Nampaknya episod artis terkena buatan orang atau tempias ilmu hitam tidak pernah habis. Ternyata, perkara itu masih berlarutan sampai hari ini dan menjadi kudis yang tidak sembuh-sembuh. Terbaru, ada rakan SS yang menyampaikan cerita seorang artis cantik pula yang dikatakan terkena buatan orang. Tidak dapat dinafikan artis muda yang dimaksudkan ini memang sangat menawan orangnya dan namanya pun sedang meningkat naik ketika ini.
Bukan saja laris sebagai duta produk kecantikan terkenal, dia juga khabarnya, tidak menang tangan menerima tawaran berlakon sama ada drama mahupun filem sejak kebelakangan ini dengan pelbagai produksi.
Kata rakan SS, ketika bertemu dengan artis muda ini pada satu majlis, baru-baru ini, dia terkejut dengan perubahan diri artis muda itu yang nampak ketara.
Wajahnya yang dulu cukup berseri-seri kini sudah pucat dan cengkung. Tubuh seksinya yang menawan dulu nampak jauh lebih kurus dan kurang bermaya berbanding mula-mula dulu.
Artis itu sempat mengadu kepada rakan SS, dia juga sudah hilang selera makan dan berat badannya turun mendadak hingga menyukarkannya pereka baju mencipta busana yang sesuai untuk dirinya ke majlis keramaian.
Lebih menaikkan bulu roma rakan SS ialah artis muda itu mengakui bukan dirinya saja yang terkena buatan orang yang dengki terhadapnya malah, ahli keluarganya yang tidak bersalah pun turut menjadi mangsa ilmu hitam berkenaan.
Mengucap panjang SS mendengar cerita itu. Simpati pun ada kerana setahu SS, artis itu sentiasa berwajah manis dan tidak pernah pula bermusuh dengan sesiapapun sejak melangkahkan kaki di persada hiburan.
Namun itulah, agaknya ada pihak yang mulai cemburu dan sakit hati melihat kejayaan yang dikecapi artis muda itu. Inilah penyakit orang kita yang perlu dikikis.
Apapun, kepada artis muda belia itu, SS harap, cepat-cepatlah pergi berubat untuk memulihkan penyakitnya itu. SS juga menyarankan dia sekeluarga berubat dengan cara perubatan Islam kerana itulah yang sebaik-baiknya selain berubat moden.
Pada masa sama, artis muda itu perlu banyak mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mengamalkan bacaan ayat suci Al-Quran sebagai pendinding.
Apa yang SS rasakan, memang sudah sampai Akta Jenayah Sihir yang dicadangkan di negara kita sebelum ini patut dizahirkan bagi mencegah perbuatan yang salah ini.
Kita sendiri tahu amalan sihir sudah wujud sejak zaman Nabi Ibrahim AS lagi dan masyarakat yang terpesong akidahnya terus mewarisi perkara yang ditentang Islam itu hingga ke saat ini.
SS: Jangan ingat amalan jahat manusia yang dilakukan di dunia ini akan terlepas di akhirat.
|