.
KUCHING: Seorang pengawal keselamatan lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan memiliki bahan pornografi kanak-kanak serta bahan lucah dalam telefon pintar, selain dituduh terlibat dengan perniagaan pornografi kanak-kanak.
Tertuduh, Corinthian Emanuel Julious Christie, 25, membuat pengakuan itu dan memohon dibicarakan sebaik ketiga-tiga pertuduhan di bawah seksyen berbeza dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Musli Ab Hamid.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (SOACA) 2017 iaitu dituduh terlibat dalam perniagaan pornografi kanak-kanak.
Seksyen berkenaan membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh disebat tidak kurang tiga sebatan, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan kedua di bawah Seksyen 10 SOACA 2017 pula menyaksikan dia didakwa memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dalam sebuah telefon pintar yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan iaitu memiliki bahan lucah dalam telefon pintar dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukannya sekitar jam 8.30 malam di sebuah rumah di Jalan Batu Kawa di Padawan di sini.
Sebaik pengakuan tidak bersalah direkodkan, Hakim Musli membenarkan tertuduh untuk dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 (RM10,000 didepositkan) berserta dua penjamin tempatan beralamat tetap di Kuching.
Musli juga memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berdekatan pada hari pertama setiap bulan, dengan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.
Selain itu, Musli turut menetapkan pengurusan kes pada 13 Mac 2026, sementara perbicaraan ditetapkan pada 13 Mei serta 15 dan 16 Jun 2026.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Asmawi Nur Haqim Mokhtar sementara tertuduh diwakili peguam Francis Teron dan Benedict Yeo Wei Hup.
Sumber : Utusan Borneo
|