Edited by Vellfire at 7-2-2026 11:00 PM

Suspek cabul yang ditahan.
LAWAS: Polis menahan seorang penjawat awam Ahad lepas kerana disyaki mencabul dua rakan sekerja wanita di sebuah jabatan kerajaan di Lawas sejak Disember tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan berkata, suspek lelaki berusia 35 tahun itu ditahan kira-kira jam 2.45 petang di kediamannya di kuarters kerajaan di bandar Lawas.
“Dua laporan polis telah dibuat dua mangsa terbabit pada penghujung Januari lepas dan awal bulan ini berhubung insiden tersebut.
“Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku di salah satu jabatan kerajaan di Lawas sejak awal Disember 2025 dan laporan polis dibuat kerana tidak mahu tindakan berterusan oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, dua kertas siasatan dibuka terhadap kes berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
“Semakan kesalahan lampau mendapati suspek tiada kesalahan lampau,” ujarnya.
Beliau meminta orang ramai supaya tidak menimbulkan spekulasi dan melaporkan kepada pihak polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kejadian.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun ditahan pada Rabu lepas dipercayai terlibat dalam kes curi besi di sebuah rumah di Jalan Merapok di sini.

Suspek kes curi besi yang ditahan.
“Tangkapan dibuat susulan laporan polis yang dibuat mangsa pada 31 Januari lalu selepas mendapati sebanyak 52 batang besi berukuran 10 kaki lapan inci telah hilang di tapak bina rumahnya dengan anggaran kerugian RM1,000,” ujarnya.
Hasil tangkapan itu katanya, beberapa batang besi dan sebuah motosikal turut dirampas untuk siasatan lanjut.
“Hasil soal siasat terhadap suspek, pihak polis berjaya menemui dan merampas besi pelbagai saiz dari sebuah kedai besi buruk di Lawas,” katanya.
Katanya, hasil ujian air kencing kepada suspek mendapatinya positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine dan semakan kesalahan lampau mendapati suspek tiada kesalahan lampau.
Kes di siasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Sumber : Utusan Borneo
|