CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 30408|Reply: 0

[Sarawak] Tibi di Sarawak terkawal, bukan pandemik

[Copy link]
Post time 21-2-2026 08:57 PM | Show all posts |Read mode


Dr Sim ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengagihan Bubur Lambuk MBKS di Bazar Ramadan Stutong, petang tadi.

KUCHING: Penyakit tuberkulosis (tibi) di Sarawak masih berada dalam keadaan terkawal dan tidak pandemik, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Beliau ketika ditemui pemberita hari ini menegaskan dengan pemantauan berterusan penggunaan teknologi baharu dan kesedaran masyarakat, situasi tibi di Sarawak kekal terkawal dan tidak berada pada tahap membimbangkan.

“Di Sarawak, tibi sentiasa terkawal. Kenapa ia terkawal? Kita tahu ia endemik, sentiasa ada. Jadi kita tidak pernah leka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pengagihan Bubur Lambuk di Bazar Ramadan Stutong, petang tadi.

Tambah beliau di sesetengah tempat, penyakit itu kurang diberi perhatian kerana dianggap jarang berlaku sehinggalah tercetus kes dan memerlukan pengesanan kontak secara besar-besaran.

“Tibi ini ‘great in disguise’ kepada banyak penyakit lain. Kalau kita tidak fikir tentangnya, kita boleh terlepas pandang,” ujarnya.

Sementara itu, Dr Sim turut memaklumkan bahawa Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu (PKB) menjadi yang pertama di negara ini menggunakan mesin X-ray mudah alih bagi tujuan saringan tibi, hasil tajaan sebuah syarikat korporat.

“Teknologi tersebut membolehkan pasukan kesihatan turun terus ke rumah panjang dan kawasan pedalaman untuk menjalankan pemeriksaan tanpa perlu membawa penduduk ke klinik atau hospital.

“Bayangkan jika berlaku kes di rumah panjang, kita suruh semua datang ke hospital untuk X-ray. Sepanjang perjalanan mereka batuk dan mungkin menjangkiti orang lain.

“Lebih baik kita bawa mesin ke sana, buat saringan dan kuarantin di tempat berkenaan sahaja,” jelasnya.

Beliau berkata lagi, penggunaan teknologi itu menunjukkan inisiatif dan keprihatinan petugas kesihatan di Sarawak yang sentiasa mencari penyelesaian terbaik di lapangan.

“Doktor-doktor kita bukan sahaja guna mesin itu, malah buat penyelidikan dan penerbitan untuk berkongsi pengetahuan dengan pihak lain.

“Kenapa asyik kita belajar dari Semenanjung Malaysia? Sarawak juga ada kepakaran dan idea,” dedah beliau.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan terutama ketika bertandang ke bazar Ramadan.

“Kita bersyukur makanan di Sarawak bukan sahaja sedap dan berpatutan, tetapi standard kebersihan juga semakin meningkat.

“Peniaga pakai sarung tangan, topi dan apron. Ini minimum yang perlu mereka lakukan. Kita tidak mahu makanan murah tetapi akhirnya konsumer jatuh sakit,” ujarnya.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng berkata pihaknya mengekalkan kadar sewa terendah untuk penjaja Bazar Ramadan di Stutong.

Menurut beliau, kadar sewa yang rendah serta harga makanan yang berpatutan menjadi antara faktor utama kehadiran pengunjung yang ramai ke bazar berkenaan.

“Kita sangat bangga kerana kita mungkin antara yang mengenakan kadar sewa paling rendah. Selepas lebih 20 tahun, harga masih munasabah. Sebab itu kita subsidi kita mahu lebih ramai orang mendapat manfaat,” katanya lagi.

Dedah Wee, setiap peniaga yang memohon tapak perlu mengemukakan dokumen lengkap termasuk pemeriksaan kesihatan seperti yang disyaratkan sebelum diluluskan menyertai bazar berkenaan.

Mengulas kepelbagaian makanan yang ditawarkan, beliau berkata Bazar Ramadan Stutong kini mencerminkan identiti ‘Satu Sarawak’ apabila pelbagai kaum turut serta memeriahkan suasana dengan juadah masing-masing.

“Melalui makanan, kita belajar antara satu sama lain. Kita lihat bagaimana kaum lain mempersembahkan makanan tradisional mengikut cara mereka. Ini perkara yang baik.

“Melalui makanan, kita hubungkan perpaduan. Melalui makanan, kita teruskan keharmonian,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-2-2026 12:51 AM GMT+8 , Processed in 2.745749 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list