Mayat mangsa ditemukan di kediamannya di Flat Sri Murni, Butterworth, Rabu lalu.
Ibu tunggal maut: Kertas siasatan dirujuk DPP sebelum tuduh suspek
- Oleh NOOR HASLIZA NUSI
- 8 Februari 2026, 9:35 pm
GEORGE TOWN – Polis sedang melengkapkan siasatan berhubung kes seorang ibu tunggal yang ditemukan maut dipercayai dibunuh dalam kejadian di rumahnya di Flat Sri Murni, Butterworth di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan pertuduhan ke atas suspek.
“Ya, kita sedang lengkapkan kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.
Semalam, Azizee memberitahu, polis tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan wanita yang juga pemandu van sekolah itu dipercayai angkara perasaan cemburu suspek terhadap mangsa.
Tiga suspek terdiri dua kenalan mangsa dan seorang warga Myanmar kini masih dalam tempoh reman sehingga 11 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian Rabu lalu, mayat mangsa berusia 41 tahun itu ditemukan dalam keadaan terbaring dalam sebuah bilik tidur dengan kesan luka kelar pada lehernya dipercayai dibunuh menggunakan senjata tajam.
Kejadian tersebut disedari jiran mangsa sebelum melaporkan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPD SPU). – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2026/02/08/ibu-tunggal-maut-kertas-siasatan-dirujuk-dpp-sebelum-tuduh-suspek/
|