Nibong Tebal: Pihak pentadbir sekolah mempunyai autonomi untuk membuat keputusan mengikut garis panduan ditetapkan berhubung isu pakaian murid ketika berdepan cuaca panas yang melanda terutama di utara beberapa negeri di utara ketika ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sudah ada garis panduan yang jelas untuk dirujuk oleh mana pentadbir sekolah dari semasa ke semasa dalam membuat keputusan berhubung perkara itu.
"Kementerian Pendidikan ada garis panduan serta nasihat daripada MetMalaysia (Jabatan Meteorologi) dan juga Kementerian Kesihatan (KKM).
"Saya mohon semua pentadbir sekolah untuk menguruskan situasi (cuaca panas) mengikut garis panduan terbabit dari semasa ke semasa termasuk melalui panduan serta nasihat yang diberikan oleh MetMalaysia dan KKM.
"Jadi, tidak ada isu memandangkan garis panduan itu membenarkan dari segi pakaian dan aktiviti ketika cuaca panas," katanya kepada pemberita di Majlis Perasmian Program Semarak Sejahtera Warga Emas di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Nibong Tebal di Sungai Acheh di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Che Murad Sayang Ramjan.
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu berkata, kementeriannya prihatin terhadap kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru dan seluruh warga sekolah semasa menghadapi keadaan cuaca panas atau sebarang situasi di luar jangka.
MetMalaysia sebelum ini melaporkan empat daerah di Kedah berada pada tahap berjaga-jaga apabila suhu maksimum harian mencapai paras berkenaan secara konsisten dan berpotensi memberi kesan terhadap kesihatan awam serta aktiviti harian, khususnya membabitkan golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang terdedah kepada cuaca panas dalam tempoh lama.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga, mengurangkan pendedahan kepada cuaca panas melampau serta memastikan pengambilan air yang mencukupi.
MetMalaysia turut mengingatkan orang awam untuk sentiasa merujuk maklumat terkini status cuaca panas harian melalui portal rasminya bagi mendapatkan perkembangan semasa dan amaran berkaitan.