CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 30400|Reply: 0

[Sarawak] Keupayaan perkhidmatan kardiologi Hospital Sibu diperkukuh

[Copy link]
Post time 3-2-2026 11:02 AM | Show all posts |Read mode
Terima mesin pengimejan resonans magnetik (MRI) Jantung khusus berteknologi tinggi, hospital kedua memilikinya


Dr Sim (empat kiri), Jamilah (lima kanan), Chieng (tiga kiri), Ting (kiri), Lau (dua kiri), Dr Teng (dua kanan) serta yang lain ketika meninjau MRI Jantung di Hospital Sibu, hari ini.

SIBU: Keupayaan perkhidmatan kardiologi di Hospital Sibu terus diperkukuh apabila hospital berkenaan menerima sebuah mesin pengimejan resonans magnetik (MRI) Jantung khusus berteknologi tinggi, menjadikannya hospital kedua di Sarawak yang memiliki kemudahan tersebut.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, pemasangan mesin MRI jantung generasi terbaharu itu direalisasikan hasil kerjasama strategik antara Yayasan Jantung Sarawak dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut beliau, mesin yang dibekalkan oleh Philips itu pada asalnya diperuntukkan untuk Hospital Umum Sarawak dan Pusat Jantung Sarawak.

"Namun, disebabkan kelewatan kerja menaik taraf ruang di lokasi asal, unit tersebut akhirnya ditempatkan di Hospital Sibu.

"Yayasan Jantung Sarawak telah menyumbang sebanyak RM2.5 juta bagi tujuan peningkatan teknologi.

"Dalam tempoh menunggu penyiapan bilik, pihak pembekal menawarkan model terkini yang lebih canggih dan khusus untuk pengimejan jantung," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Sibu hari ini.

Beliau berkata, penempatan mesin MRI jantung memerlukan kerja pengubahsuaian tambahan melebihi RM1 juta kerana sistem tersebut memerlukan fasiliti khas serta operasi berterusan yang stabil.

Dr Sim menjelaskan bahawa keputusan menempatkan mesin itu di Sibu dibuat sebagai pengiktirafan terhadap peranan besar komuniti perniagaan tempatan yang sentiasa menyokong dan menyumbang kepada Yayasan Jantung Sarawak sejak sekian lama.

“Tanpa sokongan berterusan yayasan, kemudahan ini sukar diperoleh dalam masa singkat. Sekiranya bergantung sepenuhnya kepada peruntukan persekutuan, kemungkinan besar Hospital Sibu terpaksa menunggu lebih lama," katanya yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Beliau memberitahu, MRI jantung merupakan alat diagnostik penting untuk menilai tahap kesihatan otot jantung, khususnya dalam menentukan sama ada rawatan invasif seperti pembedahan pintasan atau angioplasti sesuai dilakukan.

"Teknologi ini membolehkan doktor mengenal pasti sama ada otot jantung masih berfungsi. Jika otot telah rosak sepenuhnya, rawatan seperti belon atau pintasan mungkin tidak memberi manfaat kepada pesakit," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Sim memaklumkan bahawa KKM sedang melaksanakan proses tender bagi pembinaan makmal kateterisasi jantung (Cath Lab) di beberapa hospital utama, termasuk Hospital Sibu dan Hospital Miri, selain dua hospital lain di Sabah dan Semenanjung Malaysia.

"Apabila siap kelak, prosedur angiogram dan angioplasti boleh dilakukan di hospital tempatan, sekali gus mengurangkan keperluan pesakit dirujuk ke Kuching serta membantu mengurangkan kesesakan di Pusat Jantung Sarawak," katanya sambil menjangkakan tempoh pembinaan mengambil masa sekurang-kurangnya setahun selepas tender dimuktamadkan.

Dengan adanya MRI jantung serta perancangan pembinaan kateterisasi jantung ujarnya, Hospital Sibu dijangka muncul sebagai antara pusat jantung satelit paling lengkap di negeri ini.

Dr Sim turut menyentuh perkembangan di Hospital Bintulu, yang baru-baru ini menerima naik taraf peralatan angiografi bernilai lebih RM2 juta hasil sumbangan Yayasan Jantung Sarawak.

"Peningkatan ini membolehkan pakar kardiologi dari Pusat Jantung Sarawak datang ke Bintulu setiap bulan untuk mengendalikan kes tidak kritikal manakala kes kecemasan juga dapat dirawat di hospital berkenaan," jelasnya.

Beliau menambah, Sarawak kini memiliki dua mesin MRI jantung daripada keseluruhan kira-kira lapan hingga sepuluh unit seumpamanya di seluruh negara yang dibekalkan oleh syarikat utama seperti Philips dan Siemens.

"Daripada empat atau lima mesin MRI jantung keluaran Philips di Malaysia, dua berada di Sarawak.

“Ini mencerminkan usaha proaktif negeri ini dalam memperkukuh perkhidmatan kesihatan melalui kerjasama awam dan swasta," jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah.

Menurutnya lagi, nilai sebenar mesin MRI jantung tersebut dianggarkan antara RM8 juta hingga RM9 juta, namun ia berjaya diperoleh pada kos sekitar RM2.6 juta hasil perjanjian pertukaran awal dengan pihak pembekal.

"Semua ini adalah hasil perancangan rapi dan kerjasama erat antara kerajaan negeri, kerajaan persekutuan serta pihak yayasan demi memastikan rakyat Sarawak mendapat akses rawatan jantung yang lebih baik," tambahnya.

Turut mengiringi Dr Sim dalam lawatan tersebut ialah Ahli Lembaga Amanah Yayasan Jantung Sarawak Datuk Amar Jamilah Anu, ADUN Bukit Assek Joseph Chieng, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting, Ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Kaunselor Kevin Lau dan Timbalan Pengarah Hospital Sibu Dr Rachel Teng.


Sumber : Utusan Borneo

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-2-2026 02:49 AM GMT+8 , Processed in 0.036069 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list