
TINJAU: Jamawi ketika turun padang meninjau beberapa rumah daif di DUN Melalap.
TENOM: Hanya pemohon yang benar-benar layak dan memenuhi kriteria akan dipertimbangkan sebagai penerima Program Rumah Mesra SMJ 2026 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata, proses pemilihan dilakukan secara telus tanpa sebarang unsur pilih kasih atau campur tangan pihak tertentu.
Katanya, beliau sendiri turun padang meninjau keadaan rumah pemohon bagi memastikan bantuan diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan. “Tiada proses pilih kasih, tiada ‘cable’, tiada lobi. Hanya yang benar-benar layak akan diberi keutamaan.
“Kita mahu memastikan setiap bantuan sampai kepada mereka yang selayaknya dan dalam keadaan yang benar-benar memerlukan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, setakat ini sebanyak 10 rumah di beberapa kampung termasuk Kampung Baab, Naluyan, Undusan, Batu Apar, Pangalat dan Monggol telah ditinjau dan kebanyakannya berada dalam keadaan daif.
“Tinjauan akan diteruskan ke baki pemohon sebelum senarai akhir dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Fokus Group yang dipengerusikan Pegawai Daerah Tenom bagi memuktamadkan penerima tahun ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut meninjau sistem perparitan di Kampung Baab yang sering dilanda banjir akibat culvert sedia ada tidak lagi mampu menampung aliran air ketika hujan lebat.
Katanya, pihaknya sudah menghubungi Jabatan Kerja Raya (JKR) Tenom bagi tindakan segera menaik taraf sistem perparitan demi keselamatan penduduk.
Terdahulu, Jamawi menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Islamiah, Kampung Pamilaan serta mengambil peluang bertanya khabar jemaah dan mengucapkan selamat berpuasa sempena Ramadan.
Sumber : Utusan Borneo
|