CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 24400|Reply: 0

[Sarawak] Rumah kedai runtuh, Lau gesa siasatan teknikal secara menyeluruh dan bebas

[Copy link]
Post time 21-2-2026 05:15 PM | Show all posts |Read mode


Gambar yang dirakam pada hari ini menunjukkan keadaan semasa unit rumah kedai di Jalan Pahlawan yang runtuh. - Gambar Peter Boon

SIBU: Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau Hui Yew menggesa agar siasatan teknikal dijalankan secara menyeluruh dan bebas berhubung runtuhan sebuah rumah kedai tiga tingkat di Pusat Komersial Pahlawan, tanpa campur tangan politik atau budaya saling menuding jari sehingga fakta sebenar dikenal pasti.

Beliau berkata, kejadian yang berlaku kira-kira seminggu lalu itu bukan sahaja mengakibatkan runtuhan sebuah bangunan, malah turut menyebabkan kerosakan struktur pada rumah-rumah kedai lain dalam deretan sama, sebelum pergerakan tanah susulan mencetuskan mendapan beberapa kaki terhadap bangunan yang masih berdiri.

“Ini bukan masanya untuk berpolitik atau saling menyalahkan. Sebarang tindakan meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak, jika perlu sekalipun, hanya wajar dibuat selepas fakta sebenar dikenal pasti dengan jelas,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya, hari ini.

Menurut Lau, kawasan kejadian kini telah ditutup oleh pihak polis bagi menghalang penghuni daripada memasuki premis terlibat untuk menyelamatkan harta benda masing-masing.

Sehubungan itu, beliau menekankan beberapa keputusan penting serta tindakan segera yang perlu diambil.

Katanya, langkah paling utama ialah melantik khidmat profesional berkelayakan bagi menentukan sama ada bangunan terlibat selamat untuk dimasuki, supaya penghuni dapat menyelamatkan barangan mereka.

“Sebarang kerja pembersihan atau pengalihan runtuhan tidak seharusnya dilakukan kerana terdapat bukti penting di tapak kejadian yang kritikal untuk mengenal pasti punca runtuhan.

“Justeru, profesional yang sesuai perlu segera dilantik bagi melaksanakan penilaian tersebut, selain peruntukan kewangan perlu disediakan memandangkan isu kos turut terlibat,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata punca runtuhan perlu dikenal pasti dan pengajaran harus diambil bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan, sama ada berpunca daripada faktor luaran seperti pergerakan tanah bawah permukaan atau faktor dalaman termasuk mutu kerja pembinaan dan reka bentuk kejuruteraan.

Lau turut merujuk pelaksanaan Garis Panduan Mendapan Tanah (Ground Settlement Guideline, GSG) oleh Majlis Perbandaran Sibu (MPS) pada 2010 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2011, yang mewajibkan semua pelan kejuruteraan bagi pembangunan komersial mematuhinya, sebelum garis panduan itu diperluaskan kepada pembangunan perumahan.

“Rumah kedai yang runtuh serta bangunan di sekitarnya dibina berdasarkan pelan kejuruteraan yang diluluskan sebelum GSG dikuatkuasakan.

“Selain itu, terdapat juga bangunan lain di Sibu yang mengalami kegagalan struktur, khususnya yang dibina antara tahun 1970-an hingga 2000-an apabila kerja cerucuk tidak dilaksanakan sehingga ke lapisan tanah keras,” katanya.

Beliau menambah, kebanyakan kejadian mendapan lazimnya berlaku dalam tempoh masa yang panjang dan bukannya runtuhan secara mengejut.

Sehubungan itu, Lau menegaskan bahawa tiada penyelesaian mudah atau murah bagi menangani bangunan yang dibina di atas tanah lembut sebelum pelaksanaan GSG, sebaliknya memerlukan usaha berterusan serta peruntukan kewangan bagi meminimumkan atau membaiki masalah struktur pada masa hadapan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-2-2026 05:29 AM GMT+8 , Processed in 0.188306 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list