
JAMES
TAWAU: Kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan supaya naratif pembentukan Malaysia dalam buku teks sekolah disemak semula bagi memberi gambaran lebih tepat dan menyeluruh mengenai peranan Sabah dan Sarawak sebagai rakan pengasas negara.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, berkata cadangan itu akan dibawa ke peringkat kebangsaan susulan perbincangan bersama pengurusan tertinggi Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
Katanya, kandungan silibus dan buku teks Sejarah ketika ini lebih menekankan naratif Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia, sedangkan hakikatnya kedua-dua wilayah berkenaan bersama Persekutuan Tanah Melayu menubuhkan negara ini.
“Perkara ini telah dibincangkan di peringkat negeri dan insya-Allah akan saya suarakan dalam Mesyuarat Exco Pendidikan peringkat kebangsaan yang dijangka diadakan pada April ini.
“Kita mahu ada penambahbaikan terhadap kandungan silibus supaya fakta sejarah yang disampaikan kepada pelajar lebih tepat, seimbang dan mencerminkan realiti sebenar pembentukan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Majlis Pelancaran SainsXplor Tawau, di sini, hari ini.
James berkata, semakan semula naratif sejarah itu penting bagi memastikan generasi muda memahami peristiwa lampau dengan lebih jelas, sekali gus menghargai peranan Sabah dalam pembentukan negara.
Menurutnya, usaha itu bukan bertujuan mengubah atau menafikan fakta sejarah, sebaliknya melengkapkan kandungan sedia ada agar lebih inklusif dan adil kepada semua pihak yang terlibat.
“Sejarah adalah asas pembentukan jati diri. Sebab itu, kerjasama antara Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Kementerian Pendidikan Malaysia amat penting supaya mana-mana perkara yang tertinggal dalam silibus dapat diperbaiki dan diselaraskan.
“Kerajaan Sabah kekal komited untuk bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dalam memastikan kandungan pendidikan negara sentiasa relevan, tepat dan selari dengan aspirasi pembinaan negara bangsa,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri sebelum ini berucap pada Majlis Pelancaran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 bahawa Pengukuran Pembelajaran Tingkatan Tiga akan diperkenal mulai 2027 membabitkan lima mata pelajaran utama termasuk Sejarah.
|