Edited by Vellfire at 19-1-2026 01:13 PM

Ding melakukan lawatan kerja dan menyaksikan majlis penyerahan projek siap di SK Ulu Binatang, Bintangor semalam.
BINTANGOR: Kerajaan Sarawak dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus komited memajukan sekolah dengan menitikberatkan penguasaan Bahasa Inggeris (BI) tanpa mengabaikan Bahasa Malaysia (BM).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, tumpuan turut memberikan terhadap penglibatan murid dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Kita ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Binatang kerana telah mendapat 90 peratus kelulusan daripada 11 calon dalam subjek Bahasa Inggeris dan Sains dalam peperiksaan lalu.
“Sementara itu, terdapat 80 peratus calon yang lulus dalam subjek Matematik.
“Kita juga difahamkan salah seorang calon Ujian Penilaian Dual Language Programme (UP-DLP) Sarawak pada tahun lepas adalah calon berkeperluan khas (OKU) dan kita berharap semoga tahun ini pencapaian lebih baik dapat direkodkan oleh pihak sekolah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan projek yang telah siap dilaksanakan di SK Ulu Binatang di sini, semalam.
Menurut Ding, projek itu menggunakan peruntukan RM1 bilion (Fasa 2) Pakej 4 bersama beberapa sekolah lain di Daerah Julau.

Ding melakukan lawatan kerja dan menyaksikan majlis penyerahan projek siap di SK Ulu Binatang, Bintangor semalam.
“Dimaklumkan projek ini adalah hasil kolaboratif berterusan pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Meradong, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), KPM dan Kerajaan Sarawak dalam meningkatkan kebajikan serta kemudahan pendidikan anak-anak Sarawak.
“Komitmen daripada pihak JKR juga memastikan projek berjalan dengan lancar.
“Bangunan sekolah yang dahulunya usang dimakan anai-anai dan tidak mengikut saiz standard telah digantikan sepenuhnya dengan bangunan baharu menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS).
“Sebelum ini, pelaksanaan PdPc (Pembelajaran dan Pemudahcaraan) terganggu akibat perkongsian ruang kelas dan kemudahan yang tidak sesuai.
“Justeru, dengan siapnya bangunan baharu yang lebih selesa dan kondusif, PdPc kini dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” kata Ding.
Tambahnya lagi, dalam projek tersebut SK Ulu Binatang mendapat enam blok bangunan kelas, 1 blok bilik sains, 1 blok tandas dan 1 blok rumah pam bersama tangki aras tinggi dengan kos keseluruhan RM3,286,637.28.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua Unit Pembangunan Infrastruktur dan Perolehan JPNS Ir Ts Khairul Afnan Abd Razak, wakil Residen Bahagian Sarikei Lenry Bisop, Pegawai Daerah Meradong Wee Teck Min, Pegawai Pendidikan Daerah Meradong Sharifah Idawati, Jurutera Bahagian JKR Sarikei Ir Ts Kennedy Kedo dan Guru Besar SK Ulu Binatang Alim Johan.
Sumber : Utusan Borneo
|