217 PAWE aktif dalam komuniti, JKM sasar wujudkan 20 lagi tahun ini
Oleh Nur Izzati Mohamad - Februari 8, 2026 @ 2:26pm

Che Murad Sayang bersama Fadhlina memotong riben bersempena Majlis Perasmian Program Semarak Sejahtera Warga Emas di PAWE Nibong Tebal. - NSTP/ Nur Izzati Mohamad
NIBONG TEBAL: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyasarkan untuk menubuhkan 20 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) baharu tahun ini, sebagai tambahan kepada 217 pusat sedia ada seluruh negara.
Ketua Pengarahnya, Datuk Che Murad Sayang Ramjan, berkata semua pusat sedia ada itu kini memiliki hampir 49,000 ahli aktif yang menjalankan pelbagai aktiviti bersama komuniti.
"Setiap PAWE akan menerima geran tahunan berjumlah RM50,000 bagi melaksanakan aktiviti serta menampung kos operasi pusat.
"Tahun ini, kita rancang untuk tambah lagi 20 PAWE, namun ia bergantung peruntukan yang kita akan tengok berapa banyak yang boleh kita buat lagi pada tahun ini," katanya pada Program Semarak Sejahtera Warga Emas disempurnakan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek di PAWE Sungai Acheh, di sini, hari ini.
Che Murad Sayang berkata, pihaknya turut memberi penekanan kepada pelaksanaan program PAWE intergenerasi yang bertujuan menghubungkan warga emas dengan generasi muda melalui pemindahan ilmu, kemahiran dan warisan budaya.
Katanya, program intergenerasi itu berpotensi membantu menjana pendapatan warga emas melalui penghasilan serta penjualan produk seperti kraftangan dan makanan tradisional.
"Ramai warga emas memiliki pengetahuan dan kepakaran sangat bernilai, jika tidak dikongsi dengan generasi muda, ilmu itu akan hilang begitu sahaja.
"Maka, melalui PAWE intergenerasi, kita galakkan aktiviti seperti kraftangan tradisional, kemahiran harian serta pembuatan makanan warisan supaya dapat diwariskan," katanya.
Tambah beliau, pihaknya membantu komuniti menerusi PAWE 3A (Anywhere, Everywhere dan Anytime) yang diwujudkan bagi membantu komuniti tidak mempunyai premis khusus.
"Kadang-kadang ada komuniti mengatakan mereka tidak ada premis untuk mereka beroperasi.
"Oleh itu, kita kemukakan konsep itu iaitu PAWE 3A dan kita beri geran peruntukan sebanyak RM20,000 supaya dapat memberi tumpuan kepada aktiviti pendampingan sosial dan pembangunan warga emas bersama komuniti setempat melalui kerjasama dengan masjid, surau atau kemudahan komuniti lain," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/02/1506868/217-pawe-aktif-dalam-komuniti-jkm-sasar-wujudkan-20-lagi-tahun-ini
|