
TANGKAP: Suspek berjaya ditahan di kawasan kampung berkenaan untuk siasatan lanjut.
TAWAU: Tidak puas hati berhubung urusan menjaga anak dipercayai menjadi punca seorang lelaki bertindak memukul isterinya dalam kejadian di Kampung Titingan, di sini.
Dalam kejadian itu, mangsa yang cedera tampil membuat laporan di balai polis sebelum tindakan lanjut diambil pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian membabitkan pasangan suami isteri berkenaan.
“Susulan kes pukul dan ugutan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau menjalankan siasatan serta mengesan suspek.
“Lelaki tempatan berusia 28 tahun itu berjaya ditahan di kawasan Kampung Titingan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak bertindak di luar batasan undang-undang dan menyelesaikan sebarang perselisihan secara berhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya.
Sumber : Utusan Borneo
|