. Ganjarannya saya akan memberikan yang terbaik dan membuatkan mereka berpuas hati dengan apa yang saya beri,” kata Beto memulakan cerita. Dia yang kini sedang rancak mempromosikan filem Bravo 5 yang akan menjengah pawagam 10 September ini menganggap penglibatannya dalam filem berkenaan sebagai sesuatu yang menarik. Filem ketenteraan yang menyemai semangat patriot itu turut dibintangi oleh Remy Ishak, Sashi Taran, Xavier Fong dan Frank Peterson sudah menjalani penggambaran lima tahun yang lalu. Meskipun agak lama ‘diperam’, Beto menganggap ini merupakan masa yang sesuai untuk ditayangkan kepada umum memandangkan rakyat Malaysia baru sahaja menyambut Hari Kebangsaan dan akan meraikan Hari Malaysia pada 16 September ini. “Sebenarnya satu ketika dahulu saya pernah terfikir adakah filem begini akan mendapat sambutan daripada penonton? Soal laku atau tidak memang awal-awal lagi saya congak sebelum menerima tawaran. “Tapi apabila berada di set, persepsi itu berbeza. Dengan berpakaian celoreng dan bersenjata api semangat patriotik mula naik mendadak. Saya tahu yang saya lakukan betul. “Lagi satu kita sudah lama tidak menghasilkan filem begini. Kali terakhir pun menerusi filem Leftenan Adnan. Jadi ini masa yang sesuai untuk penonton kembali ke panggung,” ujar Beto lagi. MENGHARAPKAN tuah kutipan tiket akan memihak kepada filem ini, pastinya Beto meletakkan kepercayaan kepada M Hitler Zami yang menjadi pengarah Bravo 5. Dia yang membawakan watak sebagai Trooper Karim yang juga merupakan anggota yang mempunyai masalah disiplin menganggap yang berlaku ketika penggambaran lima tahun dahulu sebagai kenangan manis yang sukar dilupakan. Trooper Karim seorang anak yatim piatu yang kesunyian dan bermasalah. Dia juga sering memberontak tetapi tetap terpilih memandangkan dia yang terbaik dalam sebuah Ronda Kumpulan Kecil (RKK) melaksanakan sesuatu misi mengesan seorang askar Melayu yang telah ditawan komunis. “Konflik mula tercetus apabila dia sukar bekerjasama dengan rakan-rakan kerana beranggapan dirinya bagus sedangkan tidak sebagus mana. Filem ini berlatarkan situasi yang berlaku sekitar tahun 1980-an,” cerita Beto mengenai wataknya. Filem yang menjalani penggambaran di Tapah, Perak itu tidak dilakukan secara sembarangan. Sebelum menjalani penggambaran, kesemua pelakon telah dihantar oleh pihak produksi menjalani latihan ketenteraan di Kem Sungai Udang, Melaka. Mereka diberikan asas dan latihan intensif dengan komando (Rejimen Gerak Khas) di sana hampir dua minggu termasuk belajar cara untuk mengendalikan senjata, formasi bergerak dalam hutan selain mengenal pasti sebarang jerangkap samar. “Awal-awal saya agak cuak apabila terpaksa menjalani latihan seperti itu tetapi Alhamdulillah kami menerima layanan yang cukup bagus daripada pihak tentera. “Yang paling penting kami dilatih menjalani perkara asas supaya tidak nampak janggal di depan kamera,” ujarnya. Dedah lelaki yang berusia 35 tahun ini lagi, hampir seratus peratus aksi lagak ngeri dalam filem ini juga dilakonkan sendiri oleh mereka. Pada mulanya pihak produksi mahu menggunakan khidmat pelakon lagak ngeri dalam kalangan komando namun mereka menolak. Cuma ketika penggambaran dilakukan mereka dipantau pihak komando yang amat menitikberatkan soal keselamatan pelakon. Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh Beto apabila mereka turun dari helikopter Nuri dari ketinggian 100 meter menggunakan tali. Menganggap ini merupakan filem yang paling mencabar dari segi fizikal, dia perlu melakukan yang terbaik memandangkan memikul tanggungjawab membawakan watak komando selain menjaga imej tentera.
- http://www.utusan.com.my/hiburan ... thash.YItQDYOk.dpuf
|